PPSMI - perlekeh Bahasa Melayu Pictures, Images and Photos

Alhamdulillah. Melihat kepada yang berlaku pada hari ini semakin runsing jiwa ini memikirkan keadaan PPSMI yang mendapat tentangan yang keras oleh rakyat melalui perhimpunan Aman 100000 rakyat untuk memansuhkan PPSMI. Sesungguhnya perhimpunan aman 100 ribu rakyat membantah PPSMI pada 7 Mac ini sangat besar makna dan implikasisnya kepada masa depan budaya dan politik Malaysia. Inilah Gelombang Kedua Reformasi rakyat Malaysia, yang akan membawa banyak perubahan kepada negara ini.

Dato' Hassan Ahmad, Pengerusi GMP, sudah menyatakan bahawa Himpunan 100 Ribu 7 Mac bukanlahmatlamat akhir perjuangan GMP. Ia hanyalah himpunan untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja. Maknanya agenda perjuangan GMP akan diteruskan lagi selepas 7Mac.

Matlamat GMP ialah untuk melihat dasar PPSMI dimansuhkan oleh kerajaan, dan bahasa Melayu didaulatkan semula sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Memang ia hanya persoalan bahasa. Tetapi persoalan bahasa sebenarnya bukanlah sekadar alat untuk bercakap atau berkomunikasi sahaja. Bahasa itu jiwa bangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah lama menjadikan ungkapan ini sebagai moto atau slogannya. Bangsa yang tidak menghormati bahasanya adalah bangsa yang tidak menghormati jiwa bangsanya sendiri, sekali gus tidak tahu nilai hargadiri suatu bangsa.

DSC_5377 Pictures, Images and Photos

Saya ingin melihat PPSMI ini luar dari fahaman politik yang kadang-kadang terlalu emosi. Sememangnya PPSMI ini menjadi dilemmma kepada pelajar dan guru-guru diluar bandar. Dasar ini telah menjadikan pelajar Luar bandar menjadi mangsa keadaan. Mengapa saya mengatakan pelajar-pelajar luar bandar merupakan ‘mangsa’ utama kepada PPSMI ini? Secara jujur, saya bersimpati dengan mereka yang sebenarnya ingin cemerlang tetapi dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang kritikal akan semakin melemahkan semangat mereka untuk mempelajari dan lulus cemerlang di dalam subjek Sains dan Matematik. Lebih daripada itu, sebelum dasar ini diperkenalkan pun subjek Sains dan Matematik sudah sememangnya subjek yang paling sukar untuk difahami oleh mereka!

Sebagai perkongsian, mari kita lihat apakah pandangan orang perseorangan terhadap isu ini.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan ketika membicarakan tentang “Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa” menyebut:

"Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri."

..:: Tun Abdul Razak Hussein ::.. Pictures, Images and Photos

Malah Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa:

"Kebudayaan sebuah bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu kepustakaan yang besar."

Dato’ Dr. Hassan Ahmad pula menyatakan dengan sangat berterus-terang.

"Masalah besar yang dihadapi oleh dasar untuk mengembangkan bahasa Melayu di negara ini sebagai bahasa pendidikan, bahasa ilmu dan ‘bahasa pembangunan’ atau ‘kemajuan negara’ sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia, bukan masalah yang ada kena-mengena dengan bahasa Melayu itu sendiri tetapi masalah yang timbul dan ditimbulkan di luar sistem bahasa itu."

Aminuddin Baki ketika membentangkan satu kertas kerja di dalam Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ke-III pada tahun 1956 pula menyebut:

"Memang telah menjadi pendapat ‘umum, bahkan keperchayaan ‘umum, bahawa sekolah ada-lah satu alat yang berpengaroh dan berkesan sa-kali dalam usaha perkembangan bahasa Melayu untok menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sa-benar2-nya bagi Persakutuan Tanah Melayu. Harus pendapat dan keperchayaan itu di-asaskan atas kenyataan yang nyata bahawa sekolah berupa suatu tempat membentok semangat, faham, sikap dan keta‘atan bakal ra‘ayat, juga harus di-asaskan atas kemungkinan sekolah menjadi satu kanchah membentok kanak2 berbagai bangsa menjadi satu rupa bangsa dan dengan didekan semangat dan keta‘atan serta dengan tegasan pengajaran yang betul2 maka bahasa Melayu sa-sunggoh-nya boleh menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sa-benar2 bagi Persekutuan Tanah Melayu."

Sebagai penutup, suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian Kata Aluan Ketua Kumpulan Prihatin, Dato’ Zainal Abidin bin Abdul Wahid di dalam e-book tersebut. Bacalah dengan mata hati!

Kami daripada Kumpulan Prihatin bersyukur kepada Ilahi kerana membolehkan kami sedar dan insaf terhadap nasib dan masa depan kaum Melayu di Malaysia. Pada kami, kaum Melayu menghadapi masalah besar yang akan meminggirkannya di Tanah Airnya sendiri. Inilah faktor yang mendorong kami berbincang dengan tokoh-tokoh daripada berbagai pertubuhan dan orang-orang perseorangan yang peduli terhadap masa depan kaum Melayu demi keamanan negara Malaysia. Kongres ini adalah salah satu daripada langkah tersebut.

Oleh kerana penduduk negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, maka terdapat beberapa isu sensitif yang memerlukan penerangan dan pemahamannya dari segi sejarah.

Bagi mencapai kemajuan negara Malaysia seluruhnya, kaum Melayu perlu dimajukan dengan saksama. Tetapi ini bukanlah perkara mudah. Umpamanya, dua tahun lalu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada masa itu menyatakan bahawa hanya 25% daripada pelajar Malaysia di seluruh dunia mempelajari ijazah pertama terdiri daripada kaum Melayu. Lalu beliau menyatakan hasrat menambah bilangan pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi. Ini adalah hasrat yang wajar.

Pada masa itu pelajar di institusi pengajian tinggi swasta berjumlah lebih daripada 200,000 orang. Hanya 15% (30,000 orang) daripadanya pelajar Melayu. Pelajar di institusi pengajian tinggi awam pula berjumlah 170,000 orang dan 55% (93,500 orang) adalah pelajar Melayu. Ini bermakna hanya 123,500 orang adalah pelajar Melayu daripada 370,000 pelajar di institusi pengajian tinggi. Ini adalah 33.3% sahaja, padahal pada masa ini, nisbah jumlah penduduk Bumiputera adalah 66% berbanding dengan penduduk bukan Bumiputera.

Malangnya hasrat Dato’ Seri Perdana Menteri ditolak oleh Kabinet melalui Datuk Dr. Ling Liong Sik yang mengatakan penambahan pelajar Melayu itu tidak boleh melibatkan institusi pengajian tinggi swasta. Pada hal inilah yang mengakibatkan ketidakseimbangan itu.

Di samping itu ada peristiwa lain yang menunjukkan perkembangan yang tidak sihat. Penubuhan Kolej Era Baru di Kajang dianggap oleh Dong Jia Zong (Gerakan Pendidikan Cina) sebagai menggantikan Universiti Merdeka. Ini bermakna bahasa Cina menjadi bahasa penghantar utama, walaupun Universiti Merdeka telah ditolak oleh mahkamah. Apa yang berlaku sekarang ialah Kolej Era Baru telah menggantikan Universiti Merdeka, pada hal Kolej Tunku Abdul Rahman diwujudkan bagi menggantikan Universiti Merdeka masih juga wujud dan diteruskan.

Seterusnya, MCA meminta supaya Kolej Tunku Abdul Rahman dinaikkan taraf menjadi universiti. Ini dipersetujui oleh Kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, di samping itu Kolej Tunku Abdul Rahman masih wujud dan diteruskan.

Tetapi, ingatkah kita, apabila Institut Perguruan Sultan Idris dinaikkan taraf menjadi universiti, IPSI dihapuskan. Juga, apabila ITM dinaikkan taraf menjadi universiti, ITM dihapuskan.

Bagaikan apa yang diberi kepada kaum Cina tidak mencukupi, Kerajaan Negeri Perak menghadiahkan pula 200 hektar tanah untuk Kolej Tunku Abdul Rahman. Kemudian, pemimpin UMNO memberi pula 15% tempat di MRSM kepada pelajar Cina. Baik sungguh hati orang Melayu.

Beralih pula kita kepada isu lain yang sangat menyedihkan. Bahasa penghantar pendidikan Sains dan Matematik ditukar pula ke bahasa Inggeris.

Kami daripada Kumpulan Prihatin merasakan masanya sudah tiba bagi orang Melayu memastikan supaya tindakan ini dikaji semula dengan teliti dan diperbetulkan. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan ketegasan daripada pimpinan, UMNO mahupun PAS. Kita tidak boleh lagi melayan tuntutan demi tuntutan, tuntutan yang akhirnya merosakkan keseimbangan antara kaum. Keseimbangan yang merosakkan kaum Melayu. Kaum Melayu sudah banyak beralah.

Pada tahun 1955, dalam pilihan raya parlimen pertama, 50 daripada 52 kawasan pilihan raya mempunyai majoriti pengundi Melayu. Tetapi UMNO memberi 17 kawasan itu kepada MCA dan MIC, iaitu 750% lebih daripada sewajarnya. Undi Melayulah yang memenangkan mereka.

Sekali lagi pada tahun 1957, satu persefahaman lain dibuat. Dari 31 Ogos 1957 hingga 31 Ogos 1958, kaum bukan Melayu yang mempunyai kelayakan pemastautinan dan lain-lain, tetapi tidak mengetahui bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dibolehkan mendapatkan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam masa satu tahun, lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu menjadi warganegara. Ini adalah satu kelonggaran yang luar biasa.

Kerajaan Perikatan juga menyediakan pendidikan aliran Cina dari darjah satu hingga enam dengan membelanjakan kewangan negara. Pada hal negara lain seperti kita tidak melakukannya.

Banyak peristiwa begini dalam sejarah kita. Kita perlu tahu sejarah kita. Juga kaum bukan Melayu perlu tahu. Pemimpin Melayu perlu menerangkan peristiwa penting ini kepada pemimpin bukan Melayu. Mereka seterusnya boleh menerangkannya kepada kaum masing-masing, supaya mereka bersetuju dengan dasar-dasar yang digubal sekarang. Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru adalah digubal bagi mencari keamanan. Banyak matlamatnya yang dicapai, tetapi masih banyak lagi yang perlu dijayakan.

Dalam hal kepentingan Melayu, UMNO dan PAS perlu bekerjasama. Kepentingan Melayu adalah lebih penting daripada kepentingan parti, terutama dalam bidang pendidikan, bahasa dan ekonomi.

Kita perlu bersepakat. Badan-badan bukan kerajaan Melayu (BBK) perlu membuat kajian tentang isu-isu penting, terutama yang berkaitan dengan pendidikan. Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Pemimpin-pemimpin Melayu perlu tahu di mana garis pemisah antara tuntutan yang wajar dengan yang melampau. Sebagai contoh, nisbah agihan kemasukan pelajar ke IPTA yang sudah lama digunakan ialah 55% Bumiputera dan 45% bukan Bumiputera. Ini adalah menurut nisbah komposisi penduduk Malaysia. Tetapi, menurut bancian tahun 2000, jumlah kaum Bumiputera meningkat menjadi 66% dan bukan Bumiputera menurun menjadi 34%. Oleh sebab itu, nisbah kemasukan ke IPTA juga perlu diselaraskan menurut nisbah penduduk sekarang.

Kita bukan mengungkit
Kita bukan ada perkauman
Kita telah banyak berkorban
Demi perpaduan
Demi kemajuan.

Ambillah teladan
Dari negara-negara jiran
Berterima kasih dan
Ucapkan kesyukuran
Agar dapat kita sama-sama
Menikmati kemajuan
Serta keamanan.

Bahasa Melayu pun sudah menjadi Bahasa Malaysia.. Apa pula seterusnya?
Posted by Mustakim Bin Suhaili


Alhamdulillah perkongsian bersama yang wajar direnungkan.

Dipetik dari pautan muhtarsuhaili.wordpress.com

Oleh: SS. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sumber: http://drmaza.com/?p=165

umar bin abdul aziz ne baaghe fadak Mola Ali a.s ki aulad ko baksh diya..mawiya aur banu ummaiya masajid k mimber se Mola Ali a.s aur unn ki aulad per sab o shatam kertay thay..aik yahudi ne umar bin abdul aziz ko aa ker ghairat dilai jis per sab ulm Pictures, Images and Photos

Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil iaitu Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.


Rakyat Marhaen*… Miskin Dan Terus Bertambah Miskin


Pemimpin Kaya-Raya… Kaya Dan Terus Bertambah Kaya!

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.



Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.



Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).



Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah selama dua tahun, tetapi dia mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tidak kunjung padam. Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan rahmah Allah yang mencurah-curah.



Sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat telah banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat jelata. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk.



Lihatlah tampungan yang ada di baju Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik. Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaannya yang mewah, atau rumahnya yang megah, atau paip dan curutnya yang panjang, atau isterinya yang berhias permata berlian atau cermin matanya yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Demi sesungguhnya tidak. Itu semua hanya menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih-sayang antara orang bawahan dan atasan.



Saya tidak pernah menyeru agar pemimpin Dunia Islam hidup dalam kemiskinan, atau kelaparan, atau memakai pakaian yang buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh, atau berkenderaan yang cabuk. Tidak, bukan demikian. Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang berbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal, bukan rasuah atau salahguna kuasa. Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu semua datang dari sumber yang Allah redha untuk mereka. Saya pun tahu, ada pemimpin-pemimpin yang sememang berharta hasil dari usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih-sayang.



Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini. Namun di sesetengah negara dan negeri, ke’ranggi’an pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat yang melihat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerena kewibawaannya, atau adab dan karismanya, atau keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai. Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka, tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat, tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal-mahal. Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pula pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian pun akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.



Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Saidina ‘Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan”. Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?.



Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta pun akan mengelilinginya. Dia dikelilingi kerana habuan yang diharapkan. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerena ikhlas. Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat nanti, sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlebel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.



Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”. Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta`).



Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya. Maka rasuah dan politik wang akan berluas-luasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerena umpan hartanya.



Maka akhirnya nanti, golongan Ruwaibidah akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan satu golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar. Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.



Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan itu dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Kedua; kemampuannya dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan hartanya, atau lebar serbannya, tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).



Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut perkataan pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran kebanyakan orang tentang limpahan hartanya dan gaya mewahnya, bukan ketajaman mindanya atau keprihatinannya kepada rakyat. Sebenarnya, kita pun suka pemimpin yang kaya berharta, jika itu semua membolehkannya membantu rakyat khususnya kaum muslimin. Namun hendaklah kekayaan adalah hasil dari titik peluhnya sendiri atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyatnya. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat. Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. (8/147)



Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredhai Allah kepada saya” Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

"Semangat Berpasukan Dalam Kumpulan"

Alhamdulillah..Pada 27 Februari hingga 3 Mac yang lalu telah diadakan perkhemahan briged Bomba yang diadakan di Kalumpang. Banyak cerita suka dan duka yang telah dilalui. Sesungguhnya ini merupakan pengalaman berharga dalam menyemai semangat setia kawa dan kerjasama.Justeru melalui entri ini suka ingin saya kongsikan betapa pentingnya menyemai semangat Esprit de Corps dalam aktiviti berpasukan.Sesungguhnya sedar atau tidak sememangnya semangat ini merupakan lumrah dalam kehidupan seharian dan tidak seharusnya sirna.


"Bersatu kita Teguh, Bercerai Kita Roboh"

Esprit de Corps berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud semangat bekerjasama, semangat kekitaan ataupun semangat berpasukan. Dengan kata lain ini adalah suatu semangat yang dapat menyatukan manusia khususnya dalam sesebuah negara. Esprit de Corps amatlah penting dalam sesebuah organisasi, jabatan dan mahupun negara seluruhnya berikutan kemampuan dalam menjana perpaduan dan kemajuan dalam sesebuah negara dan yang terpenting kemampuan semangat ini untuk mengekalkan keamanan sekaligus dapat menjana kedaulatan dan keutuhan sesebuah negara daripada serangan musuh kerana jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung kepada status keamanannya. Jika negara tidak aman bagaimanakah pelabur hendak datang ke negara kita? Tanpa keamanan sudah tentu mereka tidak akan datang ke negara ini berikutan ancaman-ancaman yang timbul. Lihatlah negara-negara lain seperti Indonesia, Iraq dan Sudan keadaan di negara mereka saban hari berhadapan dengan kekacauan dan perang saudara tanpa semangat kerjasama. Hal ini akan menjadi barah yang meyebabkan keamanan tidak dapat diwujudkan. Semangat ini telah diterapkan sejak dari peringkat sekolah melalui kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah yang menuntut berpasukan antara ibu bapa, guru dan murid. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan semangat esprit de corps itu wujud dalam diri setiap murid.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita dapat lihat pada mata kasar semangat esprit de Corps sukar wujud di Malaysia namun dengan semangat nasionalisme iaitu semangat cintakan negara ia telah berjaya diterapkan sehingga mewujudkan semangat berpasukan antara rakyat di Malaysia dan memudahkan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran. Semangat ini telah berjaya diterapkan dari komuniti kecil hinggalah kepada komuniti besar iaitu sebuah negara dan ini telah dibuktikan melalui kejayaan negara dalam menangani pelbagai krisis yang melanda negara terutamanya pada tahun 1998 ketika kemelesetan ekonomi telah melanda negara. Hasil kerjasama berpasukan antara badan swasta dan awam akhirnya telah menyelamatkan ekonomi negara dari terus jatuh.

Jadi, semangat ini adalah penting dan menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat kerana tanpa semangat ini maka perpaduan tidak akan wujud malah semangat assabiyah yang akan mengambil alih lalu memecah-belahkan masyarakat.

Esprit de Corps yang merujuk kepada semangat semangat kerja berpasukan telah lama diaplikasikan oleh kerajaan dalam pelbagai cara dan bentuk di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya atau boleh juga dirujuk sebagai masyarakat plural. Masyarakat Malaysia yang sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya memerlukan semangat ini sebagai tunjang perpaduan dan keutuhan dalam menjalanai kehidupan bermasyarakat. Walaupun esprit de Corps pada mulanya diamalkan dalam ketenteraan, tetapi semangat ini juga sangat praktikal untuk diamalkan dalam aspek kehidupan masyarakat plural seperti di Malaysia. Sudah menjadi resam hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya kadang-kala akan mengalami pergeseran. Hal ini didorong oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang boleh melemahkan semangat perpaduan. Melalui pengaplikasian prinsip ini, faktor yang boleh melemahkan perpaduan kaum di Malaysia dapat dikurangkan.

Keperluan merealisasikan semangat ini sangat tinggi di Malaysia. Keperluan yang dimaksudkan adalah untuk menyatu-padukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Hal ini kerana setiap masyarakat di Malaysia secara umumnya terpisah mengikut kaum, budaya, geografi, ekonomi. Perkara ini telah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Setelah negara mencapai kemerdekaan, warisan daripada pemisahan ini nampaknya masih lagi kelihatan. Di sini secara jelas bahawa dasar pecah dan perintah British masih lagi kelihatan di Malaysia. Namun begitu, pemisahan mengikut kaum yang wujud kini sudah tidak lagi seperti di awal kemerdekaan negara dahulu. Masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia kelihatannya sudah boleh menyesuaikan diri antara satu sama lain. Malah, di Malaysia kini terbukti sudah ada perkahwinan yang berlainan kaum. Di sini sudah jelas terbukti bahawa esprit de corps telah wujud di Malaysia. Sekiranya semangat ini tidak wujud, adalah mustahil untuk melihat perkahwinan daripada pelbagai kaum. Hal ini disebabkan oleh sikap bertolak-ansur yang wujud sehinggakan masing-masing boleh memberi dan menerima sebarang unsur budaya yang tidak bercanggah dengan nilai moral yang dipegang oleh masyarakat umum.

Untuk menjadi sebuah negara yang mantap, setiap anggotanya iaitu ahli masyarakat mesti memahami peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Dalam memahami tanggungjawab dalam setiap ahli masyarakat, faktor-faktor yang boleh menghalang perpaduan mesti dihapuskan sama sekali supaya setiap ahli masyarakat dapat memahami peranan masing-masing. Tugas untuk memahami peranan setiap ahli masyarakat mesti dilaksanakan oleh semua pihak. Apabila masyarakat sudah memahami keperluan dan kehendak setiap ahlinya, maka dapatlah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap. Kejayaan kerja berpasukan bukan hanya bergantung kepada hasil kerja yang berkualiti semata-mata, tetapi juga mesti diliputi dengan keupayaan untuk bekerjasama sebagai sebuah kumpulan yang baik tanpa sebarang unsur prasangka antara satu sama lain. Hal inilah yang ingin dicapai oleh esprit de corps yang mahukan semangat kerja berpasukan itu dihayati dengan sepenuhnya.

Dalam membicarakan tentang semangat kerja berpasukan, elemen lain yang turut dibincangkan ialah menghargai idea orang lain. Keupayaan menghargai idea orang lain melambangkan kematangan seseorang dalam berfikir. Dalam konteks penduduk Malaysia yang berbilang kaum, setiap kaum terutama Melayu, Cina dan India sentiasa mengutarakan pelbagai idea dan cadangan untuk kebaikan setiap kaum masing-masing. Setiap idea yang dikemukakan mesti dinilai oleh kaum-kaum yang lain. Hal ini disebabkan oleh kehidupan bermasyarakat memerlukan setiap ahlinya memberi cadangan untuk menguatkan persefahaman antara satu sama lain. Apabila sesuatu cadangan yang baik itu diterima oleh pihak yang lain, ini akan menimbulkan perasaan dihargai dan seterusnya menjadikan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia semakin erat. Contohnya, dalam Laporan Fenn-Wu yang dibuat pada tahun 1952, Dr. W.O. Fenn dan Dr. Wu Teh Yau mahukan kebudayaan orang Cina turut dimasukkan dalam kebudayaan negara yang bakal dibentuk apabila Tanah Melayu pada ketika mencapai kemerdekaan. Setelah negara mencapai kemerdekaan, cadangan yang dikemukakan ini masih lagi dipraktikkan, seperti pengenalan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina. Hal ini kerana sikap terbuka rakyat Malaysia yang menganggap cadangan ini boleh dilaksanakan dan tidak pula boleh mengganggu ketenteraman masyarakat umum. Situasi ini menggambarkan bahawa esprit de corps sememangnya wujud dan diamalkan di Malaysia.

perpaduan Pictures, Images and Photos

Sesungguhnya dalam era kacau bilau politik pada hari ini sewajarnya semangat esprit de corps harus disemaidalam aspek demokrasi.Demokrasi memainkan peranan penting dalam memupuk semangat esprit de corps untuk menyemai perpaduan dalam masyarakat. Pendenifisian demokrasi mempunyai maksud yang luas dan mencakupi segala aspek seperti politik, ekonomi dan sosial yang merupakan agen kepada semangat bekerjasama, setia kawan dan akhirnya merealisasikan perpaduan dalam masyarakat. Demokrasi ditakrifkan sebagai pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil yang dipilih dalam pilihanraya (Kamus Dewan, 2002). Sejarah telah membuktikan bahawa bermula daripada pemikiran Socrates di zaman Greek-Yunani hinggalah hari ini, idealisme demokrasi berkembang selari dengan perkembangan konsep seperti negara bangsa, keadilan sosial, kontrak sosial, general will, industrialisasi, modenisasi, kapitalisme, penyertaan rakyat dan hak rakyat awam (Zaini Othman, 2006). Persoalannya, bagaimanakah semangat esprit de corps diterjemahkan dalam sistem demokrasi mampu membentuk perpaduan yang mampan dan terjamin?

Melalui sistem politik yang telus berlandaskan demokrasi mampu untuk menanamkan semangat kerjasama dan setia kawan yang akan menjadi tunjang kepada perpaduan di sebuah negara. Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat berhak untuk memilih pemimpin dan parti yang akan memerintah negara. Malahan untuk memastikan hak demokrasi terpelihara, maka, terlaksana satu sistem dalam prosedur dan proses yang dikenal sebagai pilihan raya. Dalam konteks ini demokrasi dilihat sebagai satu wahana pencetus kepada anjakan semangat kerjasama, kekitaan dan setia kawan. Semangat ini dapat dilihat melalui parti dan calon yang bertanding dan apabila menang akan membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan agenda perpaduan demi kesejahteraan rakyat sejagat. Oleh itu, parti yang bertanding seharusnya mempunyai identifikasi parti yang akan mewujudkan semangat setia kawan. Identifikasi parti merujuk kepada ikatan dan kesetiaan kepada sesuatu parti (Ghazali Mayudin, 2006). Lantaran itu, tanpa semangat setia kawan dalam parti politik akan menyebabkan perpaduan menjadi terencat dan lumpuh. Hal ini dapat dibuktikan dengan cacamarba politik yang melanda Perak dan Malaysia khasnya telah menunjukkan hilangnya semangat esprit de corps menyebabkan berlaku kecelaruan yang menggoyahkan perpaduan yang wujud di negara ini. Perkara ini terjadi berikutan sikap wakil rakyat yang lompat parti yang akhirnya membawa malapetaka politik. Sesungguhnya, niat Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menubuhkan Kerajaan Pusat 16 September 2008 dan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan Kerajaan Baru Perak masing-masing melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat atau mengkhianat. Adakah kedua-duanya tidak bermaruah dan mampu menggoyahkan semangat esprit de corps yang akan menghalang perpaduan? Tepuk dada, tanya selera.

Demokrasi juga merupakan wahana pencetus esprit de corps dalam penyatuan semangat kerjasama antarabangsa yang akan membentuk perpaduan untuk manusia keseluruhannya. Semangat kerjasama antarabangsa dapat dilihat dalam hampir keseluruhan negara di dunia ini yang menentang peperangan yang mengakibatkan kelaparan, penderitaan fizikal, kekacauan ekonomi dan rasa putus asa pada masyarakat yang dilanda peperangan. Keprihatinan melihat pergolakkan ini telah mendorong penubuhan organisasi-organisasi seperti United nations Relief and Rehabilitation Agency (UNNRA) dan The International Refugee Organization (IRO) yang memberikan bantuan kepada masyarakat dunia yang memerlukan (Richard M. Ketchum ed., 2004). Di samping itu, sistem demokrasi dapat dilihat dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan membentuk semangat setia kawan dan kerjasama serta mewujudkan sebuah ikatan perpaduan yang kukuh dan kental. Semangat setia kawan, kekitaan dan kerjasama antara negara yang menganggotai PBB berdasarkan sistem demokrasi telah meluluskan piagam yang bertekad menjalin kerjasama antarabangsa dalam memecahkan persoalan-persoalan antarabangsa mengenai ekonomi, budaya, karakter kemanusiaan, dan dalam mempromosikan serta mendorong penghargaan terhadap hak asasi manusia dan memberi kemerdekaan untuk semua tanpa mengira ras, jantina, bahasa dan agama (http://ms.wikipedia.org/wiki/Pertubuhan_Bangsa-Bangsa_Bersatu). Oleh itu, jelaslah esprit de corps mampu menjadi tunjang perpaduan melalui sistem demokrasi.

Semangat esprit de corps mampu membentuk perpaduan melalui sistem demokrasi yang selamat. Hal ini kerana demokrasi dilihat mempunyai perkaitan yang khusus disebabkan tuntutan demokrasi yang melampau dianggap menjejaskan keselamatan. Walau bagaimanapun, demokrasi dan keselamatan diperlukan dalam mana-mana sistem politik dengan syarat soal keselamatan dilandaskan kepada usaha menjamin kesejahteraan hidup dengan semangat esprit de corps yang akan mengakari perpaduan dalam negara. Oleh itu, demokrasi dan semangat setia kawan serta kerjasama harus bergerak seiringan agar kepimpinan sedar akan kepentingan mengurus tadbir negara dan sensitif kepada kehendak dan aspirasi rakyat. Kehancuran dalam demokrasi akan menjahanamkan semangat esprit de corps yang mengakibatkan kegagalan pembentukan perpaduan. Hal ini dapat dibuktikan dengan kegagalan semangat setia kawan, kekitaan dan kerjasama dalam kalangan rakyat Bolivia mengundang kekecewaan demokrasi yang diidam-idamkan. Sejarah telah membuktikan akibat kegagalan ini telah menunjukkan kerapuhan dalam era pemerintahan Banzer yang akhirnya sistem demokrasi gagal dijalankan. Kegagalan ini rentetan daripada pembahagian kementerian kepada dua parti politik yang bersaing iaitu Falangistas dan Paz Estens (Laurence Whitehead, 1993). Kesannya, kedua-duanya saling berebut peluang untuk meningkatkan pengaruhnya dan mengabaikan semangat setia kawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam pemerintahan dan sekaligus memberi impak kepada semangat esprit de corps.

Semangat kekitaan dapat dilihat melalui cara demokrasi yang berlandaskan lunas undang-undang iaitu di bidang kehidupan politik rakyat. Pelaksanaan demokrasi sebegini merupakan perkara penting dalam menentukan perpaduan yang diidamkan berdasarkan semangat esprit de corps. Penghayatan ini dapat disemai melalui pengamalan Rukun Negara yang telus berdasarkan demokrasi yang subur akan melahirkan masyarakat yang mengamalkan semangat kekitaan. Hubung kait konteks demokrasi dalam melahirkan semangat perpaduan dapat dilihat melalui sikap penguasaan, tauladan kebijaksanaan serta perilaku di berbagai aspek seperti hubungan kemasyarakatan, kebangsaan dan kenegaraan (S. Pamudji, 1985). Pendekataan holistik seperti ini dapat dilihat dalam langkah reformasi pentadbiran awam yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku manusia atau para pentadbir awam melalui pengarahan semula Group Force ke arah perubahan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan produktiviti (Junaidi Abu Bakar, 2006). Pembuktian ini telah memadai bagi menunjukkan bahawa semangat kekitaan melalui sistem demokrasi mampu untuk merembeskan semangat pepaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pendemokrasian semangat kekitaan atau setia kawan dalam mana-mana jua bidang seperti kepimpinan, pentadbiran awam, keselamatan dan sebagainya dapat membentuk perpaduan. Sistem demokrasi memperkenalkan sistem yang adil dalam memilih pemimpin dan harus ditaati oleh setiap pemilih untuk melahirkan suasana yang kondusif yang memangkinkan perpaduan berdasarkan semangat esprit de corps.

Perpaduan Pictures, Images and Photos

Sememangnya demokrasi dalam konteks plural iaitu kepelbagaian bangsa dan agama dalam menanamkan semangat esprit de corps merupakan tunjang kepada perpaduan. Walau bagaimanapun, kadang kala demokrasi dikritik kerana tujuannya yang masih samar, janji-janjinya yang begitu abstrak. Kritikan seperti ini menunjukkan kurangnya pengetahuan tentang demokrasi yang sebenar-benarnya. Namun, pertanyaan seperti ini akan membantu untuk lebih memahami perkaitan demokrasi dalam membentuk semangat kekitaan dan setia kawan yang akhirnya melalui semangat ini terbentuknya perpaduan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila kita menyemak tentangan-tentangan yang dihadapi setiap negara dalam mewujudkan demokrasi dan budayanya, pasti akan dijumpai wajah demokrasi yang beragam di setiap negara yang ada di dunianya. Segala cabaran demokrasi di harungi demi untuk mewujudkan semangat kekitaan dan setia kawan dalam kepelbagaian etnik dan bangsa di seluruh pelosok dunia. Oleh itu, jelaslah bahawa demokrasi mempunyai hubungan yang dalam menyemai semangat esprit de corps yang menjadi tunjang kepada perpaduan.Kesimpulannya semangat esprit de corps harus disemai dan dibajai khusunya dalam keadaan negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum di Malaysia.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates