"pejuang demokrasi Myanmar"

Pendahuluan
Jika direnung sejenak ada sesuatu yang pelik dalam sesuana politik Myanmar semenjak kemerdekaan hingga pentadbiran bermula pada tahun 1962. Berdasarkan penelitian daripada ahli astrologi, Myanmar atau dahulunya lebih dikenali sebagai Burma mencapai kemerdekaan pada 4 Januari 1948. Tepat jam 4.20 pagi di perkarangan Rumah kerajaan kemerdekaan Myanmar telah terlakar dalam kitab sejarah dengan penurunan bendera Union Jack untuk digantikan bendera persekutuan Myanmar yang dipadankan daripada bendera Dobama Ahsiahyone. Myanmar merupakan sebuah negara demokratik antara tahun 1948 hingga 1962.
Sesuatu yang menarik untuk dibincangkan seorang tokoh bernama Aung San yang cukup sinonim sebagai watak utama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Myanmar daripada belenggu penjajahan. Sejarah telah menukilkan perjuangan Aung San melalui penubuhan Anti-Fascist People’s Freedom League (AFPFL) dalam usaha menentang Jepun yang mencabuli kedaulatan negara Myanmar ketika itu. Perjuangan demi perjuangan telah ditempuh oleh Aung San dan rakan seperjuangannya yang akhirnya membawa kepada kebebasan Myanmar daripada penjajahan. Namun, malang tidak berbau apabila berlaku tradegi hitam dalam sejarah politik Myanmar yang tidak akan luput dari ingatan setiap pengkaji sejarah negara penuh konflik ini. Mimpi ngeri telah berlaku dengan pembunuhan Aung San di saat perlembagaan dan kemerdekaan Myanmar hampir terbina. Walau bagaimanapun, perjuangan Aung San diteruskan oleh naib presidennya iaitu U Nu sebagai Perdana Menteri.
Patah tumbuh hilang berganti adalah ungkapan yang signifikan dalam bercerita mengenai insan bernama U Nu. Memegang mandat sebagai pemimpin AFPFL adalah menjadi tanggungjawab U Nu untuk memimpin Myanmar ke arah kemerdekaan pada tarikh keramat 4 Januari 1948. Tarikh ini merupakan hari yang tidak akan luput dalam ingatan rakyat Myanmar. Dalam keadaan sebuah negara baru mencapai kemerdekaan, tidak dinafikan berlaku permasalahan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Permasalahan ini telah membawa kepada konflik yang lebih mencekam dalam sejarah Myanmar yang penuh onak dan duri.


Permasalahan Politik
Politik yang stabil merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, politik Myanmar telah memaparkan keadaan yang bertentangan dari sesuana yang dihajati. Permasalah politik Myanmar diibaratkan seperti duri dalam daging yang memberi ancaman kepada kedaulatan sejagat. Antara kurap yang merupakan penyakit kepada politik Myanmar ialah perlaksanaan struktur politik yang berlandaskan kepada Buddhisme, perpecahan AFPFL dan penolakan Marxisme sebagai ideologi parti. Dalam aspek politik permasalahan ini merupakan beban yang dihadapi Myanmar selepas kemerdekaan sehingga pentadbiran bermula pada tahun 1962.



Perlaksanaan Struktur Politik Berlandaskan Buddhisme
U Nu yang bergelar Perdana Menteri Myanmar telah melaksanakan sebuah struktur politik yang berdasarkan kepada Buddhisme dan Sosialisme. Permasalahan timbul akibat penekanan terhadap Buddhisme. Umum mengetahui bahawa sesungguhnya struktur politik berlandaskan Buddhisme membawa maksud penekanan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berteraskan kepada ajaran agama Buddha. Walaupun pada dasarnya pelaksanaan ini merupakan langkah terbaik dalam memberikan pembangunan material dan kerohanian untuk negara Myanmar. Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk menghapuskan pengaruh kolonialisme British di Myanmar. Namun, masalah wujud apabila usaha U Nu untuk menjalankan dasar ini mendapat reaksi berbeza daripada penduduk Myanmar. Persoalannya, bagaimana reaksi ini yang akhirnya membawa kepada permasalahan politik di Myanmar?
Reaksi yang berbeza dapat dilihat daripada dua kelompok yang berlainan. Pertamanya, kelompok yang beragama Buddha yang memberi tindak balas yang positif. Kelompok ini beranggapan bahawa dasar U Nu ini akan menjamin kelestarian agama Buddha yang menjadi asas hampir keseluruhan penduduk Myanmar. Namun, masalah timbul dalam kalangan masyarakat minoriti dan penganut agama lain di Myanmar. Hal ini disebabkan dasar Buddhisme menimbulkan perasaan takut lantaran mereka melihat keadaan sebagai ancaman. Sesetengah pihak juga mempercayai bahawa akan wujud diskriminasi terhadap penduduk yang bukan beragama Buddha. Jika dianalisis daripada kaca mata ilmiah, pelaksanaan struktur politik yang berlandaskan kepada Buddhisme tidak memberi masalah kerana sejarah telah membuktikan bahawa penggubalan Piagam Madinah yang berteraskan Islam berjaya menyatupadukan masyarakat Madinah sekaligus membawa kepada kegemilangan tamadun Islam. Berbeza dengan keadaan yang berlaku di Myanmar pelaksanaan corak politik berteraskan agama telah gagal lantaran mentaliti masyarakat minoriti dan penduduk bukan beragama Buddha yang takut akan perubahan serta keengganan bekerjasama dengan pemimpin tempatan untuk merealitikan hasrat ini. Selain itu, punca pokok masalah ini adalah rentetan kebobrokan pelaksaanaan dasar ini oleh mereka yang bertanggungjawab yang tidak mampu meraih keyakinan penduduk yang bukan beragama Buddha.

Perpecahan AFPFL
Apabila bercerita tentang AFPFL pasti semua sedia maklum bahawa parti ini merupakan payung tempat bernaung untuk menuntut kemerdekaan. Sejarah penubuhan AFPFL telah terbentuk melalui gabungan atau perikatan daripada pertubuhan-pertubuhan besar seperti All-Burma Peasants Organisation, Federation Of Trade Organisation, kumpulan-kumpulan etnik (Karen Youth League), ahli-ahli individu, dan sebuah parti politik iaitu parti sosialis. Perikatan ini menamakan Aung San sebagai presiden dan bertanggungjawab membimbang gabungan ini berjuang menuntut kemerdekaan.
Disangka panas hingga petang tetapi hujan di tengahari. Ungkapan ini cukup untuk menerangkan nasib malang yang melanda politik Myanmar iaitu saat kemerdekaan telah berlangsung selama 10 tahun pakatan AFPFL mulai retak dan akhirnya mengundang perpecahan. Lantaran itu, pada tahun 1958 sekali lagi titik hitam mewarnai politik Myanmar. Sejarah telah tersurat menyaksikan AFPFL berpecah kepada dua kumpulan iaitu AFPFL Stabil pimpinan Ba Swee dan Kyaw Nyein dan AFPFL Bersih pimpinan U Nu dan Tin. Perpecahan ini sebenarnya tidak menjadi masalah jika ditangani dengan baik kerana perkara ini akan menyuburkan sistem demokrasi di Myanmar. Demokrasi membawa maksud pemerintahan rakyat kerana pemilihan parti yang memerintah adalah berdasarkan majoriti sokongan rakyat. Oleh itu, jika difikir mengikut logik akal perpecahan ini memberi impak positif kepada rakyat kerana persaingan AFPFL Stabil dan AFPFL Bersih pastinya akan berlangsung secara sihat dalam melakukan dasar dan pelaksanaan yang terbaik untuk menambat hati penduduk Myanmar.
Namun, perpecahan ini tidak membawa kesan seperti yang diharapkan lantaran Perang Terbuka kerana kedua-dua pihak saling melemparkan berbagai-bagai tuduhan seperti rasuah, nepotisme, gila seks dan membunuh sama ada melalui media massa dan dakyah politik melalui ceramah. Keadaan ini merupakan suatu hal yang menjadikan pemangkin permasalahan yang lebih tenat. Akibat perpecahan ini bukan sahaja menimbulkan masalah luaran tetapi juga masalah dalaman yang merumitkan keadaan. Persaingan yang wujud dalam AFPFL itu sendiri untuk menguasai kesatuan politik telah mencambahkan benih-benih masalah yang mengundang kepada pergolakan politik di Myanmar. Keadaan bertambah parah apabila ahli-ahli politik tempatan mengidam-idamkan untuk manjadi Perdana Menteri. Sememangnya perebutan ini mengundang pelbagai masalah yang tiada bernokhtah. Selain itu, permasalahan juga berpunca daripada sebab peribadi, cemburu kuasa, gila kuasa dan perasaan syak wasangka dalam kalangan pemimpin AFPFL dari peringkat pusat hingga peringkat akar umbi. Lantaran itu, suatu yang pasti permasalahan dalaman dan luaran telah membawa kepada krisis perpecahan dalam AFPFL. Lebih malang lagi, AFPFL mula dikaitkan dengan penjenayah yang menggunakan parti untuk melarikan diri daripada tindakan undang-undang. Permasalahan yang tidak berjaya ditangani ini telah membawa kepada era pemerintahan baru dalm politik Myanmar. Perpecahan ini telah memberi kesan yang besar tehadap politik demokrasi kerana persaingan yang wujud untuk memerintah Myanmar. Keadaan bertambah malang dengan adanya penglibatan golongan tentera dalam kancah politik kesan daripada pergolakan yang berlaku dalam AFPFL. Semua sedia maklum penglibatan tentera akan menyumbang kepada pemerintahan kuku besi. Walaupun begitu, penglibatan golongan tentera adalah bersandarkan kepada kehendak sesetengah rakyat Myanmar yang tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi dan meminta golongan tentera untuk campur tangan dalam sistem politik.

Penolakan Marxisme Sebagai Ideologi Parti
Setiap parti yang dibentuk mempunyai ideologi dan fahaman masing-masing agar perjuangan lebih terarah dan tidak terpesong. Perkara yang sama telah melanda Myanmar kerana parti yang ditubuhkan perlu mempunyai ideolagi. Masalah timbul lantaran U Nu menolak Marxisme sebagai ideologi parti. Marxisme merupakan ideologi komunis yang dibawa oleh Karl Marx iaitu kekayaan dikongsi bersama. U Nu lebih cenderung dengan polisi satu bentuk sosialisme iaitu Burmese Way to Socialism yang bertujuan memiliknegarakan semua harta dan hasil pendapatan. Perkembangan ini telah mengundang perasaan syak wasangka yang berlarutan dalam kalangan masyarakat. Hal ini rentetan daripada dasar yang diperkenalkan oleh U Nu mempunyai persamaan dengan ideologi Marxisme iaitu segala harta, tanah, pendapatan adalah hak milik negara. Fenomena ini melahirkan perasaan tidak puas hati sehingga membawa kepada perpecahan Majlis Tertinggi Parti dan mengakibatkan haluan berbeza dalam AFPFL kepada dua pihak iaitu penyokong U Nu dan Kyaw Nyein. Justeru, jika diteliti tindakan U Nu diibaratkan seperti seorang yang hipokrit kerana dasar yang diperkenalkan mempunyai persamaan dengan ideologi Marxisme walaupun hakikatnya beliau menolak fahaman ini. Kesannya, senario ini menyebabkan kejatuhan mendadak dalam majoriti parlimen bagi U Nu.

Permasalahan Sosial
Aspek sosial merupakan pernilaian penting bagi melihat keadaan sesbuah negara. Jika wujud permasalahan sosial akan timbul kacau-bilau dalam pemerintahan negara tersebut. Perkara ini dapat dibuktikan melalui pengamatan terhadap masalah sosial di Myanmar yang telah mengundang ketidakstabilan dalam pembangunan. Antara masalah dari aspek sosial yang dikenal pasti ialah kelemahan pemerintah, seruan agama Buddha sebagai agama rasmi, masalah etnik, pemberontakan komunis, pelancaran mogok oleh pelajar-pelajar kolej dan universiti serta kegagalan mendapatkan bantuan peralatan baharu.

Kelemahan Pemerintah1948-1962
Pemimpin yang mantap akan membawa negara ke arah kecemerlangan tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah membawa kepada permasalah yang tidak pernah padam. Bait-bait ayat ini sudah cukup untuk menerangkan masalah sosial di Myanmar akibat daripada kelemahan pemerintahan. Jika di buka lembaran sejarah pemerintah yang bertanggungjawab sekitar tahun 1948 hingga 1961 adalah insan bernama U Nu. U Nu merupakan seorang yang memandang tinggi kepada orang Inggeris kerana kekaguman dan kesenangan beliau terhadap pihak Inggeris. Hal ini dapat dibuktikan apabila U Nu mendapat jolokan George Bernard Shaw Myanmar. Tindakan ini menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk lantaran anggapan bahawa Inggeris adalah penjajah dan tidak sewajarnya di beri muka. Namun, dalam pemerintahan U Nu berlaku sebaliknya kerana pengiktirafan dan kebanggaan beliau terhadap Inggeris sangat tebal sehinggakan pentadbiran yang sistematik tidak dapat dijalankan. Hal ini ekoran daripada ketaksubannya terhadap Inggeris yang melalaikannya daripada melakukan pemerintahan yang berkualiti.
Kegagalan U Nu berterusan apabila tidak berhasil memberi kepimpinan yang berkesan. Sejarah telah membuktikan bahawa U Nu diiktiraf sebagai seorang pemerintah yang lemah kerana melakukan tindakan yang tidak munasabah. Antaranya ialah pembinaan rumah tumpangan untuk anjing-anjing yang berkeliaran di kota Myanmar. Padahal, pemerhatian menunjukkan masih ramai penduduk Myanmar tidak mempunyai tempat tinggal yang tidak selesa. Di samping itu, U Nu dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam pemerintahan. Pernyataan dapat dibuktikan melalui tindakan yang diambil oleh U Nu iaitu dasar Burmese Way to Socialism yang menimbulkan curiga dalam kalangan rakyat dan membawa kepada perpecahan parti. Selain itu, U Nu diibaratkan mentadbir Myanmar seperti kereta rosak yang tidak bermakna dan beliau sendiri tidak mampu memandu kereta tersebut. Kenyataan ini sudah cukup untuk menggambarkan keadaan yang tidak keruan dalam pemerintahan dan pentadbiran U Nu.
Persoalan segera timbul, adakah pemerintahan akan berjaya di bawah kepimpinan manusia yang keperibadian songsang? Sudah tentu jawapannya tidak. Oleh itu, keperibadian yang hina merupakan faktor kepada pentadbiran dan pemerintahan yang lemah. Begitu juga jika diimbas kembali kenangan silam U Nu, pastinya akan dipertontonkan episod yang menayangkan kelemahan U Nu untuk mengawal diri dan emosi. Zaman remajanya memperlihatkan sikapnya yang menghadapi masalah mengawal naluri seks dan seorang kaki botol. Selain itu, U Nu mempunyai sikap panas baran yang menimbulkan banyak masalah lantaran sikapnya itu. Hal ini dapat dibuktikan apabila U Nu menjadi pelajar di Universiti Rangoon. Lantaran sikapnya, beliau telah menuduh rakan seperjuangan iaitu U Oktama sebagai pengkhianat dan penerima rasuah. Kesannya, tindakannya ini mendatangkan aib pada dirinya selaku presiden Persatuan Pelajar Universiti Rangoon dan warga universiti keseluruhannya.

Seruan Agama Buddha Sebagai Agama Rasmi
Umum mengetahui bahawa U Nu mempunyai masa lalu yang cukup teruk dari segi akhlak yang tercela dan keperibadian yang hancur. Lantaran itu, U Nu telah insaf dan memilih agama Buddha untuk mensucikan diri daripada dosa-dosa yang lalu. Akibatnya, pelbagai pembaharuan yang telah dilakukan oleh U Nu dalam memperjuangkan agama Buddha. Salah satu langkah yang diambil ialah membuat seruan agar agama Buddha dijadikan agama rasmi. Seruan ini diperkukuhkan dengan tindakan U Nu membentuk satu agensi biayaan kerajaan untuk mempromosikan dan mempropogandakan Budhisme pada tahun 1950 apabila Buddha Sasana Council Act telah digubal. Penggubalan agensi ini diharapkan mampu mencapai hasrat U Nu bagi memastikan pengamalan agama Buddha disegenap pelosok Myanmar.
Walaupun seruan ini dilihat mempunyai kebaikan iaitu mendidik agar masyarakat menjiwai agama Buddha tetapi telah timbul gerakan yang tidak bersetuju yang melihat perkara ini sebagai ancaman. Antara pihak yang tidak menyokong adalah golongan Kristian, Islam dan golongan bukan Buddha yang lain. Keadaan ini berpunca daripada perasaan takut dan syak wasangka jika agama Buddha menjadi agama rasmi. Golongan ini berpendapat bahawa akan wujud penindasan terhadap penduduk bukan Buddha jika telah termaktub Buddha sebagai agama rasmi. Kesannya, dasar ini telah mengundang padah terhadap pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh U Nu.
Krisis akibat propaganda Buddha telah mendorong kepada permasalahan yang lebih rumit dan gagal ditangani dengan sebaiknya oleh U Nu. Permasalahan ini ditimbulkan oleh golongan penentang terhadap pelaksanaan dasar ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui dua peristiwa penting. Pertamanya, telah berlaku pemberontakan Kachin di Utara Myanmar untuk membantah tindakan kerjaan meneruskan polisi ini. Pemberontakan ini tercetus kerana pemimpin Kachin menganut agama Kristian yang khuatir jika polisi ini diteruskan mendatangkan mudarat kepada penganut agama Kristian. Selain itu, ketua kepada Kristian Myanmar yang bernaung di bawah Kayin National Union (KNU) bangkit menentang kerajaan agar suara puak Karen di dengar oleh kerajaan. Campur tangan tentera menjadikan keadaan semakin malang apabila tentangan dibuat yang menuntut agar agama Buddha ini terhad di Myanmar Hilir sahaja yang didiami majoriti penganut agama Buddha. Desakan dan pemberontakan ini menjadi gunting dalam lipatan yang menggugat pentadbiran U Nu yang diibaratkan seperti retak menanti belah.

Masalah Etnik
Kepelbagaian etnik di negara Myanmar merupakan halangan kepada kejayaan khususnya dalam membentuk perpaduan. Myanmar mempunyai ramai puak minoriti yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemimpin yang menerajui pemerintahan. Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan kekecohan dan ketidakpuasan hati golongan minoriti. Antara puak etnik di Myanmar seperti Karen, Kachin, Shans, Kayah, Chin Mon, Arakan dan lain-lain. Fenomena ini mendorong kepada permasalahan etnik kerana memperjuangkan hak masing-masing. Konflik etnik di Myanmar begitu ketara selepas Myanmar memperoleh kemerdekaannya daripada Britain bulan Januari 1948.
Setiap etnik minoriti mempunyai masalah masing-masing yang perlu diselesaikan. Mon dan Arakan merupakan etnik yang melancarkan pemberontakan atas sebab mengajar kesombongan U Nu yang gagal mengotakan janji. Dalam janji kemerdekaan, U Nu mencadangkan pembentukan satu negeri berasingan bagi orang Arakan dan Mon dalam tahun 1960. Janji ini sengaja ditabur untuk memberi kepuasan kepada minoriti-minoriti etnik dan memancing undi daripada mereka. Namun, selepas pilihan raya telah menyaksikan kemenangan U Nu tetapi beliau melengahkan janji yang telah terlafaz dan langsung tidak mengendahkan puak Arakan dan Mon. Senario ini telah mendorong kebangkitan puak ini untuk menegakkan keadilan. Justeru, pada akhir 1961 telah berlaku pemberontakan minoriti yang memberi tekanan terhadap pemerintahan dan pentadbiran U Nu. Lantaran itu, U Nu terpaksa menerima bahawa pemberontakan minoriti ini memberi kesan kerana pemberontakan ini berjaya menguasai satu per sepuluh daripada negeri tersebut. Oleh itu, dalam memberi kepuasan kepada minoriti-minoriti etnik, kerajaan bersetuju menubuhkan dua buah negeri lagi untuk orang Mon dan Arakan. Secara tuntasnya, pemberontakan puak Arakan dan Mon menjadi pengajaran berguna kepada pemimpin yang memerintah agar tidak mengambil ringan masalah puak minoriti.
Puak Karen juga mempunyai cerita yang menarik untuk dikongsikan lantaran perjuangan mereka menuntut keadilan. Pada tahun 1949, Karen National Defense Organization (KNDO) merupakan organisasi yang menjadi landasan kepada perjuangan puak Karen. KNDO telah melancarkan pemberontakan untuk mendapatkan hak negeri mereka serta ingin mempertahankan budaya mereka. Puak Karen berpendapat budaya mereka akan terjejas jika dasar Budhisme meresap dan dipraktikkan dalam sosial masyarakat Myanmar. Perjuangan hak negeri dan budaya juga dipelopori oleh etnik lain yang merasa tergugat dengan dasar dan polisi kerajaan. Akibat pemberontakan yang dilancarkan oleh etnik-etnik ini telah mendorong kepada langkah drastik diambil oleh pemerintah. Fenomena yang semakin memuncak menyebabkan U Nu tidak lagi mampu menghentikan tindakan pemberontakan ini. Lantaran itu, beliau telah meminta bantuan General Ne Win mengambil alih kedudukan beliau.
Kerajaan yang dibentuk oleh U Nu telah merangka satu perlembagaan yang membabitkan soal pentadbiran Myanmar. Walaupun perlembagaan ini mendapat tentangan oleh puak Shan dan Kayah yang berkehendakan perlembagaan ini dikaji semula. Penentangan wujud rentetan daripada isu persekutuan yang membabitkan soal keselamatan negara dan kedudukan mereka dalam pembangunan. Puak Shan dan Kayah tidak berpuas hati dengan kandungan perlembagaan yang tidak memberi jaminan keselamatan dan perlindungan terhadap puak mereka. Rentetan itu, timbul satu rancangan sulit Chaofa untuk menentang persekutuan. Chaofa sanggup bekerjasama dengan musuh negara iaitu Kuomintang (KMT), rakyat Thai dan Amerika (CIA) untuk menghancurkan persekutuan. Pakatan ini menimbulkan cacamarba dalam membincangkan permasalahan sosial yang berlaku di Myanmar. Penentangan yang dilakukan akhirnya menundukkan pihak kerajaan. Oleh itu, negeri Shan dan Kayah diberi hak untuk berundur daripada kesatuan pada tahun 1958 selepas 10 tahun bernaung di bawah Kesatuan Myanmar. Tindakan ini lantaran mereka yang tidak berpuas hati dengan perlembagaan persekutuan. Walau bagaimanapun, tindakan ini menimbulkan kekhuatiran General Ne Win kerana bimbang jika pengunduran ini tidak dibenarkan oleh U Nu. General Ne Win sedia maklum bahawa U Nu tidak mahu puak Shan dan Kayah keluar dari Kesatuan Myanmar. Pengunduran puak ini akan memberi kesan yang lebih signifikan kepada permasalahan sosial di Myanmar kerana pengaruh yang cukup besar dalam kerajaan. Sesungguhnya, masalah etnik bukan perkara yang mudah kerana kepelbagaian etnik memerlukan keadilan dan kesamarataan untuk mengelakkan konflik sosial yang membantutkan pembangunan dan kemajuan.

Pemberontakan Komunis dan Etnik
Komunis merupakan salah sebuah fahaman yang menular di hampir keseluruhan Asia Tenggara dalam memperjuangkan ideologi dan fahaman dalam kalangan masyarakat. Myanmar antara negara yang telah memperlihatkan campur tangan komunis dalam politik yang akhirnya memberi kesan kepada permasalahan sosial. Parti Komunis Burma telah ditubuhkan yang bermatlamatkan memperjuangkan agenda komunis dalam pemerintahan dan telah mendapat sokongan daripada golongan bawahan yang tertindas seperti petani. Keadaan ini menyebabkan Myanmar mengalami kekacauan dari parti-parti komunis dan pihak pelampau yang selalu sahaja cuba menghasut petani-petani untuk menyebelahi pihak mereka.
Dalam perjuangan Parti Komunis Burma atau kemudiannya dikenali sebagai White Flag telah melakukan pemberontakan dan disertai oleh pertubuhan paramilitari iaitu People’s Volunteer Organisation. Di samping itu, akibat daripada penindasan kerana permasalahan rasuah perjuangan komunis dibantu oleh sekumpulan kecil orang Rohingya yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Perkara ini dibuktikan melalui Perang Etnik yang telah dilancarkan oleh orang Rohingya yang menggelarkan diri mereka sebagai Mujahid. Selain daripada Perang Etnik, telah berlaku Perang Saudara antara komunis dan Rangoon yang telah mengakibatkan keruntuhan pentadbiran pusat. Gabungan antara pemberontakan komunis dan etnik hampir berjaya menumpaskan kerajaan yang terkepung di Yangon. Pentadbiran yang hampir lumpuh akibat huru-hara yang ditimbulkan oleh masyarakat Myanmar membawa kepada permasalahan sosial yang tidak pernah reda dalam lipatan sejarah Myanmar. Walaupun langkah pengharaman Parti Komunis telah dilancarkan tetapi pengaruhnyamasih membiak dalam kalangan masyarakat.

Pelancaran Mogok Oleh Pelajar-Pelajar Kolej dan Universiti
Perjuangan golongan pelajar dalam menuntut hak dan menumbangkan kerajaan adalah perkara yang tidak dapat disangkal. Sejarah Myanmar telah menjadi saksi perjuangan pelajar yang penuh berapi-api untuk mendesak kerajaan agar suara mereka didengar dan tidak dipandang sebelah mata. Sejak sebelum merdeka lagi golongan pelajar telah melancarkan mogok pada tahun 1946 dan 1947 dalam menuntut hak kemerdekaan terhadap Myanmar. Selepas mencapai kemerdekaan perjuangan pelajar diteruskan dengan mogok yang dilancarkan pada tahun 1949 dan 1953. Mogok ini disebabkan kengganan penuntut universiti dan kolej belajar bersungguh-sungguh serta bencikan sebarang peraturan yang boleh menyekat kebebasan yang diperkenalkan oleh pihak atasan termasuk pihak pentadbir universiti. Walaupun pada hakikatnya sekatan ini bertujuan untuk mengawal pelajar daripada terlibat dalam kancah politik tetapi tindakan ini bagaikan menuang minyak ke dalam api kerana pelajar di kampus tidak terkecuali dipengaruhi kemelut politik yang berlaku disekeliling mereka.
Permasalahan golongan intelek ini yakni pelajar semakin berkecamuk lantaran wujud perbezaan dalam perjuangan mereka. Pelajar telah berpecah belah kepada kumpulan-kumpulan yang menimbulkan semangat assabiyah dalam lingkungan pelajar. Kumpulan terbesar adalah yang menyokong AFPFL dan sebahagian lagi menyokong komunis yang telah diharamkan. Keadaan bertambah rumit apabila demokrasi pelajar gagal berjalan. Hal ini dapat dibuktikan semasa pemilihan wakil pelajar pada tahun 1952 hingga 1954. Senario ini menimbulkan kegelisahan kepada U Nu merangkap Canselor Universiti Rangoon menyeru golongan pelajar memberi perhatian kepada bidang akademik dan pendidikan bagi meningkatkan mutu graduan dari segi disiplin dan keilmuan serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Namun, tindakan ini bagai mencurah air ke daun keladi kerana saranan ini tidak diendahkan oleh pelajar yang dahagakan kebebasan. Jelaslah bahawa perjuangan golongan terpelajar dalam menuntut hak dan memperjuangkan nasib bangsa Myanmar telah menimbulkan onar dalam aspek sosial kerana darah muda yang mengalir menyebabkan mereka akan tersentak bangun apabila kedudukan terancam.

Kegagalan Mendapatkan Bantuan Peralatan Baharu
Pemberontakan yang dilancarkan oleh pihak tertentu memerlukan kekuatan senjata untuk mematahkan segala masalah ini. Umum telah mengetahui bahawa Myanmar mempunyai masalah dalaman dan luaran yang memerlukan pengorbanan yang besar untuk menguasainya. U Nu dan AFPFL gagal mendapatkan bantuan peralatan baharu seperti yang diharapkan bagi menghadapi musuh dalam dan luar negara. Myanmar mendapat ancaman oleh negara kolonialisme yang ingin campur tangan dalam ketegangan yang berlaku di negara tersebut. Keadaan bertambah parah kerana permasalahan yang ditimbulkan masyarakat Myanmar itu sendiri yang sering melancarkan pemberontakan. Melihat kepada senario ini mendorong kepada peri pentingnya peralatan baru khususnya dalam senjata ketenteraan untuk menangani masalah yang berlaku di Myanmar. Namun, harus disedari kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada perpecahan AFPFL, kurang pengalaman dan kelemahan kerajaan pusat sejak tahun 1948. Kelemahan ini adalah lantaran kerajaan telah gagal dalam menjalankan tugasnya untuk membangunkan negara tetapi lebih cenderung berfungsi di luar kawalan ahli politik. Tokoh politik tidak memikirkan tentang pembangunan negara malah lebih kepada kepentingan persendirian untuk mengumpul kekayaan melalui pelbagai cara seperti rasuah. Keadaan telah mengundang kepada kegagalan kerajaan mendapatkan bantuan peralatan baharu untuk melicinkan pentadbiran.

Permasalahan Ekonomi.
Ekonomi ditakrifkan sebagai suatu pasaran yang wujudnya permintaan dan penawaran. Kemantapan ekonomi merupakan tunjang kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah tamadun. Jika ekonomi di tahap kritikal maka pembangunan akan terencat. Myanmar juga tidak lari daripada permasalahan ekonominya yang menjadi penyumbang kepada kegawatan dalam pembangunan. Antara masalah ekonomi Myanmar ialah kegagalan progran ekonomi yang dikenali Pydawtha, kelembapan ekonomi, ekonomi sosialis demokratik, kerosakan harta benda akibat perang dan kelemahan manusia. Kegawatan ekonomi Myanmar merupakan penyumbang kepada masalah-masalah yang wujud selepas kemerdekaan sehingga pentadbiran bermula pada tahun 1962.

Kegagalan Program Ekonomi (Pydawtha)
Pydawtha atau dikenali sebagai Negara Makmur merupakan langkah kerajaan bagi memulihkan ekonomi. Namun, agak mendukacitakan apabila program ini gagal mencapai matlamatnya kerana kejatuhan harga padi di pasaran antarabangsa. Antara matlamat program ekonomi ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran pertanian, mempelbagaikan pertanian, meningkatkan eksport hasil pertanian, meningkatkan pendapatan petani serta menjamin pendapatan yang lebih adil dan stabil kepada petani. Antara usaha yang dijalankan untuk mencapai matlamat ini adalah reformasi sistem hak milik tanah, meningkatkan produktiviti pertanian melalui teknologi baharu, memastikan semua tanah pertanian diusahakan, membaiki sistem saliran dan pengairan, mengadakan ladang contoh, penyelidikan dan pembangunan, khidmat nasihat pertanian, pinjaman kredit yang rendah faedahnya dan pemasaran. Usaha yang cukup hebat ini jika disalurkan dan dilaksanakan dengan sesungguhnya akan membuahkan hasil seperti yang dimatlamatkan.
Perancangan ini walaupun di atas kertas nampak cantik tetapi gagal mencapai matlamat lantaran masalah-masalah tertentu. Program ini menjadi porak-peranda kerana ketiadaan perancangan yang teliti, kelemahan pentadbiran di pusat mahupun di daerah. Perancangan yang tidak sistematik dapat dilihat melalui tindakan kerajaan yang terburu-buru meningkatkan hasil pengeluaran pertanian khususnya padi yang akhirnya membawa kejatuhan harga padi di persada antarabangsa. Hal ini dibuktikan dengan bantuan menebus tanah yang diperkenalkan oleh Pemerintahan tentera British telah gagal kerana monopoli eksport beras oleh kerajaan melalui cara membayar kepada petani dengan haraga yang lebih murah. Di samping itu, masalah wujud kerana keselamatan dalam negeri yang kritikal. Hal ini dapat dilihat melalui siri pemberontakan oleh pihak tertentu seperti puak minoriti dan komunis. Ancaman keselamatan yang tidak stabil menanamkan perasaan takut dalam kalangan pelabur untuk menanam modal untuk pembangunan ekonomi Myanmar. Masalah ini terus berpanjangan disebabkan oleh masalah rasuah dalam pentadbiran dan pemerintahan. Keadaan ekonomi Myanmar semakin tenat apabila gejala rasuah menyebabkan tidak wujud ketelusan dalam menjalankan dasar-dasar yang telah dirancang. Gejala rasuah dapat dibuktikan melalui robohnya dua empangan yang baharu dibina untuk tujuan pengairan. Puncanya adalah rentetan daripada tiadanya kawalan mutu kerana orang bertanggungjawab untuk menilai mutu empangan tersebut telah dirasuah. Gejala rasuah ini berpunca daripada gaji yang rendah dalam keadaan inflasi selepas perang dan penglibatan ahli politik dalam mengurus ekonomi walaupun tiada pengalaman dalam bidang ini.
Pembangunan ekonomi memerlukan modal yang besar untuk membiayai projek untuk kemajuan negara. Kegagalan membayar balik pinjaman menjadikan masalah baru dalam ekonomi Myanmar. Pinjaman pertanian telah dilakukan bukan untuk memajukan pertanian di Myanmar tetapi lebih kepada kepentingan politik dan diri sendiri. Ahli politik membuat pinjaman untuk menjamin karier politik mereka dan kepentingan diri sendiri bagi memenuhi keperluan harian. Bebanan bertambah dalam kerajaan untuk membangunkan ekonomi disebabkan oleh masalah pengangkutan. Masalah ini mengakibatkan bantuan untuk meningkatkan produktiviti pertanian dan memasarkan hasil pertanian sukar dijalankan. Selain itu, kegagalan badan yang diamanahkan untuk menggalakan pembangunan sektor pertanian iaitu State Agricultural Marketing Board (SAMB). Hal ini disebabkan oleh campur tangan politik yang menggagalkan perancangan yang telah disediakan. SAMB gagal melaksanakan dasar pembelian padi yang lebih berteraskan kepentingan ekonomi dengan membayar harga yang seragam kepada semua jenis padi sehingga menyebabkan harga padi Myanmar rendah di pasaran antarabangsa. Pelbagai masalah inilah yang mengakibatkan segala program perancangan ekonomi gagal mencapai matlamat yang dihajati dan lebih malang apabila hasilnya bertentangan dengan kehendak yang ingin dicapai.

Kelembapan Ekonomi
Sebagai sebuah negara yang baru merdeka sudah menjadi lumrah sesebuah negara mengalami permasalahan dan kelembapan ekonomi. Kelembapan ekonomi turut dirakam dalam sejarah ekonomi Myanmar. Bagi mengukur perkembangan ekonomi sesebuah negara dilihat melalui Keluaran Negara Kasar (KNK). Myanmar telah menunjukkan penurunan kadar KNK yang cukup ketara melalui perbandingan sebelum dan selepas kemerdekaan. Pada tahun 1939 semasa era penjajahan memperlihatkan perolehan KNK sebanyak Kyat 5483. Namun, keadaan mendukacitakan setelah kemerdekaan pada tahun 1948 berlaku penurunan perolehan sebanyak Kyat 4663. Di samping itu, kelembapan ekonomi berpunca daripada sumber dana kerajaan hanya bergantung kepada pampasan Jepun, pendapatan badan-badan kerajaan, cukai kastam dan cukai pendapatan pekerja. Pendapatan ini tidak cukup untuk membangunkan ekonomi Myanmar kerana belanjawan kerajaan sepanjang tempoh ini memperlihatkan perbelanjaan defisit iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan negara. Fenomena ini bertulang belakangkan kegagalan kerajaan mengurus sistem percukaian sebagai sumber pendapatan kerajaan yang utama. Percukaian yang tidak kukuh dapat dilihat melalui tindakan kerajaan tidak mengenakan cukai kepada sektor pertanian dan swasta. Keadaan ini menyebabkan kerajaan U Nu menghadapi masalah membiayai program pembangunan negara yang telah dirancang. Kesannya, pengurusan yang lembab oleh pemimpin kerajaan menyebabkan kelembapan ekonomi.

Ekonomi Sosialis Demokratik
Pergolakan ekonomi di Myanmar telah mencetuskan idea baru kerajaan untuk membentuk sebuah ekonomi sosialis demokratik berdasarkan perlembagaan yang dirangka pada tahun 1947. Langkah ini perlu diambil untuk menjaga kebajikan sosial untuk rakyat, hak pemerintah memiliknegarakan semua sektor ekonomi, hak negara terhadap semua tanah, kebajikan pekerja dari segi keahlian dalam kesatuan sekerja, perumahan dan insurans serta hak rakyat mendapatkan pekerjaan, pendapatan minimum dan penjagaan atau rawatan semasa sakit, hak berehat serta riadah dan hak mendapatkan pendidikan. Selain itu, di bawah Akta Menghaknegarakan Tanah, semua tanah yang melebihi 50 ekar adalah dimiliki oleh kerajaan, tetapi dusun buah-buahan, ladang getah dan tanah untuk tujuan keagamaan dikecualikan. Walau bagaimanapun, tarikh untuk menukar kuasa bagi tanah itu tidak pernah ditentukan dan satu-satunya daerah tempat melaksanakan akta ini telah mengalami kegagalan. Justeru, sudah terang lagi bersuluh pengenalan dasar ekonomi sosialis demokratik telah mengundang permasalahan kerana memiliknegarakan semua sektor ekonomi yang bertujuan membasmi pengaruh kapitalisme yang memeras. Keadaan ini menyebabkan berlaku masalah untuk memajukan negara dan masyarakat Myanmar keseluruhannya kerana wujud monopoli yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah.


Dasar Nasionalisasi
Nasionalisasi merupakan dasar kerajaan bagi menangani permasalahan ekonomi yang melanda Myanmar. Namun, dasar ini dianggap tidak berjaya lantaran pelbagai masalah yang timbul. Contoh terdekat adalah melalui nasionalisasi tanah yang telah melenyapkan peranan golongan ceti dalam pertanian. Golongan ceti merupakan kelompok yang meminjamkan wang untuk pembentukan modal. Fakta kes menunjukkan sejak tahun 1947 penanaman modal golongan ceti menyumbangkan nilai angka yang cukup besar iaitu dianggarkan sebanyak $180 juta. Walau bagaimanapun, langkah ini telah melenyapkan peranan orang India dalam bidang perdagangan, perniagaan dan pertanian. Dengan tersingkirnya orang India dari Myanmar timbul masalah dalam pembentukan modal apabila dari tahun 1952 hingga 1954 golongan ini turut membawa keluar harta dan wang sebanyak kyat 42.9 juta. Jelaslah bahawa dasar nasionalisasi ini menyebabkan masalah ekonomi Myanmar.
Dasar nasionalisasi ini menyaksikan perkara baru dalam bidang ekonomi Myanmar. Proses nasionalisasi bermula dengan giatnya untuk menyekat konsesi ekonomi syarikat asing seperti Irrawaddy Flotilla. Sekatan ini dipertanggungjawabkan kepada State Inland Water Transport dan SAMB. Namun, badan-badan yang diamanahkan ini menemui kegagalan dan mengalami kerugian kerana prinsip ekonomi diketepikan, malahan pengurus yang dilantik ataupun dasar yang dilaksanakan lebih berkait rapat dengan kepentingan politik tertentu. Sebenarnya dasar yang dijalankan gagal mencapai matlamat bukan disebabkan oleh dasar tersebut tetapi individu atau kelompok yang melaksanakannya mempunyai kepentingan tertentu.

Kemusnahan Harta Benda
Umum mengetahui bahawa prestasi U Nu dalam pemerintahan mempunyai kelemahan yang ketara sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Keadaan bertambah parah apabila ekonomi yang belum pulih kesan daripada Perang Dunia Kedua dan penjajahan Jepun. Malang terus menimpa pemerintahan U Nu apabila beliau terpaksa berhadapan dengan pemberontakan komunis dan etnik. Kita sedia maklum, peperangan yang tercetus pastinya akan meninggalkan kesan terhadap kerosakkan harta benda dan jaringan jalan raya. Sebagaimana perang dunia, pemberontakan dan perang saudara telah turut memusnahkan sistem pengangkutan sungai dan darat, empangan hidro seperti Balu Chaung serta hampir 70 peratus bangunan sekolah di seluruh negara mengalami kerosakan. Lantaran itu, gambaran ini jelas menunjukkan kemusnahan harta benda mendatangkan kemudaratan untuk membangunkan sektor lain seperti perdagangan, eksport dan import serta pembangunan ilmu pengetahuan untuk menuju kemajuan.

Kelemahan Manusia
Walaupun pelbagai analisis kepada masalah yang berlaku di Myanmar tetapi punca segala masalah ini disebabkan oleh kelemahan manusia. Sesuatu yang menarik untuk dibincangkan adalah kelemahan pemerintahan U Nu itu sendiri. Jika diselidik tahap kecekapan U Nu dalam mengurus perbelanjaan di bawah tahap kritikal lantaran kegagalan memperoleh pendapatan negara untuk menampung perbelanjaan pembangunan. Kelemahan turut terserlah kerana di bawah pemerintahan beliau gejala rasuah semakin berleluasa. Rasuah merupakan api dalam sekam yang menjadi virus kepada pembangunan negara. Malang turut menimpa dalam pentadbiran U Nu kerana perpecahan dalam AFPFL yang mendorong kepada campur tangan tentera. Apabila berlaku perpecahan sudah pasti segala dasar dan program yang dirangka sukar mencapai matlamat kerana tidak wujud persefahaman antara satu dengan yang lain.
Kelemahan manusia yang dapat diperhatikan melalui perancangan ekonomi yang tidak begitu realistik dan pengurusan yang tidak cekap. Kerajaan tidak mempunyai perancangan teliti berkaitan penubuhan seperti State Inland Water Transport dan SAMB. Selain itu, dasar kerajaan yang kerap berubah menjadikan rakyat terkial-kial dalam melihat arah tuju negara Myanmar. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui kegagalan program ekonomi Pydawtha, dasar nasionalisasi dan ekonomi sosialis demokratik. Kegagalan ini juga disebabkan oleh campur tangan ahli politik yang akhirnya membawa kepada gejala rasuah yang berleluasa. Di samping itu, ahli politik menggunakan pinjaman kredit untuk kepentingan peribadi bukan untuk kegunaan membangunkan negara menjatuhkan lagi ekonomi Myanmar. Hal ini dapat dibuktikan apabila perkhidmatan awam semakin menurun kerana perbelanjaan tidak sampai untuk membangunkan sektor ini. Oleh itu, jelaslah bahawa penglibatan golongan ahli politik dalam ekonomi demi kepentingan peribadi mendorong kepada masalah ekonomi Myanmar.

Kesimpulan
Kepelbagaian masalah dari aspek politik, ekonomi dan sosial memang tidak dapat dinafikan dalam mengkaji sejarah Myanmar. Sejarah telah membuktikan tanpa penyelesaian yang terbaik terhadap masalah tersebut akan menimbulkan huru-hara yang tiada berkesudahan. Myanmar telah memaparkan sejarah yang penuh dengan tradegi yang tidak akan dilupakan. Bermula dengan perjuangan AFPFL yang diketuai oleh Aung San dalam menuntut kemerdekaan berakhir dengan tradegi pembunuhan Aung San semasa kemerdekaan hampir menjelma. Kematian Aung San telah melayakkan U Nu menjadi Perdana Menteri untuk memimpin AFPFL. Krisis yang tidak berkesudahan mewarnai arena pemerintahan U Nu yang mengakibatkan berlakunya rampasan kuasa pada 2 Mac 1962 oleh General Ne Win. Rampasan kuasa ini telah berjaya dan mendapat sokongan sesetengah penduduk Myanmar yang dahagakan perubahan. Alasan rampasan kuasa oleh Ne Win cukup kukuh iaitu menamatkan sistem demokrasi, mempertahankan persekutuan Myanmar sejak tahun 1961 dan sikap U Nu yang terlelu lembut hati kepada suku kaum yang mendiami Myanmar seperti Mon, Arakan, Shan, Kayah dan Karen. Walaupun rampasan kuasa telah dilakukan tetapi masih gagal dalam menyelesaikan beberapa konflik. Antaranya ialah pemberontakan, tunjuk perasaan, demonstrasi jalanan dan masalah etnik. Myanmar mempunyai permasalahan dari aspek politik, ekonomi dan sosial dari dulu hingga kini dan jika tidak ditangani dengan berkesan akan berlanjutan tanpa pengakhiran yang aman. Renungkanlah kata-kata Hamzah Fanzuri yang mengatakan kebodohan perlu diajar, kesombongan perlu dicabar yang amat bersesuaian dengan masalah pemerintahan Myanmar.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates