Thursday, January 21, 2010 at 6:04 AM |  

"Pembangunan Industri Pencetus Kemajuan"

1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘Revolusi’ bermaksud perubahan sebuah kerajaan, sistem politik, atau sistem sosial, yang dilakukan secara radikal atau kekerasan; atau perubahan yang menyeluruh dan mendadak terutamanya dari segi cara berfikir, bertindak dan sebagainya. Manakala ‘Industri’ pula merujuk kepada Perusahaan (biasanya secara besar-besaran) untuk membuat, menghasilkan, atau mengeluarkan barangan. Secara umumnya, revolusi industri bermaksud proses perubahan sebuah ekonomi yang mudah kepada satu bentuk ekonomi yang kompleks. Perubahan ini melibatkan proses transformasi satu sistem ekonomi yang masih bergantung pada kegiatan secara tradisi. Transformasi yang berlaku menyebabkan proses pertumbuhan ekonomi menjadi lebih cergas dan tahap produktiviti yang lebih tinggi. Menurut Sivachandralingam pula, revolusi industri boleh ditakrifkan sebagai perubahan yang dialami oleh sesebuah negara dalam aspek kaedah dan ciri-ciri organisasi ekonomi. Revolusi industri ini sebenarnya telah bermula di Britain pada awal ke-18 dan telah berkembang ke seluruh Eropah pada abad ke-19. Tahap perkembangan yang berbeza di Eropah menyebabkan perkembangan revolusi ini terbahagi kepada dua tahap. Tahap pertama Revolusi Perindustrian khusus kepada revolusi yang berlaku di Britain (1760-1860). Tahap kedua pula, merupakan revolusi yang bermula pada tahun 1860-an hingga tahun 1914 dan melibatkan melibatkan negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman. Akibat daripada Revolusi Perindustrian yang cukup pesat di Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 berlaku banyak perubahan yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial negara-negara di Eropah. Antara impak revolusi industri di Eropah ialah wujudnya sistem perhubungan yang efektif, berlakunya pertambahan jumlah penduduk secara mendadak, berlakunya perluasan perdagangan antarabangsa, perubahan gaya hidup masyarakat Eropah, munculnya golongan kelas baru, perubahan dalam pemikiran politik, perkembangan idea ekonomi baru, dan perluasan revolusi perindustrian.

2.0 IMPAK REVOLUSI INDUSTRI DI EROPAH
2.1 Wujudnya sistem perhubungan yang efisyen
Revolusi perindustrian telah membawa kepada kewujudan sistem perhubungan yang berkesan dan bernilai komersial berbanding sebelumnya. Sistem perhubungan yang berkesan adalah penting bagi darjah ketersampaian produk industri untuk sampai ke tempat pemprosesan dan pemasaran. sebelum zaman revolusi perindustrian, kawasan pedalaman dihubungi dengan menggunakan sungai dan jalan darat manakala barang-barang yang bermuatan berat dibawa keluar dari kawasan ini melalui pesisir pantai dengan menggunakan kapal. Landasan keretapi dan laluan gerabak diguna pakai untuk menggangkut arang batu ke kawasan sungai sebelum di pindahkan ke atas kapal. Pada ketika ini juga, haiwan masih lagi menjadi simbol kewibawaan pengangkutan di darat dan layar menjadi simbol kewibawaan pengangkutan di laut. Keadaan ini mula berubah dengan kehadiran jurutera-jurutera yang berwibawa dan pemodal yang berkesan. Sistem pengangkutan di Britain menjadi lebih baik dengan tercetusnya revolusi industri terutamanya menjelang abad ke-19.
Menjelang tahun 1830, sistem perhubungan di Eropah mula mendapat sinar baru tetapi masih menghadapi kesulitan dalam menegendalikan bahan-bahan berkapasiti tinggi seperti arang batu. Landasan keretapi moden pertama dibina di England adalah pada tahun 1825 yang menghubungkan lombong arang batu Durham di Stockton dengan Darlington. Isambard Kingdom Brunel (1806-1859) merupakan jurutera yang bertanggungjawab mengendalikan pembinaan landasan Great Western yang menghubungkan London-Bristol-South Wales. Pada tahun 1837, Robert Stephenson telah membina landasan yang menghubungkan London dengan Birmingham. Menjelang tahun 1873, Britain telah muncul sebagai peneraju dunia dalam pembinaan landasan keretapi dengan memiliki landasan yang boleh dihubungkan sehingga menjangkau 14,000 batu atau 22, 669 kilometer. Perkembangan tersebut bukan sahaja merancakkan kegiatan industri malah telah membuka peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat dalam sektor pembinaan landasan keretapi serta perlombongan arang batu dan logam (industri primer). Di samping itu, kontraktor-kontraktor Britain telah muncul sebagai penyedia perkhidmatan bagi membina landasan keretapi seperti Thomas Brassey yang mendapat kontrak membina landasan keretapi di Itali, Canada, Argentina, India dan Australia.
Revolusi industri juga menyaksikan berkembangnya penggunaan kapal stim di Eropah. Teknologi perkapalan di Eropah berkembang dengan positif bermula dengan penciptaan kapal besi oleh Wilkinson pada tahun 1787. Kapal dibina dengan menggunakan besi sebagai rangka dan kayu sebagai dinding. Kapasiti kapal menjadi lebih besar dengan penggunaan besi kerana ia boleh mengangkut lebih banyak kargo berbanding kapal yang dibuat dengan kayu sepenuhnya. Inovasi dalam sektor perkapalan terus berkembang dengan adannya individu sepert Wilkinson. Pada tahun-tahun berikutnya kapal yang dihasikan telah mendapat sentuhan yang lebih mantap dengan penggunaan enjin stim pada kapal laut pada tahun 1802 dan kemudiannya keluli telah diguna pakai bagi menggantikan besi dalam sektor pembuatan kapal pada sekitar tahun 1880-an dan hal ini telah meningkatkan lagi kapasiti kapal untuk mengangkut kargo.
Sistem perhubungan bukan sahaja merujuk kepada pengangkutan semata-mata tetapai juga merangkumi sistem telekomunikasi seperti telefon, telegraf dan pos. Perkhidmatan telegraf mula diguna pakai dengan meluas apabila kabel elektrik ‘transatlantik’ siap dibina.pada tahun 1866 yang menghubungkan Amerika Utara dengan Britain. Perkhidmatan pos menjadi lebih efisyen menjelang tahun 1869. Telefon pula muncul sebagai medium telekomunikasi yang penting bermula dengan wujudnya ‘ibu sawat’ telefon yang menghubungkan Manchester, Liverpool dan London. Perkhidmatan telefon merupakan impak yang signifikan dengan revolusi perindustrian kerana kepentingannya untuk mengatasi persoalan jarak dan kecepatan perhubungan terutamanya kepada para pedagang dengan wakil mereka di kawasan lain. Keadaan perhubungan yang bertambah baik memungkinkan akses yang lebih luas ke kawasan-kawasan yang mempunyai darjah ketersampaian yang jauh dan mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar.
2.2 Pertambahan jumlah penduduk
Revolusi industri telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutamanya England. Populasi penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada awal kurun ke-18 tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun 1780. Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada kadar tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan positif penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England hanyalah 5.5 juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di England bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini meningkat lagi menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 50 tahun sebelumnya.
Industrilisasi dan pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh Britain. Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah juga disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang melakukan migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri dengan ada di antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan harapan mencari pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.
Pengaruh yang besar akibat revolusi perindustrian telah menyebabkan undang-undang penempatan di bawah sistem merkantilisme yang tidak membenarkan pekerja meninggalkan kawasan tertentu di bawah kelolaan Parish tanpa memenuhi syarat-syarat tertentu diketepikan dan seterusnya menamatkan sistem feudalisme yang sekian lama menggongkong masyarakat Eropah. Hal ini telah mendorong perkembangan migrasi di Eropah. Penghijaran penduduk dari kawasan luar bandar telah menyebabkan peningkatan jumlah penduduk di beberapa bandar utama secara mendadak seperti di kawasan Lancshire, West Riding, di Yorkshire, Warwickshire, Nottinghamshire, dan Staffordshire. Selain daripada London, beberapa kawasan di Eropah telah berubah taraf menjadi megalopolis seperti di kawasan tengah Belgium dan Ruhr di Jerman.
Kebanjiran penduduk akibat imigrasi dan kadar kelahiran yang tinggi di kawasan industri akhirnya membawa kepada masalah persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang seterusnya meningkatkan jumlah pengangguran. Kadar pengangguran yang tinggi akhirnya membawa kepada idea untuk mengemigrasikan penduduk yang berlebihan ke luar Eropah terutamananya ke wilayah taklukan dan naungan Britain. Percubaan pertama dilakukan pada awal kurun ke-19 apabila. Tiga orang yang berpendirian radikal menyahut cabaran untuk mengetuai proses emigrasi ke luar dari Eropah iaitu ke kawasan yang dinaungi British. Mereka ialah Edward Gibbon of Wakefield, Earl of Durham dan Charles Buller. Di samping itu, para banduan yang membebankan kerajaan telah dihantar keluar negara terutamanya Australia dan tindakan tersebut penting bagi mengatasi masalah pertambahan golongan tersebut di Britain. Revolusi industri yang meletus di Eropah telah mempercepatkan proses pertumbuhan penduduk di benua berkenaan. Kapasiti penduduk yang besar menjadi penjana kekuatan ekonomi dan politik negara-negara yang terlibat dalam revolusi industri.
2.3 Perluasan perdagangan antarabangsa dan persaingan ekonomi
Penggunaan mesin dalam skala besar bagi sektor perkilangan di Britain telah mnyebabkan limpahan kuantiti barangan industri. Hal ini menyebabkan Britain terpaksa menggunakan negara-negara koloni bagi mencari pasaran antarabangsa yang lebih besar berdasarkan kemampuan pengeluaran sektor industrinya. Produk berasakan kapas merupakan antara produk yang menjadi produk eksport utama Britain pada pertengahan abad ke-18 dan awal abad ke-19. Revolusi perindustrian telah memberi ransangan kepada Britain untuk bersikap lebih liberal dalam menjalankan urusan perdagangannya terutamanya dalam melonggarkan duti kastam dalam sebarang urusan perdagangan antarabangsa. Adam Smith merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mempopularkan idea mengenai librelisme ekonomi atau lebih dikenali sebagai laissez faire di dalam bukunya yang bertajuk The Wealth of Nation. Salah satu tema yang terkandung dalam buku beliau ialah mengenai usaha mengekalkan kekayaan negara pada tahap maksimum dengan menghapuskan perlindungan duti kastam. Idea ini kemudiannya diangkat oleh William Huskinsson yang kemudiannya menjadi Presiden Lembaga Perdagangan pada tahun 1823. Pelaksanaan sistem ini di kawasan koloni Britain telah melipatgandakan kekayaan Britain. Selain negara-negara koloni, Britain juga menjalankan hubungan perdagangan yang positif dengan negara-negara di Barat seperti Rusia terutamanya di zaman Catherine II.
Barangan kapas merupakan barangan yang mendapat perhatian khusus di Timur dengan kadar eksport oleh Syarikat Hindia Timur mencatatkan angka yang cukup memberangsangkan. Kain kapas yang dieksport ke Timur mencatatkan peningkatan daripada hanya satu juta ela pada tahun 1814 kepada 56 juta ela pada tahun 1832. Pertambahan penduduk dunia sehingga dua kali ganda telah membuka peluang dagangan kepada Britain pada suku pertama abad ke-19 dengan mencatatkan keuntungan yang menjangkau 20 kali ganda dari segi nilainya. Amalan dasar laissez faire memberi kelebihan kepada Britain untuk mendahului negara-negara Eropah lain dari segi kekuatan perdagangan.
Perkembangan ekonomi Britain yang begitu pesat sehingga tahun 1850 bukanlah bermakna hanya Britain yang berkeupayaan meraih input positif daripada revolusi industri yang melanda Eropah. Britain mula mengalami kemerosotan dari segi penguasaan terhadap pengeluaran produk-produk industrinya setelah berkembangnya revolusi industri ke seluruh Eropah. Perancis, Jerman dan Belgium muncul sebagai pencabar ekonomi bagi Britain antara tahun 1850 hingga tahun 1870. Walaupun Britain kekal sebagai negara pengeluar jongkong besi utama dunia tetapi perkembangannya adalah lebih perlahan berbanding Perancis dan Jerman. Arang batu yang menjadi produk industri kedua Britain mula mendapat saingan daripada Jerman. Pada tahun 1871, Britain mendominasi pengeluaran arang batu dengan jumlah pengeluaran pada tahun tersebut mencecah 118 juta tan sedangkan Jerman hanya mampu mengeluarkan 38 juta tan. Namun demikian, pada tahun 1910, Britain mula disaingi secara jelas oleh Jerman dalam usaha pengeluaran arang batu apabila Jerman berupaya mengeluarkan 279 juta tan yang hanya kurang sedikit sahaja berbanding Britain yang mengeluarkan 287 juta tan. Hal yang hampir sama juga turut berlaku dalam pengeluaran keluli dengan Jerman mengatasi pengeluaran keluli Britain pada tahun 1900 apabila Jerman berjaya mengeluarkan 7.3 juta tan keluli berbanding Britain yang hanya mampu mengeluarkan 4.9 juta tan pada tahun berkenaan. Perkembangan ekonomi ini menjadi asas penting kepada penguasaan ekonomi dunia oleh Barat.
2.4 Perubahan gaya hidup dan keadaan persekitaran masyarakat Eropah
Sebelum zaman revolusi, masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan tradisi kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar bandar. Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk melakukan mobiliti sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa memainkan peranan yang cukup jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai hak mutlak dalam menentukan jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi industri, keadaan tersebut mula berubah dan golongan muda mula beremigrasi menuju ke kawasan yang giat dengan kegiatan industri atau kawasan bandar. Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini erat mula menjadi longgar. Keadaan di kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan golongan yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi cabaran. Bakat dan kekayaan menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal seperti masalah pelacuran dan jenayah berat.
Pelacuran menjadi penyakit sosial di Eropah menjelang abad ke-19 dan di Vienna sahaja terdapat lebih 15,000 orang pelacur manakala di Perancis pula, pelacur memiliki lesen perniagaan dengan jumalah pelacur menjangkau 50,000 orang pelacur; dan London 80,000 orang pelacur. Golongan wanita menjadi golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam carta sosial di zaman revolusi industri. Sebelum revolusi industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial keluarga. Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi industri kerana mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan ini juga menjadi pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur dengan menyediakan modal untuk tujuan ekonomi.
Proses perindustrian yang berlaku di Eropah telah menyumbang kepada masalah pencemaran dan kesihatan. Penggunaan bahan bakar arang batu secara meluas telah mengakibatkan pencemaran udara yang teruk di Britain. Kilang dan rumah pekerja berada di lokasi yang sama menyebabkan mereka terdedah secara langsung dengan pencemaran udara dari kilang industri. Penduduk juga terpaksa menggunakan sumber air yang tercemar akibat pengaliran terus sisa industri ke sungai atau punca air penduduk menyebabkan pelbagai jenis penyakit menghinggapi golongan ini. Sampah-sarap tidak dikendalikan dengan sewajarnya menyebabkan kawasan bandar menjadi kotor. Golongan miskin menternak binatang seperti babi dan ayam manakala golongan berada memelihara kuda. Binatang-binatang tersebut dibiarkan berada di jalan dan hal ini memberi risiko penyakit kepada pejalan kaki yang menggunakan jalan tersebut. Chadwick membuat laporan berkenaan keadaan sanitari dan kualiti kesihatan penduduk miskin di bandar pada tahun 1842 dan menghasilkan satu kesimpulan yang menjelaskan bahawa kadar kematian golongan miskin jauh lebih tinggi berbandin golongan kaya. Beliau menyatakan bahawa kolera dan penyakit endemik yang lain berpunca daripada keadaan hidup yang tidak bersih. Akta Kesihatan Awam 1875 merupakan sebuah akta yang digunakan untuk memperbaiki keadaan yang tidak sihat ini.
2.5 Kemunculan golongan kelas baru
Revolusi Perindustrian di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam strata sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah disebabkan oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan kelas pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank, peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang amat besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini berkeinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah berkembang dengan pesat.
Menjelang abad ke-17 dan ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai golongan borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah. Golongan borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang bandar yang bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, perniagaan bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan hasil daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan ini mula menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan yang mereka perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar bandar. Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan aristokrat tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari segi kuasa politik.
Pada peringkat awal, golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik, tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini menjadi semakin penting. Dasar merkantlisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh golongan ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula memberi kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang dijalankan oleh golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi negara. Perkembangan ini agak ketara di England, tetapi di negara lain seperti Jerman dan Perancis kedudukan golongan pertengahan masih lagi lemah pada abad ke-16. Di perancis walaupun pengaruh politik golongan pertengahan masih lemah pada abad ke-16, tetapi dari segi ekonomi pengaruh golongan ini semakin kuat.
Oleh kerana golongan pertengahan di Eropah semakin ramai dan mempunyai status ekonomi yang setanding dengan golongan bangsawan pada ketika itu, golongan ini mula memperjuangkan keperntingan politik mereka khususnya di England. Keadaan ekonomi yang didominasi oleh golongan pertengahan menyebabkan mereka berpeluang untuk membabitkan diri dalam bidang politik di Eropah. Hasilnya pada abad ke-18 di England golongan ini berjaya mendapatkan kuasa dalam politik. Pada abad ke-18, Parlimen England mempunyai 61 orang ahli Parlimen yang terdiri daripada kelas menengah. Dalam hal ini, golongan pertengahan telah berjaya memperjuangkan dan meluluskan akta-akta perdangangan yang memihak kepada mereka. Antaranya termasuklah pemansuhan monopoli Syarikat Hindia Timur Inggeris pada 1813, pemansuhan Akta Perantis pada 1814 serta akta yang mensyaratkan penggunaan kulit binatang dalam pembuatan kasut pada tahun 1824.
Manakala di Perancis dan juga kebanyakan negara Eropah walaupun perkembangan pengaruh golongan poltik agak lambat berbanding di Englad, namun menjelang abad ke-18 golongan pertengahan ini akhirnya berjaya muncul sebagai satu kuasa politik yang menyaingi golongan aristokrat. Golongan pertengahan ini juga mula berani mempersoalkan kedudukan dan kekuasaan raja dalam pemerintahan. Pengaruh golongan pertengahan yang semakin kukuh ini juga didorong oleh sokongan para pekerja. Pada zaman revolusi perindustrian terdapat beberapa orang penulis yang menyeru supaya golongan pekerja memberi sokongan terhadap ahli politik golongan pertengahan. Salah seorang daripad penulis yang menyeru pekerja supaya memberi sokongan terhadap golongan politik pertengahan adalah Karl Marx.
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan, Revolusi Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja kilang dan lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi Perindustrian mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat dengan menggunakan tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada zaman Revolusi Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih peranan sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya mampu menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan ke-19 golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin telah menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum ini. Di Britain dan negara-negara Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang sepatutnya mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam kemiskinan walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi Industri.
2.6 Pekerja dan keadaan kerja di kilang
Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan keadaan kerja di kilang-kilang di Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika itu. Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari dan enam jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut. Keadaan ini membawa kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah kerana mereka bukan sahaja tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi terus berada dalam keadaan terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.
Pada zaman Revolusi Industri di Eropah juga, para buruh yang terlibat dalam pekerjaan di kilang-kilang bukan hanya terdiri daripada golongan dewasa tetapi turut melibatkan kanak-kanak dan wanita. Keadaan ini amat berbeza dengan situasi sebelum zaman Revolusi Perindustrian di Eropah. Ini kerana para pengusaha kilang ketika itu lebih suka menggajikan pekerja wanita dan kanak-kanak kerana mereka boleh diberi upah yang rendah. Akibatnya ahli keluarga golongan bawahan di Eropah pada ketika itu terpaksa berkerja. Mereka terpaksa berkerja setiap hari dan berkerja dalam jangka masa yang panjang bagi meneruskan hidup. Keadaan kilang dan lombong juga tercemar dan beberapa pekerja terpaksa berkerja mngikut kelancaran mesin. Jika para pekerja ini berehat ataupun ke tandas mereka akan dikenakan denda yang sangat tinggi. Revolusi Perindustrian ini memperlihatkan penindasan yang amat teruk kepada golongan bawahan. Jika sebelumnya golongan bawahan ini ditindas oleh tuan tanah, menjelang zaman Revolusi Perindustrian golongan ini banyak ditindas oleh pemilik-pemilik kilang dan lombong yang hanya mementingkan untung.
Penindasan terhadap golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang terlalu lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja, khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin lalu terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana yang gelap dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang disediakan oleh pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat teruk. Pengusaha kilang kebiasaanya membina sederet rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan tandas serta mengenakan sewa yang tinggi terhadap pekerja kilang. Kawasan penempatan tersebut juga adalah kotor, padat dengan penduduk dan penuh dengan pelbagai penyakit seperti taun dan batuk kering. Oleh kerana ramai pekerja yang berkerja lebih masa, lapar dan hidup dalam keadaan menderita ramai golongan ini yang mati dalam usia yang muda.Separuh daripada bayi-bayi yang dilahirkan pada ketika itu juga meninggal dunia sebelum berusia satu tahun.
Nasib golongan para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun 1790. Pada ketika itu kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula bekurangan dan pada 1802 Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan terhadap golongan bawahan. Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan dan golongan sosial reformis yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan buruh-buruh yang ditindas oleh majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan tentang nasib golongan yang tertindas dan menuntut piawaian kemanusiaan diwujudkan.Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum di Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.
Pencapaian terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja 14 hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerjanya menjadi 13 jam sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.

2.7 Perkembangan idea ekonomi baru
Revolusi Perindustrian di Eropah turut menyebabkan berlakunya perkembangan idea ekonomi baru dalam kalangan masyarakat Eropah. Perkembangan ekonomi yang berlaku dengan pesat akhirnya menyebabkan wujud pelbagai bentuk idea ekonomi di Eropah. Pada zaman sebelum Revolusi Perindustrian, khususnya pada abad ke-16 dan ke-17, ukuran kekayaan bergantung kepada jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh sesebuah negara. Namun pada abad ke-18 para pemikir ekonomi mula menyedari kekayaan tidak lagi bergantung kepada jumlah emas dan perak, sebaliknya kekayaan pada ketika itu bergantung kepada jumlah barangan dan perkhidmatan yang dapat disediakan.
Pada ketika itu juga kerajaan tidak dapat campur tangan dalam perdagangan dan industri, kerana pada masa itu sektor ekonomi di Eropah bergantung kepada permintaan dan penawaran. Keadaan ini amat berbeza dengan era sebelum zaman Revolusi Perindustrian. Sebelum zaman Revolusi Perindustrian dan kemunculan golongan pertengahan, kerajaan atau pemerintah memegang kuasa kepada sektor ekonomi yang dijalankan oleh rakyat. Namun pada era Zaman Revolusi Perindustrian telah muncul idea pemikiran ekonomi liberalisme atau idea ekonomi klasik yang dipelopori oleh Adam Smith melalui bukunya The Wealth of Nation yang diterbitkan pada tahun 1776. Dalam hal ini Adam Smith telah mengkritik sistem ekonomi Merkantilisme yang diamalkan di Eropah. Menurut Adam Smith koloni hanya akan berkembang pesat jika diberi kebebasan untuk menjalankan aktviti mengikut pilihan sendiri. Tindakan mengawal koloni secara politik hanya akan membebankan negara induk dari segi kewangan. Bagi Adam Smith campur tangan kerajaan koloni perniagaan hanya akan membantutkan koloni perniagaan daripada terus berkembang.
Bagi Smith, perdagangan bebas menambahkan pendapatan dan mengurangkan kos pengeluaran serta membolehkan modal mengalir ke sektor pengeluaran yang akan meningkatkan permintaan untuk tenaga buruh. Idea ini menjadi realiti apabila lebihan barangan kapas Manchester dipasarkan ke India menjelang abad ke-19. Sebelum produk kapas dipasarkan ke India, Manchester telah mewujudkan kuasa beli di India dengan mengimport kapas mentah dari negara tersebut. Dengan cara ini wujud perdagangan bebas yang memberi faedah kepada kedua-dua negara yang terlibat dalam perdagangan dan tidak menindas seperti sistem Merkantlisme. Dalam hal ini Smith menyatakan penerokaan ke atas India merupakan peristiwa penting dalam sejarah manusia.
Idea ekonomi perdagangan bebas ini telah mencapai banyak kejayaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi England. Kejayaan dasar dasar perdagangan bebas ini dapat diperhatikan di England pada tahun-tahun 1820 dan 1830an apabila Parlimen England meluluskan beberapa akta yang menghapuskan dasar-dasar ekonomi yang menyekat kebebasan. Antaranya termasuklah pemansuhan monopoli perdagangan Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan negara China, pengurangan senarai barangan yang dikenakan duti import dan eksport, kelonggaran Undang-undang jagung (Corn Law) pada tahun 1822 serta akta perkapalan yang dipinda ada tahun 1825. Penghapusan akta-akta tersebut telah memberi peluang kepada idea ekonomi liberalisme berkembang, manakala sistem ekonomi Merkantlisme yang pada asalnya diamalkan di Eropah sebelum era Revolusi Perindustrian semakin terhapus. Perkembangan sistem ekonomi yang bebas ini bukan sahahja telah merancakkan aktiviti import dan eksport di Eropah tetapi telah memperlihatkan perkembangan ekonomi negara Eropah.
Perkembangan ini akhirnya mendorong ramai pengusaha-pengusaha meluaskan perniagaan mereka ke laur negara yang mempunyai ruang pasaran yang luas bagi memasarkan produk meraka khususnya negara China dan India. Kepesatan Revolusi Perindustrian juga akhirnya menyebabkan negara-negara Eropah khususnya England, Perancis, Jerman, Belanda, dan Rusia mula menjajah negara-negara lain bagi memenuhi keperluan bahan mentah untuk sektor perindustrian di samping mendapatkan pasaran bagi memasarkan produk-produk keluaran mereka. Penjajahan negara-negara Eropah ini berlaku melalui penjajahan secara langsung iaitu dengan menggunakan ketenteraan dan secara tidak langsung iaitu dengan menguasai ekonomi sesebuah negara. Perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah bukan sahaja telah menyebabkan munculnya idea ekonomi yang liberal tetapi secara tidak langsung telah membawa kepada penjajahan Eropah ke atas negara-negara lain.
2.8 Perubahan dalam pemikiran politik
Akibat daripada kemunculan beberapa golongan baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja atau proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru. Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau proletariat adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat kemiskinan dalam kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang mempercayai bahawa golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan ini merupakan golongan yang memiliki sebahagian besar daripada sumber kekayaan dalam masyarakat. Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang berlaku terhadap golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil. Perjuangan golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman sosialisme.
Fahaman sosialis ini berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa persamaan dalam bidang ekonomi. Pada peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua. Perbezaan kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi berbeza dari segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih mementingkan cara damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang pemusatan kuasa di dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada manusia untuk menguruskan kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa revolusi industri boleh membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan keyakinan ini, maka mereka mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta memandang rendah terhadap golongan yang menyara hidup tanpa berkerja dengan tulang empat kerat. Kumpulan ini diwakili oleh pemikir seperti Saint Simon, Cabet dan Fourier.
Kumpulan kedua merupakan kumpulan yang menggunakan rampasan kuasa sebagai suatu taktik politik yang sah bagi mempraktikkan kepercayaan mereka. Golongan ini juga menyokong campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi bagi menjamin hak dan keselesaan hidup kaum pekerja yang selama ini ditindas oleh pengusaha kilang dan lombong. Para pemimpin utama kumpulan ini terdiri daripada Babeuf (1760-1797), Bounarotti (1761-1837), Louis Augute Blanqui (1805-1881) dan Louis Blanc (1811-1822). Golongan ini merupakan golongan yang betul-betul berazam untuk mengubah peraturan sosioekonomi dan politik di Eropah pada masa revolusi-revolusi 1848.
Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi. Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam perkembangan sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam kaedah pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara pemerintah dan yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah teori materialisme. Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah masyarakat akan menentukan bentuk institusi yang terbaik, negara, undang-undang, dan agama dalam masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam bidang ekonomi akan turut mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini perjuangan kelas untuk mengawal punca-punca pengeluaran akan membawa masyarakat kepada kedudukan yang lebih tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya revolusi.
Selain itu, Marx turut menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan bersatu untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah masyarakat tanpa kelas ataupun masyarakat komunis. Kemunculan fahaman baru dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku pertelingkahan antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada fahaman antara beberapa pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan khususnya golongan pekerja di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah bukan sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan dalam pemikiran politik di Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan golongan pekerja dalam politik untuk memperbaiki kehidupan mereka.


3.0 KESIMPULAN
Revolusi industri yang melanda Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap perkembangan ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi industri, kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi industri, masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam kegiatan ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder dan sektor ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin berkembang maju. Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut akhirnya turut mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah. Revolusi industri bukan sahaja telah membentuk corak sosial yang baru di Eropah tetapi turut memepengaruhi amalan politik masarakat Eropah. Revolusi industri merupakan zaman yang cukup penting kepada Eropah kerana revolusi industri telah memberi impak yang besar cukup terhadap kemajuan Eropah dan antara impak revolusi industri ialah wujudnya sistem perhubungan yang efisyen, berlakunya pertumbuhan penduduk secara positif, perdagangan antarabangsa berlangsung dengan lebih aktif, berlakunya perubahan dalam kehidupan sosial masyarakat Eropah, perburuhan kanak-kanak dan usaha pembelaannya, berkembangnya idea ekonomi baru dan berlakunya perubahan dalam pemikiran dan amalam politik. Berdasarkan implikasi tersebut, boleh dikatakan bahawa revolusi industri menjadi masa transisi kepada pembinaan kekuatan masyarakat Eropah terutamanya Britain. Kekuatan ekonomi dan politik dibangunkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh waktu tersebut dan keadaan sosial masyarakat Eropah mula menjadi lebih terbuka. Walaupun konsep revolusi industri lebih dekat dengan perkembangan ekonomi tetapi kesannya telah mempengaruhi seluruh aspek negara-negera Eropah. Perkembangan yang berlaku bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi turut melibatkan aspek politik dan social yang akhirnya membawa mereka ke era kemajuan dan mendahului negera-negera lain di dunia.


BIBLIOGAFI
Brett, S.R., A History of the British Empire and Commonwealth, London: Thomas Nelson and Son Ltd., 1966.
Bulliet, R.W., Crossley, P.K., Headrick, D.R., Hirsch, S.W., Johnson, L.L, & Northrup, D., The Earth and Its People: A Global History Volume II: Since 1500 (Brief Edition), Boston, Houghton Mifflin Company, 2000.
Coffin, J.G. & Stacey, R.C., Western Civilization: Their History and Their Culture (15th Edition), New York: W.W Norton & Company, Inc., 2005.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Jones, Peter (Editor), The French Revolution: In Social Political Perspective, London: Arnold, 1996.
Lane, Christopher & Peter, History 1750 To the Present Day, London: Letts Educational, 1997.
Lembright, R.L. (Editor), Western Civilization Volume II: Early Modern through the 20th Century (13th edition), Dubuque (U.S.A): The McGraw Hill Company, 2005.
Mackay, J.P., Hill, B.D, & Buckler, J., A History of Western Society (7th edition), New York: Houghton Mifflin Company, 2003.
Mackay, J.P., Hill, B.D, Buckler, J., Ebrey, P.B, & Beck, R.B., A History of World Societies, New York: Houghton Mifflin Company, 2007.
Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia, 1985.
Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan (Edisi Kedua), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Raja, Sivachandralinggam Sundara, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Pubilication & Distributors Sdn.Bhd., 2002.
Rubinstein, W.D., Britain’s Century: A Political and Social History 1815-1905, London: Arnold, 1998.
Treasure, Geoffrey, The Making of Modern Europe, 1648-1780, London: Routledge: Taylor and Francis Group, 2003.
Wan Abd. Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kaual Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates