Thursday, February 5, 2009 at 5:44 AM |  
Alhamdulillah..pada hari ini hampir seluruh media massa memaparkan tentang kecelaruan politik yang melanda perak. Hal ini berikutan fenomena lompat parti yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini. Kemungkinan besar akan berlaku perubahan menteri besar di perak.

Berikut adalah keratan akhbar yang menjadi pilihan untuk dikongsikan bersama tetamu ziarah sekalian.

BARISAN NASIONAL (BN) Pictures, Images and Photos

Kerajaan Pakatan Rakyat Pictures, Images and Photos

Pakatan tumbang
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Jamaluddin (kanan), Mohd Osman (dua dari kanan) dan Yit Fong menyokong BN manakala Nasarudin kembali sertai Umno.

# Tiga Adun Bebas sokong Barisan
# BN sedia tubuh kerajaan di Perak
# Nizar bubar DUN tanpa perkenan Sultan

PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah.

Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.

Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.

Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.

BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing.

"Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.

"Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir.

Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN.

"Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

"Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya.

Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".

Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN.

Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan.

Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan.

Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza.

Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.


Apa yang perlu kita fikir dan renungkan adalah dilemma raja dan demokrasi yang semakin tidak seimbang. Hal ini merujuk kepada petikan daripada akhbar harakah. Saya sengaja membawakan dua akhbar yang berlainan fahaman politik agar pernilaian yang bersifat adil diberikan tanpa ada bias.

tokoh-tokoh Pictures, Images and Photos

Raja dan demokrasi
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Feb 05, 09 | 6:21:48 pm MYT

1.Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.
Iklan

2.Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain.Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: "Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri."

3.Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4.Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5.Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6.Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak.Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.

Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

"Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam." (Surah Al An�aam: Ayat 45)..

Kesimpulannya, saya amat bersetuju bahawa hak rakyat perak yang majoriti 54% menyokong Pakatan Rakyat telah diketepikan dalam menentukan pemerintah yang dikehendaki.

Berkenaan dengan tindakan Jamaluddin, Mohd Osman dan Yat Fong yang keluar parti dan mengistiharkan mereka sebagai wakil rakyat bebas merupakan pengkhianatan kepada rakyat. Saya yakin dan percaya semasa pilihan raya yang lalu kebanyakan rakyat mengundi berdasarkan Parti bukan individu. Dan jika diadakan pilihan raya dan ketiga-tiga mereka bertanding atas tiket bebas pasti dan nyata kekalahan menanti mereka.

Mengenai politik wang atau rasuah memang tidak dinafikan memang wujud dalam kalangan politikus yang ingin menjaga kepentingan mereka. Rasuah ini yang akan menjadi barah dalam daging,gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang memusnahkan negara kita. Bak kata sarjana kegemilangan dan kecemerlangan negara di masa hadapan banyak dipengaruhi oleh tindakan generasi kepimpinan pada masa kini.

Namun, samalah kita lihat apakah perubahan yang hendak dilakukan oleh Dr. Zamri selaku menteri besar baru atau hanya sekadar kata-kata retorik semata-mata untuk memujuk hati rakyat yang hilang kepercayaan kepada BN. sama-samalah kita saksikan,

“Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Allah Maha Kuasa…

Renungkanlah........
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates