Tuesday, January 19, 2010 at 8:53 AM |  


"Modal sosial harapan negara"

Pengenalan
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Sengaja diungkap pepatah Melayu ini bagi menggambarkan betapa sebarang penyatupaduan dan hubungan yang erat lagi kukuh akan menghasilkan natijah yang berupa kejayaan kepada sesebuah institusi masyarakat manakala akibat daripada keretakan serta sebarang anasir perpecahan akan menghasilkan kegagalan yang menggagalkan matlamat dan visi dalam sesebuah institusi masyarakat. Dengan kata yang lebih mudah, pepatah ini bermaksud bahawa dengan kesepaduan atau dan kerjasama dalam sesebuah komuniti mahupun organisasi akan membuahkan hasil yang lumayan lagi menguntungkan dan tanpa penyatupaduan akan menyebabkan kemunduran yang menjurus kepada kehancuran. Sebelum kita mengorak langkah lebih ke depan dalam mengupas persoalan tentang peranan modal sosial terhadap pembinaan sesebuah negara, moleklah kiranya kita merungkaikan dahulu misteri definisi ataupun pentakrifan frasa “modal sosial dalam pembinaan negara” secara literal dan konseptual. Menjunjung amanat Kamus Dewan Edisi ke-4, modal dapat kita ertikan sebagai sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu yang lain ataupun hasil. Sosial pula berkait-rapat tentang perihal masyarakat ataupun sesebuah institusi komuniti keluarga seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat. Modal sosial adalah satu bidang kajian ilmu yang baru diberi perhatian oleh para penyelidik. Kajian dalam bidang ini dipopularkan oleh Coleman (1988) dan Putnam (1993). Modal sosial merupakan satu bentuk jaringan, norma, persahabatan, nilai-nilai serta persetujuan tidak formal yang boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti kerjasama sesebuah masyarakat. Pelbagai definisi dibuat bagi menggambarkan modal sosial. Coleman(1988) menggambarkan modal sosial yang terdiri aspek struktur sosial, obligasi dan jangkaan, rangkaian maklumat dan set norma, dan keberkesanan hukuman yang membatasi atau menggalakkan gelagat yang baik. Putnam (1993) pula mentakrifkan modal sosial dengan merujuk kepada sifat organisasi seperti kepercayaan, norma dan jaringan yang dapat meningkatkan kecekapan dalam masyarakat dengan memudahkan tindakan kerjasama. World Health Organisation (1998) melihat konsep modal sosial sebagai menggambarkan darjah pautan sosial yang wujud dalam masyarakat. Ia merujuk kepada proses antara masyarakat untuk membentuk jaringan, norma, kepercayaan sosial dan memudahkan koordinasi dan kerjasama untuk faedah bersama. World Bank (2003), mentakrifkan modal sosial sebagai institusi, hubungan dan norma yang membentuk kualiti dan kuantiti interaksi sosial masyarakat. Modal sosial adalah hubungan eksplisit. Ianya tidak dapat dijanakan melalui tindakan individu secara berasingan dalam sesebuah masyarakat. Malah modal sosial merujuk kepada nilai kerjasama aktiviti sosial. OECD (2001), mentakrifkan modal sosial sebagai jaringan bersama norma, nilai dan pemahaman yang memudahkan kerjasama dengan atau antara kumpulan yang lain. Black dan Hughes (2001) mentakrifkan modal sosial adalah corak dan kualiti hubungan dalam masyarakat. Terdapat tiga bentuk modal sosial yang utama iaitu, pertama modal sosial yang berbentuk ikatan (bonding) persahabatan antara ahli keluarga atau kumpulan etnik yang sama. Kedua, modal sosial jalinan atau ikatan (bridging) antara pelbagai kumpulan etnik berlainan. Ketiga, modal sosial yang berupa pautan (linking) antara pelbagai kelas kumpulan sosial masyarakat seperti majikan dengan pekerja, kerajaan dengan rakyat serta golongan kaya dengan golongan miskin. Malah ia mencakupi konsep yang lebih kompleks kerana melibatkan jaringan khusus terhadap penduduk dalam pelbagai kumpulan iaitu hubungan kumpulan masyarakat yang berbeza tahap dan lapisan yang boleh merangsang sumber seperti kuasa dan kekayaan (Lyberaki & Paraskevopoulos, 2002). Modal sosial bukan merupakan barangan eksklusif yang menjadi hak kepada seseorang individu. Sebaliknya modal sosial merupakan barangan yang perlu dikongsi bersama oleh ahli dalam sesebuah masyarakat, oleh itu ia bersifat barangan awam. Secara konseptualnya, frasa ini memberi gambaran kepada kita bahawa modal mahupun daya upaya dalam sesebuah masyarakat itu berperanan penting terhadap pembinaan sesebuah negara dan konsep ini akan kita kupas dengan merujuk kepada modal sosial masyarakat kita dalam membentuk serta membina negara Malaysia yang kita cintai ini.

Pembentukan Bangsa Malaysia
Sememangnya negara Malaysia merupakan sebuah tamadun yang mempunyai keunikannya tersendiri kerana Malaysia ini dibina dan bangun dengan penyatupaduan etnik kaum yang berbeza sosiobudayanya namun atas dasar “ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, terbinalah Malaysia hingga sekarang. Di sini juga akan dikupas dan dikorek mengenai konsep pembinaan bangsa Malaysia yang telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam merealisasikan Wawasan 2020 yang memperuntukkan Malaysia sebagai negara maju yang boleh “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”, dengan negara-negara maju di seantero dunia sekarang. Namun terdapat banyak persoalan yang agak “nakal” terhadap pembentukan gagasan tersebut dan dari segi konseptualnya, ada yang menganalisis “bangsa Malaysia” secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep “warganegara” manakala selainnya ada yang melihatnya sebagai “ras”. Kita perlu memahami bahawa gagasan bangsa Malaysia ini bermaksud anggota semua kaum haruslah mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif yakni bangsa Malaysia yang sama serta berkongsi wilayah, ekonomi, budaya dan nasib masa depan yang sama.
Hasrat pembinaan bangsa Malaysia ini telah mencetuskan satu fenomena yang baru kepada kita yang mendesak kita supaya tidak lagi mengamalkan sikap berlengah-lengah lagi akan tetapi meminta kita untuk bersedia menghadapi cabaran yang mendatang. Justeru kita harus menyiapkan diri dengan segala keperluan yang penting agar tidak kekok rentak kita dalam mengharungi deras arus ombak pemodenan dunia yang berdayung hebat. Kita memang tidak dapat menolak bahawa bangsa bertamadun itu mempunyai identitinya tersendiri dan dalam konteks Malaysia, kita juga bukan bermula daripada sesuatu yang vakum sifatnya. Apa yang kita mahu generasi akan datang menjadi anak bangsa Malaysia walaupun generasi sekarang kekal perasaannya sebagai bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, dan sebagainya. Semangat yang lahir dalam diri mereka ialah semangat kebangsaan, patriotisme kerjasama dan keperibadian Malaysia yang unggul berkarisma. Namun pelbagai rintangan mahupun halangan dalam merealisasikan gagasan tersebut dalam kalangan masyarakat kita yang masih belum “celik perpaduan” lebih-lebih lagi setelah terdapat beberapa pihak yang mula mempersoalkan beberapa isu-isu yang mengundang sensitiviti masyarakat. Perlu diingat bahawa konsepsi bangsa Malaysia ini banyak bergantung pada kesedaran pelbagai masyarakat dan suku kaum warganegaranya. Matlamat utamanya tentulah untuk menjalinkan perpaduan dengan kukuh serentak dengan program itu, program besar pembinaan bangsa Malaysia mula diusahakan. Persoalan yang dibangkitkan tadi mengarah kepada peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Masyarakat yang pelbagai itu tentunya mewarisi tradisi budaya masing-masing, tetapi mereka perlu melihat dua peranan dan tanggungjawab kebudayaan iaitu di samping menentukan kekalnya tradisi sendiri, mereka wajib membina tradisi budaya negara dan bangsa Malaysia. Terdapat beberapa aspek kebudayaan kesukuan atau perkauman yang perlu diubahsuai dan direvolusikan supaya kewajarannya menjadi nilai yang dikongsi bersama selain bergantung pada kebudayaan induk atau kebudayaan teras yang meletakkan rakyat asal rantau ini sebagai landasannya. Falsafah yang harus dijunjung adalah perjuangan mengisi ikrar setia sebagai bangsa yang satu, sebagai warganegara yang mempunyai nilai maruah dan berjiwa besar degan kecintaan serta sumber ilham hanya tertumpu kepada Malaysia. Kasih dan sayang tidak akan pudar meskipun menghadapi cabaran tetapi hayat tertumpah di sini, tanah tumpah darah kita bukan pada negara yang lain yang akhirnya menjadikan kita seumpama menafikan kehadiran diri sama ada secara fizikal mahupun mental dengan sikap dan pemikiran yang asing pada bumi kediaman.
Mahabbah atau kasih sayang merupakan satu teras keramat yang sudah kian berkubur di dalam pergaulan seharian masyarakat. Sifat individualistik dan mementingkan diri sendiri kian meronai kehidupan di zaman serba moden ini. Sikap nafsi-nafsi kian digenggam erat dan dipeluk manja di dalam memastikan kelangsungan kebahagiaan masing-masing dapat diteruskan. Sifat-sifat mulia dan mahmudah seperti penyayang, bertoleransi, saling membantu, bersangka baik, bersopan-santun dan seumpamanya telah menjadi pemanis mulut serta sebagai syarat semata-mata. Justeru, saya merasakan perpaduan dan penjalinan ukhuwah masyarakat wajar diberi perhatian yang bukan sepicing cuma. Berdasarkan laporan Jabatan Perpaduan Negara tahun lalu, polarisasi kaum terutama di kalangan generasi muda semakin serius. Malah pengarahnya turut menegaskan bahawa interaksi kaum di kalangan golongan itu juga kini berada pada tahap minimum walaupun seolah-olah wujud perpaduan di kalangan mereka dari segi luarannya. Seorang sarjana Islam pernah bermadah; “Bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangis.” Sarjana yang lain pula memperingatkan bahawa “Pengertian hidup tidak bergantung kepada sejauh mana gembiranya kita, tetapi sejauh mana orang lain gembira disebabkan kita.” Maka, madah pujangga yang cukup bestari ini wajar diadun dan diuli untuk membentuk satu formula bagi menyatukan masyarakat. Rasa mahabbah perlu disuburkan kembali. Lebih daripada itu, sekiranya kita pergi kepada skop yang lebih besar, satu formula berimbang juga perlu diterbitkan ke arah perpaduan orang Melayu dan bukannya sebuah persamaan berkadar songsang yang berkisar kepada tuduh-menuduh serta fitnah-memfitnah sesama kita. Waima, kita memerlukan falsafah kanta cekung yang boleh mencapahkan segala sinar positif dan dalam masa yang sama sebuah kanta cembung bagi menutup penuh ruang tembusnya sinar negatif ke arah solidariti bangsa dan membina kekuatan Ummah. Memandangkan hakikat ini, maka amatlah penting pengenalan gagasan ini dipaku besikan dalam setiap individu dalam setiap komuniti masyarakat agar perpaduan yang diperoleh memungkinkan negara beroleh kejayaan dan mencapai status negara maju. Sesungguhnya pembinaan sesebuah negara itu bergantung kepada penyatupaduan masyarakat itu sendiri. Ironinya mengapa saya mengupas dahulu soal pengenalan bangsa Malaysia dalam membincangkan peranan modal sosial dalam pembinaan negara kita adalah kerana dalam konteks Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik kaum ataupun dikenali dengan istilah multi-racial, negara ini hanya akan terbina dengan penyatupaduan setiap kaum dan tanpa kesatuan ini, negara ini tidak akan terbina dan membangun dengan lancar. Seterusnya kita akan menghangatkan lagi atau mengupas dengan lebih lanjut lagi tentang permasalahan ataupun cabaran yang perlu dihadapi dalam memperkasa serta mengukuhkan modal sosial negara. Perkara ini amatlah penting sebelum kita berbicara tentang ciri-ciri modal sosial yang cemerlang dalam pembinaan negara kita yakni Malaysia.
Masalah / Cabaran Dalam Memperkasa Modal Sosial
A) Perpaduan Kaum
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Peribahasa ini sengaja dipetik bagi menginterpretasikan keadaan di dalam negara Malaysia yang telah terbina sejak 52 tahun lalu atas dasar permuafakatan setiap majoriti kaum di Malaysia iaitu Melayu, India dan Cina. Semenjak detik emas 31 Ogos 1957 yang telah membawa kemerdekaan negara kita, kita patut berbangga dengan demokrasi permuafakatan yang diamalkan dalam masyarakat majmuk. Demokrasi inilah yang telah memberi banyak manfaat serta faedah kepada pembinaan mahupun pembangunan negara melalui peranan aktif oleh kerajaan Perikatan meliputi UMNO, MCA, dan MIC. Matlamat untuk mencapai integrasi nasional dalam erti kata sebenar bukanlah perkara yang terlalu rumit dan aspek utama yang perlu adalah keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan dalam kalangan pihak yang terbabit. Matlamat murni ini tidak akan dicapai sekiranya wujud anasir-anasir perasaan cemburu, syak wasangka dan curiga. Kata-kata seorang pujangga mungkin perlu direnungkan dan difikirkan secara wajar oleh generasi pewaris hari ini. Menurutnya, “Apabila seseorang itu menerima pendapat dengan penuh prejudis, maka seluruh bukti dan hujah yang rasional tidak lagi dapat mengubah pendirian. Ini kerana prejudis dan prasangka merupakan tembok yang menyekat kebenaran untuk memasuki mana-mana jiwa.”
Dalam konteks Malaysia, perasaan “kemalaysiaan” mesti diterapkan dalam jiwa setiap masyarakat dan sikap kenegerian hendaklah dikikis barulah matlamat integrasi nasional mencapai kejayaan. Semua lapisan masyarakat, tidak kira di Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia walaupun wujud perbezaan geografi mahupun sosiobudaya hendaklah mengikis semangat kenegerian mereka kerana tidaklah menguntungkan sekiranya kita mempunyai semangat kenegerian yang kuat tetapi lemah dari aspek kenegaraannya. Jika kita menyelak tabir sejarah kemerdekaan negara kita ini, kita akan mendapati bahawa disebabkan permuafakatan setiap kaum terbesar di Tanah Melayu ketika itu iaitu Melayu, India dan Cina telah bergabung tenaga dan berganding bahu dalam misi untuk mendapatkan kemerdekaan daripada imperialis British. Malah British pada mulanya tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu disebabkan mereka tidak yakin perpaduan antara kaum dapat diwujudkan akan tetapi sangkaan nakal itu meleset kerana pemimpin-pemimpin tiga kaum tersebut telah berjaya membentuk persefahaman kukuh kaum-kaum di Malaysia. Akhirnya negara kita telah berjaya meraih kemerdekaan yang pastinya menjadi titik-tolak kepada kegemilangan Malaysia sehingga ke hari ini.
Namun sejak akhir-akhir ini masalah perpaduan antara kaum telah menjadi kronik dan sudah timbul riak-riak perpecahan antara kaum disebabkan ideologi politik yang berbeza sekarang. Kebanyakan pemimpin dari Barisan Pembangkang yakni Pakatan Rakyat pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menyuarakan isu-isu yang agak keterlaluan dan terdapat dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat telah menyentuh hal-hal yang mencetuskan sensitiviti masyarakat Melayu. Hal ini semakin kronik lagi dengan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan Akta Keselamatan Negeri yang popular dikenali sebagai ISA. Akibat daripada dasar tersebut, para pemimpin pembangkang mula menyelar tindakan kerajaan dan membangkitkan tentang isu perkauman yang telah mencetuskan beberapa demonstrasi di negara kita. Sebenarnya masalah perpaduan kaum ini telah lama timbul sejak negara kita mencapai kemerdekaan lagi dan masalah ini akhirnya mencapai klimaksnya pada 13 Mei 1969 yang berakhir dengan pembentukan Rukun Negara oleh MAGERAN pimpinan Tun Abdul Razak. Setelah diteliti setiap pandangan tokoh-tokoh politik Malaysia, pandangan Tun Dr. Mahathir amat menarik kerana beliau beranggapan permuafakatan antara kaum sebenarnya berjalan atas dasar teori sahaja disebabkan masing-masing mempunyai agendanya tersendiri di sebalik pemberian kemerdekaan. Beliau turut menambah di dalam bukunya iaitu “Malay Dilemma”, sebenarnya tidak wujud langsung perpaduan antara kaum dan itu hanyalah tidak ubah seperti lakonan aktor-aktor dalam filem. Buktinya rusuhan kaum terburuk terjadi pada 13 Mei 1969 yang merupakan jawapan kepada persoalan adalah wujud perpaduan antara kaum di Malaysia.
Itulah masalah perpaduan yang telah terjadi di Malaysia khususnya dan ini secara tidak langsung akan menggugat proses terhadap pembinaan negara kita. Umum mengetahui dengan adanya perpaduan dan integrasi setiap kaum, maka pembangunan negara kita akan berjalan lancar tanpa sebarang sekatan mahupun halangan. Masalahnya di sini ialah bagaimanakah kita dapat membina negara kita sekiranya tidak ada lagi persefahaman dalam masyarakat kita ataupun dengan kata lain modal sosial dalam masyarakat yakni kerjasama dan budaya bertolak-ansur sudah punah. Oleh sebab itulah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan modal sosial dalam masyarakat ialah amalan berbudi bahasa dan saling kerjasama antara setiap kaum di Malaysia. Tanpa elemen perpaduan ini, amatlah mustahil negara ini menggapai kegemilangan di masa akan datang. Justeru setiap pihak harus berganding bahu dalam mencari inisiatif untuk menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum ini kerana jika penyakit ini semakin menular secara bebas tanpa sebarang langkah pencegahan, dikhuatiri akan bertambah kronik dan mempengaruhi kelancaran pembangunan Malaysia.
B) Gejala Sosial
Dalam mendepani ranjau kehidupan yang penuh dengan liku-liku cabaran ini, pastinya masyarakat tidak dapat lari daripada masalah gejala sosial yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemuda-pemudi khasnya di Malaysia. Sedangkan tokoh Barat pernah menyatakan bahawa jatuh bangunnya sesebuah tamadun itu kita lihat kepada generasi pewarisnya. Sekiranya golongan pemuda yang bakal menerajui Malaysia di masa akan datang kekal dengan penglibatan mereka dalam gejala-gejala sosial, maka tidak mustahil negara Malaysia yang telah dibina oleh tokoh-tokoh kemerdekaan akan musnah dan hancur berkecai. Sememangnya golongan muda perlu dididik dan diajar supaya tidak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara kita. Sepatutnya golongan muda-mudi perlu menyiapkan diri dengan segala ceruk ilmu pengetahuan yang tinggi dalam segenap hal agar mampu menjadi nakhoda kepada negara kita di masa depan. “Kepemudaan adalah salah satu cabang dari kegilaan. Memang kegilaan itu ditakuti tetapi kadang-kadang kegilaan itu perlu untuk mengubah sejarah yang telah membeku. Revolusi yang besar-besar selalu dipelopori oleh kegilaan pemuda. Tetapi setelah babak pertama dan revolusi selesai, datanglah masanya memakai fikiran dan renungan yang timbul dari kearifan.” Demikianlah salah satu daripada percikan pengalaman dan kata renungan budi yang dinukilkan oleh Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya ‘Lembaga Budi’. Sememangnya generasi muda merupakan generasi terbaik untuk mengalami proses pembentukan mental, pembangunan sahsiah dan ketangkasan fizikal. Mereka memiliki potensi yang pelbagai dan kejayaan mencernanya dengan baik boleh menyumbang ke arah pembangunan sumber daya insan yang berkualiti.
Prof. Dr. Hamka juga pernah menyatakan, “Kerap kali orang tua menyesali pemuda dan menuduhnya bekerja terburu-buru dan kurang fikir. Kerap kali orang muda menuduh orang tua lembap, lembap bertindak dan terlalu banyak berfikir. Alangkah sibuknya dunia kalau pimpinan hanya di tangan yang muda-muda. Dan dunia akan membosankan kerana lembap geraknya kalau pemimpin hanya yang tua-tua. Gabungan di antara gelora semangat yang muda dengan renung-fikiran yang tua itulah yang menimbulkan keseimbangan di dalam perjalanan hidup.” Nah, cuba kita perhatikan betapa generasi muda diberi gambaran sebagai golongan yang bersemangat, cergas, cerdas, aktif dan bertenaga dalam gerak kerjanya. Bahkan sememangnya keperkasaan jasmani merupakan khazanah bernilai yang tiada tolok bandingnya buat para pemuda. Kesihatan, ketegaran dan ‘darah muda’ yang dimiliki oleh mereka mampu menggoncang dunia sekiranya dipergunakan dengan strategi berkesan dan melalui manhaj yang benar. Justeru, kepemudaan yang ada wajar dibina dan dilatih dengan intensif agar mampu menghasilkan sesuatu yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada pembaikan dan kegemilangan generasi akan datang. Persaingan yang sihat ke arah penghasilan kualiti hendaklah disuburkan. Kualiti hendaklah dianggap sebagai suatu perlumbaan dan bukannya garisan penamat. Ini kerana apabila kualiti sudah berada di penghujung, maka segala idea dan reformasi minda akan menjadi bobrok.
Selain itu, masalah gejala sosial timbul akibat arus globalisasi iaitu penularan konsep dunia tanpa sempadan yang membolehkan segala anasir-anasir negatif yang tidak sepatutnya wujud dalam negara kita seperti budaya hedonisme yang semakin menyala-nyala perkembangannya dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya pemuda. Kesan negatif yang dibawa oleh alat media seperti televisyen telah lama muncul setelah digunakan secara ketara pada abad yang lalu. Rancangan yang disiarkan mendedahkan penontonnya kepada pelbagai nilai termasuk yang boleh menjahanamkan minda rakyat terutama unsur keganasan dan seksual kepada penonton yang muda. Di Amerika Syarikat, kajian Biagi (1998) menunjukkan bahawa orang Amerika menonton televisyen sekurang-kurangnya 4 jam sehari dan ada yang menonton melebihi 7 jam sehari. Secara umumnya, masa yang digunakan oleh kebanyakan remaja yang berumur 16 tahun untuk menonton televisyen adalah melebihi masa mereka belajar di sekolah. Pada pemerhatian penulis, keadaan di Malaysia adalah tidak jauh beza dengan keadaan yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Amerika Syarikat. Kini, pengaruh negatif dari media dan alat komunikasi menjadi semakin ketara setelah penggunaan Internet diperkenalkan pada dekad yang lalu. Di bawah inovasi baru yang canggih ini, ruang sosial menjadi tidak mempunyai sempadan (borderless). Maklumat atau informasi memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan. Segala maklumat yang terdapat di dalam Internet sama ada yang baik atau yang buruk boleh dilihat dan dibaca sekiranya seseorang itu akses kepadanya. Sehingga hari ini, Malaysia belum lagi mempunyai mekanisme yang berkesan untuk mengawal maklumat Internet. Masalah utama yang boleh ditimbulkan oleh Internet ialah tentang seks. Perkataan ‘seks merupakan perkataan yang paling kerap dicari oleh pengguna Internet dalam enjin pencarian seperti Yahoo. Ribuan laman web yang menawarkan informasi tentang seks yang tidak bermoral seperti pornografi, homoseksual atau lesbian boleh menjejaskan minda penggunaan Internet yang tidak matang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Oleh sebab itulah masalah gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat ini mampu menjejaskan modal sosial dalam masyarakat itu sendiri khasnya golongan pemudanya yang akhirnya akan mengancam proses pembinaan negara kita. Sepatutnya kita perlu berusaha membangunkan potensi dalam setiap pemuda negara Malaysia dan menyiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan berserta kemahiran yang tinggi. Dengan langkah ini, mereka akan mampu memelihara kemerdekaan negara kita seterusnya meneruskan rentak cemerlang yang telah dipamerkan oleh negarawan-negarawan ulung tanah air kita. Namun sekiranya masalah sosial ini tidak diatasi dengan cara yang wajar, maka amatlah sukar untuk mempertahankan negara ini daripada anasir-anasir keruntuhan. Inilah cabaran ataupun masalah terhadap pembinaan negara iaitu masalah gejala sosial dalam masyarakat yang sedikit sebanyak meranapkan kerukunan institusi masyarakat.

C) Sistem Pendidikan Yang Kurang Efektif
Dalam budaya masyarakat Melayu khususnya unsur pendidikan telah disebatikan dalam budaya dan adat resam yang secara langsung memberikan imej tentang pentingnya pendidikan. Sebagai contoh, irama yang pernah satu ketika dulu dinyanyikan oleh para ibu sewaktu mendodoikan anak-anak: “buai tinggi-tinggi sampai pucuk atap, belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab”. Bait-bait lagu ini menggambarkan kepada kita bahawa pendidikan merupakan elemen yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat seterusnya mampu membina negara yang cemerlang dan terbilang. Sememangnya kerajaan telah mula melaksanakan beberapa tindakan yang agak cemerlang dalam membangunkan institusi pendidikan sejak negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Namun sejak akhir-akhir ini telah timbul pelbagai isu hangat yang memperkatakan kualiti pendidikan di dalam Malaysia khasnya golongan mahasiswa yang telah menamatkan pengajian mereka. Universiti hanyalah menjadi tradisi kemegahan masyarakat dan sudah menjadi mentaliti mereka bahawa untuk beroleh pekerjaan dengan mudah hendaklah memasuki universiti seterusnya berkhidmat dengan kerajaan. Oleh sebab itulah pengangguran berlaku dalam kalangan mahasiswa kerana mereka terlalu bergantung harap dengan kerajaan tanpa ada sebarang usaha untuk memajukan diri sendiri melalui apa-apa sahaja inisiatif. Kebanyakan mahasiswa juga terlalu memilih pekerjaan dan hanya mahu bekerja mengikut minat mereka dan kelulusan semata-mata. Sikap sebegini sebenarnya menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran negara kita. Generasi muda pada masa kini berhasrat masuk ke universiti dengan minda yang calculative. Mereka lebih berminat masuk ke jurusan yang boleh mendatangkan pulangan kewangan yang lebih lumayan secara relatif.
Mentaliti seperti ini turut menyebabkan matlamat utama penglibatan mereka dalam pendidikan hanyalah untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan supaya keputusan PNGK (CGPA) yang lebih baik. Mereka juga hanya menumpukan kepada mata pelajaran yang berkaitan langsung dengan jurusan profesional mereka dan menyumbang kepada PNGK. Bahkan trend seperti ini turut disambut oleh pihak institusi pendidikan tinggi, tidak kira di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) ataupun swasta (IPTS). Malahan, dalam sistem pendidikan peringkat tinggi di Malaysia, mata pelajaran yang penting untuk melatih pemikiran dan minda pelajar supaya boleh berfikir secara kritis dan bernas, iaitu disiplin falsafah belum lagi ditekankan dan dimantapkan. Bahkan, tiada satu pun universiti di Malaysia yang menubuhkan jabatan dan pusat untuk mengkaji disiplin falsafah secara menyeluruh. Apa yang ada pada masa sekarang ialah pengetahuan falsafah dicantumkan dalam satu atau dua mata pelajaran untuk sesuatu kursus. Di dalam membincangkan tentang kualiti pendidikan, Tun Hamdan Sheikh Tahir telah memberikan ulasan yang cukup bernas dan wajar kita fikir dan renungkan secara bersama. Menurut beliau, apabila kita menyebut tentang kualiti, maka kita tidak lari dari persoalan sama ada matlamat atau objektif pendidikan kita iaitu dengan melihat para pelajar yang telah dihasilkan. Mampukah generasi kita menangani isu globalisasi di mana akan berlakunya integrasi ekonomi, komunikasi serta maklumat dan menghasilkan satu pasaran dunia yang terbuka luas? Mampukah generasi kita bersaing di peringkat antarabangsa? Mampukah generasi kita secara bersepadu menangani isu dalaman yang sering memerlukan pemikiran yang kreatif dan inovatif? Mampukah generasi kita hidup dalam satu suasana yang penuh dengan kebijaksanaan dari segi etika dan moral?
Akibat daripada inilah potensi yang ada dalam golongan ini tidak dapat dimanfaatkan dengan sesungguhnya menyebabkan pembangunan negara menjadi sumbang. Ditambah lagi dengan pelaksanaan program DPLI iaitu program selama 1 tahun kepada lepasan ijazah yang menganggur untuk menjalani latihan perguruan seterusnya berkhidmat sebagai guru. Implikasinya kepada pelajar ialah terdapat beberapa guru DPLI ini tidak mahir dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah berikutan kecetekan tentang ilmu perguruan. Masalah ini telah terhempap kepada para pelajar di sekolah menyebabkan mereka tidak memahami apa yang dipelajari di dalam kelas dan akhirnya memperoleh keputusan yang kurang memberangsangkan. Oleh sebab itulah ini merupakan masalah dalam masyarakat yang boleh menggugat pembangunan negara serta merencatkan proses pembinaan negara Malaysia yang cemerlang.
Bentuk Modal Sosial Yang Menjadi Teras Kepada Pembinaan Negara

A) Mempunyai Pegangan Agama Yang Kukuh
Islam menganggap bahawa kehidupan di dunia ini hanya sebagai satu perjalanan atau pengembaraan dan destinasi terakhirnya adalah kehidupan yang kekal yakni akhirat dan ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau seorang yang sedang melalui satu jalan”. Maksudnya di sini ialah dalam menjamin kecemerlangan seseorang, kita hendaklah mengambil kira matlamat, destinasi, memiliki peta dan juga bekalan. Allah telah menjadikan manusia di muka bumi ini dengan suatu matlamat penting iaitu mengabdikan diri kepadanya dan pengabdian itu perlu berterusan tanpa henti sehinggalah tiba di destinasi terakhir yakni akhirat. Bagi memudahkan perjalanan menuju ke destinasi akhirat itu manusia memerlukan peta dan peta itu merupakan Al-Quran dan As-sunnah dan itulah merupakan bekalan yang diperlukan bagi menghadapi alam akhirat iaitu iman yang betul serta amal yang salih. Dalam konteks ini, kita perlu mengetahui bahawa untuk menjulang dan membangunkan negara yang maju serta hebat dari segala segi kita memerlukan individu-individu serba seimbang yang melahirkan masyarakat yang mempunyai modal sosial yang unggul. Masyarakat cemerlang merupakan pemangkin mahupun tunjang kepada asas kemajuan sesebuah negara. Seharusnya masyarakat cemerlang hendaklah mengutamakan pegangan agama yang kukuh dalam menjalani kehidupan seharian kerana dengan ini segala tindakan yang dibuat adalah berlandaskan kepada syariat agama dan hukum syarak. Perkara ini penting kerana dengan memiliki pegangan agama ataupun kerohanian yang tinggi, masyarakat tidak berbuat perkara yang sewenang-wenangnya dan setiap keputusan tidak mendatangkan kemurkaan Allah. Cuba kita bayangkan jikalau pemimpin kita melakukan atau melaksanakan dasar-dasar kerajaan tanpa merujuk kepada agama? Seratus peratus saya katakan bahawa tanpa berbuat begitu, negara yang kita banggakan ini akan menuju ke lembah kehancuran walaupun hakikatnya kita lihat merupakan kemajuan. Bayangkan jika masyarakat hari ini lebih mengutamakan prinsip bekerja 24 jam? Maka akan hilanglah keharmonian institusi kekeluargaan di mana pendidikan anak-anak akan terabai.

B) Menguasai Pelbagai Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran
Dalam konteks melahirkan masyarakat cemerlang yang mampu membangunkan negara ini, kita seharusnya menyedari bahawa masyarakat yang cemerlang perlu menguasai dan membudayakan semangat mencintai ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan yang meluas mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat akan menjadikan masyarakat menjadi teguh dan kuat laksana tembok besar China yang gah berdiri sehingga kini sejak cuba dibolosi oleh angkatan tentera Genghis Khan namun tidak berjaya disebabkan kukuhnya kekebalan tembok tersebut. Begitulah juga yang berlaku kepada masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi kerana tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan ke mana dan tidak mampu untuk menandingi arus atau ombak kemajuan yang penuh dengan pengaruh yang kurang sihat. Tanpa memiliki ilmu juga, masyarakat tersebut mudah terpedaya dan mempercayai sesuatu tanpa usul periksa atau dengan kata lain tidak dapat membezakan perkara kebaikan dan kejahatan. Dengan ilmu yang ada, setiap masyarakat akan mampu mencetuskan persaingan dan membangunkan negara ke arah mencapai kemajuan. Hal ini penting kerana menurut Khalifah Umar Al-Aziz setiap masyarakat yang melakukan sesuatu tanpa ilmu akan mendatangkan kerosakan daripada kebaikan.
Dengan fenomena manusia yang kehendaknya hanya di hujung jari, masyarakat perlu berlumba-lumba memajukan diri dengan kemahiran yang serba lengkap kerana jika tidak mereka akan ketinggalan dari sudut kemodenan dunia. Kecemerlangan pemikiran, sosial, keagamaan, kepemimpinan, dan emosi bukan bermaksud kecemerlangan akademik boleh di pandang sebelah mata. Proses pembangunan kemanusiaan yang sebenar ialah gabungan semua kaedah dan pendekatan dengan matlamat kecemerlangan yang menyeluruh. Malah, ada pendapat yang menyatakan bahawa kecemerlangan akademik adalah teras kepada kecemerlangan lain.. Namun begitu, ilmu dan kemahiran kekal sebagai aset yang memberi kuasa kepada pembangunan negara. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa "Sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam," . Jadi kita dapat simpulkan bahawa modal sosial dalam masyarakat cemerlang adalah lengkap pengetahuannya serta kemahirannya dan seharusnya kita mesti bangun dari tidur kita dan mengorak langkah ke arah perubahan minda dan cara fikir supaya segala pengetahuan dan kemahiran dapat dikuasai demi masa depan negara kita gilang-gemilang.

C) Mempunyai Sahsiah dan Akhlak Yang Terpuji
Belakangan ini, semestinya masyarakat yang berbilang kaum menghadapi masalah keruntuhan akhlak yang semakin meruncing bak kata pepatah “bagai retak menunggu belah”.Ternyata budaya Barat lebih berorientasikan hiburan yang berlebihan dan telah merosakkan kerukunan institusi masyarakat kita. Fenomena ini berlaku kerana walaupun generasi muda berpelajaran tinggi, mempunyai kerja yang baik, dan berpendapatan lumayan, tetapi mereka tidak pandai menghargai orang lain walaupun dengan ucapan terima kasih. Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa bangsa Melayu terkenal dengan budaya ketimuran tetapi sekarang bangsa Melayu kian menuju ke arah lembah kehinaan bak kata Dr. Mahathir “Melayu mudah lupa”.
Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai individu yang cemerlang untuk membina kembali akhlak mulia dan ciri-ciri ketimuran yang sudah terkenal sejak dahulu lagi. Sebagai masyarakat cemerlang sudah semestinya kita mempunyai akhlak yang terpuji kerana junjungan besar kita telah datang ke dunia ini semata-mata untuk menyempurnakan akhlak. Akhlak yang terpuji adalah hasil keimanan yang kental iaitu tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Rasulullah merupakan contoh teladan dalam pembentukan akhlak. Rasullullah bersabda ‘Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. Jelaslah dengan akhlak terpuji selain merupakan syariat agama Islam dan lebih mudahlah bagi seseorang itu untuk menyempurnakan hak orang lain tanpa menuntut haknya.
Di sini kita dapat menilai bahawa dengan mempunyai pekerti serta akhlak yang terpuji, seseorang itu boleh dianggap insan yang cemerlang kerana sejarah membuktikan apabila akhlak dan budi pekerti tertanam dalam setiap diri insan, maka masyarakat akan mengaguminya. Sejarah membuktikan bahawa disebabkan akhlak dan budi pekerti Nabi Muhammad S.A.W. terpuji, maka baginda digelar sebagai Al-Amin (benar). Setiap penduduk Makkah amat menyanjung beliau sebagai insan yang cemerlang dan mulia. Untuk melahirkan masyarakat cemerlang, kita perlu mendidik diri kita agar menonjolkan akhlak yang sempurna dan jadikanlah sejarah itu sebagai pengajaran dalam mendidik kita mendepani liku-liku kehidupan pada zaman sekarang.

D) Mempunyai Kesihatan Yang Seimbang
Kesihatan yang seimbang dari segi fizikal dan mental merupakan teras kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai modal sosial cemerlang. Masyarakat yang cemerlang adalah mereka yang sihat fizikal dan juga mentalnya. Hal ini kerana dengan adanya kesihatan yang seimbang dari aspek fizikal dan mental, maka mereka tidak akan menghadapi masalah dalam melonjakkan atau memacu potensi dalam dirinya untuk menuju ke arah kemajuan dan kemodenan. Sebagaimana Rasullullah S.A.W. yang merupakan seorang individu yang berkredibiliti tinggi dalam menguruskan pemerintahan kota Madinah Al-Munawwarah. Tanpa kesihatan yang baik, mana mungkin beliau dapat memerintah dengan adil dan saksama di samping menjalankan kegiatan perluasan kuasa melalui usaha dakwah.
Kunci baginda memperoleh kesihatan yang baik adalah dengan banyak mengamalkan solat tahajud pada satu pertiga malam. Hal ini terbukti sahih setelah sebuah pusat perubatan terkemuka di Amerika menjalankan kajian tentang kebaikan umat Islam menunaikan solat tahajud pada waktu tertentu. Setelah menjalankan kajian, mereka mendapati bahawa sekiranya seseorang itu masuk tidur pada jam 11.00 malam dan bangun sebelum waktu subuh untuk menunaikan tahajud adalah lebih sihat daripada orang yang bangun selepas waktu subuh kerana mereka dapat merangsang dan memastikan pengeluaran atau penghasilan hormon corrtisol adalah bersistematik. Jika pengeluaran hormon ini tidak mengikut jadualnya atau tidak sistematik maka ini akan menggugat kecergasan seseorang manusia. Jelaslah kepada kita bahawa dengan pelaksanaan ibadat yang dianjurkan oleh junjungan kita maka kita secara automatik akan memperoleh kecergasan minda seterusnya menjurus kepada kesihatan badan kita. Masyarakat yang cemerlang adalah golongan yang menitikberatkan aspek kesihatan dengan gaya hidup yang sihat iaitu mengelak daripada menceburi aktiviti keji seperti menghisap dadah dan menjalani kehidupan dengan ibadat yang sempurna. Dengan ini modal sosial akan lebih berkualiti dalam menjamin proses pembinaan negara berjalan lancar.


Kesimpulan
Secara tuntasnya, dalam usaha untuk membina sebuah peradaban ataupun negara Malaysia yang maju dari segenap segi, kita perlu menumpukan sepenuh perhatian dalam mengukuhkan modal sosial yang terdapat dalam masyarakat Malaysia itu sendiri. Hal ini disebabkan dengan kukuhnya institusi masyarakat yang mempunyai modal-modal sosial ataupun dengan kata lain daya upaya serta potensi-potensi yang boleh memenuhi permintaan negara akan memudahkan Malaysia membina peradabannya yang tersendiri dalam usaha menempatkan diri seangkatan dengan negara-negara maju di seantero dunia. Apa yang pasti kerjasama daripada setiap kaum amatlah dikehendaki dalam usaha mencapai visi dan matlamat Wawasan 2020 seterusnya menjamin kepada pengekalan momentum kecemerlangan Malaysia di mata dunia. Kestabilan politik, ekonomi, dan sosial setiap kaum di Malaysia haruslah diselaraskan agar setiap potensi mahupun modal yang ada dalam masyarakat majmuk Malaysia mempunyai peranan mereka yang tersendiri dan khusus seperti analogi berbunyi “yang capek menghalau ayam, yang buta meniup tepung, yang kurap menyiang buluh dan yang pekak membakar meriam”. Biarlah pada akhirnya yang tinggi menjadi bintang dan yang rendah terus menjadi intan. Tetapi kita tahu bahawa layang-layang terbang naik melawan angin. Juga, kita tidak boleh mengubah arah angin tetapi kita boleh mengubah kedudukan layar bagi memastikan perahu terus meluncur ke hadapan. Semoga Malaysia terus cemerlang meneruskan langkahnya yang hebat untuk melahirkan generasi minda kelas pertama seterusnya mampu memikul segala beban dan cabaran yang mendatang bagaikan hujan ketika perubahan angin monsun timur laut.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates