Perpaduan Pictures, Images and Photos

Masyarakat imigran seperti yang kita fahami ialah masyarakat India dan China sahaja disebabkan mereka merupakan agen terpenting kepada kronologi proses pembangunan negara secara amnya dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Umum mengetahui bahawa antara penyebab kepada berlakunya penghijrahan para penduduk di China dan India ke Malaysia adalah disebabkan oleh beberapa perkara. Penghijrahan atau yang dikatakan imigrasi ini berlaku disebabkan oleh permasalahan ekonomi yang teruk misalnya di China, masalah bencana alam yang teruk serta parah bagai retak menunggu belah dan akibat daripada bencana alam yang sering melanda China seperti banjir besar telah meranapkan industri pertanian yang menjadi teras utama kepada kegiatan ekonomi kebanyakan masyarakat China. Perkara ini telah menyebabkan masyarakat China yang rata-ratanya mengamalkan kehidupan berorientasikan pertanian mengalami masalah ekonomi.

Selain itu, disebabkan pertambahan mahupun lebihan penduduk di China yang tidak terkawal telah menyebabkan permintaan untuk memenuhi kekosongan tenaga kerja sama ada dalam bidang profesional ataupun tidak melebihi kuantiti penawaran pekerjaan oleh kerajaan China. Jelasnya masalah-masalah tersebutlah yang menjadi pemangkin kepada berlakunya migrasi penduduk China ke Tanah Melayu namun sesetengah tokoh seperti Victor Purcell menegaskan sebenarnya bukanlah disebabkan masalah ekonomi menyebabkan masyarakat China datang berhijrah ke Tanah Melayu kerana majoritinya adalah berasal dari kawasan yang lebih baik keadaannya di bahagian selatan China iaitu Kwantung dan Fukien. Sebaliknya penghijrahan berlaku disebabkan kerana jalinan perdagangan yang sudah lama terjalin antara kawasan tersebut dengan negeri-negeri Melayu. Hal ini tidak menjadi masalah bagi masyarakat China kerana mereka sudah sebati dengan keadaan Tanah Melayu di samping pendirian China yang sememangnya menggalakkan penduduknya untuk berhijrah dalam membantu negara itu melenyapkan virus pengangguran yang dikhuatiri boleh mempengaruhi pola perkembangan ekonomi negara China.

Angin transformasi atau perubahan yang melanda arena politik dan ekonomi di India dikatakan telah menjadi batu loncatan atau pencetus kepada fenomena penghijrahan atau migrasi penduduk India ke negara kita. Revolusi Perindustrian yang telah berjalan secara rancak berbaur hangat di Eropah telah menyebabkan orang Inggeris yang telah lama menguasai ekonomi India membawa buruh-buruh India bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja yang sangat diperlukan di Tanah Melayu. Selain itu, amalan kasta yang diamalkan di India turut menyumbang kepada faktor penghijrahan mereka. Sebagaimana yang kita ketahui, masyarakat India mengamalkan corak hidup yang agak berlainan berbanding tempat lain dan ianya dilihat sebagai tindakan yang berbentuk penindasan semata-mata. Golongan yang berada di kasta yang tinggi dihormati dan disanjung manakala golongan kasta yang rendah ditindas dan dizalimi. Golongan ini juga tidak mendapat peluang dalam segala bidang berbanding golongan kasta yang tinggi. Sebagai inisiatif, mereka akhirnya berhijrah ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri daripada menanggung seksaan berterusan. Peningkatan prestasi ekonomi di Tanah Melayu dalam kekuasaan Inggeris telah menarik minat orang India untuk menjadi buruh terutamanya di ladang-ladang getah. Namun penempatan imigran China dan India ini tidaklah kekal kerana telah berlaku fenomena kemelesetan ekonomi pada awal abad ke 20 yang mempengaruhi ekonomi di Tanah Melayu. Implikasinya ialah ramai pekerja diberhentikan yang menjurus kepada berlakunya pengangguran dan mereka akhirnya mengambil tindakan untuk meninggalkan Tanah Melayu ke negara asal mereka. Terdapat juga yang berhijrah ke tempat yang lain dan ada juga yang memilih untuk terus menetap di Tanah Melayu.

Berhubung dengan sistem penghijrahan yang diamalkan, terdapat beberapa sistem yang diamalkan oleh beberapa pihak yang bertanggungjawab. Antaranya ialah sistem kredit yang merupakan sistem terawal dalam membawa imigran dari China. Broker atau orang tengah akan menggunakan pelbagai cara sekalipun untuk membawa seberapa banyak rakyat China datang ke Tanah Melayu dan ini menjadikan komisen mereka meningkat sekali gus memperoleh keuntungan yang besar. Selain itu, terdapat juga sistem lain iaitu sistem kontraktor. Sistem ini turut dikenali sebagai sistem rumah kongsi di mana para buruh dikawal oleh kontraktor Cina yang akan diletak dalam sebuah rumah kecil dan akan dilepaskan setelah diambil bekerja oleh mana-mana majikan. Terdapat juga sistem sewa yang mirip kepada sistem kredit yang berorientasikan penindasan. Buruh-buruh terikat kepada majikan masing-masing Buruh –buruh ini juga dikawal oleh kheh-tau iaitu ketua yang selalu menindas para buruh yang di bawah kawalan mereka. Bagi buruh India pula, mereka diambil bekerja di Tanah Melayu melalui sistem buruh kontrak. Sistem ini dapat disamakan dengan sistem yang digunakan untuk mengambil orang Cina iaitu sistem kredit. Selain itu, buruh dari India ini diambil untuk datang bekerja di Tanah Melayu melalui sistem Kangani. Sistem ini akan dikawal oleh seorang Kangani yang bekerja dengan majikan dan akan menjalankan proses merekrut pekerja yang didapati berkebolehan. Berlaku juga unsur penindasan apabila majikan akan menyerahkan gaji kepada Kangani untuk diserahkan kepada pekerja dan Kangani akan mengambil kesempatan terhadap pekerja. Terdapat banyak persamaan dalam pengambilan buruh Cina dan India. Pertamanya wujud orang tengah yang memainkan peranan penting. Keduanya terdapat unsur penindasan sama ada dari majikan atau orang tengah terhadap buruh dan ketiganya dari segi keterikatan buruh dengan para majikan.

Terdapat dua jenis corak kehidupan masyarakat imigran di Tanah Melayu berdasarkan jangka waktu kedatangan. Bagi yang datang sebelum abad ke-19 ke negeri-negeri selat menjalankan perniagaan sendiri, corak kehidupan lebih baik dan mampu menyediakan pendidikan Inggeris kepada anak. Berbeza dengan buruh-buruh yang direkrut, berlaku penindasan dalam kehidupan. Amalan kehidupan masyarakat imigran sehingga ke tahun 1930-an masih menumpukan taat setia kepada negara asal. Amalan-amalan seperti berpakaian, makanan, bahasa pertuturan dan agama mengikut budaya mereka sendiri. Dalam aspek berpakaian, pakaian yang digunakan adalah seperti negara asal yang mana kaum perempuan cina memakai ceongsam dan kaum perempuan India memakai sari. Dari aspek bahasa pertuturan, masyarakat imigran Cina bertutur dalam bahasa hokkien, mandarin dan kantonis manakala masyarakat India dalam bahasa tamil dan malayalam. Masyarakat imigran mengikuti segala pergolakan politik atau apa yang berlaku berkenaan politik negara asal mereka. Dalam aspek pendidikan, sikap masyarakat cina yang berorientasikan negara asal lebih ketara dari imigran India. Mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk mendirikan sekolah cina dan mengimport guru-guru dari cina. Masyarakat India tidak pernah menyediakan pendidikan untuk anak-anak kerana di kawasan estet tempat tinggal mereka telah disediakan kemudahan pendidikan. Satu lagi kehidupan sosial masyarakat cina yang berorientasikan negara asal mereka ialah kewujudan kongsi gelap. Pada awalnya kewujudan kongsi gelap berkaitan keagamaan dan kebajikan satu-satu puak tetapi berubah menjadi pertubuhan yang bersifat jenayah.

Akibat kemasukan masyarakat imigran ke Tanah Melayu juga memberi kesan terhadap masalah sosial. Masalah sosial yang berlaku antaranya pelacuran dan ketagihan. Pelacuran berlaku kerana biasanya buruh yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah lelaki dan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan membawa masuk wanita-wanita dari cina untuk dijadikan pelacur. Pelbagai langkah diambil bagi membendung masalah ini antaranya dengan menggalakkan pengambilan buruh wanita yang membolehkan mereka datang dengan suami untuk bekerja di tanah Melayu. Ketagihan juga ketara yang mana masyarakat imigran cina dengan candu dan masyarakat imigran India dengan todi.
Masalah-masalah yang berlaku di kalangan masyarakat imigran berpunca dari beberapa sebab antaranya corak pengambilan mereka ke Tanah Melayu. Corak kehidupan masyarakat imigran yang berdasarkan pengelompokan kaum yang mana masyarakat cina tinggal di bandar-bandar dan masyarakat India di ladang-ladang telah menimbulkan masalah integrasi kaum yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang terhadap kehidupan kaum di Tanah Melayu.

perpaduan Pictures, Images and Photos


ULASAN

Sememangnya tidak dapat disangkal bahawa kedatangan para imigran dari China dan India ke negara telah mengukir beberapa tinta yang amat bermakna dalam rentetan negara kita menuju ke arah kemajuan dan pembangunan dari setiap aspek meliputi politik, ekonomi dan sosial. Segelintir berpendapat disebabkan negara kita adalah aman daripada ancaman peperangan dan kekacauan telah menyebabkan ramai masyarakat berhijrah ke negara kita terutamanya dari kawasan yang dikatakan telah menerima proses pembentukan tamadun yang lebih awal dari negara kita iaitu India dan China. Selain itu, disebabkan negara kita kaya dengan sumber hasil bumi yang sangat diperlukan oleh masyarakat Eropah terutamanya dikatakan penyumbang kepada berlakunya penghijrahan beramai-ramai masyarakat India dan China.

Setelah membuat perincian yang teliti dalam sinopsis masyarakat imigran ini terutama yang datang dari China, saya tidak menyetujui beberapa aspek mahupun pendapat penulis yang membabitkan sebab-sebab kedatangan imigran tersebut iaitu China ke negara kita. Penulis ada menyatakan bahawa sememangnya masyarakat dari China terutamanya datang berhijrah disebabkan faktor ekonomi semata-mata. Kalau kita kaji dengan mendalam, kita boleh melihat secara terang bahawa kebanyakan yang datang berhijrah ialah berasal dari selatan China iaitu Kwangtung dan Fukien dan penulis menyatakan kawasan tersebut merupakan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi berasaskan pertanian di samping tidak dilanda masalah-masalah bencana alam seperti banjir seperti di utara China. Saya melihat dan mengkaji berdasarkan beberapa pendapat penulis lain tentang ini menyatakan bahawa kebanyakan yang berhijrah dari Kwangtung dan Fukien sebenarnya mengalami masalah keperitan hidup yang tinggi walaupun wilayah tersebut tidak dilanda masalah banjir. Kita seharusnya faham apa itu konsep “keperitan hidup” kerana kita tidak boleh menilai keperitan hidup itu dari aspek ekonomi sahaja. Hal ini berikutan masalah atau keperitan hidup yang dialami mungkin juga berlaku disebabkan oleh keadaan yang huru-hara dan tidak tenteram. Walaupun memperoleh sumber rezeki yang melimpah ruah, tidak semestinya hidup setiap individu mahupun masyarakat itu bahagia kerana faktor keamanan dan keharmonian juga merupakan aspek yang terpenting dalam menentukan keselesaan hidup. Selain itu, berlakunya penghijrahan mereka bukanlah disebabkan faktor ekonomi akan tetapi disebabkan jarak perjalanan yang tidak jauh di samping penggunaan teknologi dalam perkapalan atau pengangkutan menyumbang kepada berlakunya penghijrahan masyarakat dari China.

Selain itu, penulis turut menyatakan bahawa kebanyakan imigran terutamanya dari China yang kembali semula ke tempat asal disebabkan kemelesetan ekonomi dunia yang juga telah menjejaskan ekonomi Tanah Melayu pada awal abad ke 20. Impaknya kepada para imigran ialah banyak dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja bagi mengelakkan kerugian oleh majikan. Namun begitu terdapat juga faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka kembali semula ke China. Jika kita meneliti aspek kepercayaan masyarakat China secara spesifik, kita akan dapat menilai betapa mereka memegang teguh kepercayaan dan ajaran yang diwarisi dari nenek moyang mereka lagi. Sebagaimana yang kita ketahui, imigran ini datang untuk menyelesaikan beberapa kemelut ekonomi yang melanda mereka dan mereka mengambil inisiatif sendiri dengan berhijrah ke negara kita. Apabila dirasakan sudah cukup keperluan yang diusahakan, maka mereka akan kembali semula ke China. Oleh sebab itulah kebanyakan sarjana menggunakan istilah huaqiao yang merujuk kepada pemastautin sementara. Purcell juga ada menyatakan bahawa orang Cina sebenarnya mempunyai kewajipan untuk upacara pemujaan nenek moyang mereka dan sekiranya mereka sering berjauhan meninggalkan pemujaan terhadap roh-roh nenek moyang, mereka dianggap berdosa besar. Oleh sebab itulah orang Cina yang datang berhijrah ke negara kita kebanyakannya tidak menetap terus dan natijahnya kita dapat menyimpulkan bahawa sememangnya pegangan terhadap kepercayaan kendiri masyarakat China amatlah kuat dalam jiwa mereka.

Satu lagi persoalan yang sering bermain di dalam ruang dimensi minda saya ketika menganalisis beberapa kenyataan penulis ialah dalam aspek kaedah atau penyelesaian masalah oleh pihak tertentu dalam menangani masalah pelacuran yang berleluasa dalam kalangan imigran Cina. Saya amat tidak bersetuju dengan cara membawa bersama-sama isteri mereka ketika proses merekrut para buruh datang ke negara ini. Sebenarnya langkah sebegini tidak mendatangkan apa-apa kesan yang positif kerana tidak semestinya dengan adanya isteri dapat menghalang suami mereka daripada melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran di Tanah Melayu ketika itu. Sejarah telah membuktikan betapa masyarakat Cina terkenal dengan amalan memiliki perempuan simpanan walaupun mempunyai isteri yang sah. Ini berlaku ketika semasa kerancakan pemerintahan Dinasti tradisional China di mana para pegawai istana yang berjaya berkhidmat dengan maharaja akan dikembiri atau dikasi untuk mengelakkan berlakunya aktiviti gangguan seksual oleh para pegawai dengan dayang-dayang istana. Perkara ini menunjukkan kepada kita bahawa sememangnya orang Cina mempunyai amalan yang bersifat negatif iaitu keganasan seksual secara berleluasa. Walaupun orang Cina sudah mempunyai isteri, mereka masih mengamalkan aktiviti pelacuran dan kebanyakan Maharaja China telah menunjukkan contoh teladan kepada rakyat dengan memiliki seberapa banyak gundik atau perempuan simpanan sama ada Maharaja sudah beristeri ataupun tidak. Bagi mereka, asalkan Maharaja memerintah secara adil mengikut etika panduan ajaran Konfusius, maka mereka akan mentaati Maharaja tersebut. Kesimpulannya penyelesaian masalah pelacuran tidak dapat diselesaikan dengan cara yang disyorkan oleh penulis kerana sejarah membuktikan seorang permaisuri pun tidak dapat menghalang tindakan suaminya untuk memiliki ramai gundik.

Tambahan pula, menurut pakar motivasi tersohor di Malaysia iaitu Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, lelaki normal sememangnya mempunyai nawaitu atau keinginan untuk berkahwin lebih daripada satu tetapi malangnya bagi masyarakat Cina yang bukan Muslim tidak dapat berbuat demikian. Hal ini berikutan pegangan agama mereka yang tidak membenarkan mereka memiliki ramai isteri dan sebagai alternatif untuk memenuhi keinginan mereka, memiliki perempuan simpanan adalah jawapan kepada keinginan mereka itu. Menurut Islam pun, masalah ini tidak akan selesai sekiranya tidak berlandaskan hukum syarak dan ajaran Islam mengikut acuan Nabi Muhammad kerana tidak ada kejayaan dalam sesuatu perkara jika tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Satu lagi persoalan yang berlegar-legar dalam kotak pemikiran saya ialah berkenaan dengan cara kerajaan yang saya rasai amat tidak rasional dalam menangani isu berkaitan todi. Adakah patut kerajaan membiarkan amalan meminum todi oleh masyarakat India ketika di awal waktu hanya kerana berasakan amalan tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa kesan negatif terhadap negara kita secara amnya? Bukankah kita sering diperdengarkan pelbagai tamsilan oleh orang-orang tua kita seperti “mencegah lebih baik daripada mengubati” ataupun “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah akibatnya jika kita tidak membuat tindakan sejak dari awal lagi kerana sekiranya kerajaan berpandangan jauh dalam isu ini, pastinya masalah sosial akibat daripada amalan peminuman todi ini tidak berlaku. “Sudah terhantuk baru tengadah”. Sengaja dipetik peribahasa ini bagi menginterpretasikan reaksi kerajaan setelah masalah ini semakin parah dan menjadi-jadi. Sepatutnya kerajaan haruslah tidak sewenang-wenangnya memberikan lesen penjualan todi secara aktif kepada pihak-pihak tertentu kerana ini akan menggalakkan aktiviti negatif berlaku seperti budaya lepak, pergaduhan dan seumpamanya yang masih kekal sehingga sekarang. Kita seharusnya menjadikan sejarah sebagai pengajaran dan sebab itulah pakar sejarawan negara kita seperti Prof. Emeritus Dr. Khoo Khay Kim menasihati para pemimpin negara untuk menghayati sejarah agar tidak melanggar etika kehidupan sebagai manusia.

Terdapat lagi bukti bahawa sememangnya minuman yang memabukkan adalah faktor berlakunya peningkatan kadar jenayah. Di barat misalnya, arak dikatakan punca kejadian kes jenayah meningkat secara mendadak. Institute of Alcohol Studies melaporkan 60-70% kes pembunuhan, 75% kes pukul, dan 50% kes serangan di UK berlaku kerana pengaruh arak. Pada tahun 1997, Setiausaha negara UK turut mengakui bahawa 1.5 juta keganasan berlaku disebabkan oleh pengaruh arak. Setiap minggu, kebanyakan penduduk meninggalkan kota dan bandar kerana takut diserang dan diancam oleh golongan muda yang mabuk. Sekali lagi ditegaskan bahawa sememangnya kerajaan telah membuat langkah yang sumbang dalam menangani masalah berkaitan Todi ini dan amalan ini berterusan sehinggalah sekarang walaupun umum mengetahui bahawa negara kita telah diisytiharkan sebagai negara Islam Hadhari yang bermaksud Islam yang bertamadun tinggi. Saya ingin mempersoalkan adakah dengan cara ini kita dianggap bertamadun dalam aspek hukum Islam? Sedangkan Islam yang sudah lama maju atau bertamadun ketika zaman Nabi 100% mengharamkan arak dalam negara Madinah. Inikah dikatakan tamadun? Adakah para pemimpin kita faham apa itu tamadun? Masih lagi terngiang-ngiang di gegendang telinga saya ketika salah seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam kuliahnya iaitu Dr. Suhaimi menerangkan konsep tamadun menurut pelbagai ruang lingkup atau perspektif. Menurutnya, tamadun itu terbahagi kepada dua iaitu kebendaan dan bukan kebendaan. Jelasnya negara kita sejak dulu hanya mengambil prospek tamadun dari segi kebendaan iaitu kemajuan secara zahir atau fizikal tanpa memikirkan tamadun dari segi bukan kebendaan yang melibatkan mentaliti serta pemikiran.

Kalau betullah ingin bertamadun, janganlah bersikap berat sebelah dan seharusnya mempertimbangkan segala perkara agar tidak berat sebelah. Tokoh Barat pun mengagumi langkah-langkah yang dibuat oleh Nabi Muhammad dalam mengekalkan kemajuan negara Madinah tanpa membelakangkan hukum Allah malah diiktiraf sebagai sistem yang paling adil, bijaksana dan paling ilmiah dari seorang yang hebat. Secara konklusinya dalam menegakkan keadilan dan menangani masalah sosial daripada berlarutan, negara harus bertindak awal dan janganlah menunggu nasi menjadi bubur. Dengan langkah awal, pastinya masalah sosial seperti pelacuran, pergaduhan, maksiat dan sebagainya dapat dibanteras ke akar umbi.

BIBLIOGRAFI

Al-Quran dan Terjemahan, 2005. Bandung, Penerbit Diponegoro.

Aziah Tajuddin, Diarani Mat Adam, Ibrahim Ahmad,Mariam Mahmud,Mohd. Nor Abd. Ghani, Noresah Baharom, et al. (2002). Kamus Dewan (edisi ketiga). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Danial Zainal Abidin(2008), Minda Muslim Super, PTS Milennia Sdn. Bhd.

Muhammad Yusoff Khandalawi (2004). Muntakhab Ahadith. Klang Book Centre.

Syaikh Muhammad Yusuf Al-Khandahlawy (1998).Sirah sahabat:keteladanan orang-orang di sekitar nabi ( Kathur Suhardi, terjemah).Darul Qalam.

Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2005.

Institute of Alcohol Studies, Alcohol and Crime, October 2000, http:/acc. 25 June 2002.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates