"buatlah pilihan yang bijak"


"Mahasiswa pewaris kepimpinan"

Alhamdulillah..lama tidak berkongsi idea di blog ini disebabkan kesibukan tugas sebagai mahasiswa. Tiga hari ini akan menyaksikan kempen dalam pilihanraya kampus yang dihangatkan dengan pelbagai isu. penulis lebih bersifat fleksibel. sesiapa sahaja yang diangkat harus sedar tanggungjawab dan peranan kerana setiap kepimpinan akan dipertanggungjawabkan. Pada sesi kali ini suka untuk penulis berkongsikan artikel yang disiapkan oleh penulis semasa mengambil kursus kenegaraan.

Pengenalan
Negara kita menghadapi banyak masalah dalam pembangunan pada semua aspek. Pembangunan ekonomi menempuhi berbagai-bagai cabaran yang memerlukan banyak pengorbanan dari semua pihak. Pembangunan pendidikan dan pelajaran juga terdapat halangan yang juga memerlukan kebijaksanaan dan pandangan jauh. Pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu lebih banyak rintangan yang memerlukan banyak tenaga, usaha, toleransi dan persefahaman untuk membentuk perpaduan. Dalam konteks ini, mahasiswa perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab. Justeru, mahasiswa selaku sebahagian daripada entiti penting dalam masyarakat tidak boleh lari daripada mewujudkan kesedaran tentang persoalan pokok ini dan seterusnya wajar bingkas bangun menilai diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di Akhirat.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini juga merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya masyarakat di masa hadapan banyak bergantung kepada sumbangan komuniti teras ini. Mahasiswa harus mengubah minda dari segi perancangan, strategi, program dan mekanisme pelaksanaan dalam menangani masalah utama pelajar masa kini. Antaranya ialah kemerosotan minat belajar para pelajar, menangani masalah kemerosotan akhlak, mengatasi masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera serta memperbaiki persepsi pelajar terhadap kerajaan.

Oleh itu, mahasiswa perlu sedar tentang tanggungjawab dan harapan yang disandarkan kepada mereka dalam meniti ranjau yang penuh cabaran. Keterampilan sahsiah dan kesarjanaan ilmu merupakan persiapan penting dalam mematangkan mahasiswa untuk mewarisi kepimpinan negara di masa hadapan. Persoalannya, apakah tanggungjawab dan harapan kepada mahasiswa dalam mencapai negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang?

Memartabatkan ilmu pengetahuan.
Allah SWT berfirman bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu. (Surah Ar-Rahman, 33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan kegemilangan dan kejatuhan sesuatu tamadun. Selain itu, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan negara-negara maju seperti Barat dan Jepun telah menjadi pelopor kepada pelbagai corak kehidupan.

Lantaran itu, mahasiswa harus menyematkan di sanubari bahawa segala label-label negatif seperti mahasiswa lesu, bisu, longlai dan sebagainya hanya dapat ditangani dengan tindakan yang positif, proaktif dan progresif. Penghayatan bahawa mahasiswa tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran harus disematkan bagi direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai yang terbilang. Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa di sebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mampan menjadi rahsianya. (Dr. Danial Zainal Abidin, 2008). Di samping itu, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran pernyataan ini.

Justeru, konsep penguasaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa. Mahasiswa tidak sewajarnya menanamkan di jiwa bahawa pembelajaran hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat sekeping ijazah sahaja. Sebaliknya semangat cintakan ilmu merupakan momentum penting ke arah memahami erti hidup yang sebenar. Setiap ilmu yang dipelajari wajar ditafsir dan difikirkan mengikut kacamata ilmiah yang betul. Hal ini kerana kesanggupan befikir merupakan penghasilan ke arah pemahaman intelektual, kepimpinan berkesan dan memperlengkapkan manusia dengan ilmu pengetahuan (Ibnu Khaldun, 1993). Kesannya, hakikat akhir sesuatu proses berfikir mampu membawa mahasiswa ke landasan kebenaran.

Di samping itu, sikap suka membaca harus dibudayakan untuk memartabatkan ilmu pengetahuan. Sesuatu yang sangat menyedihkan jika mahasiswa bersikap negatif dengan bergantung harap kepada nota yang diberikan oleh pensyarah untuk tiket lulus dalam peperikasaan tanpa mengambil inisiatif untuk mencari rujukan tambahan. Lebih memeranjatkan, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya Dr. Abu Hassan Hasbullah mengenai tabiat membaca dalam kalangan pelajar universiti di negara ini hanya membaca empat buah buku setahun. Fenomena ini tidak mesra buku ini membimbangkan semua pihak kerana golongan ini merupakan teraju ke arah perubahan negara. Kepincangan ini juga memberi implikasi yang besar yang boleh menjatuhkan kualiti dan prestasi sesebuah universiti berada di tahap kritikal.

Namun, semakin malang sekiranya suatu sistem pembelajaran itu bukan sahaja gagal tetapi turut melahirkan pelajar yang lemah berfikir, kurang kesedaran, ketandusan ilmu, kering idea dan muflis keintelektualan. Walau bagaimanapun merujuk kepada mahasiswa di kampus, terdapat pelbagai usaha yang dilakukan untuk memartabatkan ilmu pengetahuan. Salah satu daripada usaha tersebut ialah menetapkan syarat am kemasukan ke universiti harus memperolehi sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian Bahasa Melayu (Kementerian Pelajaran Malaysia). Hal ini merupakan satu langkah awal yang efektif kerana mahasiswa berpengetahuan merupakan role-model yang akan diteladani oleh masyarakat sekitarnya dan menjadi titik tolak yang akan mencanai kegemilangan pendidikan dalam usaha bersepadu untuk melahirkan universiti bertaraf dunia atau World Class University.



Membentuk keperibadian unggul
Sanjungan Thomas Carlyle menyatakan tentang Muhammad s.a.w bahawa baginda seorang yang jujur dan taat, benar dalam apa yang dilakukan, dikatakan dan diajarkan. Baginda hanya bercakap apabila perlu, berdiam diri apabila tiada apa-apa yang perlu diperkatakan tetapi tepat, bijak, jujur apabila bercakap, sentiasa memberi pandangan bernas terhadap sesuatu perkara (Ismail Noor, 2000). Melalui sanjungan ini seharusnya menjadi contoh kepada mahasiswa dalam membentuk sahsiah yang hebat. Konsep keperibadian unggul adalah satu elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kecemerlangan. Perangkaan serta statistik tentang permasalahan sosial yang kian meruncing memperlihatkan bahawa golongan mahasiswa juga tidak terlepas daripada terlibat sama. Kepincangan dan keruncingan krisis moral seperti seks bebas, arak, sumbang mahram, hedonisme, penyalahgunaan dadah dan sebagainya turut membuktikan bahawa penuntut institusi pengajian tinggi juga tidak begitu ampuh dari segi penghayatan nilai moral dan etika kehidupan.

Justeru, Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan perkara penting dalam mencorakkan kehidupan mahasiswa. Usaha ini adalah bagi melahirkan mahasiswa dan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, Falsafah Pendidikan Negara merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan yang akhirnya membentuk keperibadian unggul dalam diri mahasiswa.

Sewajarnya usaha yang sebegini penting perlu untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan mahasiswa yang berperibadi unggul seperti diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut amat penting agar segala cita-cita murni yang sering dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan.

Lantaran itu, menerusi kehebatan penampilan, pemikiran, pengorbanan, keperibadian dan keberanian boleh dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat, mahasiswa dan remaja lain. Lantas akan terbit perubahan dalam kalangan mahasiswa untuk berubah dari hanya suka berfoya-foya dengan budaya hedonisme kepada mahasiswa yang berfikiran kritis dan memiliki jati diri yang cemerlang. Sedar atau tidak, suara gelombang mahasiswa mampu membangkitkan semula mahasiswa yang telah dilanda kelesuan dan terjaga dari mimpi indah.

Mewujudkan perpaduan
Mahasiswa harus bangkit dan sedar akan tanggungjawab untuk memupuk perpaduan agar kelestarian kampus terus terjamin. Oleh itu, masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini mampu merencatkan perpaduan jika tidak ditangani dengan betul dan berhemah. Menurut Sanusi Osman (1985) masalah sebenar yang kita hadapi bukan berpunca daripada berbagai kumpulan etnik yang ada di negara ini, tetapi yang lebih penting ialah perasaan perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini terlalu dibesar-besarkan. Justeru, menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk mengekalkan perpaduan dan menjamin kelestarian agar tradegi berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang.
Sering kedengaran bahawa pencapaian pelajar bukan Bumiputera khususnya Cina adalah lebih baik berbanding pelajar Bumiputera dari segi pencapaian akademik. Walau bagaimanapun mungkin pernyataan ini tidak selalunya benar, tetapi langkah-langkah bersepadu perlu diadakan untuk memastikan perubahan minda dan sikap dapat dijana. Terdapat pelbagai pemikiran yang harus dibuang sebelum menjadi barah dalam daging oleh pelajar Bumiputera khususnya mahasiswa Melayu. Budaya-budaya negatif seperti terlalu bergantung kepada seseorang, warga mengharap bantuan, sikap sambil lewa, budaya cukup makan, tidak mahu cari lebih, mudah berpuas hati dan seumpamanya harus dibuang dari kamus kehidupan mahasiswa. Sebaliknya, sikap-sikap yang baik seperti rajin, berusaha gigih, berkeyakinan diri, berfikiran positif, berpengetahuan tinggi dan sebagainya wajar disuburkan agar mahasiswa Bumiputera dan bukan Bumiputera akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dari segi kelulusan akademiknya.
Justeru, perpaduan kaum di kampus wajar diberi perhatian yang sepenuhnya. Hal ini kerana berdasarkan laporan Jabatan Perpaduan Negara (2003), polarisasi kaum terutama dalam kalangan generasi muda semakin serius. Bahkan pengarahnya turut menegaskan bahawa interaksi kaum dalam kalangan golongan mahasiswa kini berada pada tahap minimum walaupun seolah-olah wujud perpaduan dalam kalangan mereka dari segi luarannya. Lantaran itu, pihak universiti dengan kerjasama mahasiswa wajar memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus. Selain itu, masyarakat dan kerajaan juga harus memainkan peranan masing-masing. Dasar dan program tertentu perlu dirangka untuk menyemai elemen-elemen positif yang berkaitan dengan keharmonian dan perpaduan. Antara program yang mampu mengekalkan perpaduan sejagat dan harus dikekalkan ialah Konvensyen Rukun Negara peringkat IPTA dan IPTS peringkat Borneo dan seharusnya menjadi contoh kepada mahasiswa diluar sana. Program yang berunsurkan perpaduan seperti ini diharapkan mampu menjadikan pelajar saling memahami antara satu sama lain, menghargai budaya orang lain, berkompromi dengan perbezaan pendapat dan saling berganding bahu ke arah menyelesaikan permasalahan yang lebih besar.

Jelaslah bahawa semua pihak harus bekerjasama bagi memupuk integrasi dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa khususnya di antara kepelbagaian etnik, latar belakang, warna kulit, agama dan fahaman politik. Kesamarataan dan peluang pendidikan kepada semua masyarakat yang diperkenalkan oleh kerajaan memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan yang utuh. Hal ini berdasarkan pendapat Azyumardi Azra (2006) yang menyatakan bahawa pendidikan yang tidak seimbang dan tidak memberi peluang kepada semua masyarakat untuk menonjolkan kebolehan harus dilenyapkan kerana pendidikan seperti ini gagal dalam menjalankan fungsinya untuk menyatupadukan rakyat.

Menjiwai agama
Pendekatan Islam Hadhri merupakan salah satu konsep penting untuk menjiwai agama dan nila moral. Hal ini ekoran daripada prinsip-prinsip Islam Hadhari menekankan sikap bertolak ansur (Tasamuh), mesyuarat (Tasyawur), menegakkan keadilan (Al-Adalah), kesederhanaan (Tasawuth) yang mencerminkan Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin” bagi umat manusia pada setiap masa (Syarifuddin Muhammad, 2005). Lantaran itu, dalam menuntut ilmu pengetahuan dan menjalani kehidupan sebagai mahasiswa, rasa kehambaan kepada Tuhan hendaklah diberi penekanan yang paling utama. Mahasiswa juga perlu memahami apakah sebenarnya falsafah di sebalik aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka? Menurut Islam, perkataan pendidikan bermaksud suatu pendekatan yang terbaik dalam berinteraksi dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan. (Mohd. Kamal Hassan , 1988). Oleh itu, suatu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.
Lantaran itu, perlu disematkan di pemikiran mahasiswa betapa soal agama mampu menentukan sesebuah bangsa dan negara itu membangun dari aspek fizikal dan kerohanian. Kejayaan untuk membina tamadun bangsa yang gemilang bukan sahaja memerlukan keampuhan dari segi keintelektualan atau kesarjanaan ilmu semata-mata tetapi juga keterampilan diri dan kemantapan sahsiah. Sejarah telah menukilkan perkembangan tamadun Islam adalh berdasarkan ketaqwaan kepada Allah selain daripada ketinggian ilmu pengetahuan. Secara sedar atau tidak, kekuatan idealisme golongan mahasiswa berkait rapat dengan status dan keadaan sosial sedia ada. Jika persekitarannya sempurna tanpa cacat cela, maka individu yang dilahirkan merupakan insan yang terpuji. Sungguh mendukacitakan, tinjauan yang dibuat tentang komitmen atau sensitiviti keagamaan dalam kalangan mahasiswa negara ini terus menzahirkan bahawa tahap kepekaan dan pengamalan agama mahasiswa berada di takuk kurang kesedaran. Oleh yang demikian, selain hanya tersentak bimbang dengan hasil tinjauan ini, sewajarnya seluruh mahasiswa bingkas bangun memperkukuh semangat dan membangkitkan kesedaran untuk menanamkan benih keimanan di dalam sanubari.
Melatih kebolehan memimpin
Prof. Ungku Aziz dalam syarahannya bertajuk The Quest of Success di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (2009) menggariskan empat aspek yang menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk berjaya iaitu diet dan permakanan yang sihat, alat untuk membangunkan pemikiran, pelbagai strategi mencapai kejayaan dan kepimpinan. Justeru, sebenarnya teras kelangsungan kecemerlangan sesebuah bangsa itu banyak bergantung harap kepada pemimpin berkaliber laksana pelita cahaya yang akan menyuluh lorong perjalanan bangsa dan agamanya. Menurut Stephen R. Covey “pemimpin yang memimpin berteraskan prinsip adalah lelaki dan wanita yang mempunyai keperibadian yang mampu bekerja ‘di ladang’ berserta ‘biji benih dan tanah’ dan bekerja secara harmoni dengan prinsip-prinsip ‘kebenaran sejati’ semula jadi dan dengan ‘peraturan-peraturan penuaian.’”(Ismail Noor, 2000). Oleh yang demikian, mahasiswa harus bersifat menyeluruh dengan ciri-ciri peribadi unggul seperti jati diri yang tinggi, inovatif, produktif, berkemahiran, berdaya saing dan kreatif bagi menangani cabaran negara dan arus dunia tanpa sempadan hari ini.

Dalam pada itu, keperluan kepada pemimpin merupakan sebahagian daripada fitrah manusia. Dari awal kejadian manusia lagi, Allah telah memilih manusia-manusia tertentu dari kalangan mereka sendiri untuk diangkat sebagai pemimpin dalam bentuk Rasul dan Nabi (Syed Othman Alhabshi, 1994). Oleh itu, kepimpinan mahasiswa sering diharapkan untuk mendukung keadilan dan kesaksamaan. Kita telah melihat kebanyakan pemimpin negara malah dunia kini termasuk YAB Perdana Menteri juga merupakan bekas-bekas aktivis yang aktif ketika di kampus. Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan mantan pemimpin kepada pelbagai persatuan pelajar yang sering kali menjadi agen yang pembawa suara masyarakat yang berkesan. Oleh itu, mahasiswa yang ada hari ini wajar mempertajamkan segala kebolehan kepimpinan bagi mengelakkan ketandusan atau kepupusan pemimpin berkaliber di kemudian hari. Sejarah telah membuktikan kehebatan kepimpinan akan melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kepimpinan Umar Al-Khattab merupakan contoh terbaik tentang kezuhudan seorang pemimpin yang sanggup hidup dengan mengambil wang saraan dari baitulmal sebanyak dua dirham setiap hari untuk dirinya dan keluarga (Abdul Latip Talib, 2009). Kesannya, sebuah kerajaan Islam yang berdaulat dan gemilang telah tercipta hasil kepimpinan pemimpin yang zuhud. Lantaran itu, mahasiswa harus menanamkan sikap kepimpinan yang dinamik dan ikhlas tanpa memikirkan ganjaran yang diperolehi untuk melonjakkan kecemerlangan bangsa, masyarakat dan negara.

Namun tidak dinafikan wujud kekangan dalam kalangan mahasiswa kerana sesetengah pihak berpendapat bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Pindaan 1975 telah mewujudkan budaya takut dalam kalangan mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti mahasiswa. Walau bagaimanapun, meskipun diakui terdapat beberapa seksyen yang perlu dikaji semula dan dimansuhkan, tetapi sebagai seorang mahasiswa bitara perlu melihat keadaan ini secara positif dan muhibbah. Ketahuilah, walau apapun undang-undang yang digubal, tetapi sekiranya sifat kepimpinan benar-benar dijiwai, yakin dan percaya bahawa segalanya akan memberi sinar harapan serta tidak akan menjadi halangan dan hadangan. Perlu difahami bahawa masih terlalu banyak ruang lingkup, landasan dan aktiviti yang boleh diadaptasi dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan segala idealisme yang digariskan. Jika ada peluang gunakanlah peluang dan jika tiada peluang, ciptalah peluang.

Mahasiswa merupakan wakil masyarakat
Pada era globalisasi kini, mahasiswa seharusnya mengorak langkah menjana perubahan untuk memperkasakan kembali kekuatan mahasiswa dalam seluruh aspek yang menyentuh tentang persoalan spiritualisme, idealisme, intelektualisme, dan aktivisme. Mahasiswa harus keluar dari kepompong lama yang menyaksikan mahasiswa tidak lagi menjadi alat perubahan yang penting dalam masyarakat. Mereka dangkal dengan persoalan dan isu-isu nasional dan antarabangsa, kekok untuk berbicara dalam menyatakan pendirian mereka berkenaan sesuatu isu, dan cetek dalam persoalan disiplin ilmu. Sedangkan jika kita menyusur kembali sejarah mahasiswa, mereka merupakan golongan yang sebenarnya menjuarai isu-isu besar dalam negara. Mereka dianggap sebagai suara hati rakyat dalam membela nasib dan merungkaikan keperitan hidup golongan marhein. Lantas, mereka telah digelar sebagai juru bicara masyarakat. Setiap denyut nadi masyarakat difahami oleh mereka. Oleh itu, mahasiswa harus tersentak dari lamunan dalam usaha memperjuangkan agenda untuk membentuk masyaraka madani.

Berdasarkan tanggungjawab terhadap masyarakat, sewajarnya mahasiswa pada hari ini harus mengambil peluang kebebasan bersuara dengan syarat segala pendapat dan luahan harus berdasarkan kepada ilmu dan pengetahuan yang mendalam serta tidak melampaui batas dan bukan tuduhan melulu dan dalam ruang lingkup tertentu. Justeru, mahasiswa harus menjadi pemberi ilham, pencetus penafsiran dan memperjuangkan hak masyarakat seluruhnya. Pendek kata mereka harus bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Hal ini bagi memastikan segala kualiti diperolehi yang boleh menyumbang kepada pembangunan insan dan tidak hanya ternoktah di titik sifar. Segala pengalaman berharga, teori dan aktiviti membina yang telah dilalui wajar untuk dikongsi dengan masyarakat khususnya muda-mudi dan remaja sebagai pemangkin ke arah penambahbaikan jatidiri serta penyuluh lorong kehidupan mendatang.

Selain itu, mahasiswa juga harus bersifat terbuka yang boleh menganjakkan paradigma berfikir, meninggikan kualiti ilmu serta memurnikan institusi pendidikan. Pelbagai usaha yang bersifat realistik, progresif dan dinamik akan menjadi pemangkin ke arah pengharmonian dan mecambahkan kembali nilai-nilai murni yang kian sirna dalam masyarakat di seantero pelusuk hari ini. Mahasiswa harus menyediakan diri dengan kapasiti yang maksimum untuk membentuk keperibadian dan tingkah laku yang berwawasan untuk merancang segenap aktiviti untuk merealisasikan visi dan misi yang telah dicanangkan. Hal ini bertujuan agar mahasiswa yang lahir akan menjadi cermin ke arah masyarakat yang terbilang. Selain itu, pelbagai program sama ada bersifat kepimpinan, keusahawanan, kaunseling, khidmat masyarakat, kebudayaan, ceramah keagamaan, hubungan luar harus dijalankan ke arah melahirkan mahasiswa yang boleh berperanan sebagai pengasuh, petunjuk, pembimbing, pemandu dan penasihat kepada masyarakat dan pemimpin selepas tamat pengajian.

Oleh yang demikian, mahasiswa harus sentiasa besedia untuk menghadapi cabaran untuk menjadi wakil kepada suara masyarakat. Hal ini kerana suatu hal yang kita harapkan dari para pemikir, ilmuan dan mahasiswa adalah agar mereka menunjukkan langkah-langkah strategik untuk kebangkitan negara dan kegemilangan masyarakat. Lantaran itu, perlu diketahui bahawa titik-tolak kebangkitan ini adalah kebangkitan para mahasiswa. Hal ini disebabkan mahasiswa yang terdidik merupakan saham-saham yang sangat bernilai. Perlu segera disedari, bahawa mahasiswa unggul adalah generasi termahal dan paling berharga yang terdapat di setiap negara di dunia ini. Maka secara tuntasnya, mahasiswa memainkan peranan penting dalam masyarakat. Oleh itu, mahasiswa harus membumikan visi kecemerlangan bersepadu dan mempasakkan misi kesarjanaan fikiran yang merupakan formula ampuh yang akan melonjakkan usaha untuk mencipta kejayaan demi kejayaan yang bermakna. Justeru, gedung ilmu tidak patut sunyi dari perdebatan mencari kebenaran dan meninggikan lagi martabat ilmu demi kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, segala permasalahan harus diselesaikan secara profesional tanpa bertindak secara membuta tuli. Hal ini selaras dengan pandangan Aristotle seorang ahli falsafah Yunani pernah mengungkapkan dalam bukunya Nicornachean Ethics bahawa adalah mudah bagi setiap manusia untuk meluahkan kemarahan dan mampu bertindak mengikut kemahuan kemarahannya itu, tetapi untuk meletakkan kemarahannya itu pada orang yang betul, waktu yang tepat, tujuan yang baik, jalan yang hikmah dan tahap yang sepatutnya mereka menjadi marah itu tidak mudah dan payah untuk dilakukan. (Siti Fatimah Abdul Rahman (ed.), 1994). Lantaran itu, mahasiswa perlu faham, suara hati nurani murni generasi muda selaku generasi pelapis dan pewaris sebenarnya merupakan azimat keramat dalam menentukan kehidupan generasi mendatang.
Membudayakan semangat juang yang jitu
Dalam proses membuktikan bahawa mahasiswa merupakan tulang belakang perjuangan, mahasiswa wajar untuk mengikuti dan memberikan pandangan di dalam segala isu dan perkembangan yang berlaku sama ada di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Semangat juang yang jitu patut diberi penekanan. Usaha-usaha yang mampu menjadi pemangkin ke arah kebangkitan bangsa, negara dan masyarakat wajar diteruskan. Hal ini penting untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berpandangan progresif dan saintifik serta bersedia menjunjung aspirasi negara dan seterusnya mampu memainkan peranan bermakna di dalam pola politik, sosial dan ekonomi dunia. Hal ini dibuktikan pada era tahun 1960-an dan 1970-an memperlihatkan mahasiswa merupakan asas pembentukan untuk berjuang dan lantang bersuara menentang peperangan dan inginkan perdamaian. Mereka memprotes pencerobohan Rusia ke atas Czechoslovakia, penglibatan Amerika Syarikat dalam perang Vietnam dan pengebom Kemboja dan segala isu yang membawa kemudaratan masyarakat sejagat. (Wan Mohd. Mahyiddin, 1996).

Hasrat sebegini perlu disegerakan untuk mengelakkan lahirnya mahasiswa bersikap katak di bawah tempurung yang boleh mengundang kepada sindrom kejahilan, daya fikir yang sangat kerdil dan sempit serta terkesima dengan arus perubahan di sekelilingnya. Kesedaran tentang perihal perjuangan seharusnya menjadi agenda penting ke arah mewujudkan masyarakat yang tidak statik atau terus berada di takuk lama. Perjuangan dalam memartabatkan pengetahuan minda dan ketinggian sahsiah sepatutnya menjadi dasar penting kepada semua graduan masa kini. Pada dunia serba moden, di sana sini kita melihat tiada hari yang berlalu tanpa berlaku jenayah kemanusiaan. Perang, kolonialisme, pemerkosaan hak asasi dan penganiayaan terus mewarnai kehidupan. Perang meletus di pelbagai sudut dunia, kolonialisme cara baru telah dizahirkan, pemerkosaan hak asasi manusia semakin bermaharajalela dan penganiayaan tidak berperikemanusiaan kian berleluasa. Sebaliknya, kesucian dan keluhuran warna-warna indah kemakmuran telah dinodai serta dilacuri semaksimanya. Justeru, di dalam kecelaruan dan kebobrokan masyarakat hari ini, satu transformsi kepimpinan khususnya daripada golongan mahasiswa yang lebih telus dan tidak hipokrit perlu dipastikan wujud di setiap pelosok dunia. Pentadbiran yang kuku besi dan keras kepala, ego ditambah angkuh serta penindas berbaur zalim wajar ditumbangkan. Satu kepimpinan yang memperjuangkan keamanan sejagat, keadilan sosial dan kebajikan rakyat harus dipilih menerajui manusia moden hari ini.

Sejarah telah membuktikan perjuangan bangsa dalam menuntut kemerdekaan telah dipengaruhi oleh golongan terpelajar. Malaysia merupakan contoh terbaik apabila wujud golongan yang berpendidikan yang telah memahami erti kemerdekaan lantas bergerak atas landasan nasionalisme yang tulen seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam (Ariffin Omar, 2007). Lantaran itu, mahasiswa merupakan harapan dan obor yang akan menyemarakkan perjuangan bagi mewujudkan sebuah institusi masyarakat yang aman, damai dan sejahtera. Kesedaran bahawa seluruh lapisan masyarakat menyandarkan harapannya kepada mahasiswa sebagai golongan yang paling ramai untuk menggalas perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran harus difahami oleh mahasiswa. Melalui keinsafan ini, persekitaran demokrasi yang sihat dan sifat autonomi universiti yang unggul akan dapat melahirkan pejuang-pejuang bangsa dan tanah air yang berkarisma dan bersemangat jihad.

Harapan sebagai modal insan negara
Mahasiswa merupakan modal insan yang berharga bagi memacu dan menggerakkan keseimbangan negara dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Menurut Becker (1987), modal insan ialah yang berkaitan dengan pengetahuan, maklumat, idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang dimiliki oleh individu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Persoalannya, sejauh manakah mahasiswa memainkan tanggungjawab dan harapan sebagai modal insan iaitu aset beharga negara?

Mahasiswa merupakan modal insan negara yang menjadi tunjang perubahan dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang wawasan 2020 dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Hal ini selaras dengan ucapan Tun Abdullah Ahmad Badawi sempena Hari Pekerja (2000) menyeru rakyat berganding bahu agar pendidikan negara mampu melahirkan modal insan yang kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu bersaing dengan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan infrstruktur kelas pertama dan tenaga pengajar yang terbaik di setiap universiti untuk melahirkan modal insan yang berguna kepada nusa dan bangsa. Tujuan penambahbaikkan universiti adalah untuk memberi sumbangan kepada negara mengeluarkan mahasiswa yang terlatih dalam beberapa bidang yang relevan dan sekaligus memartabatkan negara di pentas dunia.

Secara asasnya, demi kelangsungan pembangunan mahasiswa sebagai modal insan negara, ketajaman intelektualisme merupakan elemen yang perlu diusahakan dan dijayakan secara bersama dan saksama oleh mahasiswa kini. Sebagai modal insan yang sedar akan tanggungjawab, sewajarnya mahasiswa menjadi satu entiti yang amat penting dan cukup berperanan dalam melaksanakan agenda perubahan dan pemerkasaan dalam masyarakat. Di samping itu, modal insan yakni mahasiswa yang berprestij dunia mampu meningkatkan taraf hidup dan membolehkan individu keluar dari kepompong kemiskinan. Hal ini dibuktikan melalui Duke (1985), Coombs dan Manzoor (1974) yang mengatakan bahawa cara yang terbaik bagi menyerang dan membasmi kemiskinan ialah melalui pendidikan dan latihan. Berpaksikan kepada asas ini, maka modal insan kelas pertama perlu dibudayakan dan diperkasakan oleh mahasiswa bagi memastikan segala agenda yang telah direncanakan mampu direalisasikan. Hal ini sekaligus akan membuang segala persepsi negatif yang mungkin wujud dalam masyarakat terhadap mahasiswa. Lantaran itu, syarat pertama agar modal insan cemerlang mampu dibudayakan dalam diri mahasiswa serta dapat direalitikan di pentas kenyataan ialah melalui penerapan semangat cintakan negara. Lebih daripada itu, penentuan halatuju dan matlamat yang jelas untuk mencipta aset berharga negara perlu dibincangkan secara intensif, jujur dan menyeluruh agar mimpi menjadi nyata. Justeru, mahasiswa kini perlu keluar dari kepompong kebatilan untuk menerobos ke ruang lingkup ilmu pengetahuan yang lebih luas. Mahasiswa perlu berjiwa besar dalam memikul amanah perjuangan menegakkan aspirasi masyarakat dan negara ke arah pembangunan modal insan yang dicita-citakan.



Penutup
Secara konklusinya, kesedaran mendalam di benak dan sanubari mahasiswa harus diperkukuhkan dalam menjalankan tanggungjawab dan harapan dalam menguruskan kesarjanaan ilmu dan keterampilan sahsiah dari pelbagai aspek seperti kecemerlangan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sudah tiada masa untuk kita terus bertegang leher, berkering tekak, berbahas dan berdebat tanpa pengaplikasian impian menjadi realiti. Harus diingat jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang beraksi di tika ini. Oleh itu, tenaga dan buah fikiran yang profesional perlu ada setiap pelajar yang bergelar mahasiswa. Keintelektualan dan kehebatan budi pekerti wajar dibina dan dilatih dengan inovatif agar mampu mengadaptasi sepenuhnya sifat profesinalisme di dalam semua tindakan. Usaha ke arah pembentukan mahasiswa yang sistematik dengan idealisme yang jelas, berasaskan intelektualisme dan dibuktikan dengan keaktifan dalam pengaplikasian setiap agenda sewajarnya dibiakkan dan disuburkan. Lantaran itu, perkara yang terpenting ialah kualiti mahasiswa yang mampu menyumbang kepada pembaikan dan keterbilangan generasi akan datang. Kualiti hendaklah dianggap sebagai suatu perlumbaan dan bukannya garisan penamat. Hal ini disebabkan apabila kualiti sudah berada di penghujung ibarat telur di hujung tanduk, maka segala idea dan reformasi minda akan mengundang permasalahan dalam kalangan mahasiswa.

Akhirnya, mahasiswa di seluruh kampus tanah air harus merenung firman Allah yang bermaksud; “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadilah, 11). Ayat ini membawa maksud di dalam hal berkaitan pahala di Akhirat dan kemuliaan di dunia, Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan berilmu berbanding orang-orang yang tidak berilmu dan Allah akan meninggikan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat dan darjat itu adalah dalam hal agama yakni apabila mereka melakukan perintah-perintah Allah. Oleh itu, mahasiswa cemerlang menjana warga gemilang dan seterusnya negara terbilang.


Bibliografi
Abdul Latip Talib, 2009, Umar Al-Khattab Reformis Dunia Islam. Kuala Lumpur, PTS Millennia Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Ahmad, 2006. Pembangunan Modal Insan: Apa dan Kenapa Perlu Dalam Konteks Organisasi di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Human Resources Academy.

Abdul Rahman Ismail, 2007. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adnan Haji Awang (Penyunting), 1985. Pendidikan dan Kewarganegaraan di Malaysia. Kuala Lumpur, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung.

Al-Quran dan Terjemaahan, 2005. Bandung, Penerbit Diponegoro.

Azyumardi Azra, 2006. Paradigma Baru Pendidikan Nasional. Jakarta, Penerbit Buku Kompas.

Danial Zainal Abidin, 2008. Minda Muslim Super. Kuala Lumpur, Penerbit PTS Millennia.

Hasan Langgulung, 1995. Manusia dan Pendidikan: Suatu Analisa Psikologi dan Pendidikan. Jakarta, Penerbit PT. Al Husna Zikra.

Http://www.jpnin.gov.my.

Http://www.scribd.com.

Ibn Khaldun, 2002. Mukadimah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Noor, 2000, Kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W:Pengurusan Altruistik Model Ikutan Sepanjang Masa: Perbandingan-Silang dengan kepimpinan dan Pengurusan Semasa, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd. Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur, Penerbit Nurin Enterprise.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Siti Fatimah Abdul Rahman (ed.), 1994, Asas-Asas Masyarakat Cemerlang: Kumpulan Rencana yang Telah Disiarkan di Akhbar Tempatan; Jilid 2, Kuala Lumpur, Penerbit Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syarifuddin Muhammad, 2005, Manhaj Islam Hadhari: Konsep & Metodologi, Kuala Lumpur, Pusat Kajian & Pembangunan Manhaj Islam Hadhari.

Wan Mohd. Mahyiddin, 1996. Kepimpinan : Sorotan Pelbagai Aspek Bagi Meningkatkan Kualiti dan pencapaian. Selangor, Penerbit Fajar Bakti.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

"Semangat 1 Malaysia"

Alhamdulillah..setelah sekian lama tidak memberikan perkongsian idea disebabkan kesibukan dengan pelbagai aktiviti yang hendak disempurnakan. Pada kalai ini bersesuaian dengan tajuka akan dibincangkan berkenanaan kesan kolonialisme ke atas perubahan sosioekonomi masyarakat malaysia.


Kejatuhan Pulau Pinang ke tangan British pada tahun 1786 hanya melalui tipu daya Kapten Francis Light merupakan titik tolak kepada permulaan kolonialisme British di Tanah Melayu. Dalam membahaskan kesan kolonialisme terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan, penakrifan tentang kolonialisme harus dirungkaikan. Menurut Nadel dan Curtis, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti dilihat daripada kaca mata penting penjajahan dan semua kolonialisme dimengertikan sebagai perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme bererti kolonialisme. Secara amnya, kolonialisme bermaksud penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi. Oleh yang demikian, kolonialisme ialah bentuk penjajahan politik satu kuasa ke atas kuasa yang lainnya.
Perbincangan seterusnya tertumpu kepada persoalan siapakah masyarakat tradisional tempatan? Golongan ini merupakan penduduk awal yang mendiami Tanah Melayu iaitu orang Melayu dan mengamalkan sistem politik bersifat feudal dan mengamalkan ekonomi sara diri. Masyarakat tradisional tempatan mempunyai kehidupan sosioekonomi yang tersendiri sebelum kedatangan kolonialisme British. Justeru, perbahasan ini akan membincangkan kedatangan kolonialisme British telah memberi kesan kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kesan kolonialisme sebenarnya telah mengubah politik, ekonomi dan sosial masyarakat tradisional tempatan iaitu penguasaan oleh pihak British.

Kuasa pemerintahan Raja dan Pembesar adalah terhad
Struktur politik masyarakat tradisional sebelum kedatangan British adalah berbentuk feudalisme. Sistem ini telah memberikan kuasa mutlak kepada raja atau sultan. Masyarakat feudal sangat memerlukan perlindungan dan perhubungan peribadi yang saling bergantungan antara yang kuat dengan yang lemah, dan dalam masyarakat ini setiap orang terikat dengan sistem itu. Namun, kesan daripada kolonialisme British telah menyebabkan kuasa raja menjadi terbatas kepada penasihat agama dan adat istiadat orang Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perjanjian Pangkor 1874 menyebabkan kehilangan kuasa oleh Raja Muda Abdullah dari Perak. Keadaan ini sekaligus memperlihatkan kehilangan kuasa raja dan pembesar serta perubahan struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.
Kesan yang jelas dapat dilihat dalam aspek penguasaan ekonomi oleh raja. Ketika dahulu raja adalah pemilik tanah dan penguasa ekonomi kerana memiliki tanah dan boleh mengurniakan tanah kepada sesiapa yang dikehendakinya terutamanya pembesar. Keadaan ini telah memberi faedah kepada sultan atau raja hasil daripada pungutan cukai. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sultan Abdullah di Perak menyewakan hak memungut cukai di Muara Sungai Perak sebanyak $24,000 setahun dan Menteri Larut ketika zaman kemuncak pemerintahannya pada tahun 1870-1872 mendapat $180,000 setahun daripada lombong-lombong di Larut. Kehadiran kolonialisme British telah menghakis kuasa pembesar dan sultan dalam pemilikan tanah dan penguasaan ekonomi masyarakat setempat. Hal ini rentetan daripada pengenalan dasar ekonomi yang berbentuk bebas atau lebih dikenali sebagai dasar laissez-faire. Keadaan ini telah menyebabkan kemasukan pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam sektor ekonomi yang berkembang seperti perlombongan dan perladangan bagi tujuan eksport. Perkembangan ini telah mendorong pemodal mendesak British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong sekitar tahun 1875. Fenomena ini menjadi tunjang kepada kehilangan kuasa pembesar dan raja dan jika terdapat kuasa, mereka hanya berkuasa memungut cukai untuk British dan mereka diberikan gaji atau elaun. Penjelasan ini jelas mengungkapkan kolonialisme British telah mengehadkan kekuasaan sultan dan pembesar dan mengubah struktur politik masyarakat tradisional tempatan kerana tampuk pemerintahan dikuasai oleh British.


Pengenalan sistem residen
Struktur sosioekonomi telah berubah kesan daripada kolonialisme British. British telah memperkenalkan sistem residen yang memberi tamparan kepada penguasaan ekonomi masyarakat tradisional tempatan. Perubahan struktur sosioekonomi adalah berbeza mengikut negeri dan pemerintahan residen itu sendiri. Di Perak, Hugh Low telah berjaya mengekalkan sistem feudal masyarakat tradisional Melayu iaitu para pembesar menjalankan hasil kutipan cukai dalam bentuk tunai namun mereka diberi gaji atau elaun walaupun terikat dengan peraturan British. Tetapi berlainan pula dengan halnya di Pahang iaitu residennya J.P.Rodger telah menghapuskan sistem feudal masyarakat Melayu secara langsung dengan melantik beberapa pegawai Inggeris untuk mengutip cukai dan ini telah menlenyapkan kuasa Dato’ Bahaman untuk mengutip cukai. Walau apapun keadaannya, kehadiran kuasa residen yang diperkenalkan oleh British telah menyebabkan perubahan besar dalam struktur sosioekonomi masyarakat tradisional temapatan. Hal ini disebabkan kehilangan kuasa pembesar mengutip cukai dan mereka hanya menjadi pekerja bagi British yang dibayar gaji sekaligus melenyapkan sistem serah yang diamalkan sebelum kedatangan kolonialisme.
Pengenalan sistem residen oleh kolonial memberikan kesan kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kehadiran residen bertujuan untuk mengkoreksi minda mereka mengikut kepakaran masing-masing dalam menjalankan dasar British. Setiap perkara pula perlu mendapat persetujuan gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) dan Pejabat Tanah Jajahan di London. Kita dapat menilai bahawa semua ini telah mengubah struktur sosioekonomi. Perubahan ini adalah disebabkan penguasaan residen menafikan kuasa raja atau sultan yang memerintah. Hal ini dibuktikan apabila J.W.W. Birch yang menjadi residen bertindak sesuka hati memperkenalkan dasar-dasar British tanpa mempedulikan kuasa Sultan Abdullah yang memerintah Perak ketika itu. Keadaan ini telah menyebabkan kuasa sultan semakin luntur dan hanya sebagai boneka oleh British. Oleh itu, pengenalan sistem residen merupakan kesan kolonialisme yang mengubah struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan dari aspek kekuasaan sultan dan penguasaan ekonomi oleh British.


British memperkenalkan undang-undang tanah
Kolonialisme British telah mengubah kaedah pemilikan tanah yang dipraktikan sebelum ini iaitu sistem hakmilik tanah secara adat tidak bersesuaian dengan sistem ekonomi bebas. British telah memperkenalkan beberapa undang-undang tanah untuk mengeksploitasi ekonomi secara maksimum. Antara undang-undang tanah yang digubal ialah dan dikuatkuasakan sebagai Peraturan 19 tahun 1830 menggariskan peruntukkan kuasa kepada Inggeris untuk mengutip cukai sepersepuluh daripada hasil pertanian. Pelaksanaan ini menunjukkan perubahan ataupun kesan daripada penjajahan British iaitu masyarakat tradisional tempatan harus membayar cukai kepada kerajaan British. Hal ini berbeza pada zaman feudal yang mengamalkan sistem serah. Di samping itu, British juga berhak terhadap tanah yang tidak diusahakan atau tanah hutan. Keadaan ini sekaligus mengubah lanskap kehidupan sosioekonomi masyarakat Melayu untuk mengubah corak ekonomi sara kepada ekonomi kapitalis acuan British.
Di samping itu, kesan kolonialisme British adalah pemilikan tanah perlombongan yang dahulunya dikuasai oleh golongan pembesar Melayu kini jatuh ke tangan British. Pada tahun 1857, kawasan perlombongan dikuasai oleh pembesar seperti Raja Malik di Jeram, Raja Bot di Lukut, Raja Mahadi di Klang dan lain-lain kawasan. Kawasan perlombangan ini telah dikuasai oleh British dan mengubah struktur sosiekonomi masyarakat tradasional tempatan melalui undang-undang tanah. Hal ini dibuktikan apabila Pejabat Tanah British mengeluarkan undang-undang yang membahagikan tanah diseluruh negeri kepada empat jenis dan hak milik ke atasnya mesti dituntut oleh Pejabat Tanah dan salah satu daripadanya ialah tanah rezab untuk perlombongan. Pengenalan undang-undang tanah oleh Pejabat Tanah merupakan kesan daripada kolonialisme British yang telah mengubah struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.


Pembentukan masyarakat majmuk
Menurut J.S. Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang tinggal berkelompok mengikut kaum dalam unit politik yang sama dan setiap kelompok mengamalkan agama, adat resam, bahasa, pemikiran, kerjaya dan cara hidup sendiri. Perhubungan mungkin wujud antara satu sama lain tetapi hanya di pasar atau kedai yang menjalankan urusan jual beli. Dasar imigran British menggalakkan imigran Cina dan India berhijrah dan mencuba nasib di Tanah Melayu peluang pekerjaan yang ditawarkan. Kemasukan golongan imigran yang semakin pesat telah memecahkan dominasi orang Melayu di Malaysia kerana sebelum kedatangan British masyarakat Melayu merupakan satu rumpun bangsa yang mengamalkan pertanian sara diri. Kesan imigrasi dapat dilihat di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada tahun 1898 yang menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pertambahan penduduk. Masyarakat Peribumi meningkat sebanyak 34.9 peratus, Cina naik sebanyak 83.4 peratus dan India peningkatannya mencecah 188.8 peratus. Kesannya telah menyebabkan penguasaan golongan imigran Cina dan India terhadap Tanah Melayu yang dahulunya dimonopoli oleh orang Melayu. Terbuktilah bahawa kolonialisme British telah mengubah struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan yang telah membentuk masyarkat yang berbilang kaum di Tanah Melayu. Kedatangan imigran Cina, India dan imigran dari Kepulauan Melayu ke Tanah Melayu telah membentuk satu masyarakat majmuk serta organisasi sosial dan budaya yang berbeza daripada sebelumnya kesan daripada kolonialisme British.


Perkembangan infrastruktur
Umum mengetahui bahawa British mempunyai matlamat tersendiri di sebalik penjajahannya di Tanah Melayu iaitu mengaut seberapa banyak secara maksimum keuntungan daripada pengeksploitasian terhadap kekayaan hasil bahan mentah khususnya bijih timah di Tanah Melayu dan objektif ini sebenarnya dapat dicapai melalui kemajuan dalam infrastruktur iaitu dengan mewujudkan beberapa jaringan perhubungan bagi memudahkan proses penghantaran sumber secara berkesan serta efisien. Perkembangan infrastruktur ini telah memberi kesan terhadap sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan kerana dahulunya mereka menggunakan pengangkutan air untuk perhubungan. Hal ini dapat dibuktikan bandar Kuantan di Pahang didirikan berhampiran Sungai Kuantan, bandar Diraja Pekan terletak berhampiran Sungai Pahang, Kuala Kangsar berhampiran Sungai Perak, Kota Tinggi berhampiran Sungai Johor, bandar Kuching berhampiran Sungai Sarawak, Kinabatangan berhampiran Sungai Kinabatangan dan bandar-bandar yang lain. Perkembangan infrastruktur ini adalah kesan kolianilisme British yang memberi perubahan dalam lanskap sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.
Di samping itu, kemajuan dalam bidang komunikasi juga wujud dalam Tanah Melayu yang telah wujud talian telegraf antara Kuala Lumpur dengan Melaka pada tahun 1886. Penubuhan persekutuan 1895 telah memantapkan sistem perhubungan serta komunikasi setiap negeri di bawah British dengan terbinanya sambungan sistem perhubungan yang sedia ada di setiap negeri bagi meningkatkan keberkesanan eksploitasi terhadap sumber alam khususnya bijih timah dan ladang getah di negeri-negeri berkenaan kerana kos pengangkutan bijih timah akan dapat dikurangkan dan diangkut dalam kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat untuk dieksport. Kepesatan perhubungan dapat dibuktikan dengan pendapat Amarjit Kaur yang mengemukakan bahawa sejarah pembinaan jalan kereta apa di Semenanjung terbahagi kepada tiga fasa iaitu peringkat pertamanya pembinaan jalan kereta api yang pendek-pendek pada tahun 1885 hingga 1896 dan akhirnya berkembang pesat. Akhirnya dengan kemajuan sistem perhubungan telah mengubah struktur sosiekonomi masyarakat tradisional tempatan kerana kewujudan sistem perhubungan tanpa sempadan.
Selain itu, penyeragaman melalui Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada 1895, Frank Swettenham berjaya juga membuka jaringan jalan kereta api merangkumi seluruh Tanah Melayu iaitu menghubungkan Taiping ke Sungai Larut terus ke Port Weld yang dibina pada tahun 1885, diikuti jalan kereta api Kuala Lumpur ke Sungai Kelang setahun kemudian dan dilanjutkan ke Kelang melalui jambatan Connought pada tahun 1890. Keadaan ini membolehkan para pemodal menerokai kawasan pertanian secara liberal atau bebas sekaligus mengubah corak kehidupan masyarakat tradisional tempatan. Lantaran dasar British yang inginkan penguasaan ekonomi akhirnya memberi kesan terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tempatan.
Di Sabah, pembinaan jalan kereta api bermula pada tahun 1900 apabila jalan kereta api pertama dibina menghubungkan Beaufort dengan Jesselton dan diteruskan pembinaannya sehingga Tenom pada tahun 1905 sepanjang 116 batu. Pembinaan ini secara tidak langsung telah membantu kegiatan pembukaaan ladang-ladang getah dan mengubah struktur masyarakat peribumi Sabah. Hal ini berbeza dengan negeri Sarawak yang tidak wujud jalan kereta api kerana keadaannya muka bumi yang berbukit bukau dan hanya wujud jaringan jalan raya yang dibangunkan oleh keluarga Brooke.


Pendidikan
Sebelum kedatangan British, kanak-kanak Melayu hanya mendapat pendidikan di surau, sekolah pondok dan masjid. Sistem pendidikan Melayu yang paling tua dan berpengaruh adalah persekolahan pondok. Pondok yang pertama didirikan ialah pada tahun 1820 oleh Tuan Haji Abd. Samad bin Abdullah. Pendidikan masyarakat pada masa itu berfokuskan kepada aspek-aspek seperti membaca dan memahami Al-Quran, mempelajari bahasa Arab, hukum-hukum agama serta penguasaan menulis, mengira dan membaca. Namun, kehadiran kolonialisme British telah memperkenalkan sistem pendidikan vernakular. Penubuhan sekolah Melayu oleh British adalah untuk memberi kemahiran membaca, menulis dan mengira. Penubuhan sekolah ini telah bermula pada tahun 1821 apabila Penang Free School membuka cawangannya di gelugor dan diikuti dengan penubuhan Sekolah Melayu di Teluk Belanga (1855) dan di Kampung Gelam (1856). Walau bagaimanapun, kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Pengenalan sistem latihan perguruan ini yang menjadi pemangkin perubahan dalam struktur masyarakat tradisional tempatan.


Sememangnya, kesan daripada kolonialisme British telah memberi perubahan ke atas struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kedatangan British secara langsung atau tidak langsung telah melemahkan kekuasaan sultan dan pembesar. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh British seperti sistem residen dan undang-undang tanah memperlihatkan kerakusan British dalam mengeksploitasi ekonomi dan menguasai politik memberi kesan ke atas struktur masyarakat feudal. Di samping itu, perkembangan infrastruktur seperti kemudahan komunikasi dan pehubungan mengubah lanskap penduduk tradisional tempatan. Selain itu, kesan kolonialisme ialah pembentukan masyarakat majmuk akibat kegiatan perlombongan dan perladangan yang menghasilkan masyarakat berbilang kaum kerana wujud golongan imigran. Aspek pendidikan turut diambil berat oleh British dengan memperkenalkan sistem pendidikan vernakular menyebabkan masyarakat tradisional tempatan mengambil bahagian dalam tranformasi pendidikan yang dilaksanakan oleh British.
Oleh yang demikian, jelaslah perbahasan yang diutarakan telah memperlihatkan kesan kolonialisme British ke atas struktur sosiekonomi masyarakat tradisional tempatan. Berlaku perubahan drastik selepas kedatangan British terhadap masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak. Kesan yang jelas dapat dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial yang telah di ubah mengikut ramuan British demi kepentingan pihak kolonial tanpa memikirkan tentang nasib masyarakat tradisional tempatan.


Bibliografi
Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng, 1995, Isu-Isu Pensejarahan, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia.

Ahmad Nazri Abdullah, 1985, Melayu dan Tanah, Selangor, Media Intelek Sdn. Bhd.

Amarjit Kaur, 1984, An Historical Study of Transport in Malaya, Kuala Lumpur, Persatuan Sejarah Malaysia.

Azmah Abdul Manaf, 2001, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

A. Aziz Deraman, 2003, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Satu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad, 1990, Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.

Emily Sadka, 1954, Journal of Sir Hugh Low, Perak, 1877, JMBRAS.

Gullick J.M., 1975, Malaysia: Economic Expansion and National Unity, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gullick J.M., 1970, Sistem Politik Bumiputra Tanah Melayu Barat, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim Thukiman, 2002, Malaysia: Perspektif, Sejarah dan Politik, Johor, Universiti Teknologi Malaysia Skudai.

Khoo Kay Kim (ed.), 1985, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur, Universiti Malaya.

Ruslan Zainuddin, 2004, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates