Alhamdulillah..pada hari ahad yang lepas bersamaan dengan 15 Februari 2009 program khidmat siswa anjuran Exco Perpaduan dan Integrasi telah mengadakan lawatan sekaligus menjadi sukarelawaan. sepanjang perjalanan program memang cukup menggamit memori dan mengagungkan keunikan ciptaan Allah. Benarlah sesungguhnya mahsiswa harus perlengkapkan diri bukan hanya sekadar belajar dan menjadi ulat buku tapi harus terjun ke luar untuk memahami kehidupan masyarakat untuk melahirkan insan yang cemerlang.Benarlah apa yang dikatakan oleh Mantan Presiden Indonesia iaitu Bapak Sukarno dalam pidatonya menegaskan bahawa “Kepimpinan tidak bisa lahir dari mahasiswanya yang hanya terperap dalam dewan kuliah dan menjadi ulat buku semata-mata, tetapi kepimpinan lahir dari mahasiswanya yang turut terjun ke dalam kancah masyarakat”. Oleh itu, universiti merupakan satu medan atau pusat untuk melatih kepimpinan mahasiswa.

Mahasiswa harus faham bahawa kehidupan mempunyai matlamat dan perjalanan mempunyai hala tuju, Salah satunya ialah menjadi agen pengislah masyarakat.Pada era globalisasi kini, mahasiswa seharusnya mengorak langkah menjana perubahan untuk memperkasakan kembali kekuatan mahasiswa dalam seluruh aspek yang menyentuh tentang persoalan spiritualisme, idealisme, intelektualisme, dan aktivisme. Mahasiswa harus keluar dari kepompong lama yang menyaksikan mahasiswa tidak lagi menjadi alat perubahan yang penting dalam masyarakat. Mereka dangkal dengan persoalan dan isu-isu nasional dan antarabangsa, kekok untuk berbicara dalam menyatakan pendirian mereka berkenaan sesuatu isu, dan cetek dalam persoalan disiplin ilmu. Sedangkan jika kita menyusur kembali sejarah mahasiswa, mereka merupakan golongan yang sebenarnya menjuarai isu-isu besar dalam negara. Mereka dianggap sebagai suara hati rakyat dalam membela nasib dan merungkaikan keperitan hidup golongan marhein. Lantas, mereka telah digelar sebagai juru bicara masyarakat. Setiap denyut nadi masyarakat difahami oleh mereka. Oleh itu, mahasiswa harus tersentak dari lamunan dalam usaha memperjuangkan agenda untuk membentuk masyaraka madani.

Berdasarkan tanggungjawab terhadap masyarakat, sewajarnya mahasiswa pada hari ini harus mengambil peluang kebebasan bersuara dengan syarat segala pendapat dan luahan harus berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam serta tidak melampaui batas dan bukan tuduhan melulu dan dalam ruang lingkup tertentu. Justeru, mahasiswa harus mampu menjadi pemberi ilham, pencetus penafsiran dan memperjuangkan hak masyarakat seluruhnya. Pendek kata mereka harus bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Hal ini bagi memastikan segala kualiti diperolehi yang boleh menyumbang kepada pembangunan insan dan tidak hanya ternoktah di titik sifar. Segala pengalaman berharga, teori dan aktiviti membina yang telah dilalui wajar untuk dikongsi dengan masyarakat khususnya muda-mudi dan remaja sebagai pemangkin ke arah penambahbaikan jatidiri serta penyuluh lorong kehidupan mendatang.

Selain itu, mahasiswa juga harus bersifat terbuka yang boleh menganjakkan paradigma berfikir, meninggikan kualiti ilmu serta memurnikan institusi pendidikan. Pelbagai usaha yang bersifat realistik, progresif dan dinamik akan menjadi pemangkin ke arah pengharmonian dan mecambahkan kembali nilai-nilai murni yang kian sirna dalam masyarakat di seantero pelusuk hari ini. Mahasiswa harus menyediakan diri dengan kapasiti yang maksimum untuk membentuk keperibadian dan tingkah laku yang berwawasan untuk merancang segenap aktiviti untuk merealisasikan visi dan misi yang telah dicanangkan. Hal ini bertujuan agar mahasiswa yang lahir akan menjadi cermin kearah masyarakat yang terbilang. Selain itu, pelbagai program sama ada bersifat kepimpinan, keusahawanan, kaunseling, khidmat masyarakat, kebudayaan, ceramah keagamaan, hubungan luar harus dijalankan ke arah melahirkan mahasiswa yang boleh berperanan sebagai pengasuh, petunjuk, pembimbing, pemandu dan penasihat kepada masyarakat dan pemimpin selepas tamat pengajian.

Oleh yang demikian, mahasiswa harus sentiasa besedia untuk menghadapi cabaran untuk menjadi wakil kepada suara masyarakat. Hal ini kerana suatu hal yang kita harapkan dari para pemikir, ilmuan dan mahasiswa adalah agar mereka menunjukkan langkah-langkah strategik untuk kebangkitan negara dan kegemilangan masyarakat. Lantaran itu, perlu diketahui bahawa titik-tolak kebangkitan ini adalah kebangkitan para mahasiswa. Hal ini disebabkan mahasiswa yang terdidik merupakan saham-saham yang sangat bernilai. Perlu segera disedari, bahawa mahasiswa unggul adalah generasi termahal dan paling berharga yang terdapat di setiap negara di dunia ini.

Maka secara tuntasnya, mahasiswa memainkan peranan penting dalam masyarakat. Oleh itu, mahasiswa harus membumikan visi kecemerlangan bersepadu dan mempasakkan misi kesarjanaan fikiran yang merupakan formula ampuh yang akan melonjakkan usaha untuk mencipta kejayaan demi kejayaan yang bermakna. Justeru, gedung ilmu tidak patut sunyi dari perdebatan mencari kebenaran dan meninggikan lagi martabat ilmu demi kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, segala permasalahan harus diselesaikan secara profesional tanpa bertindak secara membuta tuli. Hal ini selaras dengan pandangan seorang ahli falsafah Yunani yang pernah mengungkapkan bahawa adalah mudah bagi setiap manusia untuk meluahkan kemarahan dan mampu bertindak mengikut kemahuan kemarahannya itu, tetapi untuk meletakkan kemarahannya itu pada orang yang betul, waktu yang tepat, tujuan yang baik, jalan yang hikmah dan tahap yang sepatutnya mereka menjadi marah itu tidak mudah dan payah untuk dilakukan. (Aristotle, 1964). Lantaran itu, mahasiswa perlu faham, suara hati nurani murni generasi muda selaku generasi pelapis dan pewaris sebenarnya merupakan azimat keramat dalam menentukan kehidupan generasi mendatang.

singa Pictures, Images and Photos
"jadilah singa yang mampu menjadi raja di belantara"

Kisah Seekor Anak Singa**
Petikan Majalah Bara’imul Iman

Alkisah, di sebuah hutan belantara ada seekor ibu singa yang mati setelah melahirkan anaknya. Bayi singa yang lemah itu hidup tanpa perlindungan ibunya. Beberapa waktu kemudian, satu rombongan kambing datang melintasi tempat tersebut. Bayi singa itu menggerak-gerakkan tubuhnya yang lemah. Seekor ibu kambing tergerak hatinya. Ia merasa hiba melihat anak singa yang lemah dan hidup sebatang kara. Dan terbitlah nalurinya untuk merawat dan melindungi bayi singa itu.

Sang ibu kambing lalu menghampiri bayi singa itu dan membelai dengan penuh kehangatan dan kasih sayang. Merasakan hangatnya kasih sayang seperti itu, si bayi singa tidak mahu berpisah dengan sang ibu kambing. Ia terus mengikuti ke mana sahaja ibu kambing pergi. Jadilah ia sebahagian dari keluarga rombongan kambing itu.

Hari berganti hari, dan anak singa tumbuh dan besar dalam asuhan ibu kambing dan hidup dalam komuniti kambing. Ia menyusu, makan, minum, bermain bersama anak-anak kambing lainnya. Tingkah lakunya juga persis layaknya kambing. Bahkan anak singa yang mulai beranjak besar itu pun mengeluarkan suara seperti kambing, ia mengembek bukan mengaum!

Ia merasa dirinya adalah seekor kambing, tiada beza dengan kambing-kambing lainnya. Ia sama sekali tidak pernah sekalipun merasa bahawa dirinya adalah seekor singa.

Suatu hari, terjadi pergaduhan luar biasa. Seekor serigala buas masuk memburu kambing untuk dimangsa. Kambing-kambing bertempiaran lari kerana panik. Semua ketakutan. Ibu kambing yang juga ketakutan meminta anak singa itu untuk menghadapi serigala.

“Kamu singa, cepat hadapi serigala itu! Cukup keluarkan aumanmu yang keras dan serigala itu pasti lari ketakutan!” Kata ibu kambing pada anak singa yang sudah tampak besar dan kekar.

Akan tetapi anak singa yang sejak kecil hidup di tengah-tengah komuniti kambing itu justeru ikut ketakutan dan malah berlindung di sebalik tubuh ibu kambing. Ia berteriak sekeras-kerasnya dan yang keluar dari mulutnya adalah suara embikan. Sama seperti kambing yang lain dan bukannya auman. Anak singa itu tidak mampu berbuat apa-apa ketika salah satu anak kambing yang tak lain adalah saudara sesusuannya diterkam dan dibawa lari serigala.

Ibu kambing sedih kerana salah satu anaknya mati dimakan serigala. Ia menatap anak singa dengan perasaan kecewa dan marah,

“Seharusnya kamu mampu membela kami! Seharusnya kamu mampu menyelamatkan saudaramu! Seharusnya kamu mampu mengusir serigala yang jahat itu!”

Anak singa itu hanya mampu menunduk. Ia tidak faham dengan maksud perkataan ibu kambing. Ia sendiri merasa takut pada serigala sebagaimana kambing-kambing yang lain. Anak singa itu merasa sangat sedih kerana ia tidak mampu berbuat apa-apa.

Hari berikutnya serigala ganas itu datang lagi. Kembali memburu kambing-kambing untuk dijadikan santapan. Kali ini ibu kambing tertangkap dan telah dicengkam oleh serigala. Semua kambing tidak ada yang berani menolong. Anak singa itu tidak kuasa melihat ibu kambing yang telah ia anggap sebagai ibunya dicengkam serigala. Dengan nekad ia lari dan menyeruduk serigala itu. Serigala terkejut bukan kepalang melihat ada seekor singa di hadapannya. Ia melepaskan cengkamannya.

Serigala itu gementar ketakutan! Nyalinya habis! Ia pasrah, ia merasa hari itu adalah akhir hidupnya!

Dengan kemarahan yang luar biasa anak singa itu berteriak keras,

“Emmbiiik!”

Lalu ia mundur ke belakang. Membuat kuda-kuda untuk menyeruduk lagi.

Melihat tingkah anak singa itu, serigala yang ganas dan licik itu langsung tahu bahawa yang ada di hadapannya adalah singa yang bermental kambing, tiada bezanya dengan kambing.

Seketika itu juga ketakutannya hilang. Ia menggeram marah dan siap memangsa kambing bertubuh singa itu! Atau singa bermental kambing itu!

Ketika anak singa itu menerjang dengan menyeruduk kepala layaknya seperti kambing, sang serigala telah siap sedia dengan kuda-kudanya yang kuat. Dengan sedikit berkelit, serigala itu merobek wajah anak singa itu dengan cakarnya.

Anak singa itu terjatuh dan mengaduh, seperti kambing mengaduh. Sementara ibu kambing menyaksikan peristiwa itu dengan rasa cemas yang luar biasa. Ibu kambing itu hairan, mengapa singa yang kekar itu kalah kepada serigala. Bukankah singa adalah raja hutan?

Tanpa memberi ampun sedikitpun, serigala itu menyerang anak singa yang masih mengaduh itu. Serigala itu siap untuk menghabisi nyawa anak singa itu. Di saat yang genting itu, ibu kambing yang tidak tega, dengan sekuat tenaga menerjang sang serigala. Sang serigala terpelanting. Anak singa bangun.

Dan pada saat itu, seekor singa dewasa muncul dengan auman yang dahsyat!

Semua kambing ketakutan dan merapat! Anak singa itu juga ikut takut dan ikut merapat. Sementara sang serigala langsung lari tanpa berlengah lagi. Saat singa dewasa hendak menerkam kawanan kambing itu, ia terkejut apabila mendapati di tengah-tengah kawanan kambing itu ada seekor anak singa.

Beberapa ekor kambing lari, yang lain langsung lari. Anak singa itu langsung ikut lari. Singa dewasa itu masih terpegun. Ia hairan mengapa anak singa itu ikut lari mengikuti kambing? Ia mengejar anak singa itu dan berkata,

“Hai kamu jangan lari! Kamu anak singa, bukan kambing! Aku tak akan memangsa anak singa!”

Namun anak singa itu terus lari dan lari. Singa dewasa itu terus mengejar. Ia tidak jadi mengejar kawanan kambing, tapi malah mengejar anak singa. Akhirnya anak singa itu tertangkap. Anak singa itu ketakutan,

“Jangan bunuh aku, ammpuun!”

“Kau anak singa, bukan anak kambing. Aku tidak membunuh anak singa!”

Dengan meronta-ronta anak singa itu berkata, “Tidak aku anak kambing! Tolong lepaskan aku!”

Anak singa itu meronta dan berteriak keras. Suaranya bukan auman tapi suara embikan, persis seperti suara kambing.

Sang singa dewasa hairan bukan main. Bagaimana mungkin ada anak singa bersuara kambing dan bermental kambing. Dengan geram ia menyeret anak singa itu ke sebuah tasik. Ia harus menunjukkan siapa sebenarnya anak singa itu. Begitu sampai di tasik yang jernih airnya, ia meminta anak singa itu melihat bayangan dirinya sendiri. Lalu membandingkan dengan singa dewasa.

Begitu melihat bayangan dirinya, anak singa itu terkejut, “Oh, rupa dan bentukku sama dengan kamu. Sama dengan singa, si raja hutan!”

“Ya, kerana kamu sebenarnya anak singa. Bukan anak kambing!” Tegas singa dewasa.

“Jadi aku bukan kambing? Aku adalah seekor singa!”

“Ya kamu adalah seekor singa, raja hutan yang berwibawa dan ditakuti oleh seluruh isi hutan! Mari aku ajarkan kamu bagaimana menjadi seekor raja hutan!” Kata sang singa dewasa.

Singa dewasa lalu mengangkat kepalanya dengan penuh wibawa dan mengaum dengan keras. Anak singa itu lalu menirunya dan mengaum dengan suara yang nyaring. Ya mengaum, menggetarkan seantero hutan. Tak jauh dari situ serigala ganas itu lari dengan kencang, ia ketakutan mendengar auman anak singa itu.

Anak singa itu kembali berteriak penuh kemenangan, “Aku adalah seekor singa! Raja hutan yang gagah perkasa!”

Singa dewasa tersenyum bahagia mendengarnya!

“…Dan Gembirakanlah Orang-orang Yang Beriman!”


Motivasi Unggul Dari Kisah Anak Singa

Saya tersentak oleh kisah anak singa di atas! Jangan-jangan suasana, kondisi dan senario kehidupan kita, dan sebahagian besar daripada orang-orang di sekeliling kita mirip dengan anak singa di atas. Sekian lama hidup tanpa mengetahui jati diri dan potensi terbaik yang dimilikinya.

Betapa ramai manusia yang menjalani hidup apa adanya, biasa-biasa saja, ala kadarnya. Hidup dalam keadaan terbelenggu oleh siapa dirinya sebenar. Hidup dalam tawanan rasa malas, langkah yang penuh keraguan dan kecelaruan. Hidup tanpa semangat hidup yang seharusnya. Hidup tanpa kekuatan jiwa terbaik yang dimilikinya.

Saya amati orang-orang di sekitar saya. Di antara mereka ada yang telah menemukan jati dirinya. Hidup dinamik dan berprestasi. Sangat faham untuk apa dia hidup dan bagaimana dia harus hidup. Hari demi hari dia lalui dengan penuh semangat dan optimis. Detik demi detik yang dilaluinya adalah penuh dengan prestasi dan rasa bahagia. Semakin besar rintangan mendatang semakin hebat pula semangatnya untuk menakhluknya.

Namun tidak sedikit yang hidup apa adanya. Mereka hidup apa adanya kerana tidak memiliki arah yang jelas. Tidak faham untuk apa dia hidup, dan bagaimana dia harus hidup. Saya sering mendengar orang-orang yang ketika ditanya, “Bagaimana anda menjalani hidup anda?” atau “Apa prinsip hidup anda?”, mereka menjawab denga jawapan yang berfalsafah, “Saya menjalani hidup ini mengalir bagaikan air. Santai sahaja.”

Tapi sayangnya mereka tidak benar-benar tahu falsafah ‘mengalir bagaikan air’. Mereka memahami hidup mengalir bagaikan air itu yang hidup santai - enjoy!. Sebenarnya jawapan itu mencerminkan bahawa mereka tidak tahu bagaimana mengisi hidup ini. Bagaimana cara hidup yang berkualiti. Sebab mereka tidak tahu siapa sebenarnya diri mereka? Potensi baik apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Boleh jadi mereka sebenarnya adalah ‘seekor singa’ tapi tidak pernah tahu bahawa dirinya ‘seekor singa’. Mereka menganggap dirinya adalah ‘seekor kambing’ kerana selama ini dia hidup dalam ‘kawanan kambing’.

Falsafah menjalani hidup mengalir bagaikan air yang dimaknai dengan hidup santai sahaja, atau hidup apa adanya boleh dikatakan seolah-olah sudah menjadi satu ‘prototaip’ dan trend yakni gaya hidup ini sudah semakin sebati dengan sebahagian besar anggota masyarakat negara ini. Bahkan boleh jadi itu adalah gaya hidup sebahagian besar masyarakat dunia Islam saat ini.

Di mana-mana, kita lebih banyak menemukan orang- orang bermental lemah, berjiwa kecil, hidup apa adanya dan tidak terarah. Orang-orang yang tidak tahu potensi terbaik yang diberikan oleh Allah kepadanya. Orang-orang yang rela ditindas dan dijajah oleh kebebalan, kesengsaraan dan kehinaan. Padahal sebenarnya jika mereka mahu, pasti mereka mampu hidup merdeka, berjaya, berwibawa dan sejahtera.

Tidak terkira berapa jumlah masyarakat negara ini yang bermental ‘kambing’. Meskipun sebenarnya mereka adalah ’singa’!.

Ramai yang merasa minder (inferiority complex) dengan bangsa lain. Seperti mindernya anak singa bermental kambing pada serigala dalam kisah di atas. Padahal sebenarnya… Bangsa ini adalah bangsa besar! Ummah ini adalah Ummah yang besar!

Bangsa ini adalah sebenarnya ’singa dewasa’ yang sesungguhnya memiliki kekuatan dahsyat. Bukan bangsa ’sekawanan kambing’. Sekali rasa berdaya hebat itu muncul dalam jiwa anak bangsa ini, maka mereka akan menunjukkan pada dunia bahawa mereka adalah ’singa-singa’ yang tidak boleh diremehkan sedikitpun.

Sayangnya, bangsa dan Ummah ini yang sebenarnya adalah ’seekor singa’ tetapi ramai dalam kalangannya yang bermental ‘kambing’ dan perilakunya tidak ubah seperti ‘kambing’. Bukan layaknya ’seekor singa’! Lebih memprihatinkan lagi, ada yang sudah menyedari dirinya sesungguhnya ’singa’ tetapi memilih untuk tetap menjadi ‘kambing’. Ini kerana dia telah terbiasa menjadi ‘kambing’ maka ia malu menjadi ’singa’! Malu untuk maju dan segan untuk berprestasi!.

Apa yang lebih malang lagi, mereka yang memilih tetap menjadi ‘kambing’ ini menginginkan pula yang yang lain tetap menjadi ‘kambing’. Mereka ingin tetap jadi ‘kambing’ sebab merasa tidak mampu jadi ’singa’ dan merasa nyaman lagi selesa menjadi ‘kambing’. Yang menyedihkan, mereka tidak ingin orang lain jadi ’singa’. Bahkan mereka ingin orang lain jadi ‘kambing’ yang lebih bodoh!

Maka, marilah kita hayati diri kita sebagai ’seekor singa’. Marilah berubah, berpindah minda dan berhijrah ke arah khair! Jadilah seorang yang berminda ’singa’ sebenar.. Kita sesungguhnya adalah ’singa’ yang terhebat!
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Thursday, February 5, 2009 at 5:44 AM | 0 comments  
Alhamdulillah..pada hari ini hampir seluruh media massa memaparkan tentang kecelaruan politik yang melanda perak. Hal ini berikutan fenomena lompat parti yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini. Kemungkinan besar akan berlaku perubahan menteri besar di perak.

Berikut adalah keratan akhbar yang menjadi pilihan untuk dikongsikan bersama tetamu ziarah sekalian.

BARISAN NASIONAL (BN) Pictures, Images and Photos

Kerajaan Pakatan Rakyat Pictures, Images and Photos

Pakatan tumbang
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Jamaluddin (kanan), Mohd Osman (dua dari kanan) dan Yit Fong menyokong BN manakala Nasarudin kembali sertai Umno.

# Tiga Adun Bebas sokong Barisan
# BN sedia tubuh kerajaan di Perak
# Nizar bubar DUN tanpa perkenan Sultan

PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah.

Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.

Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.

Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.

BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing.

"Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.

"Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir.

Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN.

"Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

"Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya.

Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".

Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN.

Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan.

Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan.

Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza.

Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.


Apa yang perlu kita fikir dan renungkan adalah dilemma raja dan demokrasi yang semakin tidak seimbang. Hal ini merujuk kepada petikan daripada akhbar harakah. Saya sengaja membawakan dua akhbar yang berlainan fahaman politik agar pernilaian yang bersifat adil diberikan tanpa ada bias.

tokoh-tokoh Pictures, Images and Photos

Raja dan demokrasi
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Feb 05, 09 | 6:21:48 pm MYT

1.Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.
Iklan

2.Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain.Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: "Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri."

3.Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4.Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5.Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6.Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak.Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.

Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

"Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam." (Surah Al An�aam: Ayat 45)..

Kesimpulannya, saya amat bersetuju bahawa hak rakyat perak yang majoriti 54% menyokong Pakatan Rakyat telah diketepikan dalam menentukan pemerintah yang dikehendaki.

Berkenaan dengan tindakan Jamaluddin, Mohd Osman dan Yat Fong yang keluar parti dan mengistiharkan mereka sebagai wakil rakyat bebas merupakan pengkhianatan kepada rakyat. Saya yakin dan percaya semasa pilihan raya yang lalu kebanyakan rakyat mengundi berdasarkan Parti bukan individu. Dan jika diadakan pilihan raya dan ketiga-tiga mereka bertanding atas tiket bebas pasti dan nyata kekalahan menanti mereka.

Mengenai politik wang atau rasuah memang tidak dinafikan memang wujud dalam kalangan politikus yang ingin menjaga kepentingan mereka. Rasuah ini yang akan menjadi barah dalam daging,gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang memusnahkan negara kita. Bak kata sarjana kegemilangan dan kecemerlangan negara di masa hadapan banyak dipengaruhi oleh tindakan generasi kepimpinan pada masa kini.

Namun, samalah kita lihat apakah perubahan yang hendak dilakukan oleh Dr. Zamri selaku menteri besar baru atau hanya sekadar kata-kata retorik semata-mata untuk memujuk hati rakyat yang hilang kepercayaan kepada BN. sama-samalah kita saksikan,

“Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Allah Maha Kuasa…

Renungkanlah........
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Wednesday, February 4, 2009 at 7:34 AM | 0 comments  
Alhamdulillah. setiap kejayaan itu ada hikmahnya.Pada entri kali ini say suka membawakan kisah usahawan yang berjaya sebagai iktibar dan motivasi untuk lebih berjaya.

boon siew Pictures, Images and Photos

Datuk Low Boon Siew

Datuk Low Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu, kehidupan keluarga Datuk Low sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah. Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya. Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik. Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersuka-suka tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China.

Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas. Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian. Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, dia kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM 200.00 untuk diperbaiki dan dijadikanbas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM 1.40 sehari. Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Low meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.

Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung. Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.

Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak 3 tahun lalu. Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia. Adalah menjadi pengetahuan umum, Datuk Low tidak pandai menulis namanya secara tepat setelah belajar sekian lama. Namun begitu memiliki satu pasukan profesional turut berkhidmat kepadanya.

honda Pictures, Images and Photos

Faktor kejayaan

Desire & Passion
Salah satu elemen utama kejayaan usahawan iaitu keinginan, kemahuan dan keghairahan terhadap dunia perniagaan. Dato' Boon Siew menanamkan sikap mahu berjaya, maka beliau telah tetapkan 100% jiwa dan raga kepada hal ehwal perniagaan yang diceburi sepenuhnya. Tidak ada perasaan berbelah bahagi, atau rasa tidak yakin dan takut sebagainya.. Apa yang penting sikap berani, ada keinginan dan sanggup melakukan apa saja untuk berjaya dalam arena permotoran. Beliau sanggup diperlekehkan dengan ditertawakan oleh orang kerana membawa masuk motosikal honda yang dikatakan cepat rosak.


Strategy & Technique
Ini elemen kedua yang penting. Beliau telah mengkaji segala tindakan yang di ambil dan berfikir kehadapan apabila menjual motorsikal honda kepada rakannya dengan harga modal. Ini kerana anda dapat meminimumkan risiko kegagalan dan memaksimumkan kadar kejayaan lebih pantas. Beliau sentiasa mengkaji untuk memajukn perniagaan yang bermula dengan pengusaha bas penumpang dan berjaya sehingga menempatkan kereta honda di Malaysia.

bella - honda Pictures, Images and Photos

Honda Civic Pictures, Images and Photos

Produk atau Servis
Ini elemen penting. Beliau mengkaji kesesuaian dirinya sama ada memilih produk atau servis. Berdasarkan kemahirannya sebagai mekanik beliau membeli bas dan peralatan mekanik untuk mengusahakan bas tumpangan. Beliau tidak terhenti setakat apa yang ada dan terus memperkembangkan perniagaan sehingga berjaya. Beliau telah mengambil peluang semsa melawat jepun dengan membawa masuk motorsikal honda.

honda jazz Pictures, Images and Photos

Photobucket

Kaizen
Inilah topik terakhir terpenting yang menjadi tunjang kejayaan Boon Siew iaitu meneruskan usaha penambahbaikan dari masa ke semasa. Beliau tidak mahu kejayaannya akibat kegagalan memahami usaha untuk membuat pembaharuan. Kaizen dari bahasa Jepun bermaksud membuat penambahbaikan berterusan (continuous improvement) dari masa ke semasa bagi meningkatkan conversion rate (visitor to customer) serta meningkatkan tahap customer satisfaction dengan tools/technique yang betul. Elemen ini yang menyebabkan beliau terus berusaha meningkatkan kualiti perniagaan untuk jangka masa panjang.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
upsi Pictures, Images and Photos

Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”. Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan falsafah pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.

Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan falasafah pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN PRAMERDEKA

Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada beberapa peringkat yang menjadi pemangkin kepada hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. Terdapat dua peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era penjajahan.

Era Masyarakat Tradisional

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Hala tuju pendidikan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah. Falsafah pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan.

Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajarkan berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.

Era Penjajahan

Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India. Penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang. Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Hala tuju pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris bertujuan menyekat peluang orang Melayu untuk mengembangkan bakat mereka, memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila negara mencapai kemerdekaan.

Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Hala tuju pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya.

Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawasan ladang ladang kepunyaan mereka. Hala tuju sistem pendidikan Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar pemerintahan Inggeris yang memberi bantuan dan kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada tahun 1930 terdapat empat jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan agama Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah Inggeris. Sekolah yang pertama ialah di Penang Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Hala tuju pendidikan Inggeris pada masa ini adalah untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi implikasi besar dalam hala tuju pendidikan masyarakat Melayu kerana menyedarkan orang Melayu dari golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan pendidikan Inggeris.

Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem pendidikan pada masa pemerintahan Inggeris telah menimbulkan situasi rumit dalam sistem pendidikan sekarang dari segi keseragaman dan pencapaian hasrat integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)

Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita.

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.
Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.

Ordinan Pelajaran 1952

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Mengehadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.
Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada kepada hala tuju dan falsafah pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.


Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SELEPAS MERDEKA

Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan dan perubahan bagi merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Terdapat pelbagai peringkat pada pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.

Era 1957-1970

Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu dasar telah dibentuk bagi memantapkan hala tuju dan falsafah pendidikan yang sedia ada. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 telah dibentuk yang mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959. Hal ini merupakan sejarah Malaya pada waktu itu kerana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya.

Kesedaran yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan Rahman Talib dirangka yang mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Rentetan itu, Akta Pelajaran 1961 dibentuk dan dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara ini.

Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua pelajar dilaksanakan bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya berhak mendapat pendidikan. Selain itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap pelajar berhak mendapat pendidikan selama 9 tahun iaitu dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan dari 1966 hingga 1970 berobjektif untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak kepada penyatuan semua kaum melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi memudahkan interaksi antara kaum. Selain itu, falsafah pendidikan yang bersifat sama rata tanpa menyisihkan kaum, darjat dan agama memangkinkan lagi perkembangan pendidikan di negara Malaysia. Era ini menunjukkan anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan negara.

Era 1971-1990

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum di negara ini. DEB dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-1990. Di samping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam meningkatkan kualiti Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk golongan pelajar miskin yang tidak mampu untuk membeli buku teks dan Rancangan Makanan Tambahan(RMT) bertujuan untuk memberi makanan yang seimbang kepada pelajar terutamanya yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Usaha ini menunjukkan kerajaan begitu komited dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan.

Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan di peringkat percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda ini diteruskan dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila pelajar dalam KBSR telah melangkah masuk ke tingkatan 1 dan menggunakan empat matapelajaran sebagai rintis iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memberi sumbangan kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara" (Falsafah Pendidikan Negara, 1987)
Apabila FPN diperkenalkan, hala tuju pendidikan nampak jelas dan nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani. Penambahbaikkan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, falsafah pendidikan yang digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat majmuk yang bersifat sejagat.
Era 1991-2000
Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju kehadapan melalui RMK6 1991-1995 dan RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan negara terus terancang. Dalam pada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Pelan Integriti Nasional.
Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan rakyat untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta pembangunan ekonomi yang berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap berkhidmat untuk peningkatan hasil dan mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan Integriti Nasional dengan matlamat untuk memantapkan nilai-nilai etika dan integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut dalam diri setiap anggota masyarakat.
Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehingga tingkatan 5. Sementara itu, pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dengan menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR. Usaha ini dilihat mampu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam menetukan hala tuju pendidikan di masa hadapan.
Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang pesat dalam falsafah dan hala tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi melancarkan lagi pembangunan pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:
1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian prasekolah.
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996- Bermatlamatkan menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan penubuhan sebuah majlis yang menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi.
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996- Menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan) 1996- memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan swasta.
7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000- Membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti.
8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta
Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan negara telah mengadaptasikan satu hala tuju pendidikan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Era 2001-2010
Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia harus bersaing dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Penambahbaikan telah dijalankan bagi meneliti semula projek dan program yang dirancang. Hal ini bertepatan dengan hala tuju dan falsafah pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.
Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan penambahbaikan dan pemantapan hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan dalam perundangan, dasar dan program utama berikut:
1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1 pada 1 Januari 2003.
2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukan seorang kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002)
3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.
4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan pendidikan wajib (Bajet 2002 dan 2003). Pada tahun 2004 bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT) diperkenalkan untuk memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan pencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya di bawah Pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003)
7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003)
8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates