Saturday, January 16, 2010
at
8:34 AM
|
"Ibnu Khaldun Ilmuan Terulung"
Nama sebenar Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami Beliau dilahirkan pada tahun 1332 di Tunis dan merupakan tokoh sejarawan ulung yang kaya dengan ilmu pengetahuan seperti fikah, hadis, logik falsafah, matematik, kalam, astronomi, geografi, sastera, bahasa Arab dan pelbagai cabang ilmu lain. Dalam kancah mahupun arena politik pula, Ibnu Khaldun mempunyai banyak pengalaman seperti menjawat jawatan seperti ahli persuratan di istana Fas, menjadi hajib (setaraf dengan PM) di Bougie, hakim mahkamah diraja dan setiausaha Raja Muda Abu Ishak. Ibnu Khaldun dipercayai mula menulis ataupun berminat untuk menceburi bidang penulisan selepas pulang daripada menunaikan haji (1387) dan memberi penumpuan dalam bidang sejarah kerana ada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas.
Penulisan beliau dalam pensejarahan Islam telah memperlihatkan dengan terhasilnya kitab Muqaddimah. Kitab ini dianggap karya yang teragung dalam bidang sejarah dan persejarahan. Kitab ini merupakan pendahuluan kepada kitab yang kedua iaitu al-‘Ibar wa diwan al-mubtada’ wa al-khabar fi ayyam al-‘arab wa al’ajam wa al-Barbar. B. Lewis mengatakan Muqaddimah merupakan ensiklopedia sintesis mengenai metodologi sains kebudayaan yang sangat penting dan boleh menolong ahli sejarah menghasilkan kajian yang benar dan ilmiah mengenai ilmu sejarah dan sosiologi. Setiap bab ada pendahuluan baru diikuti tajuk kecil/fasal. Isi kandungan yang termaktub dalam kitab tersebut adalah berkaitan dengan asasi yang berkenaan disiplin sejarah atau falsafah sejarah dan disiplin sosiologi atau falsafah sains sosial. Manakala tidak asasi merangkumi aspek geografi, kebudayaan, ilmu pengetahuan, perusahaan,peradaban dan berkaitan dengan politik, agama dan falsafah. Rangkuman percaturan ini adalah percubaan yang paling awal bagi memahami pola perubahan pada organisasi politik dan sosial manusia. Selain itu, Ibnu Khaldun memantapkan lagi serta memaku besikan hasil penulisannya dengan Pendekatan yang rasional, kaedah dan perbahasan yang analitikal dan terperinci. Secara tidak langsung, perkara ini telah menaikkan kredibiliti penulisannya dan menjadikan muqaddimah bahan kajian yang penting dan menarik. Ibnu Khaldun turut menambah dalam kritikannya terhadap penulis-penulis Sejarah Islam sebelumnya seperti Al-Masudi yang gemar memasukkan unsur-unsur sastera dan mitos legenda dalam menambah selera para pembaca untuk membacanya. Beliau telah mengetepikan persejarahan tradisional dan sikap konservatif golongan ahli sejarah tradisi. Melalui karyanya dapat dilihat bahawa Ibnu Khaldun merupakan penulis sejarah yang membezakan antara sejarah yang bersifat luaran dan dalaman. Gaya penulisan seperti ini penting untuk mengelakkan penulisan yang bersifat berat sebelah yang boleh menyumbang kepada tokok tambah dalam sejarah. Jelaslah bahawa berlaku perkembangan dalam karya penulisan sejarah zaman pensejarahan Islam.
Ibnu Khaldun mempunyai tradisinya yang tersendiri dalam menghasilkan penulisannya. Dikatakan penulisannya mirip-mirip menggunakan kaedah sosiologi iaitu menekankan dua aspek terpenting seperti sifat-sifat semula jadi dan sebab-sebab sesuatu peristiwa berlaku. Di sini kita dapat mentafsir bahawa Ibnu Khaldun tidak gemar memasukkan sebarang unsur yang tidak berkaitan dengan sejarah dan lebih suka mengutamakan kebenaran yang hakiki dalam hasil-hasil penulisannya. Beliau juga dapat kita gelar sebagai pendukung penulisan sejarah berbentuk objektif yang lebih menjadikan kebenaran sebagai prioriti dalam setiap karya. Pendapat ini disamakan dengan seorang tokoh objektiviti dalam sejarah yang mengatakan biarlah sejarah yang telah berlaku itu berdialog dengan para sejarawan dan ini dapat menggalakkan lagi hasil penulisan sejarah seperti yang benar-benar telah berlaku. Ibnu Khaldun turut menambah bahawa mengapa ahli sejarah sering berat sebelah kerana mempunyai semangat kepartian atau memihak pada sesuatu kepercayaan atau pendapat serta terlalu bergantung pada sumber yang diperoleh. Antara sebab-sebab lain adalah tidak memahami sumber secara teliti, meletak kepercayaan pada yang tidak benar atau keyakinan yang berlebihan terhadap sesuatu yang tidak pasti kebenarannya, tidak meletak kejadian dalam hubungan yang sebenar dengan tempat, memuji, memujuk dan anggap perbuatan mereka baik, jahil mengenai sesuatu hukum hakam mengenai sesebuah masyarakat di samping sering membesar-besarkan sesebuah peristiwa ataupun kejadian serta bersemangat assabiyah dalam memperjuangkan keagungan bangsa mereka.
Matlamat penulisan Ibnu Khaldun lebih bercorak kepada konsep yang berlandaskan kebenaran. Konsep assabiyah yang diperkenalkan oleh beliau mampu untuk membangunkan sesebuah individu, bangsa dan negara. Beliau berpendapat bahawa konsep assabiyah adalah ‘pemeliharaan, pertahanan, tuntutan dan semua urusan disepakati. Justeru, Ibnu Khaldun amat mementingkan kebenaran fakta sejarah untuk dijadikan tauladan oleh masyarakat pada akan datang untuk membangunkan bangsa dan negara. Pemikirannya ini menjadikan beliau dilabel sebagai sejarawan agung di dunia Islam kerana pemikiran beliau yang melampui usia dan zamannya. Kebenaran dalam penulisan Ibnu Khaldun merupakan penunjuk aras dalam perkembangan pensejarahan Islam. Selain itu, matlamat penulisan yang seperti ini membezakan beliau dengan penulis sejarah zaman sebelumnya yang lebih gemar memasukkan tokok tambah dalam penulisan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Ibnu Khaldun telah mengkritik penulisan yang mengisahkan tentang Iskandar yang agung memasuki peti kaca untuk turun ke laut untuk melihat binatang laut, cerita pembinaan Kota Gerbang yang memiliki 10 000 pintu, cerita ‘Kota Tembaga’ yang dibina daripada tembaga di padang pasir Sijilmasah dan sebagainya. Cerita yang berkaitan dengan unsur yang tidak masuk akal dan bertentangan denga Al-Quran dan Hadis ditolak oleh Ibnu Khaldun sebagai penulisan sejarah. Jelaslah bahawa Ilmu Khaldun mementingkan kebenaran atau objektivi dalam penulisan yang menggambarkan perkembangan pensejarahan Islam semakin mara di hadapan.
Sumber memainkan peranan penting dalam penulisan sejarah. Oleh demikian dalam pensejarahan Islam era Ibnu Khaldun telah berlaku perkembangan. Pada zaman ini, sumber yang digunakan adalah yang sahih dan tidak dipertikaikan kebenarannya. Ibnu Khaldun membuat penilitian dalam menentukan sumber yang digunakan adalah sahih. Beliau juga mengungkapkan kekecewaannya terhadap sejarawan yang gagal dalam memahami sumber kerana berlaku kesamaran, gagal dalam mengaitkan sesuatu kejadian dengan setepatnya serta memperbesar-besarkan kejadian yang berlaku. Oleh yang demikian Ibnu Khaldun lebih cenderung untuk menggali sumber berdasarkan Al-Quran dan hadis. Selain itu, beliau juga merujuk kitab-kitab lama dan menapis segala fakta yang ada kebenaran dan menolak segala perkara yang tidak benar, yang sengaja direka-reka, palsu dan laporan yang sengaja direka-reka untuk menyedapkan kisah. Kaedah pemilihan sumbetr oleh Ibnu Khaldun telah membuktikan berlaku perkembangan dalam pensejarahan Islam dalam aspek pemilihan sumber. Hal ini dapat dibuktikan apabila Al-Mas’udi yang terpengaruh dengan pendekatan sastera dalam penulisannya telah dikritik hebat oleh Ibnu Khaldun yang menekankan penulisan sejarah harus perkara yang sebenar-benarnya berlaku tanpa tokok tambah. Sememangnya berlaku perkembangan dalam pensejarahan Islam dalam aspek kaedah penulisan, matlamat penulisan dan sumber sejarah pada era pensejarahan zaman Ibnu Khaldun.
Posted by
Mustakim Bin Suhaili
0 comments:
Post a Comment