Saturday, January 16, 2010 at 8:27 AM |  

"Thaksin Dalam Kenangan"

Pendahuluan
Thailand merupakan negara yang mempunyai sejarah sistem politik yang menarik untuk dibincangkan kerana telah berlaku perubahan yang mewarnai politik Thailand. Perubahan dapat dilihat melalui Revolusi Thai 1932 yang telah menamatkan sistem monarki mutlak digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan. Namun perubahan ini tidak jelas kerana terdapat 18 rampasan kuasa yang dipelopori oleh ahli politk, ahli perniagaan dan golongan tentera. Perubahan politik di Thailand turut dipengaruhi oleh rakyat yang hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi mahkhamah dan parlimen kerana persepsi bahawa wang adalah segalanya yang mempunyai kuasa mengawal institusi undang-undang dan gagal menjamin kebebasan.
Dalam politik moden Thailand memperlihatkan peranan golongan tentera dalam menentukan perubahan politik. Keadaan ini telah menyebabkan dominasi tentera yang akhirnya menyebabkan ketidakstabilan politik akibat rampasan kuasa yang sering berlaku. Perbincangan antara golongan politik dan golongan tentera sering berlangsung untuk merangka dasar kerajaan yang sistematik tanpa gangguan. Malangnya, birokrasi yang kuat dan parti politik yang lemah telah menyebabkan dasar yang dirangka diteruskan walaupun pada hakikatnya memperlihatkan kerapuhan dalam aspek pelaksanaan. Walaupun pilihanraya sering diadakan tetapi keadaan tetap sama kerana dasar yang diluluskan adalah untuk kepentingan pihak pemerintah.
Perbincangan oleh Clark D. Neher dalam penulisannya yang bertajuk Political Succession in Thailand berkisar tentang keadaan politik yang berlaku di Thailand bermula dengan Revolusi 1932 hingga kini yang memperlihatkan pelbagai perubahan yang mewarnai politik di negara Thailand. Penulisan beliau dibahagikan mengikut era bermula dengan keadaan politik tahun 1932 hingga 1973, era demokrasi tahun 1973 hingga 1976, era selepas demokrasi tahun 1976 hingga 1988 dan politik terkini. Isu-isu yang dibincangkan merupakan signifikan kepada krisis yang berlaku pada Mei 1992.

Politik Tahun 1932-1973
Revolusi 1932 telah landasan ke arah kejatuhan sistem monarki Thailand. Keadaan ini disebabkan kebencian dan kehilangan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan. Hal ini dibuktikan dengan 19 cubaan yang dilakukan untuk menghapuskan monarki mutlak dan 13 berjaya. Justeru, berlaku perubahan dalam politik Thailand iaitu sistem pemerintahan monarki berperlembagaan menggantikan sistem raja berkuasa mutlak.
Sejak terjatuhnya sistem monarki mutlak pada tahun 1932, pemerintahan kerajaaan Thailand 80 peratus dikuasai oleh golongan tentera. Penubuhan parti politik yang memberi ancaman kepada golongan tentera mendapat kekangan. Selepas tahun 1932 telah menyaksikan pelawaan kepada pemerintahan rakyat dan membuat pelbagai perubahan dalam sistem politik. Bermula dengan pemerintahan Pribun pada tahun 1932 telah memberi kelebihan kepada imej tentera sebagai institusi demokratik kerana ugutan rampasan kuasa oleh golongan tentera jika suara mereka tidak diendahkan. Pada tahun 1957 Sarit Thanarat telah melakukan rampasan kuasa dan memerintah dari tahun 1958 hingga 1963. Namun pemerintahan Sarit tidak terdapat perubahan bersabit dengan isu rasuah dan bantuan dari Amerika Syarikat telah digunakan untuk kepentingan diri sendiri.
Pada tahun Disember 1963, Sarit telah meninggal dunia dan digantikan dengan Thanom Kittikachorn. Pemerintahan Thanom telah menubuhkan satu parti politik dalam kerajaan Thailand iaitu United Thai People’s Party (UTPP). UTPP telah bertanding dalam pilihanraya 1969 yang menyaksikan kemenangan UTPP yang meraih 35 peratus kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini telah mengangkat Thanom sebagai Perdana Menteri tetapi telah berlaku kucar kacir dalam Perhimpunan Nasional. Keadaan ini disebabkan oleh pertelingkahan antara kumpulan tertentu yang ingin merebut jawatan dan wang. Thanom dan Jeneral Prapat telah menubuhkan satu kerajaan bagi mengelakkan rampasan kuasa oleh pihak yang tertentu.
Pemerintahan Sarit dan Thanom telah membawa kepada hubungan rapat antara Thailand dan Amerika Syarikat. Thailand telah menerima lebih daripada 1 bilion USD dalam bantuan tentera dan ekonomi. Hubungan rapat ini dapat dibuktikan melalui kesediaan Thailand membenarkan Amerika Syarikat membina pangkalan tentera untuk tujuan melancarkan serangan bom ke atas Vietnam. Kesan akibat penglibatan Thailand membantu Amerika Syarikat telah menimbulkan kebencian oleh negara China dan Vietnam Utara dan beberapa negara Dunia Ketiga yang membantah Perang Vietnam- Amerika Syarikat. Keadaan semakin parah apabila Thailand terpaksa berhadapan dengan masalah domestik yang amat merugikan iaitu pemberontakan yang dicetuskan oleh China dan Vietnam Utara telah membangkitkan nasionalisme yang menentang kehadiran tentera asing di bumi Thailand. Kebangkitan nasionalisme merupakan titik tolak kejatuhan Thanom disebabkan pembangunan ekonomi, pendidikan yang lebih luas dan sistem komunikasi yang baik telah meningkatkan bilangan mereka yang was-was dengan permainan politik Thailand. Usaha Thanom mengistiharkan perlembagaan baru dan satu pilihanraya diadakan bagi mewujudkan satu parlimen baru dianggap sia-sia kerana menimbulkan ketidakpuasan hati orang awam. Hal ini disebabkan pengimplementasian dasar yang bertentangan pada tahun 1971 iaitu pembubaran parlimen dan halangan kepada parti-parti politik. Permasalahan ini telah menyebabkan kejatuhan regim Thanom- Praphas.

Era Demokrasi Tahun 1973 Hingga 1976
Era 1973 hingga 1976 telah menayangkan orang dan politik baru dalam kerajaan Thailand. Buat pertama kalinya para pemimpin tentera yang mepunyai kaitan dengan institusi ketenteraan Thailand telah membuat satu langkah yang agak drastik dengan menggugurkan jawatan mereka sebagai pegawai tertinggi tentera. Perkara ini berlaku bertujuan untuk mengaburi kaca mata masyarakat yang melihat institusi kerajaan bebas daripada belenggu tentera.
Pada 14 Oktober 1973 telah menyaksikan kejatuhan pemerintahan tentera Thanom kerana demokrasi yang membantah tindakan kerajaan menyekat suara pelajar dan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan serta keinginan rakyat yang mahukan perlembagaan yang lebih demokratik dan pilihanraya yang lebih telus. Justeru, keadaan yang kelam kabut telah memaksa raja untuk campur tangan dengan mengusir Thanom dan Praphas. Kemudiannya, Sanya Thammasak telah dilantik menjadi perdana menteri yang merupakan penyandang rektor Universiti Thammasat yang mendapat kepercayaan pelajar. Namun keadaan ini tidak bertahan lama kerana berlaku kekacauan dan perpecahan berlaku ke atas kumpulan pelajar dan kumpulan politik bukan tradisional.
Lantaran itu, pilihanraya telah diadakan pada Januari 1975. Sebanyak lebih daripada 41 parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini. Keputusan pilihanraya tersebut memperlihatkan Parti Demokrat telah memenangi 72 kerusi daripada 269 kerusi dipertandingkan. Namun, tidak terdapat sebarang parti politik yang mendapat kemenangan majoriti. Selepas pilihanraya, Seni Pramoj telah terpilih menjadi Perdana Menteri tetapi kerajaan hanya bertahan 8 hari. Seni telah digantikan oleh Kukrit Pramoj yang telah membentuk Parti Tindakan Sosial. Pelbagai perubahan telah dilakukan oleh Kukrit antaranya ialah menubuhkan Nawapon dan Red Gaur yang bermatlamatkan untuk mewujudkan satu suasana ketakutan. Akibat daripada kekacauan dalam negara sebuah pilihanraya telah diadakan pada 4 April 1976. Namun,mendukacitakan apabila pilihanraya ini dianggap sebagai pilihanraya paling tragis dalam sejarah Thailand. Hal ini berikutan kekalahan pihak yang berhaluan kiri dibawah pimpinan Kukrit Pramoj. Kekalahan ini menjadikan kekuasaan kembali kepada golongan tradisonal konservatif. Golongan ini menggunakan segala bantuan kewangan dan elemen polis, pentadbiran awam dan tentera untuk terus berkuasa.
Era ini memperlihatkan kebangkitan golongan terpelajar dan intelektual serta perpecahan dalam sistem politik Thailand. Kacau bilau politik akibat dasar kerajaan yang menyekat golongan pelajar. Umum mengetahui golongan pelajar merupakan agen perubahan dalam memperjuangkan masyarakat setempat. Adalah sesuatu yang tidak mustahil pelajar akan memberontak menentang kerajaan jika hak mereka diketepikan. Keadaan ini dapat kita lihat apabila kejatuhan kerajaan tentera Thanom yang menyekat kebebasan mahasiswa. Selain itu, permasalahan politik Thailand timbul apabila berlaku perpecahan antara kumpulan pelajar dan pemimpin politik. Suasana tegang ini terus mendorong ke arah cacamarba politik Thailand. Di samping itu, permasalahan akan timbul apabila terlalu banyak parti politik yang bertanding mengakibatkan berlaku pecahan undi oleh rakyat Thailand terhadap parti yang dipilih. Hal ini berbeza dengan Malaysia tidak timbul masalah pecahan undi lantaran setiap kerusi yang dipertandingkan jelas kelihatan hanya perlawanan antara kerajaan dan pembangkang.

Selepas Era Demokrasi, 1976-1988
Pada era ini telah menyaksikan penguasaan kembali kerajaan tentera di Thailand. Thanin Kraichien telah dipilih menjadi Perdana Menteri kerana sikap beliau yang tidak pilih kasih dan anti komunis. Selain itu Thanin juga mempunyai hubungan yang baik dengan tentera. Namun pemerintahan Thanin telah menggubal dasar kerajaan yang tidak disenangi oleh tentera. Polisi yang ketat terhadap tentera dalam pemerintahan Thanin telah membawa kepada rampasan kuasa pada Oktober 1977. Hasil daripada rampasan kuasa ini telah berjaya menjatuhkan Thanin sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Jeneral Kriangsak Chamanon.
Pemerintahan Kriangsak didominasi oleh pegawai-pegawai tentera yang merupakan ahli kabinet. Pemerintahan Kriangsak dengan sokongan senat telah melancarkan tindakan yang lebih sederhana untuk menyelesaikan masalah yangwujud dalam pemerintahan Thanin. Selain itu, beliau juga menawarkan pengampunan dan perlindungan kepada pemberontak. Usaha ini dilihat sebagai satu jalan untuk menjamin pemerintahan kerana perkara ini akan menyebabkan kejatuhan dan keruntuhan gerakan pemberontak. Pada tahun 1979 telah berlangsung pilihanraya, namun keputusan pilihanraya sekali lagi memperlihatkan tidak terdapat satu parti politik yang memenangi majoriti. Hasilnya kerajaan perikatan antara parti-parti utama telah dibentuk tetapi Perdana Menterinya dikuasai oleh golongan tentera.
Pada akhir 1979, pemerintahan Kriangsak mula merosot disebabkan oleh kemerosotan ekonomi dan beliau telah digantikan dengan Prem Tinsulanond. Pemilihan Prem adalah berdasarkan reputasinya yang tidak rasuah dan menentang kegiatan rasuah. Selain itu, beliau juga telah berjaya membanteras gerakan gerila komunis pada era 1974-1977 di bahagian timur laut Thailand. Sepanjang pemerintahan, Prem berjaya mendapat keyakinan dari kebanyakan parti kerana berjaya mengekang dua cubaan rampasa kuasa. Antaranya ialah kejayanannya ialah mematikan rampasan kuasa yang diketuai oleh Young Turks pada April 1981 dengan bantuan raja. Prem telah bersara dan digantikan oleh Jeneral Arthit Kamlang-ek.
Jeneral Arthit merupakan penyokong utama Prem. Beliau merupakan orang yang penting dalam menyelamatkan Prem dalam rampasan kuasa pada tahun 1981. Jeneral Arthit telah memperkenalkan prinsip kerajaan untuk rakyat bertujuan menguatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya. Namun, prinsip ini hanya bertahan sementara kerana tanggapan tentera bahawa fungsi utama mereka adalah untuk mempertahankan negara, raja dan agama.
Era ini telah menyaksikan pelbagai perubahan demokratik ke arah penambahbaikkan dan memberi kesan kepada pentadbiran tentera. Pentadbiran dilihat lebih kepada memenuhi keperluan rakyat. Selepas Thanin memerintah, kebanyakan Perdana Menteri telah merancang pelbagai dasar yang bertujuan mengembalikan kepercayaaan rakyat. Keadaan ini rentetan daripada pilihanraya yang berlangsung tidak memberi majoriti kepada satu-satu parti yang bertanding. Antara dasar yang mampu menarik perhatian rakyat adalah semasa pemerintahan Prem yang mengamalkan polisi menentang rasuah dan berbaik-baik dengan golongan petani. Hal ini menyebabkan pemerintahan Prem dianggap berjaya kerana menggagalkan rampasan kuasa sehingga persaraan beliau.

Politik Thailand Kini
Pada era politik Thailand tidak mengalami perubahan yang ketara lantaran kekuasan politik masih dibawah penguasaan tentera. Di samping itu keadaan pilihanraya yang gagal menentukan parti politik yang memerintah membawa kepada krisis politik di Thailand. Hal ini dapat dibuktikan dengan pilihanraya Parlimen pada 24 Julai 1988 sekali lagi gagal memberikan majoriti kepada satu-satu parti. Oleh itu, pemimpin parti yang paling besar dalam Dewan Perwakilan akan diangkat menjadi Perdana Menteri. Atas sebab ini maka Chatichai Choonhavan dari Thai Nation Parti menjadi Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, berlaku rampasan kuasa pada Februari 1991 yang dilancarkan terhadap Chatichai, parlimen dan perlembagaan. Peristiwa adalah rentetan daripada tindakan Chatichai yang ingin menghilangkan kuasa dan pengaruh tentera. Di samping itu, rampasan kuasa ini berkait rapat dengan tindakan Chatichai melantik Chavalit Yongchaiyudh sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan selepas bersara sebagai komander tentera pada Mac 1990. Keadaan ini cukup membuktikan bahawa kerajaan tidak menunjukkan sokongan atau penghormatan yang secukupnya kepada pemimpin dan kepentingan tentera. Walaupun Chatichai seorang yang baik dalam pemerintahannya tetapi tindakan tentera memburuk-burukkan beliau melalui media massa menyebabkan rakyat percaya bahawa Chatichai merupakan seorang perasuah.
Individu yang bertanggungjawab dalam rampasan kuasa pada 23 Februari adalah Sundhara Kongsompong dan Suchinda Kraprayoon. Suichinda merupakan salah seorang yang membenci demokrasi. Namun, harus diingat bahawa kumpulan rampasan kuasa ini menggelarkan diri mereka sebagai National Peacekeeping Council (NPKC). Kumpulan ini bertindak meninjau elemen baru untuk menguruskan demokrasi dan menjanjikan sebuah perlembagaan, pilihanraya baru dan kerajaan awam yang lebih telus. Tindakan ini adalah disebabkan faktor domestik dan desakan serta kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai senario politik Thailand yang semakin goyah. Kebimbangan ini ditunjangi kekecewaan akibat rampasan kuasa 1991. Oleh itu, pada Mac 1992 Anand telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Perlantikan Anand berjaya menambat hati rakyat Thailand dan komuniti antarabangsa menyokong perlantikan beliau. Walau bagaimanapun, terdapat 11 parti telah memenangi kerusi dalam perhimpunan kebangsaan yang diketuai oleh Samakki Tham dan Chart Thai yang bergabung dengan 4 parti lain untuk membentuk kerajaan dan Jeneral Suchinda diangkat menjadi Perdana Menteri. Senario ini mengundang kemarahan rakyat kerana Suchinda yang diangkat menjadi Perdana Menteri tidak dipilih oleh rakyat. Rakyat telah keluar mengadakan demontrasi tetapi semua demontrasi ini digagalkan secara keras oleh tentera. Keadaan kucar-kacir ini mendorong Raja Bhumipol campur tangan walaupun sebenarnya beliau enggan terlibat dalam politik. Akhirnya raja meminta Anand untuk membentuk semula kerajaan, membuat perubahan kepada perlembagaan, terutamanya mengurangkan peranan tentera dalam politik dan menjalankan pilihanraya. Dalam politik Thailand dapat dilihat kekuasaan raja sebagai seorang yang dipuja oleh masyarakat Thailand. Segala titah perintah raja akan ditaati. Hal ini membuktikan kepentingan kuasa raja dalam mengawal krisis politik.

Ulasan Kekuatan dan Kekurangan Jurnal
Dalam membicarakan tentang analisis kekuatan dan kekurangan jurnal ini, kita akan merujuk kepada beberapa aspek iaitu pengaruh tentera, kejatuhan institusi raja dan peranan rakyat khususnya golongan terpelajar. Jika kita imbas kembali perjalanan politik Thailand selepas Revolusi 1932 menyaksikan pengaruh tentera yang cukup besar dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pengaruh tentera yang kuat merupakan landasan kepada krisis politik Thailand yang penuh onar dan duri. Jurnal ini telah berjaya mengupas siri rampasan kuasa yang didalangi oleh golongan tentera dengan alasan yang tidak munasabah. Hal ini dapat dilihat apabila penulis berjaya menerangkan rampasan kuasa terhadap Chatichai. Pihak tentera telah menggunakan media massa untuk melemparkan tuduhan yang tidak berasas terhadap Chatichai yang akhirnya rakyat menghukum bahawa Chatichai seorang perasuah. Namun, penulis gagal menerangkan kebaikan golongan tentera dalam menggulingkan kerajaan yang pemimpinnya hanya mementingkan diri dan nilai moral yang rendah. Hal ini dapat dibuktikan dengan penggulingan pemerintahan Kukrit Pramoj yang gagal dalam mengembalikan keamanan politik Thailand. Walau bagaimanapun, kita harus sedar bahawa rampasan kuasa yang berlaku tidak boleh menyalahkan golongan tentera semata-mata. Walhal, perubahan kepada kerajaan campuran daripada keputusan pilihanraya yang tidak memberi majoriti kepada satu-satu parti mudah untuk digulingkan melalui rampasan kuasa oleh tentera. Lantaran itu, rampasan kuasa oleh tentera memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara dan kuasanya diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan yang menindas rakyat serta menegakkan paksi keadilan.
Permasalahan politik Thailand adalah berkait rapat dengan kejatuhan institusi beraja. Jurnal ini berjaya menekankan bagaimana apabila permasalahan semakin memuncak dan semakin membimbangkan maka raja akan bertindak untuk mengatasi masalah tersebut. Penulis telah berjaya menunjukkan kuasa raja dalam menangani masalah pemberontakan melalui perlantikan Sanya Thammasak sebagai Perdana Menteri selepas berlaku konflik yang tidak berkesudahan antara pelajar dan kerajaan. Kupasan ini cukup untuk menerangkan bahawa kuasa raja yang dianggap sebagai separuh kedewaan berjaya menjernihkan keadaan yang telah keruh. Jika ditelurusi dan dilihat secara menyeluruh keadaan politik Thailand mengalami pergolakan akibat daripada keruntuhan institusi beraja. Sejarah telah membuktikan kemajuan dan pembangunan Thailand dalam pelbagai aspek dibawah pemerintahan sistem monarki khususnya semasa pemerintahan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn. Namun, selepas Revolusi 1932 keadaan politik mula goyah dan bagaikan telur dihujung tanduk. Hal ini dibuktikan apabila hubungan yang semakin tegang antara raja dan kepimpinan kerajaan baru semakin digoncangkan dengan konflik yang berlaku. Keadaan ini sudah pastinya mengundang kacau-bilau kerana perpecahan rakyat iaitu yang menyokong raja dan penyokong kerajaan.
Pergolakan juga berlaku lantaran daripada sikap rakyat Thailand khususnya yang terpelajar. Pengamatan terhadap politik Thailand ialah pengaruh golongan terpelajar yang mampu mengubah pemerintahan sesebuah negara. Penulis berjaya menonjolkan pengaruh golongan terpelajar dengan menerangkan tentang permasalahan yang berlaku pada Oktober 1973 yang melibatkan pelajar-pelajar universiti keluar berdemontrasi untuk memperjuangkan hak dan menjadi suara masyarakat setempat bagi menentang segala tindakan kerajaan yang membebankan rakyat keseluruhannya. Walaubagiamanapun harus diakui bahawa krisis politik ini berlaku disebabkan oleh mentaliti masyarakat Thailand itu sendiri yang beranggapan bahawa rampasan kuasa merupakan salah satu kaedah bagi mengembalikan keadilan di dalam pentadbiran. Jika diteliti maksud demokrasi itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang membawa makna pemerintahan rakyat. Justeru, sesuatu yang tidak boleh disangkal dalam sistem demokrasi suara rakyat merupakan suara keramat dan merupakan agen perubahan.

Kesimpulan
Jika kita berfikir sejenak ada sesuatu yang pelik berlaku dalam sejarah politik negara Thailand. Negara yang tidak pernah dijajah telah mempertontonkan pada dunia warna-warni menghiasi pentas politik yang penuh episod-episod suka dan duka. Revolusi 1932 telah menjadi titik hitam yang telah mengubah corak pentadbiran negara Thai. Kesedaran golongan tertentu telah menodai institusi beraja iaitu sistem monarki kepada rejim demokrasi. Segalanya bermula di sini yang tiada siapa pun yang tahu dimana pengakhiran sebuah krisis politik yang tidak berkesudahan.
Secara keseluruhannya, walaupun berlaku perubahan dalam politik dari aspek sistem pemerintahan iaitu monarki mutlak tetapi tidak dinafikan keadaan politik Thailand teru goyah. Perubahan ini telah menyaksikan berlakunya perebutan dan ramapasa kuasa, demontrasi jalanan serta krisis yang tidak berkesudahan. Jika ditelusuri kronologi perjalanan politik negara Thailand, pasti kita akan melihat sebuah cerita yang menarik untuk dikongsikan. Bermula dengan Revolusi 1932 membawa kepada rampasan kuasa yang tidak berkesudahan seterusnya kepada krisis Mei 1992 sehingga hari ini demontrasi oleh penyokong Thaksin Shinawatra, krisis politik 2008, insiden Tak Bai, keganasan Khao Yam dan pelbagai pemasalah yang tiada habisnya. Permasalahan ini merupakan tunjang kepada keadaan yang tidak stabil dan terancam. Keadaan bertambah parah akibat tradisi rampasan kuasa tentera Thailand yang telah berlangsung hingga kini. Tradisi ini dianggap sebagai pendukung keamanan dan penyelesaian kepada masalah pentadbiran kepada masalah pentadbiran yang penuh korupsi.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates