Alhamdulillah diberikan kesempatan berpijak dibumi singapura pada cuti tahun baru Cina yang lalu. Keunikan singapura yang dibuka oleh stomford Raffles menggamit kenangan silam tentang sejarah singapura yang digelar sebagai Temasik.

Pada masa silam sekitar abad ke 14, pulau Singapura merupakan sebahagian daripada kerajaan Sriwijaya dan dikenali sebagai Temasek ("Kota Laut").

Dipercayai bahawa Singapura merupakan pusat pemerintahan kerajaan Melayu sebelum ia diduduki oleh Sir Stamford Raffles. Ini berdasarkan tulisan Abdullah Abdul Kadir Munshi yang menyatakan ketika Singapura dibersihkan, bukit yang terdapat di situ telahpun dikenali sebagai bukit larangan, dan terdapat banyak pokok-pokok buah yang ditanam di situ. Ini menunjukkan terdapatnya pusat pentadbiran (istana) di situ.

Selain daripada itu, Abdullah Abdul Kadir Munshi turut menyatakan terjumpanya satu batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan yang tidak dikenali dan telah kabur. Batu bersurat Singapura itu menunjukkan Singapura telahpun menjadi satu pusat pentadbiran sejak silam lama sebelum ketibaan pihak Inggeris.

Malangnya batu bersurat itu telah dimusnahkan tidak lama selepas ketibaan Inggeris oleh seorang jurutera Inggeris. Bagaimanapun, terdapat nota mengenai satu salinan tulisan tersebut telah dihantar ke London tetapi gagal ditafsirkan. Sekiranya rekod salinan tulisan itu dapat dijumpai kembali, ia boleh memberikan anggaran tarikh ia diukir melalui terjemahan ataupun sekiranya masih gagal diterjemah, melalui jenis tulisan yang digunakan.

Antara kurun ke-16 dan kurun ke-19, Kepulauan Melayu secara beransur-ansur menjadi milik penjajah dari Eropah. Permulaan penjajahan dari Barat bermula apabila Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509. Manakala pada kurun ke-17, Belanda telah menguasai kebanyakkan pelabuhan-pelabuhan utama di Kepulauan Melayu. Pihak Belanda telah memonopoli kesemua perdagangan rempah ratus yang pada ketika itu merupakan bahan perdagangan yang penting. Penjajah Eropah yang lain termasuk British, cuma mempunyai hak perdagangan yang kecil.


"Pengasas Singapura Moden"

Pada tahun 1818, Sir Stamford Raffles telah dilantik menjadi gabenor di salah sebuah pelabuhan British iaitu di Bengkulu, Sumatera. Raffles percaya bahawa British perlu mencari jalan untuk menjadi kuasa dominan di rantau ini. Salah satu jalan ialah dengan membina sebuah pelabuhan baru di Selat Melaka. Pelabuhan British sedia ada seperti Pulau Pinang adalah terlalu jauh di utara Selat Melaka manakala Bengkulu pula menghadap Selat Sunda.

Pada tahun 1818, telah berjaya menyakinkan Syarikat Hindia Timur British (EIC) untuk mencari pelabuhan baru di rantau ini. Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh Temenggung Johor iaitu Temenggung Abdul Rahman. Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussain tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.

Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussain sanggup membenarkan British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussain. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.

Perkembangan Awal (1819-1826)

Raffles kembali ke Bengkulu tidak lama kemudian selepas menandatangani perjanjian dengan Johor. William Farquhar mengetuai koloni baru British ini dengan bantuan sepasukan askar British.

Di sebalik masalah-masalah yang dihadapi Singapura berkembang pesat kerana statusnya sebagai sebuah pelabuhan bebas. Pedagang-pedagang Arab, China dan India menjadikannya tempat persinggahan mereka.

Negeri-Negeri Selat (1826-1867)

Penubuhan Singapura oleh Raffles mendapat masalah apabila kerajaan Belanda menuduh British mencampuri kawasan naungan pengaruhnya. Pada mulanya kerajaan British dan Syarikat Hindia Timur Inggeris bersimpati dengan masalah ini tetapi lama kemudian mereka mengabaikannya demi kepentingan kemajuan di Singapura. Menjelang tahun 1822, sudah jelas niat British bahawa mereka tidak akan sesekali menyerahkan Singapura.

Status Singapura sebagai hak milik British diperkukuhkan dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang mana Kepulauan Melayu terbahagi kepada pengaruh dua kuasa. Kawasan disebelah kiri Selat Melaka (sekiranya datang dari sebelah barat) termasuklah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sebagai kawasan pengaruh British manakala kawasan di sebelah kanan termasuklah Bangkahulu di bawah pengaruh Belanda. Pada tahun 1826, Singapura bersama-sama dengan Pulau Pinang dan Melaka tergolong di bawah satu pemerintahan iaitu Negeri-Negeri Selat.
[sunting] Zaman Pendudukan Jepun (1942-1945)

Pada 7 Disember 1941, Jepun menyerang Pearl Harbour. Salah satu objektif Jepun adalah untuk menguasai Asia Tenggara kerana faktor ekonomi. Singapura yang merupakan pangkalan utama Tentera Bersekutu ialah sasaran utama Jepun.

Di Singapura ramai beranggapan bahawa Jepun akan menyerangnya terlebih dahulu sebelum menyerang Malaya. Pihak British bersedia apabila menyediakan antara kontinjen perang terbaiknya. Hal ini termasuklah penghantaran kapal perang HMS Prince of Wales dan kapal perang HMS Repulse. Mereka juga menghantar beberapa kapal perang yang lain.

Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan. Selepas dua hari askar-askar Jepun mendarat, kapal Prince of Wales dan kapal Repulse tenggelam akibat dimusnahkan oleh tentera Jepun. Tentera Jepun terus mara ke seluruh Tanah Melayu menyebabkan tentera British terpaksa berundur ke selatan menuju ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, selepas 55 hari bermulanya pencerobohan tentera Jepun, tentera Jepun sudah berjaya menguasai kesuluruhan Tanah Melayu dan bersiap sedia untuk menyerang Singapura.

Selepas beberapa pertempuran, Leftenan-Jeneral Arthur Ernest Percival dan askar-askar British menyerah kalah kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita pada Tahun Baru Cina iaitu 15 Februari 1942. Lebih kurang 130,000 askar India, Australia dan British menjadi tahanan perang. Kejatuhan Singapura merupakan penyerahan kalah terbesar British dalam sejarah.

Singapura kemudiannya dinamakan semula menjadi Syonan-to (昭南島 Shōnan-tō, "Cahaya Selatan) dalam bahasa Jepun. Singapura diduduki oleh Jepun dari tahun 1942 hingga tahun 1945.

Pemerintahan Sendiri (1955-1963)

Pengerusi Parti Buruh, David Marshall, menjadi Ketua Menteri Singapura yang pertama. Dia memerintah sebuak kerajaan yang tidak stabil dan mengakibatkan terjadinya peritiwa mogok besar-besaran. Pada bulan April 1956, dia ke London untuk berbincang mengenai kemerdekaan Singapura tetapi tidak berjaya kerana pengaruh komunis di Singapura. Marshall terus menekan British bahawa dia akan meletak jawatan sekirannya British tidak memberi kemerdekaan kepada Singapura. Tetapi British langsung tidak menghiraukan ugutan Marshall dan akhirnya dia terpaksa melepaskan jawatannya. Ketua Menteri Singapura seterusnya ialah Lim Yew Hock. Beliau mengambil tindakan yang tegas terhadap ketua-ketua kesatuan sekerja dan ahli-ahli pro-komunis.

Tindakan tegas Lim menyebabkan British bersetuju untuk memberikan pemerintahan sendiri kepada Singapura.
[sunting] Membentuk Persekutuan Malaysia (1963-1965)

Pada 16 September 1963, British bersetuju untuk menyerahkan Singapura, Sabah, dan Sarawak untuk bergabung dengan Tanah Melayu supaya Persekutuan Malaysia dapat dibentuk. Selepas menyertai Malaysia, parti politik utama Singapura iaitu Parti Tindakan Rakyat memenangi Pilihanraya Singapura. Tindakan PAP yang sering menyuarakan ketidakpuasan mengenai keistimewaan kaum Bumiputera.

Pemisahan Singapura daripada Malaysia

Ramai ahli UMNO mengesa Kerajaan Persekutuan supaya menangkap Lee Kuan Yew. Jadi pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman menyingkirkan Singapura daripada Malaysia. Ramai rakyat Malaysia mengganggap tindakan Tunku Abdul Rahman ini sebagai satu kerugian kerana mengikut mereka banyak lagi cara lain untuk menjaga keamanan Singapura.

Kemerdekaan Singapura

Dalam konteks Singapura, Merdeka merujuk kepada pemerolehan pemerintahan sendirian dan kerajaan sendirian daripada United Kingdom pada dekad 1950-an pada masa imperialisme di Asia berkurangan. Ia tidak biasanya merujuk kepada kemerdekaan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965 yang mengikuti penggabungan ia dengan Malaysia pada tarikh 16 September 1963 selepas referendum kebangsaannya.

Perlembagaan Singapura dipinda pada tahun 1953 berikutan cadangan Suruhanjaya Rendel yang menciptakan Dewan Undangan Singapura berjumlah 51 kerusi, sekaligus menggantikan Majlis Perundangan Singapura. Dewan ini menjadi duluan kepada Parlimen Singapura. Pilihanraya Singapura 1955 yang merupakan pilihanrayanya yang pertama kemudian. Pilihanraya ini merupakan kali pertama pemilihan wakil majoriti oleh rakyat — dahulunya hanya enam ahli Majlis Perundangan dipilih rakyat dan yang lainnya dipilih kerajaan penjajah. Ini tidak memuaskan hati mereka yang memanggil pentadbiran penuh tempatan dalam sekurang-kurangnya hal domestik.

Seruan Merdeka merupakan satu saingan antara progressivisme dan radicalisme iaitu antara kerjasama dan permusuhan terhadap British. Barisan Pekerja pimpinan David Saul Marshall memenangi pilihanraya Singapura pada tahun 1955 secara tipis akan tetapi sifatnya sebagai seorang anti-penjajah menghalang sebarang kemungkinan kerjasama. Satu pungutan suara dimulakan pada tahun 1956 yang mengumpulkan sebanyak 167,000 — sebahagian besar pengundi pada masa itu dalam satu pungutan yang menyaran Merdeka.

Semasa Rundingan Merdeka 1956, tahun sebelum kemerdekaan Malaya, pihak British bersetuju memberi Singapura kerajaan sendirian berkenaan hal-hal tempatan, sementara British terus mengekalkan kuasa perbelanjaan dan ketenteraan. Ini memuaskan Marshall pada mulanya, tetapi tidak kemudian apabila British enggan memberi kawalan keselamatan dalam negeri kepada kerajaan tempatan. Pihak British merasakan Marshall tidak membuat tindakan yang cukup terhadap ancaman keganasan komunis dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah memulakan Darurat Malaya. Dengan ini Marshall meletakkan jawatannya pada tahun 1956 dan sekaligus mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatannya sekiranya gagal memperoleh kemerdekaan.

Satu lagi pemimpin Barisan Pekerja, Lim Yew Hock mengambilalih sebagai Yang DiPertua Negeri Singapura dan meneruskan usaha untuk mencapai kemerdekaan. Lim kemudiannya berlaku kejam terhadap para komunis oleh sebab mahu menunjukkan bahawa pentadbirannya cenderung mengambil pendekatan tegas untuk melindungi keselamatan dalam negara. Dalam rusuhan sekolah menengah Cina 1956 lebih kurang sembilan ratus orang ditahan. Dengan memimpin satu delegasi yang termasuk banyak pemimpin Singapura daripada pelbagai parti politik, Lim telah berjaya memujuk pihak British untuk memberikan Singapura kemerdekaan dengan meminda Perlembagaannya pada tahun 1958 untuk membenarkan satu dewan perwakilan yang dipilih rakyat secara keseluruhannya yang mempunyai autonomi penuh terhadap perihal tempatan. Kerajaan ini terbentuk dengan pilihanraya Singapura 1959. Lim pula telah kalah pilihanraya ini oleh sebab tindakan kejamnya semasa pemburuan aktiviti komunis.

Republik Singapura (1965-sekarang)

Selepas Singapura keluar daripada Malaysia, Singapura mula muncul sebagai kuasa perdagangan dunia. Banyak kemudahan dan kemajuan dicapai semasa pemerintahan Lee Kuan Yew.

Pada tahun 1990, Lee Kuan Yew bersara daripada politik dan memberi kuasa pemerintahan kepada Goh Chok Tong. Pada tahun 2004 pula, Goh Chok Tong meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi laluan kepada anak Lee Kuan Yew iaitu Lee Hsien Loong untuk memerintah.
Posted by Mustakim Bin Suhaili



1.0 PENGENALAN

Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”. Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan falsafah pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.

Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan falasafah pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

2.0 HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN PRAMERDEKA

Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada beberapa peringkat yang menjadi pemangkin kepada hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. Terdapat dua peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era penjajahan.

2.1 Era Masyarakat Tradisional

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Hala tuju pendidikan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah. Falsafah pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan.

Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajarkan berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.

2.2 Era Penjajahan

Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India. Penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang. Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Hala tuju pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris bertujuan menyekat peluang orang Melayu untuk mengembangkan bakat mereka, memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila negara mencapai kemerdekaan.

Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Hala tuju pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya.

Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawasan ladang ladang kepunyaan mereka. Hala tuju sistem pendidikan Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar pemerintahan Inggeris yang memberi bantuan dan kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada tahun 1930 terdapat empat jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan agama Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah Inggeris. Sekolah yang pertama ialah di Penang Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Hala tuju pendidikan Inggeris pada masa ini adalah untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi implikasi besar dalam hala tuju pendidikan masyarakat Melayu kerana menyedarkan orang Melayu dari golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan pendidikan Inggeris.

Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem pendidikan pada masa pemerintahan Inggeris telah menimbulkan situasi rumit dalam sistem pendidikan sekarang dari segi keseragaman dan pencapaian hasrat integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)

Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita.

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.
Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.

Ordinan Pelajaran 1952

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Mengehadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.
Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada kepada hala tuju dan falsafah pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.


Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

3.0 HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SELEPAS MERDEKA

Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan dan perubahan bagi merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Terdapat pelbagai peringkat pada pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.

3.1 Era 1957-1970

Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu dasar telah dibentuk bagi memantapkan hala tuju dan falsafah pendidikan yang sedia ada. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 telah dibentuk yang mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959. Hal ini merupakan sejarah Malaya pada waktu itu kerana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya.

Kesedaran yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan Rahman Talib dirangka yang mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Rentetan itu, Akta Pelajaran 1961 dibentuk dan dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara ini.

Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua pelajar dilaksanakan bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya berhak mendapat pendidikan. Selain itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap pelajar berhak mendapat pendidikan selama 9 tahun iaitu dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan dari 1966 hingga 1970 berobjektif untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak kepada penyatuan semua kaum melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi memudahkan interaksi antara kaum. Selain itu, falsafah pendidikan yang bersifat sama rata tanpa menyisihkan kaum, darjat dan agama memangkinkan lagi perkembangan pendidikan di negara Malaysia. Era ini menunjukkan anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan negara.

3.2 Era 1971-1990

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum di negara ini. DEB dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-1990. Di samping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam meningkatkan kualiti Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk golongan pelajar miskin yang tidak mampu untuk membeli buku teks dan Rancangan Makanan Tambahan(RMT) bertujuan untuk memberi makanan yang seimbang kepada pelajar terutamanya yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Usaha ini menunjukkan kerajaan begitu komited dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan.

Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan di peringkat percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda ini diteruskan dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila pelajar dalam KBSR telah melangkah masuk ke tingkatan 1 dan menggunakan empat matapelajaran sebagai rintis iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memberi sumbangan kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara" (Falsafah Pendidikan Negara, 1987)
Apabila FPN diperkenalkan, hala tuju pendidikan nampak jelas dan nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani. Penambahbaikkan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, falsafah pendidikan yang digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat majmuk yang bersifat sejagat.
3.3 Era 1991-2000
Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju kehadapan melalui RMK6 1991-1995 dan RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan negara terus terancang. Dalam pada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Pelan Integriti Nasional.
Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan rakyat untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta pembangunan ekonomi yang berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap berkhidmat untuk peningkatan hasil dan mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan Integriti Nasional dengan matlamat untuk memantapkan nilai-nilai etika dan integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut dalam diri setiap anggota masyarakat.
Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehingga tingkatan 5. Sementara itu, pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dengan menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR. Usaha ini dilihat mampu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam menetukan hala tuju pendidikan di masa hadapan.
Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang pesat dalam falsafah dan hala tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi melancarkan lagi pembangunan pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:
1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian prasekolah.
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996- Bermatlamatkan menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan penubuhan sebuah majlis yang menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi.
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996- Menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan) 1996- memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan swasta.
7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000- Membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti.
8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta
Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan negara telah mengadaptasikan satu hala tuju pendidikan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
3.4 Era 2001-2010
Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia harus bersaing dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Penambahbaikan telah dijalankan bagi meneliti semula projek dan program yang dirancang. Hal ini bertepatan dengan hala tuju dan falsafah pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.
Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan penambahbaikan dan pemantapan hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan dalam perundangan, dasar dan program utama berikut:
1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1 pada 1 Januari 2003.
2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukan seorang kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002)
3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.
4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan pendidikan wajib (Bajet 2002 dan 2003). Pada tahun 2004 bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT) diperkenalkan untuk memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan pencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya di bawah Pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003)
7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003)
8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
4.0 PERBANDINGAN HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SEBELUM DAN SELEPAS KEMERDEKAAN
Pendidikan di negara kita telah mengalami perubahan dalam sistem pendidikan. Perubahan ini memperlihatkan perbandingan antara sebelum dan selepas kemerdekaan dari aspek hala tuju dan falsafah pendidikan. Oleh itu, terdapat perbandingan yang jelas hasil dari perkembangan sistem pendidikan di negara ini.
4.1 Perbandingan dari aspek falsafah pendidikan
Falsafah berasal daripada perkataan Yunani Tua iaitu Philosophia yang bermaksud “cinta kepada ilmu pengetahuan atau hikmah”. Falsafah pendidikan negara mempunyai perbezaan yang jelas sebelum dan selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan falsafah pendidikan kita lebih bercorak tradisional. Hal ini disebabkan masyarakat lebih mementingkan kecerdasan dan kemahiran untuk meneruskan hidup dengan bekerja yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki. Falsafah pendidikan masyarakat tradisional lebih cenderung kepada aspek-aspek kerohanian, akhlak dan moral. Hal dibuktikan berdasarkan penubuhan sekolah-sekolah pondok dan madrasah yang memberi pengajaran dan pembelajaran seperti membaca al-Quran dan tajwid, Tafsir al-Quran, Hadis, Fiqah dan Tauhid (Awang Had Salleh, 1980).
Pada zaman penjajahan falsafah pendidikan lebih tertumpu kepada menjaga kepentingan British di Tanah Melayu. Era ini telah memaparkan pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah telah melebarkan jurang pendidikan, perpaduan dan integrasi antara kaum. Sistem ini mengakibatkan masyarakat Melayu terus berada di Kampung, Cina menguasai bandar dan India akan bermastautin di ladang-ladang. Pendidikan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk mengelakkan peningkatan taraf hidup masyarakat pribumi. Pihak penjajah memperkenalkan pendidikan bebas untuk mengelakkan berlakunya penentangan dalam masyarakat pribumi.
Pada era selepas kemerdekaan, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Di samping itu, FPN merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan negara. FPN merupakan perkara penting untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut penting agar segala cita-cita murni yang sering dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jelaslah menunjukkan bahawa terdapat perbandingan yang nyata antara falsafah pendidikan negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

4.2 Perbandingan dari aspek dasar pendidikan
Dasar membawa maksud bahagian yang terpenting, asas atau pokok sesuatu perkara (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002). Dasar pendidikan di negara kita mempunyai perbandingan yang ketara antara sebelum dan selepas merdeka. Pada era penjajahan, pihak kolonial Inggeris telah memperkenalkan dasar pendidikannya tersendiri. Antaranya ialah dasar penyekatan yang bersifat menghalang kemajuan orang Melayu. Pihak Inggeris lebih cenderung untuk memastikan masyarakat Melayu kekal sebagai petani, nelayan dan memuliakan kerja buruh (Awang Had Salleh, 1974). Menurut Sufean Hussin (1996) dasar sekatan ini bertujuan untuk mengongkong dan membendung moboliti dan pemikiran tradisional serta primitif atau kekampungan orang-orang Melayu. Hal ini menyebabkan pembelajaran di sekolah vernakular Melayu adalah sekadar membasmi buta huruf pada tahap minimum. Kesan langsung dari dasar ini mewujudkan satu fenomena status dalam pendidikan yang menyebabkan golongan yang mampu mendapatkan pendidikan dan masyarakat bawahan terus disisihkan kerana dasar yang diperkenalkan tidak menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pendidikan.
Kesedaran yang tinggi terhadap sistem pendidikan kolonial yang ditinggalkan penjajah mendorong kerajaan merangka dasar pendidikan yang lebih baik untuk menyelesaikan ketidakseimbangan dalam pendidikan antara kaum di Malaysia. Langkah utama yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan selepas merdeka ialah membetulkan dan menyusun semula sistem pendidikan yang diwarisi dari penjajah. Dasar yang dirangka diperkukuhkan oleh perlembagaan dan undang-undang untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berkesan dan manpan.
Antara dasar yang dirangka ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berfokuskan kepada satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Selain itu, dasar kesejagatan dan penyeragaman yang berfungsi untuk menggunakan satu sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama untuk kepelbagaian etnik, bahasa, budaya, agama dan latar belakang geografi. Salah satu tindakan yang diambil untuk memperkasakan dasar ini adalah melalui pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar agar memudahkan perhubungan antara masyarakat. Justeru, bagi memantapkan lagi sistem pendidikan yang sedia ada dasar demokrasi diperkenalkan. Dasar ini bertujuan untuk mengembangkan potensi individu itu sendiri dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang mempunyai kemajuan tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan bahasa. Jelaslah bahawa terdapat perbezaan hala tuju dan falsafah pendidikan dari aspek dasar pendidikan di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan.
4.3 Perbandingan dari aspek pembentukan perpaduan
Perpaduan merupakan elemen penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia. Jika diperhatikan perbandingan yang jelas wujud dalam sistem pendidikan sebelum dan selepas kemerdekaan dalam pembentukan perpaduan etnik yang pelbagai iaitu Melayu, Cina dan India. Masyarakat majmuk di negara ini mampu merencatkan perpaduan jika tidak ditangani dengan betul dan berhemah. Menurut Sanusi Osman (1985) masalah sebenar yang kita hadapi bukan berpunca daripada berbagai kumpulan etnik yang ada di negara ini, tetapi yang lebih penting ialah perasaan perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini terlalu dibesar-besarkan.
Sejarah telah membuktikan sebelum mencapai kemerdekaan perpaduan sukar dicapai kerana dasar pendidikan penjajah yang berbeza untuk setiap kaum di Malaya pada ketika itu. Setiap bangsa dibahagikan kepada kurikulum pendidikan yang berbeza. Melayu diajarkan teknik penternakan dan pertanian di samping membaca, mengira dan menulis. Kaum Cina mengambil sistem kurikulum dan guru dari negara China manakala kaum India, kurikulum mereka berdasarkan Kod Buruh. Pendidikan bersifat bebas yang diperkenalkan oleh British menyebabkan perpaduan sukar dicapai. Dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan oleh British melebarkan lagi jurang perpaduan antara masyarakat dan akhirnya membawa kepada tradegi hitam dalam sejarah negara iaitu rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan kerajaan telah merangka beberapa pelan dasar pendidikan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. Kesedaran terhadap tradegi rusuhan kaum yang mampu membantutkan perpaduan, maka DEB telah diperkenalkan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi masyarakat. Selain itu, kerajan telah telah menggubal Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Di samping itu, dasar pendemokrasian pendidikan dilaksanakan pada tahun 1962 dengan memberi pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan perubahan dasar untuk melanjutkan pendidikan universal dari 9 tahun kepada 11 tahun pada tahun1992. Kesamarataan dan peluang pendidikan kepada semua masyarakat yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu membentuk perpaduan yang utuh. Hal ini berdasarkan pendapat Azyumardi Azra (2006) yang menyatakan bahawa pendidikan yang tidak seimbang dan tidak memberi peluang kepada semua masyarakat untuk menonjolkan kebolehan harus dilenyapkan kerana pendidikan seperti ini gagal dalam menjalankan fungsinya untuk menyatupadukan rakyat. Jelaslah bahawa hala tuju dan falsafah pendidikan kita dalam membentuk perpaduan kaum mempunyai perbezaan mengikut zaman dari dahulu hingga kini.
4.4 Perbandingan dari aspek pembangunan modal insan
Pembangunaan modal insan merupakan salah satu hala tuju dan falsafah utama pendidikan. Menurut Becker (1987), modal insan ialah yang berkaitan dengan pengetahuan, maklumat, idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang dimiliki oleh individu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Persoalannya, sejauh manakah pendidikan sebelum dan selepas kemerdekaan memberi implikasi terhadap pembangunan modal insan? Pada peringkat awal, sistem pendidikan di negara kita hanya berteraskan pendidikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga. Sistem ini berdasarkan konsep warisan. Ibu bapa akan mengajar segala kemahiran yang dimiliki kepada anak-anak. Oleh itu, modal insan yang dilahirkan hanya mempunyai kemahiran yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Masyarakat tradisional ini juga menerapkan pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah. Kesedaran ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu”. (Surah Fatir, 28)
Pendidikan semasa era penjajahan dilihat kurang signifikan dalam membangunkan modal insan. Hal ini disebabkan hala tuju dan falsafah pendidikan Inggeris tidak memberi peluang kepada masyarakat Melayu khususnya untuk mengembangkan bakat dan kebolehan. Selain itu, jenis pendidikan yang bersifat bebas menyebabkan terdapat perbezaan jurang dalam pendidikan yang akhirnya membantutkan pembangunan modal insan.
Perbandingan yang jelas dapat dilihat pada zaman pascamerdeka. Hala tuju dan falsafah pendidikan pada ketika ini lebih bercorak untuk membangunkan modal insan. Hal ini selaras dengan ucapan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Hari Pekerja (2000) menyeru rakyat berganding bahu agar pendidikan negara mampu melahirkan modal insan yang kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu bersaing dengan di peringkat antarabangsa. Antara usaha-usaha yang berjaya melahirkan modal insan adalah penubuhan universiti. Tujuan penubuhan universiti ini adalah untuk memberi sumbangan kepada negara mengeluarkan tenaga terlatih dalam beberapa bidang yang relevan, khususnya bagi pembangunan modal insan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan j-QAF untuk memastikan pelajar mempunyai kemahiran dalam tulisan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain untuk melahirkan insan yang cemelang akademik dan sahsiah. Komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan terserlah melalui pelancaran PIPP yang mengariskan pembangunan modal insan sebagai teras kedua untuk memperkukuhkan hala tuju dan falsafah pendidikan negara.
4.5 Perbandingan dari aspek membasmi kemiskinan
Pendidikan merupakan langkah yang proaktif bagi meningkatkan taraf hidup dan membolehkan individu keluar dari kepompong kemiskinan. Hal ini dibuktikan melalui Duke (1985), Coombs dan Manzoor (1974) yang mengatakan bahawa cara yang terbaik bagi menyerang dan membasmi kemiskinan ialah melalui pendidikan dan latihan. Walau bagaimanapun, hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita memperlihatkan perbandingan yang jelas dari aspek membasmi kemiskinan antara sebelum dan selepas kemerdekaan.
Pada era masyarakat tradisional falsafah pendidikan yang diterapkan tidak mampu untuk membasmi kemiskinan kerana sistem pendidikan pada masa itu yang bersifat warisan iaitu anak-anak akan mewarisi pekerjaan ibu bapa. Walau bagaimanapun, kehadiran pengajian agama Islam telah membuka minda masyarakat Tanah Melayu pada masa itu tentang peri pentingnya pendidikan seterusnya melonjakkan hala tuju pendidikan maju selangkah ke hadapan. Namun kekangan yang dihadapi ialah sebelum abad ke-20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikan berbentuk formal dan sistematik di negeri-negeri Tanah Melayu.
Perubahan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah semakin memburukkan keadaan kerana falsafah pendidikannya lebih bersifat bebas. Masyarakat Melayu khususnya masih dihimpit kemiskinan kerana sistem pendidikan penjajah yang tidak memberi peluang kepada masyarakat Melayu untuk menonjolkan bakat. Menurut Sufean Hussin (1996) kegagalan pendidikan berfungsi membasmi kemiskinan pada era penjajahan disebabkan kurang kesedaran masyarakat Melayu ketika itu perihal kepentingan celik huruf dan pendidikan disebabkan oleh dasar pendidikan penjajah. Selain itu, tiada sistem pengangkutan yang baik dan kesempitan pemikiran orang Melayu ketika itu menyatakan bahawa hala tuju sekolah-sekolah kerajaan adalah untuk menyebarkan ideologi sekular yang bertentangan dengan ajaran Islam telah menghambat perkembangan pendidikan.
Setelah mencapai kemerdekaan, ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi masyarakat telah memaksa kerajaan memperkenalkan DEB sekaligus untuk meningkatkan pendapatan Bumiputera dan membasmi kemiskinan tegar. Kebanyakan dasar kerajaan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk membantu golongan miskin. Antaranya ialah memberi pinjaman buku teks kepada pelajar berpendapatan rendah, RMT, Akta PTPTN, pemberian one-off RM 120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin, pengagihan KWAPM dan Skim Baucer Tuisyen. Langkah ini membuktikan bahawa hala tuju pendidikan pada era pascamerdeka menitikberatkan pembasmiaan kemiskinan bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai kemiskinan sifar menjelang tahun 2020.
4.6 Perbandingan dari aspek pembangunan negara
Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Justeru, pendidikan mempunyai peranan penting dalam menentukan pembangunan sesebuah negara. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-Rahman, 33). Persoalannya sejauh manakah hala tuju dan falsafah pendidikan yang diamalkan di Malaysia sama ada sebelum dan selepas kemerdekaan mampu memainkan peranannya dalam membangunkan negara?
Sorotan sejarah telah memaparkan bahawa falsafah dan hala tuju pendidikan pada peringkat awalnya hanya bersifat tidak formal dan tidak mampu menjadi penggerak ke arah pembangunan negara. Namun, setelah sistem pendidikan kolonial diperkenalkan tidak dinafikan bahawa sistem ini telah mempengaruhi pembangunan negara yang masih dikuasai oleh penjajah pada masa itu. Hal ini berdasarkan kepada sistem pendidikan kolonial telah mengurangkan kadar buta huruf di tahap minimum. Pengurangan ini telah membantu membangunkan negara kerana petani yang menerima 4 tahun persekolahan rendah lebih proaktif sebanyak 20.4% daripada petani buta huruf (Jamison dan Lan, 1982)
Hala tuju dan falsafah pendidikan pascamerdeka mempunyai ciri-ciri unggul yang mampu untuk memartabatkan pembangunan negara. Pendidikan pada era ini mempunyai kapasiti untuk membasmi kemiskinan melalui hala tuju dan falsafah yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu menyediakan pendidikan kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Selain itu, hasil pembelajaran akan membentuk pengetahuan, kemahiran, inovasi dan nilai yang menjadi anjakan kepada pembangunan sumber tenaga yang melonjakkan pembangunan negara. Peningkatan pengetahuan ilmu seperti menguasai maklumat, fakta, prinsip, konsep, kepercayaan, kebiasaan, sikap dan kemahiran mampu dijadikan asas kukuh dalam pembangunan negara (Abdul Rahman Md. Aroff dan Zakaria Kasa, 1994).
Apabila falsafah pendidikan telah diterapkan dan hala tuju pendidikan yang berinovasi maka sistem pendidikan mampu meningkatkan kemahiran dan mengubah nasib seseorang individu. Perubahan ini akan menjana peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial masyarakat. Peningkatan ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara khususnya dalam peningkatan guna tenaga yang akhirnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Lantaran itu, sememangnya tidak dapat disangkal bahawa falsafah dan hala tuju pendidikan yang terancang memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dari segi ekonomi, politik dan sosial.
5.0 Penutup
Kesimpulannya, hala tuju dan falsafah pendidikan telah mengalami perubahan demi perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan sebagai agen ke arah pembangunan negara. Oleh itu, pendidikan yang berorientasikan falasafah untuk melahirkan insan yang berjiwa besar dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan menentukan hala tuju pendidikan negara di masa hadapan. Justeru, di dalam menguruskan hala tuju dan falsafah pendidikan untuk membentuk masyarakat madani bagi kelangsungan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kita seharusnya bangkit dari mimpi indah dan sedar bahawa sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak memperdebatkan sesuatu isu tanpa pengaplikasian resolusi menjadi realiti. Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang beraksi di tika ini.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama merenung firman Allah yang bermaksud; “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang berilmu itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi bagi tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk mendalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu mendapat memelihara diri mereka.” ( Surah at-Tawbah, 122 ). Sesungguhnya pendidikan berkesan tunjang ke arah pembentukan negara maju.

Bibliografi
Abdul Rahman Ahmad, 2006. Pembangunan Modal Insan: Apa dan Kenapa Perlu Dalam Konteks Organisasi di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Human Resources Academy.
Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa, 1994. Falsafah dan Konsep Pendidikan. Selangor, Penerbit Fajar Bakti.
Adnan Haji Awang (Penyunting), 1985. Pendidikan dan Kewarganegaraan di Malaysia. Kuala Lumpur, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung.
Al-Quran dan Terjemaahan, 2005. Bandung, Penerbit Diponegoro.
Azyumardi Azra, 2006. Paradigma Baru Pendidikan Nasional. Jakarta, Penerbit Buku Kompas.
Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan ke Arah Perpaduan: Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.
Hasan Langgulung, 1995. Manusia dan Pendidikan: Suatu Analisa Psikologi dan Pendidikan. Jakarta, Penerbit PT. Al Husna Zikra.
http://www.moe.gov.my.
http://www.scribd.com.
Kamarudin Kachar, 1989. Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Teks Publishing sdn. Bhd..
Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur, Penerbit Nurin Enterprise.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Kesultanan Johor yang terkadang disebut juga sebagai Johor-Riau atau Johor-Riau-Lingga adalah kerajaan yang didirikan pada tahun 1528 oleh Sultan Alauddin Riayat Syah, putra sultan terakhir Malaka, Mahmud Syah. Sebelumnya daerah Johor-Riau merupakan bahagian dari Kesultanan Malaka yang runtuh akibat serangan Portugis pada 1511.

Pada puncak kejayaannya Kesultanan Johor-Riau mencakup wilayah Johor sekarang, Pahang, Selangor, Singapura, Kepulauan Riau, dan daerah-daerah di Sumatera seperti Riau Daratan dan Jambi.

Sebagai balas jasa atas bantuan merebut tahta Johor Sultan Hussein Syah mengizinkan British pada 1819 untuk mendirikan pemukiman di Singapura. Dengan ditandatanganinya Traktat London tahun 1824 Kesultanan Johor-Riau dibahagi dua menjadi Kesultanan Johor, dan Kesultanan Riau-Lingga. Pada tahun yang sama Singapura sepenuhnya berada di bawah kendali British. Riau-Lingga dihapuskan oleh pemerintah Hindia Belanda pada tahun 1911.

Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim, dipaksa untuk menerima kehadiran Residen British Dengan demikian Johor efektif menjadi koloni Mahkota British.

Johor menjadi salah satu negara bahagian Malaysia ketika negara itu didirikan pada 1963.

Raja-raja Kesultanan Johor-Riau (1528-1824)

1. 1528-1564: Sultan Alauddin Riayat Syah II (Raja Ali/Raja Alauddin)
2. 1564-1570: Sultan Muzaffar Syah II (Raja Muzafar/Radin Bahar)
3. 1570-1571: Sultan Abd. Jalil Syah I (Raja Abdul Jalil)
4. 1570/71-1597: Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II (Raja Umar)
5. 1597-1615: Sultan Alauddin Riayat Syah III (Raja Mansur)
6. 1615-1623: Sultan Abdullah Ma'ayat Syah (Raja Mansur)
7. 1623-1677: Sultan Abdul Jalil Syah III (Raja Bujang)
8. 1677-1685: Sultan Ibrahim Syah (Raja Ibrahim/Putera Raja Bajau)
9. 1685-1699: Sultan Mahmud Syah II (Raja Mahmud)
10. 1699-1720: Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil)
11. 1718-1722: Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (Raja Kecil/Yang DiPertuan Johor)
12. 1722-1760: Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (Raja Sulaiman/Yang DiPertuan Besar Johor-Riau)
13. 1760-1761: Sultan Abdul Jalil Muazzam Syah
14. 1761: Sultan Ahmad Riayat Syah
15. 1761-1812: Sultan Mahmud Syah III (Raja Mahmud)
16. 1812-1819: Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah (Tengku Abdul Rahman)

Raja-raja Kesultanan Johor (1824-sekarang)

1. 1819-1835: Sultan Hussain Shah (Tengku Husin/Tengku Long)
2. 1835-1877: Sultan Ali (Tengku Ali; tidak diakui oleh Inggris)
3. 1855-1862: Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Seri Maharaja Johor)
4. 1862-1895: Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (Temenggung Che Wan Abu Bakar/Ungku Abu Bakar)
5. 1895-1959: Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar
6. 1959-1981: Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim
7. 1981-2010: Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj
Kini setelah kemangkatan Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail akan digantikan oleh Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar.



TENGKU Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar dilantik sebagai Pemangku Raja mulai hari ini. Pengumuman dibuat Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berikutan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail. - Foto NSTP (berita lanjut)





Sultan Iskandar bin Sultan Ismail merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-8, ia berkuasa dari tanggal 26 April 1984 hingga 25 April 1989. Sultan Iskandar berasal dari Johor Darul Ta'zim.

Merupakan putra sulung Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim dengan permaisurinya Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad, ia dinamai Tunku Mahmood Iskandar.

Sultan Iskandar telah bercerai dengan ibu Tengku Mahkota, Josephine Trevorrow, dan kemudiannya menikah dengan Tengku Zanariah binti Tengku Panglima Raja Ahmad dari kerabat negeri Kelantan. Tengku Zanariah kini merupakan Raja Permaisuri Agong dan Permaisuri Johor

Tokoh kontroversial

Tokoh yang kontrovesial di Malaysia, Sultan Iskandar menjalani hidup yang berliku. Dilantik sebagai Tunku Mahkota pada 1959, dia disingkirkan dari jabatan tersebut oleh ayahandanya saat didapati bersalah atas tuduhan menyerang oleh pengadilan. Kemudian Sultan Ismail melunak pada akhir hayatnya dan menganugerahi kembali Tunku Mahmood Iskandar pada pangkat dan gelar 10 hari sebelum mangkat.

Berminat pada ketentaraan, Sultan Iskandar sering tidak sejalan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohammad ketika ia menjadi Sultan Johor. Walaupun, setelah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar berbaikan dengan Perdana Menteri dan ini mencapai puncaknya saat Tun Dr. Mahathir Mohamad dianugerahi darjah pertama kerabat diraja Mahkota Johor, sesuatu yang belum pernah dianugerahkan kepada orang kebanyakan.

Sultan Iskandar raja yang tegas, adil

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya.

Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan.

Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.

Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda adalah juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Baginda adalah Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885.

Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin.

Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Baginda adalah seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan.

Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil.

Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang membabitkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu.

Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden. - Bernama
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Thursday, January 21, 2010 at 6:04 AM | 0 comments  

"Pembangunan Industri Pencetus Kemajuan"

1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘Revolusi’ bermaksud perubahan sebuah kerajaan, sistem politik, atau sistem sosial, yang dilakukan secara radikal atau kekerasan; atau perubahan yang menyeluruh dan mendadak terutamanya dari segi cara berfikir, bertindak dan sebagainya. Manakala ‘Industri’ pula merujuk kepada Perusahaan (biasanya secara besar-besaran) untuk membuat, menghasilkan, atau mengeluarkan barangan. Secara umumnya, revolusi industri bermaksud proses perubahan sebuah ekonomi yang mudah kepada satu bentuk ekonomi yang kompleks. Perubahan ini melibatkan proses transformasi satu sistem ekonomi yang masih bergantung pada kegiatan secara tradisi. Transformasi yang berlaku menyebabkan proses pertumbuhan ekonomi menjadi lebih cergas dan tahap produktiviti yang lebih tinggi. Menurut Sivachandralingam pula, revolusi industri boleh ditakrifkan sebagai perubahan yang dialami oleh sesebuah negara dalam aspek kaedah dan ciri-ciri organisasi ekonomi. Revolusi industri ini sebenarnya telah bermula di Britain pada awal ke-18 dan telah berkembang ke seluruh Eropah pada abad ke-19. Tahap perkembangan yang berbeza di Eropah menyebabkan perkembangan revolusi ini terbahagi kepada dua tahap. Tahap pertama Revolusi Perindustrian khusus kepada revolusi yang berlaku di Britain (1760-1860). Tahap kedua pula, merupakan revolusi yang bermula pada tahun 1860-an hingga tahun 1914 dan melibatkan melibatkan negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman. Akibat daripada Revolusi Perindustrian yang cukup pesat di Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 berlaku banyak perubahan yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial negara-negara di Eropah. Antara impak revolusi industri di Eropah ialah wujudnya sistem perhubungan yang efektif, berlakunya pertambahan jumlah penduduk secara mendadak, berlakunya perluasan perdagangan antarabangsa, perubahan gaya hidup masyarakat Eropah, munculnya golongan kelas baru, perubahan dalam pemikiran politik, perkembangan idea ekonomi baru, dan perluasan revolusi perindustrian.

2.0 IMPAK REVOLUSI INDUSTRI DI EROPAH
2.1 Wujudnya sistem perhubungan yang efisyen
Revolusi perindustrian telah membawa kepada kewujudan sistem perhubungan yang berkesan dan bernilai komersial berbanding sebelumnya. Sistem perhubungan yang berkesan adalah penting bagi darjah ketersampaian produk industri untuk sampai ke tempat pemprosesan dan pemasaran. sebelum zaman revolusi perindustrian, kawasan pedalaman dihubungi dengan menggunakan sungai dan jalan darat manakala barang-barang yang bermuatan berat dibawa keluar dari kawasan ini melalui pesisir pantai dengan menggunakan kapal. Landasan keretapi dan laluan gerabak diguna pakai untuk menggangkut arang batu ke kawasan sungai sebelum di pindahkan ke atas kapal. Pada ketika ini juga, haiwan masih lagi menjadi simbol kewibawaan pengangkutan di darat dan layar menjadi simbol kewibawaan pengangkutan di laut. Keadaan ini mula berubah dengan kehadiran jurutera-jurutera yang berwibawa dan pemodal yang berkesan. Sistem pengangkutan di Britain menjadi lebih baik dengan tercetusnya revolusi industri terutamanya menjelang abad ke-19.
Menjelang tahun 1830, sistem perhubungan di Eropah mula mendapat sinar baru tetapi masih menghadapi kesulitan dalam menegendalikan bahan-bahan berkapasiti tinggi seperti arang batu. Landasan keretapi moden pertama dibina di England adalah pada tahun 1825 yang menghubungkan lombong arang batu Durham di Stockton dengan Darlington. Isambard Kingdom Brunel (1806-1859) merupakan jurutera yang bertanggungjawab mengendalikan pembinaan landasan Great Western yang menghubungkan London-Bristol-South Wales. Pada tahun 1837, Robert Stephenson telah membina landasan yang menghubungkan London dengan Birmingham. Menjelang tahun 1873, Britain telah muncul sebagai peneraju dunia dalam pembinaan landasan keretapi dengan memiliki landasan yang boleh dihubungkan sehingga menjangkau 14,000 batu atau 22, 669 kilometer. Perkembangan tersebut bukan sahaja merancakkan kegiatan industri malah telah membuka peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat dalam sektor pembinaan landasan keretapi serta perlombongan arang batu dan logam (industri primer). Di samping itu, kontraktor-kontraktor Britain telah muncul sebagai penyedia perkhidmatan bagi membina landasan keretapi seperti Thomas Brassey yang mendapat kontrak membina landasan keretapi di Itali, Canada, Argentina, India dan Australia.
Revolusi industri juga menyaksikan berkembangnya penggunaan kapal stim di Eropah. Teknologi perkapalan di Eropah berkembang dengan positif bermula dengan penciptaan kapal besi oleh Wilkinson pada tahun 1787. Kapal dibina dengan menggunakan besi sebagai rangka dan kayu sebagai dinding. Kapasiti kapal menjadi lebih besar dengan penggunaan besi kerana ia boleh mengangkut lebih banyak kargo berbanding kapal yang dibuat dengan kayu sepenuhnya. Inovasi dalam sektor perkapalan terus berkembang dengan adannya individu sepert Wilkinson. Pada tahun-tahun berikutnya kapal yang dihasikan telah mendapat sentuhan yang lebih mantap dengan penggunaan enjin stim pada kapal laut pada tahun 1802 dan kemudiannya keluli telah diguna pakai bagi menggantikan besi dalam sektor pembuatan kapal pada sekitar tahun 1880-an dan hal ini telah meningkatkan lagi kapasiti kapal untuk mengangkut kargo.
Sistem perhubungan bukan sahaja merujuk kepada pengangkutan semata-mata tetapai juga merangkumi sistem telekomunikasi seperti telefon, telegraf dan pos. Perkhidmatan telegraf mula diguna pakai dengan meluas apabila kabel elektrik ‘transatlantik’ siap dibina.pada tahun 1866 yang menghubungkan Amerika Utara dengan Britain. Perkhidmatan pos menjadi lebih efisyen menjelang tahun 1869. Telefon pula muncul sebagai medium telekomunikasi yang penting bermula dengan wujudnya ‘ibu sawat’ telefon yang menghubungkan Manchester, Liverpool dan London. Perkhidmatan telefon merupakan impak yang signifikan dengan revolusi perindustrian kerana kepentingannya untuk mengatasi persoalan jarak dan kecepatan perhubungan terutamanya kepada para pedagang dengan wakil mereka di kawasan lain. Keadaan perhubungan yang bertambah baik memungkinkan akses yang lebih luas ke kawasan-kawasan yang mempunyai darjah ketersampaian yang jauh dan mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar.
2.2 Pertambahan jumlah penduduk
Revolusi industri telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutamanya England. Populasi penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada awal kurun ke-18 tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun 1780. Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada kadar tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan positif penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England hanyalah 5.5 juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di England bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini meningkat lagi menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 50 tahun sebelumnya.
Industrilisasi dan pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh Britain. Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah juga disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang melakukan migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri dengan ada di antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan harapan mencari pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.
Pengaruh yang besar akibat revolusi perindustrian telah menyebabkan undang-undang penempatan di bawah sistem merkantilisme yang tidak membenarkan pekerja meninggalkan kawasan tertentu di bawah kelolaan Parish tanpa memenuhi syarat-syarat tertentu diketepikan dan seterusnya menamatkan sistem feudalisme yang sekian lama menggongkong masyarakat Eropah. Hal ini telah mendorong perkembangan migrasi di Eropah. Penghijaran penduduk dari kawasan luar bandar telah menyebabkan peningkatan jumlah penduduk di beberapa bandar utama secara mendadak seperti di kawasan Lancshire, West Riding, di Yorkshire, Warwickshire, Nottinghamshire, dan Staffordshire. Selain daripada London, beberapa kawasan di Eropah telah berubah taraf menjadi megalopolis seperti di kawasan tengah Belgium dan Ruhr di Jerman.
Kebanjiran penduduk akibat imigrasi dan kadar kelahiran yang tinggi di kawasan industri akhirnya membawa kepada masalah persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang seterusnya meningkatkan jumlah pengangguran. Kadar pengangguran yang tinggi akhirnya membawa kepada idea untuk mengemigrasikan penduduk yang berlebihan ke luar Eropah terutamananya ke wilayah taklukan dan naungan Britain. Percubaan pertama dilakukan pada awal kurun ke-19 apabila. Tiga orang yang berpendirian radikal menyahut cabaran untuk mengetuai proses emigrasi ke luar dari Eropah iaitu ke kawasan yang dinaungi British. Mereka ialah Edward Gibbon of Wakefield, Earl of Durham dan Charles Buller. Di samping itu, para banduan yang membebankan kerajaan telah dihantar keluar negara terutamanya Australia dan tindakan tersebut penting bagi mengatasi masalah pertambahan golongan tersebut di Britain. Revolusi industri yang meletus di Eropah telah mempercepatkan proses pertumbuhan penduduk di benua berkenaan. Kapasiti penduduk yang besar menjadi penjana kekuatan ekonomi dan politik negara-negara yang terlibat dalam revolusi industri.
2.3 Perluasan perdagangan antarabangsa dan persaingan ekonomi
Penggunaan mesin dalam skala besar bagi sektor perkilangan di Britain telah mnyebabkan limpahan kuantiti barangan industri. Hal ini menyebabkan Britain terpaksa menggunakan negara-negara koloni bagi mencari pasaran antarabangsa yang lebih besar berdasarkan kemampuan pengeluaran sektor industrinya. Produk berasakan kapas merupakan antara produk yang menjadi produk eksport utama Britain pada pertengahan abad ke-18 dan awal abad ke-19. Revolusi perindustrian telah memberi ransangan kepada Britain untuk bersikap lebih liberal dalam menjalankan urusan perdagangannya terutamanya dalam melonggarkan duti kastam dalam sebarang urusan perdagangan antarabangsa. Adam Smith merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mempopularkan idea mengenai librelisme ekonomi atau lebih dikenali sebagai laissez faire di dalam bukunya yang bertajuk The Wealth of Nation. Salah satu tema yang terkandung dalam buku beliau ialah mengenai usaha mengekalkan kekayaan negara pada tahap maksimum dengan menghapuskan perlindungan duti kastam. Idea ini kemudiannya diangkat oleh William Huskinsson yang kemudiannya menjadi Presiden Lembaga Perdagangan pada tahun 1823. Pelaksanaan sistem ini di kawasan koloni Britain telah melipatgandakan kekayaan Britain. Selain negara-negara koloni, Britain juga menjalankan hubungan perdagangan yang positif dengan negara-negara di Barat seperti Rusia terutamanya di zaman Catherine II.
Barangan kapas merupakan barangan yang mendapat perhatian khusus di Timur dengan kadar eksport oleh Syarikat Hindia Timur mencatatkan angka yang cukup memberangsangkan. Kain kapas yang dieksport ke Timur mencatatkan peningkatan daripada hanya satu juta ela pada tahun 1814 kepada 56 juta ela pada tahun 1832. Pertambahan penduduk dunia sehingga dua kali ganda telah membuka peluang dagangan kepada Britain pada suku pertama abad ke-19 dengan mencatatkan keuntungan yang menjangkau 20 kali ganda dari segi nilainya. Amalan dasar laissez faire memberi kelebihan kepada Britain untuk mendahului negara-negara Eropah lain dari segi kekuatan perdagangan.
Perkembangan ekonomi Britain yang begitu pesat sehingga tahun 1850 bukanlah bermakna hanya Britain yang berkeupayaan meraih input positif daripada revolusi industri yang melanda Eropah. Britain mula mengalami kemerosotan dari segi penguasaan terhadap pengeluaran produk-produk industrinya setelah berkembangnya revolusi industri ke seluruh Eropah. Perancis, Jerman dan Belgium muncul sebagai pencabar ekonomi bagi Britain antara tahun 1850 hingga tahun 1870. Walaupun Britain kekal sebagai negara pengeluar jongkong besi utama dunia tetapi perkembangannya adalah lebih perlahan berbanding Perancis dan Jerman. Arang batu yang menjadi produk industri kedua Britain mula mendapat saingan daripada Jerman. Pada tahun 1871, Britain mendominasi pengeluaran arang batu dengan jumlah pengeluaran pada tahun tersebut mencecah 118 juta tan sedangkan Jerman hanya mampu mengeluarkan 38 juta tan. Namun demikian, pada tahun 1910, Britain mula disaingi secara jelas oleh Jerman dalam usaha pengeluaran arang batu apabila Jerman berupaya mengeluarkan 279 juta tan yang hanya kurang sedikit sahaja berbanding Britain yang mengeluarkan 287 juta tan. Hal yang hampir sama juga turut berlaku dalam pengeluaran keluli dengan Jerman mengatasi pengeluaran keluli Britain pada tahun 1900 apabila Jerman berjaya mengeluarkan 7.3 juta tan keluli berbanding Britain yang hanya mampu mengeluarkan 4.9 juta tan pada tahun berkenaan. Perkembangan ekonomi ini menjadi asas penting kepada penguasaan ekonomi dunia oleh Barat.
2.4 Perubahan gaya hidup dan keadaan persekitaran masyarakat Eropah
Sebelum zaman revolusi, masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan tradisi kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar bandar. Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk melakukan mobiliti sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa memainkan peranan yang cukup jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai hak mutlak dalam menentukan jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi industri, keadaan tersebut mula berubah dan golongan muda mula beremigrasi menuju ke kawasan yang giat dengan kegiatan industri atau kawasan bandar. Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini erat mula menjadi longgar. Keadaan di kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan golongan yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi cabaran. Bakat dan kekayaan menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal seperti masalah pelacuran dan jenayah berat.
Pelacuran menjadi penyakit sosial di Eropah menjelang abad ke-19 dan di Vienna sahaja terdapat lebih 15,000 orang pelacur manakala di Perancis pula, pelacur memiliki lesen perniagaan dengan jumalah pelacur menjangkau 50,000 orang pelacur; dan London 80,000 orang pelacur. Golongan wanita menjadi golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam carta sosial di zaman revolusi industri. Sebelum revolusi industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial keluarga. Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi industri kerana mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan ini juga menjadi pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur dengan menyediakan modal untuk tujuan ekonomi.
Proses perindustrian yang berlaku di Eropah telah menyumbang kepada masalah pencemaran dan kesihatan. Penggunaan bahan bakar arang batu secara meluas telah mengakibatkan pencemaran udara yang teruk di Britain. Kilang dan rumah pekerja berada di lokasi yang sama menyebabkan mereka terdedah secara langsung dengan pencemaran udara dari kilang industri. Penduduk juga terpaksa menggunakan sumber air yang tercemar akibat pengaliran terus sisa industri ke sungai atau punca air penduduk menyebabkan pelbagai jenis penyakit menghinggapi golongan ini. Sampah-sarap tidak dikendalikan dengan sewajarnya menyebabkan kawasan bandar menjadi kotor. Golongan miskin menternak binatang seperti babi dan ayam manakala golongan berada memelihara kuda. Binatang-binatang tersebut dibiarkan berada di jalan dan hal ini memberi risiko penyakit kepada pejalan kaki yang menggunakan jalan tersebut. Chadwick membuat laporan berkenaan keadaan sanitari dan kualiti kesihatan penduduk miskin di bandar pada tahun 1842 dan menghasilkan satu kesimpulan yang menjelaskan bahawa kadar kematian golongan miskin jauh lebih tinggi berbandin golongan kaya. Beliau menyatakan bahawa kolera dan penyakit endemik yang lain berpunca daripada keadaan hidup yang tidak bersih. Akta Kesihatan Awam 1875 merupakan sebuah akta yang digunakan untuk memperbaiki keadaan yang tidak sihat ini.
2.5 Kemunculan golongan kelas baru
Revolusi Perindustrian di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam strata sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah disebabkan oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan kelas pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank, peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang amat besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini berkeinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah berkembang dengan pesat.
Menjelang abad ke-17 dan ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai golongan borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah. Golongan borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang bandar yang bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, perniagaan bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan hasil daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan ini mula menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan yang mereka perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar bandar. Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan aristokrat tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari segi kuasa politik.
Pada peringkat awal, golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik, tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini menjadi semakin penting. Dasar merkantlisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh golongan ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula memberi kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang dijalankan oleh golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi negara. Perkembangan ini agak ketara di England, tetapi di negara lain seperti Jerman dan Perancis kedudukan golongan pertengahan masih lagi lemah pada abad ke-16. Di perancis walaupun pengaruh politik golongan pertengahan masih lemah pada abad ke-16, tetapi dari segi ekonomi pengaruh golongan ini semakin kuat.
Oleh kerana golongan pertengahan di Eropah semakin ramai dan mempunyai status ekonomi yang setanding dengan golongan bangsawan pada ketika itu, golongan ini mula memperjuangkan keperntingan politik mereka khususnya di England. Keadaan ekonomi yang didominasi oleh golongan pertengahan menyebabkan mereka berpeluang untuk membabitkan diri dalam bidang politik di Eropah. Hasilnya pada abad ke-18 di England golongan ini berjaya mendapatkan kuasa dalam politik. Pada abad ke-18, Parlimen England mempunyai 61 orang ahli Parlimen yang terdiri daripada kelas menengah. Dalam hal ini, golongan pertengahan telah berjaya memperjuangkan dan meluluskan akta-akta perdangangan yang memihak kepada mereka. Antaranya termasuklah pemansuhan monopoli Syarikat Hindia Timur Inggeris pada 1813, pemansuhan Akta Perantis pada 1814 serta akta yang mensyaratkan penggunaan kulit binatang dalam pembuatan kasut pada tahun 1824.
Manakala di Perancis dan juga kebanyakan negara Eropah walaupun perkembangan pengaruh golongan poltik agak lambat berbanding di Englad, namun menjelang abad ke-18 golongan pertengahan ini akhirnya berjaya muncul sebagai satu kuasa politik yang menyaingi golongan aristokrat. Golongan pertengahan ini juga mula berani mempersoalkan kedudukan dan kekuasaan raja dalam pemerintahan. Pengaruh golongan pertengahan yang semakin kukuh ini juga didorong oleh sokongan para pekerja. Pada zaman revolusi perindustrian terdapat beberapa orang penulis yang menyeru supaya golongan pekerja memberi sokongan terhadap ahli politik golongan pertengahan. Salah seorang daripad penulis yang menyeru pekerja supaya memberi sokongan terhadap golongan politik pertengahan adalah Karl Marx.
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan, Revolusi Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja kilang dan lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi Perindustrian mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat dengan menggunakan tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada zaman Revolusi Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih peranan sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya mampu menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan ke-19 golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin telah menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum ini. Di Britain dan negara-negara Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang sepatutnya mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam kemiskinan walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi Industri.
2.6 Pekerja dan keadaan kerja di kilang
Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan keadaan kerja di kilang-kilang di Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika itu. Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari dan enam jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut. Keadaan ini membawa kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah kerana mereka bukan sahaja tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi terus berada dalam keadaan terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.
Pada zaman Revolusi Industri di Eropah juga, para buruh yang terlibat dalam pekerjaan di kilang-kilang bukan hanya terdiri daripada golongan dewasa tetapi turut melibatkan kanak-kanak dan wanita. Keadaan ini amat berbeza dengan situasi sebelum zaman Revolusi Perindustrian di Eropah. Ini kerana para pengusaha kilang ketika itu lebih suka menggajikan pekerja wanita dan kanak-kanak kerana mereka boleh diberi upah yang rendah. Akibatnya ahli keluarga golongan bawahan di Eropah pada ketika itu terpaksa berkerja. Mereka terpaksa berkerja setiap hari dan berkerja dalam jangka masa yang panjang bagi meneruskan hidup. Keadaan kilang dan lombong juga tercemar dan beberapa pekerja terpaksa berkerja mngikut kelancaran mesin. Jika para pekerja ini berehat ataupun ke tandas mereka akan dikenakan denda yang sangat tinggi. Revolusi Perindustrian ini memperlihatkan penindasan yang amat teruk kepada golongan bawahan. Jika sebelumnya golongan bawahan ini ditindas oleh tuan tanah, menjelang zaman Revolusi Perindustrian golongan ini banyak ditindas oleh pemilik-pemilik kilang dan lombong yang hanya mementingkan untung.
Penindasan terhadap golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang terlalu lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja, khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin lalu terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana yang gelap dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang disediakan oleh pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat teruk. Pengusaha kilang kebiasaanya membina sederet rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan tandas serta mengenakan sewa yang tinggi terhadap pekerja kilang. Kawasan penempatan tersebut juga adalah kotor, padat dengan penduduk dan penuh dengan pelbagai penyakit seperti taun dan batuk kering. Oleh kerana ramai pekerja yang berkerja lebih masa, lapar dan hidup dalam keadaan menderita ramai golongan ini yang mati dalam usia yang muda.Separuh daripada bayi-bayi yang dilahirkan pada ketika itu juga meninggal dunia sebelum berusia satu tahun.
Nasib golongan para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun 1790. Pada ketika itu kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula bekurangan dan pada 1802 Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan terhadap golongan bawahan. Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan dan golongan sosial reformis yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan buruh-buruh yang ditindas oleh majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan tentang nasib golongan yang tertindas dan menuntut piawaian kemanusiaan diwujudkan.Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum di Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.
Pencapaian terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja 14 hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerjanya menjadi 13 jam sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.

2.7 Perkembangan idea ekonomi baru
Revolusi Perindustrian di Eropah turut menyebabkan berlakunya perkembangan idea ekonomi baru dalam kalangan masyarakat Eropah. Perkembangan ekonomi yang berlaku dengan pesat akhirnya menyebabkan wujud pelbagai bentuk idea ekonomi di Eropah. Pada zaman sebelum Revolusi Perindustrian, khususnya pada abad ke-16 dan ke-17, ukuran kekayaan bergantung kepada jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh sesebuah negara. Namun pada abad ke-18 para pemikir ekonomi mula menyedari kekayaan tidak lagi bergantung kepada jumlah emas dan perak, sebaliknya kekayaan pada ketika itu bergantung kepada jumlah barangan dan perkhidmatan yang dapat disediakan.
Pada ketika itu juga kerajaan tidak dapat campur tangan dalam perdagangan dan industri, kerana pada masa itu sektor ekonomi di Eropah bergantung kepada permintaan dan penawaran. Keadaan ini amat berbeza dengan era sebelum zaman Revolusi Perindustrian. Sebelum zaman Revolusi Perindustrian dan kemunculan golongan pertengahan, kerajaan atau pemerintah memegang kuasa kepada sektor ekonomi yang dijalankan oleh rakyat. Namun pada era Zaman Revolusi Perindustrian telah muncul idea pemikiran ekonomi liberalisme atau idea ekonomi klasik yang dipelopori oleh Adam Smith melalui bukunya The Wealth of Nation yang diterbitkan pada tahun 1776. Dalam hal ini Adam Smith telah mengkritik sistem ekonomi Merkantilisme yang diamalkan di Eropah. Menurut Adam Smith koloni hanya akan berkembang pesat jika diberi kebebasan untuk menjalankan aktviti mengikut pilihan sendiri. Tindakan mengawal koloni secara politik hanya akan membebankan negara induk dari segi kewangan. Bagi Adam Smith campur tangan kerajaan koloni perniagaan hanya akan membantutkan koloni perniagaan daripada terus berkembang.
Bagi Smith, perdagangan bebas menambahkan pendapatan dan mengurangkan kos pengeluaran serta membolehkan modal mengalir ke sektor pengeluaran yang akan meningkatkan permintaan untuk tenaga buruh. Idea ini menjadi realiti apabila lebihan barangan kapas Manchester dipasarkan ke India menjelang abad ke-19. Sebelum produk kapas dipasarkan ke India, Manchester telah mewujudkan kuasa beli di India dengan mengimport kapas mentah dari negara tersebut. Dengan cara ini wujud perdagangan bebas yang memberi faedah kepada kedua-dua negara yang terlibat dalam perdagangan dan tidak menindas seperti sistem Merkantlisme. Dalam hal ini Smith menyatakan penerokaan ke atas India merupakan peristiwa penting dalam sejarah manusia.
Idea ekonomi perdagangan bebas ini telah mencapai banyak kejayaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi England. Kejayaan dasar dasar perdagangan bebas ini dapat diperhatikan di England pada tahun-tahun 1820 dan 1830an apabila Parlimen England meluluskan beberapa akta yang menghapuskan dasar-dasar ekonomi yang menyekat kebebasan. Antaranya termasuklah pemansuhan monopoli perdagangan Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan negara China, pengurangan senarai barangan yang dikenakan duti import dan eksport, kelonggaran Undang-undang jagung (Corn Law) pada tahun 1822 serta akta perkapalan yang dipinda ada tahun 1825. Penghapusan akta-akta tersebut telah memberi peluang kepada idea ekonomi liberalisme berkembang, manakala sistem ekonomi Merkantlisme yang pada asalnya diamalkan di Eropah sebelum era Revolusi Perindustrian semakin terhapus. Perkembangan sistem ekonomi yang bebas ini bukan sahahja telah merancakkan aktiviti import dan eksport di Eropah tetapi telah memperlihatkan perkembangan ekonomi negara Eropah.
Perkembangan ini akhirnya mendorong ramai pengusaha-pengusaha meluaskan perniagaan mereka ke laur negara yang mempunyai ruang pasaran yang luas bagi memasarkan produk meraka khususnya negara China dan India. Kepesatan Revolusi Perindustrian juga akhirnya menyebabkan negara-negara Eropah khususnya England, Perancis, Jerman, Belanda, dan Rusia mula menjajah negara-negara lain bagi memenuhi keperluan bahan mentah untuk sektor perindustrian di samping mendapatkan pasaran bagi memasarkan produk-produk keluaran mereka. Penjajahan negara-negara Eropah ini berlaku melalui penjajahan secara langsung iaitu dengan menggunakan ketenteraan dan secara tidak langsung iaitu dengan menguasai ekonomi sesebuah negara. Perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah bukan sahaja telah menyebabkan munculnya idea ekonomi yang liberal tetapi secara tidak langsung telah membawa kepada penjajahan Eropah ke atas negara-negara lain.
2.8 Perubahan dalam pemikiran politik
Akibat daripada kemunculan beberapa golongan baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja atau proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru. Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau proletariat adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat kemiskinan dalam kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang mempercayai bahawa golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan ini merupakan golongan yang memiliki sebahagian besar daripada sumber kekayaan dalam masyarakat. Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang berlaku terhadap golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil. Perjuangan golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman sosialisme.
Fahaman sosialis ini berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa persamaan dalam bidang ekonomi. Pada peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua. Perbezaan kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi berbeza dari segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih mementingkan cara damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang pemusatan kuasa di dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada manusia untuk menguruskan kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa revolusi industri boleh membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan keyakinan ini, maka mereka mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta memandang rendah terhadap golongan yang menyara hidup tanpa berkerja dengan tulang empat kerat. Kumpulan ini diwakili oleh pemikir seperti Saint Simon, Cabet dan Fourier.
Kumpulan kedua merupakan kumpulan yang menggunakan rampasan kuasa sebagai suatu taktik politik yang sah bagi mempraktikkan kepercayaan mereka. Golongan ini juga menyokong campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi bagi menjamin hak dan keselesaan hidup kaum pekerja yang selama ini ditindas oleh pengusaha kilang dan lombong. Para pemimpin utama kumpulan ini terdiri daripada Babeuf (1760-1797), Bounarotti (1761-1837), Louis Augute Blanqui (1805-1881) dan Louis Blanc (1811-1822). Golongan ini merupakan golongan yang betul-betul berazam untuk mengubah peraturan sosioekonomi dan politik di Eropah pada masa revolusi-revolusi 1848.
Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi. Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam perkembangan sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam kaedah pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara pemerintah dan yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah teori materialisme. Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah masyarakat akan menentukan bentuk institusi yang terbaik, negara, undang-undang, dan agama dalam masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam bidang ekonomi akan turut mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini perjuangan kelas untuk mengawal punca-punca pengeluaran akan membawa masyarakat kepada kedudukan yang lebih tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya revolusi.
Selain itu, Marx turut menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan bersatu untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah masyarakat tanpa kelas ataupun masyarakat komunis. Kemunculan fahaman baru dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku pertelingkahan antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada fahaman antara beberapa pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan khususnya golongan pekerja di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah bukan sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan dalam pemikiran politik di Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan golongan pekerja dalam politik untuk memperbaiki kehidupan mereka.


3.0 KESIMPULAN
Revolusi industri yang melanda Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap perkembangan ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi industri, kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi industri, masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam kegiatan ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder dan sektor ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin berkembang maju. Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut akhirnya turut mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah. Revolusi industri bukan sahaja telah membentuk corak sosial yang baru di Eropah tetapi turut memepengaruhi amalan politik masarakat Eropah. Revolusi industri merupakan zaman yang cukup penting kepada Eropah kerana revolusi industri telah memberi impak yang besar cukup terhadap kemajuan Eropah dan antara impak revolusi industri ialah wujudnya sistem perhubungan yang efisyen, berlakunya pertumbuhan penduduk secara positif, perdagangan antarabangsa berlangsung dengan lebih aktif, berlakunya perubahan dalam kehidupan sosial masyarakat Eropah, perburuhan kanak-kanak dan usaha pembelaannya, berkembangnya idea ekonomi baru dan berlakunya perubahan dalam pemikiran dan amalam politik. Berdasarkan implikasi tersebut, boleh dikatakan bahawa revolusi industri menjadi masa transisi kepada pembinaan kekuatan masyarakat Eropah terutamanya Britain. Kekuatan ekonomi dan politik dibangunkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh waktu tersebut dan keadaan sosial masyarakat Eropah mula menjadi lebih terbuka. Walaupun konsep revolusi industri lebih dekat dengan perkembangan ekonomi tetapi kesannya telah mempengaruhi seluruh aspek negara-negera Eropah. Perkembangan yang berlaku bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi turut melibatkan aspek politik dan social yang akhirnya membawa mereka ke era kemajuan dan mendahului negera-negera lain di dunia.


BIBLIOGAFI
Brett, S.R., A History of the British Empire and Commonwealth, London: Thomas Nelson and Son Ltd., 1966.
Bulliet, R.W., Crossley, P.K., Headrick, D.R., Hirsch, S.W., Johnson, L.L, & Northrup, D., The Earth and Its People: A Global History Volume II: Since 1500 (Brief Edition), Boston, Houghton Mifflin Company, 2000.
Coffin, J.G. & Stacey, R.C., Western Civilization: Their History and Their Culture (15th Edition), New York: W.W Norton & Company, Inc., 2005.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Jones, Peter (Editor), The French Revolution: In Social Political Perspective, London: Arnold, 1996.
Lane, Christopher & Peter, History 1750 To the Present Day, London: Letts Educational, 1997.
Lembright, R.L. (Editor), Western Civilization Volume II: Early Modern through the 20th Century (13th edition), Dubuque (U.S.A): The McGraw Hill Company, 2005.
Mackay, J.P., Hill, B.D, & Buckler, J., A History of Western Society (7th edition), New York: Houghton Mifflin Company, 2003.
Mackay, J.P., Hill, B.D, Buckler, J., Ebrey, P.B, & Beck, R.B., A History of World Societies, New York: Houghton Mifflin Company, 2007.
Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia, 1985.
Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan (Edisi Kedua), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Raja, Sivachandralinggam Sundara, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Pubilication & Distributors Sdn.Bhd., 2002.
Rubinstein, W.D., Britain’s Century: A Political and Social History 1815-1905, London: Arnold, 1998.
Treasure, Geoffrey, The Making of Modern Europe, 1648-1780, London: Routledge: Taylor and Francis Group, 2003.
Wan Abd. Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kaual Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
Posted by Mustakim Bin Suhaili
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates