Saya Anak Bangsa Malaysia Pictures, Images and Photos

PENGENALAN
Memetik pepatah Melayu yang mengatakan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pepatah ini bermaksud bahawa dengan kesepaduan atau dan kerjasama dalam sesebuah komuniti mahupun organisasi akan membuahkan hasil yang lumayan lagi menguntungkan dan tanpa penyatupaduan akan menyebabkan kemunduran yang menjurus kepada kehancuran. British telah menjalankan beberapa dasar ekonomi dalam merealisasikan matlamat mereka yang berorientasikan kepada keuntungan semaksimum yang mungkin daripada kekayaan sumber bahan mentah di Tanah Melayu.

British telah memperkenalkan sistem residen di Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi batu loncatan serta pencetus kepada pembentukan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada tahun 1895. Sememangnya British mempunyai inisiatif tersendiri dalam memanipulasi masalah yang melanda mereka ketika permulaan proses penjajahan di Tanah Melayu. Akibat daripada dasar-dasar yang bercirikan ekonomi, wujud permasalahan dalam merealisasikan objektif ekonomi mereka. Ternyata masalah ini sebenarnya wujud hasil daripada dasar-dasar ekonomi British yang telah dilaksanakan di setiap negeri yang telah dikuasai.

Oleh sebab itulah untuk menyelamatkan krisis kantung pendapatan, British telah melancarkan Persekutuan iaitu menggabungkan keempat-empat negeri yakni Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak dengan tujuan pentadbiran dan dasar-dasar ekonomi yang seragam dapat dilaksanakan. Dengan penyatupaduan antara setiap negeri maka segala masalah dapat diselesaikan secara kerjasama seterusnya membuktikan betapa rasionalnya pepatah di atas dalam konteks penyelesaian masalah dasar-dasar ekonomi British.

DASAR-DASAR EKONOMI BRITISH
Di sini akan diperincikan secara keseluruhan bagaimana akibat daripada dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh British di setiap negeri telah mendorong kepada pembentukan Persekutuan NNMB pada tahun 1895.

SISTEM RESIDEN
Menjelang tahun 1895, pegawai-pegawai British di Negeri-Negeri Selat (NNS) dan London mendapati sistem residen yang dijalankan tidak berjalan lancar dan dikhuatiri hasrat mereka akan sukar dicapai. Hal ini berikutan daripada setiap negeri yang telah berada dalam genggaman British ditadbir oleh seorang residen dan corak kemajuan adalah mengikut kebijaksanaan dan kemahiran residen. Dengan kata lain residen seumpama arkitek kepada proses kemajuan sesebuah negeri. Sekiranya residen itu sendiri terkial-kial dalam menjalankan dasar-dasar British maka objektif British pastinya terkubur.

Kita sedia maklum bahawa tiada wujud pun satu garis panduan kepada setiap residen yang dilantik dan tiadanya keseragaman dalam setiap negeri. Residen akan mengkoreksi minda mereka mengikut kepakaran masing-masing dalam menjalankan dasar British. Setiap perkara pula perlu mendapat persetujuan gabenor NNS dan Pejabat Tanah Jajahan di London. Kita dapat menilai bahawa semua ini akan mendatangkan masalah kerana apabila kepesatan dalam ekonomi semakin rancak, residen sepatutnya membuat keputusan segera tanpa persetujuan daripada NNS dan Pejabat Tanah Jajahan di London. Kesulitan ini akan mengundang kepada kerisauan para pedagang British yang mahu melabur di Tanah Melayu kerana mereka tidak mahu kelewatan pentadbiran residen dalam menguruskan hal berkaitan ekonomi sedikit sebanyak merugikan pelaburan mereka. Dapat kita lihat antara residen di Perak iaitu Hugh Low dan residen di Selangor iaitu J.G.Davidson. Kebijaksanaan Hugh Low menjalankan pentadbiran telah memajukan Perak dan berjaya melangsaikan hutang hanya dalam masa 6 tahun pemerintahannya. Berlainan pula dengan J.G.Davidson yang kurang disenangi rakyat kerana kurang berdiplomasi dalam pentadbiran sehingga wujudnya masalah yang mungkin menggagalkan objektif ekonomi British. Perkara ini berlaku kerana Hugh Low lebih berpengalaman dalam pergaulan dengan masyarakat Tanah Melayu dan pernah berkhidmat di Labuan selama 30 tahun berbanding dengan J.G.Davidson yang kurang arif tentang masyarakat Tanah Melayu. Ternyata kebijaksanaan residen amat penting dalam memainkan peranan memenuhi matlamat dan objektif ekonomi British.

Sistem pungutan cukai terutamanya telah menyebabkan kecelaruan atau huru-hara berlaku di sesetengah negeri yang ditadbir residen. Di Perak, Hugh Low telah berjaya mengekalkan sistem feudal masyarakat tradisional Melayu iaitu para pembesar menjalankan hasil kutipan cukai dalam bentuk tunai namun mereka diberi gaji atau elaun walaupun terikat dengan peraturan British. Tapi berlainan pula dengan halnya di Pahang iaitu residennya J.P.Rodger telah menghapuskan sistem feudal masyarakat Melayu secara langsung dengan melantik beberapa pegawai Inggeris untuk mengutip cukai dan ini telah menaikkan kemarahan rakyat Pahang terutamanya para pembesarnya seperti Dato Bahaman. Disebabkan pengambilalihan hak memungut cukai, Dato Bahaman memberontak dan untuk mengelakkan “pisang berbuah dua kali” seperti di Perak, British berasakan amat perlu untuk mewujudkan keseragaman pentadbiran setiap negeri bagi menjamin keamanan. Dari aspek keamanan pula timbul masalah British dalam meminimumkan kos kewangan dalam menampung dan membanteras pemberontakan setiap negeri. C.P.Lucas dalam laporannya menegaskan penubuhan persekutuan perlu dilihat dari segi aspek keselamatan negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. British perlu mewujudkan satu pasukan keselamatan pertahanan dalam NNMB mengelakkan kerugian berlaku kerana British terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk mengupah sepoi dari India dan Hong Kong dan mengimport bekalan senjata bagi mengatasi pemberontak di Perak dan Pahang.

Penubuhan Persekutuan akan mewujudkan tentera persekutuan sendiri yang akan dikerah semasa berlaku ancaman terhadap NNMB dan negeri-negeri yang dalam perjanjian tersebut akan memberikan sumbangan kewangan atau perkhidmatan dalam pertahanan . Oleh sebab itulah British berasakan keseragaman antara setiap negeri perlu diwujudkan dan garis panduan pentadbiran diseragamkan untuk melicinkan proses pentadbiran seterusnya mencapai objektif ekonomi British. Dengan adanya Persekutuan NNMB, setiap residen di setiap negeri akan tertakluk kepada peraturan dan panduan yang digubal. Penyelarasan dan keseragaman kuasa residen di setiap negeri akan menjamin kepada kejayaan objektif ekonomi British.

PERLOMBONGAN
Peribahasa “di mana ada gula di situ ada semut” memperlihatkan kepada kita dalam konteks ini kedatangan British ke Tanah Melayu sebenarnya telah didorong oleh kekayaan sumber bahan mentah terutamanya bijih timah di Tanah Melayu. Revolusi Perindustrian yang sedang rancak di Eropah telah menyebabkan persaingan antara kuasa-kuasa besar iaitu British, Jerman, Itali, dan Rusia. British sedar akan hal ini lalu mengambil keputusan untuk mencari tanah jajahan bagi menjamin bekalan bahan mentah secara berterusan.

Kekayaan hasil bijih timah yang terdapat di Tanah Melayu contohnya di Sungai Ujong (Negeri Sembilan), dan Larut (Perak) telah menyebabkan British mula menjalankan proses penjajahan yang bermatlamatkan ekonomi semata-mata. Objektif mereka ingin mendapatkan seberapa maksimum keuntungan dan bekalan bahan mentah dalam menjamin kedudukannya di Eropah. Pelbagai dasar yang telah dibuat antaranya membawa masuk imigran dari China sebagai tenaga kerja dalam perusahaan bijih timah. British juga memperkenalkan teknologi kapal korek dan enjin berwap yang dikatakan mampu memenuhi objektif ekonomi British berbanding cara melombong orang Cina. Teknologi ini berjaya meningkatkan produktiviti hasil bijih timah seterusnya meningkatkan hasil pendapatan British.

Walau bagaimanapun. hanya sesetengah negeri sahaja berjaya memenuhi objektif ekonomi British misalnya Perak dan negeri-negeri lain yang tidak seragam sistemnya mundur sedangkan ini bertentangan dengan objektif ekonomi British yang mahukan semua negeri maju agar pendapatannya meningkat. Oleh sebab itulah perlunya penyelarasan dan keseragaman setiap negeri kerana dengan adanya perkongsian idea dan teknologi dalam perlombongan bijih timah, maka objektif ekonomi British akan tercapai dan negeri yang sudah mengamalkan teknologi perlombongan boleh berkongsi dengan negeri-negeri yang belum mempraktikkannya dalam perlombongan bijih timah. Permasalahan ini hanya akan terjawab dengan adanya Persekutuan NNMB yang membolehkan interaksi ekonomi antara setiap negeri wujud.

KEMASUKAN BURUH
Kita sedia maklum bahawa British sememangnya mahu mendapatkan keuntungan semaksimum yang mungkin daripada perlombongan bijih timah dan oleh sebab itulah British telah menggalakkan para pemodal melalui undang-undang Tanah yang diperkenalkan dengan membuka lebih banyak kawasan baru untuk diterokai sumbernya. Campur tangan British dalam pentadbiran ekonomi selepas kedatangan residen menyebabkan pengenalan peraturan baru berkaitan dengan undang-undang tanah telah dalam memastikan eksploitasi ekonomi lebih berkesan.

Perspektif yang dilihat dalam buruh ini akan diperincikan daripada aspek sistem pengambilannya. Buruh cina yang diambil melalui beberapa sistem iaitu sistem tiket kredit. Sistem ini antara sistem terawal dalam pengambilan buruh dari China oleh para pemodal. Broker kuli yang bertindak sebagai orang tengah akan pergi sendiri ke China untuk merekrut seberapa banyak buruh ke Tanah Melayu. Di sinilah berlaku pengeksploitasian terhadap manusia iaitu broker tadi akan menggunakan pelbagai cara untuk memujuk rakyat China berhijrah contohnya penipuan. Perkara ini berlaku kerana prinsip “banyak untung, banyak komisen”. Keuntungan yang banyak akan diperoleh sejajar dengan jumlah buruh diperoleh. W.L.Blythe menyatakan sistem ini tidak ubah seperti perdagangan binatang dan melanggar asasi sebagai manusia. Ternyata penindasan terhadap buruh berlaku iaitu buruh-buruh dilayan secara kasar dan kebajikan mereka tidak dititikberatkan.

Begitu juga dengan pengambilan buruh dari India iaitu melalui buruh kontrak yang lebih menjurus kepada penindasan semata-mata. Sistem Kangani yang diwujudkan juga berorientasikan penganiayaan buruh-buruh. Kangani yang tidak bertanggungjawab akan menyeleweng gaji yang sepatutnya diberikan kepada para buruh dan buruh tersebut hanya diberi makan sahaja. Jelaslah sistem pengambilan buruh yang dijalankan telah menampakkan riak-riak penindasan dan cuba kita fikirkan sejenak dari sudut moral para buruh berkaitan dengan objektif ekonomi British. Seharusnya moral dan kebajikan para buruh perlu dijaga kerana ini mempengaruhi usaha ke arah merealisasikan objektif ekonomi British. Sekiranya buruh-buruh berasa tertekan dan kurang bermotivasi, bagaimanakah British mahu mencapai objektifnya andai produktiviti tidak memuaskan. Lebih ditakuti lagi sekiranya buruh tersebut melarikan diri akibat ditindas dan siapa lagi mahu mengerjakan kawasan perlombongan yang telah dibuka.

Oleh sebab itulah British menyedari akan hal ini dan perlunya penyelarasan dari segi undang-undang buruh ini dari segi pengambilannya dan kebajikan. Dengan penyelarasan serta pemantauan yang dijalankan, buruh-buruh tidak lagi tertindas dan lebih bermotivasi menjalankan kerja-kerja perlombongan seterusnya mencapai objektif ekonomi British melalui peningkatan hasil produktiviti perlombongan.

PEMBANGUNAN INFRASTURTUR
Umum mengetahui bahawa British mempunyai matlamat tersendiri di sebalik penjajahannya di Tanah Melayu iaitu mengaut seberapa banyak secara maksimum keuntungan daripada pengeksploitasian terhadap kekayaan hasil bahan mentah khususnya bijih timah di Tanah Melayu dan objektif ini sebenarnya dapat dicapai melalui kemajuan dalam infrastruktur iaitu dengan mewujudkan beberapa jaringan perhubungan bagi memudahkan proses penghantaran sumber secara berkesan serta efisien.

Negeri-Negeri Melayu sebelum persekutuan 1895 berada dalam unit politik yang berasingan walaupun di bawah teraju British melalui residen yang dilantik. Oleh itu, sistem perhubungan yang dibina hanya terbatas kepada sempadan negeri-negeri tersebut kerana tiada usaha yang dilakukan untuk menyelaraskan dasar dalam keempat-empat buah negeri atau merancang projek-projek pembangunan seperti menyambung jalan raya. Pada tahun 1884 jalan raya telah dibina menyambung Kuala Lumpur ke sempadan negeri Perak, Pahang, dan Sungai Ujung. Seterusnya, pada tahun 1887, jalan raya Kuala Kangsar ke tanjung Malim telah siap dibina. Pada tahun 1882, landasan keretapi pertama dibina dari Taiping ke Port Weld dan tahun 1883, jalan kereta api yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kelang disiapkan.

Kemajuan dalam bidang komunikasi juga wujud dalam Tanah Melayu yang telah wujud talian telegraf antara Kuala Lumpur dengan Melaka pada tahun 1886. Namun di negeri selainnya tidak wujud hubungan komunikasi melalui telegraf dan ini telah memaksa British mewujudkan satu sistem sosiobudaya yang seragam bagi melicinkan pentadbiran dengan adanya komunikasi antara satu sama lain. Penubuhan persekutuan 1895 akan memantapkan sistem perhubungan serta komunikasi setiap negeri di bawah British dengan terbinanya sambungan sistem perhubungan yang sedia ada di setiap negeri bagi meningkatkan keberkesanan eksploitasi terhadap sumber alam khususnya bijih timah dan ladang getah di negeri-negeri berkenaan kerana kos pengangkutan bijih timah akan dapat dikurangkan dan diangkut dalam kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat untuk dieksport. Akhirnya dengan kewujudan keseragaman melalui Persekutuan NNMB pada 1895, Frank Swettenham berjaya juga membuka jaringan jalan kereta api merangkumi seluruh Tanah Melayu ini membolehkan para pemodal menerokai kawasan pertanian secara liberal atau bebas. Perkara ini jelas menambah lesung pipit dan riak-riak kegembiraan kepada pihak British kerana objektif mereka yang berorientasikan keuntungan semaksimum yang mungkin akan mudah direalisasikan.

KESURAMAN EKONOMI PAHANG
“Indah khabar dari rupa”. Sengaja diungkap peribahasa ini bagi menggambarkan ketamakan dan kerakusan British menjalankan dasar-dasar penjajahannya di Tanah Melayu sehingga tercetusnya tragedi atau aksi “tersilap langkah” di Pahang. Menjelang tahun 1880-an, beberapa orang pegawai British mempercayai Pahang merupakan negeri terkaya dan mereka menjangka kekayaan hasil bumi di Pahang akan menjamin keuntungan mereka berlipat ganda berbanding di Perak.

Weld turut optimis tentang peluang British mengaut seberapa banyak keuntungan dari Pahang dengan mengatakan “dengan keluasan melebihi Perak, Pahang sememangnya kaya dengan hasil bumi dan membuka laluan perdagangan kepada kita”. Clifford juga ada menyatakan masa depan British cerah dengan adanya negeri yang besar, cantik dan amat bernilai. Akibatnya mereka telah menjalankan inisiatif tersendiri dalam usaha untuk menjajah Pahang walaupun dinasihati oleh Pejabat Tanah Jajahan di London supaya tidak menambahkan beban yang sedia ada. Walau bagaimanapun nasihat itu tidak berjaya menghalang kebodohan pegawai tersebut kerana mereka masih bertekad untuk merealisasikan objektif dasar ekonomi British yang mahukan keuntungan semaksimum yang mungkin. Akhirnya mereka berjaya menguasai Pahang dan menjalankan dasar-dasar ekonomi British dengan mengadakan aktiviti perlombongan dan sebagainya.

Pada tahun 1892, Pahang mengalami keadaan ekonomi yang teruk apabila terpaksa meminjam dengan Negeri-negeri Selat (NNS) sebanyak $600,000. Masalah tersebut diburukkan lagi apabila berlaku pemberontakan Pahang menyebabkan hutang dengan NNS meningkat lagi sebanyak $ 57,000 dan $ 100,000 daripada Perak dan Selangor. Longgokan bijih timah yang berkurangan dan kekurangan orang Cina di Pahang secara tidak langsung menyebabkan kerajaan British kehilangan sumber kutipan cukai seperti cukai arak, lombong dan sebagainya. Selain itu, masalah kesukaran aktiviti perlombongan dan masalah geografi seperti banjaran gunung yang tinggi yang memisahkan Pahang dengan negeri pantai Barat dan musim tengkujuh menyebabkan penutupan lombong di Kuala menghalang pembangunan.

Hasil cukai dari Timah tidak pernah melebihi 5 % jumlah NNMB dan tidak pernah cukup menampung keperluan Pahang sendiri. Pada tahun 1891-1895, NNS tidak mampu memberikan pinjaman lagi kepada Pahang. Justeru, C.P Lucas iaitu Pegawai Tetap di Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan pembentukan Persekutuan dengan harapan negeri-negeri yang kaya seperti Perak dan Selangor dapat membantu mengatasi masalah kewangan Pahang. Perbendaharaan yang ditubuhkan dalam NNMB membolehkan British lebih mudah mendapat saluran pinjaman bagi membangunkan ekonomi di Pahang di sinilah kita dapat lihat dengan semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” diamalkan British dalam menyelesaikan masalah Pahang.

KESIMPULAN
Sudah terang lagi bersuluh terbukti bahawa pelaksanaan beberapa dasar ekonomi British untuk merealisasikan matlamat serta objektif ekonomi British mengundang atau mendorong kepada pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu(NNMB) pada tahun 1895. Penjajahan terhadap Tanah Melayu yang berorientasikan keuntungan ekonomi melalui beberapa dasar seperti pentadbiran residen, pengambilan buruh asing, perlombongan, perhubungan serta yang terutama sekali iaitu masalah ekonomi di Pahang menampakkan kelonggaran yang wajar untuk mengelakkan tragedi “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. British telah mengambil langkah untuk menyatukan kesemua negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu koloni pemerintahan yang diterajui oleh Residen Jeneral pada tahun 1895. Setiap residen tertakluk kepada arahan dan peraturan Residen Jeneral. Residen Jeneral pertama di Tanah Melayu dalam NNMB ialah Frank Swettenham dan beliaulah mencorakkan pentadbiran berbentuk persekutuan ini dengan keseragaman dan setiap bidang meliputi ekonomi, politik dan sosial antara negeri diselaraskan(desentralisasi). Apa yang pasti pemusatan kuasa oleh British melalui Residen Jeneral semakin berleluasa dan sudah pasti Sultan mahupun Raja-Raja Melayu semakin keruncingan pengaruh serta kuasa dan hanya mampu menggigit jari memerhatikan negerinya dijamah warga asing iaitu British.

BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Ismail, Sejarah Kenegaraan dan Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.
Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2001.
B.W. Andaya dan L.Y. Andaya, Sejarah Malaysia,Kuala Lumpur: Macmillian Publishers Sdn. Bhd, 1982.
Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad, Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara lain, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1990.
C. D. Cowan, Tanah Melayu Kurun Kesembilan-belas (Asal- usul Penguasaan Politik British), Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970.
Emily Sadka, Journal of Sir Hugh Low, Perak,1877, JMBRAS, 1954, hl. 80-81.
H.S.Barlow, Swettenham, Kuala Lumpur: Southdene Sdn. Bhd, 1995.
Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.
Mardiana Nordin, Pengajian Malaysia, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2000.
Mohd Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2002.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates