satu malaysia Pictures, Images and Photos
"Masyarakat Berbilang Bangsa Di Malaysia"

Pengenalan
Dasar politik dan ekonomi British telah mengubah struktur kependudukan pada kurun ke-19. Dasar politik dan ekonomi merupakan amalan yang dilakukan oleh pihak British dalam pentadbiran dan pemerintahannya di Malaysia. Menurut Kamus Dewan kependudukan bermaksud segala hal mengenai penduduk di sesuatu tempat, daerah, negeri dan sebagainya serta kependudukan juga merujuk segala aspek yang dibincangkan dalam simposium ini. Dalam konteks ini, perubahan dalam struktur kependudukan merupakan kesan daripada dasar politik dan ekonomi yang diperkenalkan oleh British.
Tindakan dan perkara yang dilakukan oleh British seperti kemasukan imigran telah mendorong pertambahan penduduk yang akhirnya membentuk masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini juga rentetan daripada daripada amalan pecah dan perintah British yang telah memisahkan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia mengikut faktor ekonomi dan politik. Masyarakat Melayu mengamalkan tradisi pertanian, Cina dengan aktiviti perlombongan dan India bekerja di ladang-ladang.
Persoalannya, bagaimana perlaksanaan dasar politik dan ekonomi British ini telah menjadi pemangkin kepada perubahan struktur kependudukan di Malaysia pada abad ke-19? Oleh itu, perbincangan akan menfokuskan kepada dasar ekonomi dan politik British seperti kemasukan imigran, masyarakat majmuk, pentadbiran politik, petempatan dan ekonomi dan pendidikan yang telah memberi implikasi terhadap struktur kependudukan di Malaysia pada abad ke-19.

Kemasukan Imigran
Kedatangan British ke Tanah Melayu telah memperkenalkan dasar ekonomi yang berbentuk bebas atau lebih dikenali sebagai dasar laissez-faire. Keadaan ini telah menyebabkan kemasukan pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam sektor ekonomi yang berkembang seperti perlombongan dan perladangan bagi tujuan eksport. Perkembangan ini telah mendorong pemodal mendesak British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong sekitar tahun 1875. Campur tangan British Secara tidal langsung telah mengubah kependudukan akibat daripada kemasukan buruh-buruh asing dalam sektor pekerjaan.
Kemasukan buruh Cina untuk bekerja di lombong telah di bawa masuk oleh pemodal Cina. Perkembangan industri perlombongan dan penemuan kawasan lombong di Lembah Kinta dan Larut menyebabkan kehadiran kira-kira 80 000 orang Cina menjadi buruh ikatan. Kehadiran buruh Cina ini adalah rentetan daripada dasar British iaitu sistem ekonomi bebas menyebabkan lebih banyak imigran Cina di bawa masuk. Di samping itu, pengenalan kepada undang-undang dan peraturan imigrasi menyebabkan lebih ramai imigran Cina datang ke Malaysia. Keadaan ini telah mendorong wujudnya kelompok masyarakat Cina yang bekerja di kawasan lombong yang memisahkan mereka daripada masyarakat pribumi.
Perkembangan sektor perladangan telah mendorong pemodal Eropah membawa masuk buruh India untuk bekerja di ladang milik pemodal Eropah. Kemasukan buruh India ini adalah berdasarkan sistem Kangani kerana kaedah ini dilihat lebih murah dan bebas daripada kawalan serta pemeriksaan kerajaan. Di samping itu, buruh India juga dibawa masuk melalui pinjaman, undang-undang dan subsidi juga diberikan untuk tambang. Mengikut Kernial Sandhu, kemasukan buruh India juga kerana dasar Inggeris yang mahu mengimbangi buruh Cina. Perkara ini secara tidak langsung telah mendorong perubahan kependudukan di Malaysia kerana keutamaan orang India bekerja di ladang dan orang Cina menjadi pelombong.
Selain itu, kemasukan orang Melayu yang berasal daripada dari kawasan sekitar Malaysia telah mengubah corak kependudukan di Malaysia. Kedatangan orang Melayu melalui beberapa cara iaitu menggunakan agen atau datang dengan sendiri. Agen-agen yang terdiri daripada syeikh-syeikh haji bertanggungjawab menguruskan perusahaan mengimport buruh Indonesia ke Tanah Melayu. Hal ini juga dapat dibuktikan dengan kehadiran buruh-buruh dari Jawa mula tiba di Sabah pada tahun 1882, iaitu seramai 70 orang yang dibawa masuk oleh agen Kompeni bernama W.H. Read. Kedatangan mereka adalah untuk menjalankan kegiatan pertanian dan ekonomi berbentuk sara diri kerana golongan ini diperuntukkan tanah Melayu di bawah undang-undang tanah adat Melayu. Kemasukan imigran telah memberi kesan dalam struktur kependudukan di Malaysia kerana kepelbagaian kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh golongan ini seperti Cina di lombong, India di ladang dan Melayu mengamalkan ekonomi sara diri.

Masyarakat Majmuk
Kemasukan Imigran telah mendorong pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum di Malaysia. Kemasukan kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh pemodal Cina dan eropah untuk bekerja di sektor perlombongan dan perladangan telah mewujudkan kepelbagaian etnik. Menurut J.S. Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang tinggal berkelompok mengikut kaum dalam unit politik yang sama dan setiap kelompok mengamalkan agama, adat resam, bahasa, pemikiran, kerjaya dan cara hidup sendiri. Perhubungan mungkin wujud antara satu sama lain tetapi hanya di pasar atau kedai yang menjalankan urusan jual beli.
Dasar imigran British menggalakkan imigran Cina dan India berhijrah dan mencuba nasib di Tanah Melayu peluang pekerjaan yang ditawarkan. Kemasukan golongan imigran yang semakin pesat telah memecahkan dominasi orang Melayu di Malaysia kerana sebelum kedatangan British masyarakat Melayu merupakan satu rumpun bangsa yang mengamalkan pertanian sara diri. Kesan imigrasi dapat dilihat di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada tahun 1898 yang menunjukkan perbezaan yang jelas dalam pertambahan penduduk. Masyarakat Peribumi meningkat sebanyak 34.9 peratus, Cina naik sebanyak 83.4 peratus dan India peningkatannya mencecah 188.8 peratus. Kedatangan imigran Cina, India dan imigran dari Kepulauan Melayu ke Tanah Melayu telah membentuk satu masyarakat majmuk serta organisasi sosial dan budaya yang berbeza.
Dasar Politik
Amalan sistem pentadbiran yang bercorak feudal iaitu masyarakat Melayu yang berajakan Sultan dan menghormati kepimpinan ketua seperti penghulu telah mendorng British untuk berbaik dengan Sultan dan ketua orang Melayu. Campur tangan British telah memperkenalkan Sistem Residen untuk menjamin kepentingan mereka di Tanah Melayu tanpa mengabaikan kuasa Sultan yang masih berperanan dalam soal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Rentetan itu, kuasa Sultan dan penghulu yang dikekalkan menyebabkan masyarakat Melayu di kawasan pedalaman khususnya tidak merasai sangat kedatangan British. Hal ini disebabkan oleh British yang meneruskan dasar berbaik-baik dengan Raja-raja Melayu dan campur tangan yang minimum dengan kaum petani Melayu. Kesannya, masyarakat Melayu kekal menjadi masyarakat tani dan tinggal di kampung kerana dasar berbaik-baik British.
Masyarakat Cina yang datang ke Tanah Melayu ditadbir oleh ketua yang dikenali sebagai kapitan. Kapitan bertanggungjawab menjaga kepentingan masyarakat Cina yang terdiri daripada pelbagai suku yang menggunakan dialek yang berbeza seperti Hakka, Hokkien, Hainan dan sebagainya. Penggunaan dialek yang berbeza dan tidak fasih berbahasa Melayu menyukarkan proses integrasi kaum antara orang Cina dengan masyarakat sekelilingnya. Keadaan bertambah parah apabila golongan Cina yang berlainan suku membentuk kongsi gelap seperti Ghee Hin yang memberi kesan kepada dasar kependudukan kerana kongsi gelap sering bertelagah antara satu sama lain. Permasalah ini memerlukan tindakan kapitan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan peluang ekonomi buruh Cina berdasarkan undang-undang dan peraturan imigrasi Tanah Melayu serta dasar penhijrahan British liberal. Keadaan yang stabil di bawah kekuasaan kapitan mendorong kemasukan lebih ramai buruh Cina yang mengubah dasar kependudukan di Malaysia.
Kemasukan buruh India adalah disebabkan oleh perkembangan sektor perladangan dan keperluan pemodal Eropah terhadap buruh ini untuk bekerja di ladang gambir, tebu, kopi dan teh. Cara kemasukan India ke Tanah Melayu dengan pelbagai kaedah seperti Sistem Kontrak dengan bantuan British. Kesannya, corak politik yang diperkenalkan menyebabkan buruh India yang semakin ramai telah mendiami kawasan ladang, Cina menguasai kawasan lombong dan masyarakat Melayu kekal di dalam aktiviti pertanian.

Petempatan dan Ekonomi
Sememangnya, petempatan sering berkait rapat dengan ekonomi. Jika sesuatu kawasan berkembang sebagai pusat kegiatan ekonomi maka secara automatik petempatan akan wujud. Kawasan yang mempunyai potensi ekonomi yang baik akan cepat berkembang untuk menjadi pusat petempatan. Namun, amalan pecah dan perintah telah mengasingkan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia berdasarkan kegiatan ekonomi yang dijalankan.
Umumnya, masyarakat Melayu lebih tertumpu di kawasan pedalaman untuk menjalankan ekonomi yang bersifat sara diri. Hal ini berikutan British mengamalkan pemerintahan yang cekap dengan menegakkan undang-undang dan peraturan seperti memperuntukan tanah adat kepada golongan orang Melayu untuk menjalankan aktiviti pertanian. Peruntukan undang-undang ini menyebabkan wujud petempatan orang-orang Melayu di pedalaman dan kampung-kampung dan terpisah daripada masyarakat India dan Cina. Walau bagaimanapun, terdapat sekelompok kecil orang Melayu yang menetap di bandar yang terdiri daripada golongan bangsawan dan pentadbir.
Masyarakat Cina pula lebih tertumpu di kawasan perlombongan walaupun terdapat sesetengahnya bekerja di kawasan perladangan. Sektor perlombongan yang berkembang berikutan permintaan bijih timah pada tahun 1880-an telah menyaksikan perkembangan petempatan di kawasan pantai barat Tanah Melayu mendorong kedatangan buruh Cina yang ramai pada tahun 1899 yang dianggarkan seramai 100 000 orang tiba di NNMB. Kedatangan semakin ramai buruh Cina telah mendorong perkembangan petempatan yang akhirnya menjadi bandar. Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan bandar seperti Kuala Lumpur hasil daripada perkembangan petempatan di kawasan perlombongan bijih timah. Keadaan ini telah menyebabkan kawasan bandar dimonopoli oleh orang Cina.
Berbeza dengan masyarakat India, kemasukan orang India adalah untuk bekerja di kawasan ladang seperti kopi. Hal ini menyebabkan mereka mendirikan petempatan di kawasan ladang yang didiami. Apabila kopi menjadi tanaman komersial menyebabkan pemodal Eropah membawa masuk buruh Tamil untuk bekerja di ladang kopi khususnya di negeri Selangor. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan sebuah petempatan masyarakat India di kawasan ladang. Di samping itu, orang India turut menjadi buruh untuk membina landasan kereta api. Antara projek jalan kereta api yang dibina ialah menghubungkan Johor Bahru dengan Gunung Pulai (1869), Taiping dengan Kuala Sepetang (1882), Kuala Lumpur dengan Pelabuhan Kelang (1886) dan Seremban dengan Port Dickson (1893). Hal ini sekaligus mewujudkan petempatan yang terpisah dari masyarakat Melayu, India dan Cina. Secara keseluruhannya, petempatan dan ekonomi menyebabkan berlakunya perubahan struktur kependudukan kerana pengasingan yang berlaku iaitu Melayu tinggal di kampung, Cina di bandar dan India kekal di ladang.

Pendidikan
Pendidikan merupakan kepada asas pembentukan perpaduan. Namun yang mendukacitakan sistem pendidikan vernekular yang diperkenalkan oleh British mewujudkan jurang yang amat ketara telah mengubah struktur kependudukan di Malaysia. Sekolah Melayu yang ditubuhkan oleh British adalah untuk memberi kemahiran membaca, menulis dan mengira. Penubuhan sekolah ini telah bermula pada tahun 1821 apabila Penang Free School membuka cawangannya di gelugor dan diikuti dengan penubuhan Sekolah Melayu di Teluk Belanga (1855) dan di Kampung Gelam (1856). Kesannya, sistem pendidikan ini telah mengekalkan masyarakat Melayu berada di kawasan pedalaman dan kampung.
Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya. Di samping itu, penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang teh dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawasan ladang ladang kepunyaan pemodal Eropah. Namun pada peringkat awal pendidikan Tamil tidak dipentingkan
Pengasingan sistem pendidikan Melayu, Cina dan India memberikan kesan terhadap struktur kependudukan di Malaysia. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Pendidikan vernekular yang diperkenalkan oleh British melengkapkan amalan ‘pecah dan perintah’ yang bertujuan mengekalkan para petani Melayu dan pekerjaan tradisi mereka dan menghadkan buruh imigran di lombong-lombong dan ladang-ladang atau perniagaan runcit di bandar. Perbezaan ini telah mencetuskan satu garis pemisah dalam struktur kependudukan di Malaysia berdasarkan pengasingan pendidikan iaitu masyarakat Melayu kekal di kampung sebagai petani, masyarakat Cina menguasai bandar dengan aktiviti perniagaan dan perlombongan serta perladangan secara tradisinya dipegang oleh orang India.

Kesimpulan
Perkembangan politik dan ekonomi di negeri-negeri Melayu kerana pelaburan semakin giat ekoran kemajuan dalam perusahaan bijih timah dan tanam-tanaman seperti kopi. Pembangunan ekonomi ini telah mendorong kemasukan buruh-buruh yang ramai untuk bekerja dalam sektor ekonomi telah menyebabkan berlaku perkembangan petempatan dan akhirnya muncul perbandaran. Namun, di sebalik kebaikannya, berlaku ketidakseragaman pengagihan kekayaan antara negeri itu sendiri yang telah membawa perubahan dalam struktur kependudukan di Malaysia.
Amalan ‘pecah dan perintah’ British telah membentuk kawasan petempatan yang berasingan antara ketiga-tiga kaum yang utama. Sebahagian besar orang Melayu kekal dengan kegiatan ekonomi di luar bandar sebagai petani dan nelayan. Orang Cina tertumpu di kawasan bandar menjadi peniaga dan pelombong, manakala orang India menetap dan bekerja di ladang. Situasi ini telah mengubah struktur kependudukan di Malaysia yang pada awalnya dimonopoli oleh orang Melayu. Dasar British yang memisahkan kaum Melayu dan bukan Melayu ini telah melahirkan satu masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Malaysia, selaras dengan dasar British yang ingin melihat setiap kaum terus mengekalkan identiti kaum masing-masing. Jelaslah bahawa dasar ekonomi dan politik telah mengubah struktur kependudukan Malaysia pada kurun ke-19.

Bibliografi
Azmah Abdul Manaf, 2001, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, 1983, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd.

Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad, 1990, Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain, Selangor, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Cowan C.D. 1970, Tanah Melayu Kurun Kesembilan-Belas: Asal-Usul Penguasaan Politik British, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Joginder Singh Jessy, 1978, Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Isa Othman, 2002, Sejarah Malaysia (1800-1963), Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ooi Jin Bee, 1968, Bumi, Pendudok dan Ekonomi di Tanah Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ruslan Zainuddin, 2004, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.

Sarjit Singh, 2006, Hubungan Etnik di Malaysia, Kuala Lumpur, Oxford Fajar.

Sufean Hussin, 1996, Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates