"Semangat Berpasukan Dalam Kumpulan"

Alhamdulillah..Pada 27 Februari hingga 3 Mac yang lalu telah diadakan perkhemahan briged Bomba yang diadakan di Kalumpang. Banyak cerita suka dan duka yang telah dilalui. Sesungguhnya ini merupakan pengalaman berharga dalam menyemai semangat setia kawa dan kerjasama.Justeru melalui entri ini suka ingin saya kongsikan betapa pentingnya menyemai semangat Esprit de Corps dalam aktiviti berpasukan.Sesungguhnya sedar atau tidak sememangnya semangat ini merupakan lumrah dalam kehidupan seharian dan tidak seharusnya sirna.


"Bersatu kita Teguh, Bercerai Kita Roboh"

Esprit de Corps berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud semangat bekerjasama, semangat kekitaan ataupun semangat berpasukan. Dengan kata lain ini adalah suatu semangat yang dapat menyatukan manusia khususnya dalam sesebuah negara. Esprit de Corps amatlah penting dalam sesebuah organisasi, jabatan dan mahupun negara seluruhnya berikutan kemampuan dalam menjana perpaduan dan kemajuan dalam sesebuah negara dan yang terpenting kemampuan semangat ini untuk mengekalkan keamanan sekaligus dapat menjana kedaulatan dan keutuhan sesebuah negara daripada serangan musuh kerana jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung kepada status keamanannya. Jika negara tidak aman bagaimanakah pelabur hendak datang ke negara kita? Tanpa keamanan sudah tentu mereka tidak akan datang ke negara ini berikutan ancaman-ancaman yang timbul. Lihatlah negara-negara lain seperti Indonesia, Iraq dan Sudan keadaan di negara mereka saban hari berhadapan dengan kekacauan dan perang saudara tanpa semangat kerjasama. Hal ini akan menjadi barah yang meyebabkan keamanan tidak dapat diwujudkan. Semangat ini telah diterapkan sejak dari peringkat sekolah melalui kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah yang menuntut berpasukan antara ibu bapa, guru dan murid. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan semangat esprit de corps itu wujud dalam diri setiap murid.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita dapat lihat pada mata kasar semangat esprit de Corps sukar wujud di Malaysia namun dengan semangat nasionalisme iaitu semangat cintakan negara ia telah berjaya diterapkan sehingga mewujudkan semangat berpasukan antara rakyat di Malaysia dan memudahkan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran. Semangat ini telah berjaya diterapkan dari komuniti kecil hinggalah kepada komuniti besar iaitu sebuah negara dan ini telah dibuktikan melalui kejayaan negara dalam menangani pelbagai krisis yang melanda negara terutamanya pada tahun 1998 ketika kemelesetan ekonomi telah melanda negara. Hasil kerjasama berpasukan antara badan swasta dan awam akhirnya telah menyelamatkan ekonomi negara dari terus jatuh.

Jadi, semangat ini adalah penting dan menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat kerana tanpa semangat ini maka perpaduan tidak akan wujud malah semangat assabiyah yang akan mengambil alih lalu memecah-belahkan masyarakat.

Esprit de Corps yang merujuk kepada semangat semangat kerja berpasukan telah lama diaplikasikan oleh kerajaan dalam pelbagai cara dan bentuk di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya atau boleh juga dirujuk sebagai masyarakat plural. Masyarakat Malaysia yang sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya memerlukan semangat ini sebagai tunjang perpaduan dan keutuhan dalam menjalanai kehidupan bermasyarakat. Walaupun esprit de Corps pada mulanya diamalkan dalam ketenteraan, tetapi semangat ini juga sangat praktikal untuk diamalkan dalam aspek kehidupan masyarakat plural seperti di Malaysia. Sudah menjadi resam hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya kadang-kala akan mengalami pergeseran. Hal ini didorong oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang boleh melemahkan semangat perpaduan. Melalui pengaplikasian prinsip ini, faktor yang boleh melemahkan perpaduan kaum di Malaysia dapat dikurangkan.

Keperluan merealisasikan semangat ini sangat tinggi di Malaysia. Keperluan yang dimaksudkan adalah untuk menyatu-padukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Hal ini kerana setiap masyarakat di Malaysia secara umumnya terpisah mengikut kaum, budaya, geografi, ekonomi. Perkara ini telah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Setelah negara mencapai kemerdekaan, warisan daripada pemisahan ini nampaknya masih lagi kelihatan. Di sini secara jelas bahawa dasar pecah dan perintah British masih lagi kelihatan di Malaysia. Namun begitu, pemisahan mengikut kaum yang wujud kini sudah tidak lagi seperti di awal kemerdekaan negara dahulu. Masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia kelihatannya sudah boleh menyesuaikan diri antara satu sama lain. Malah, di Malaysia kini terbukti sudah ada perkahwinan yang berlainan kaum. Di sini sudah jelas terbukti bahawa esprit de corps telah wujud di Malaysia. Sekiranya semangat ini tidak wujud, adalah mustahil untuk melihat perkahwinan daripada pelbagai kaum. Hal ini disebabkan oleh sikap bertolak-ansur yang wujud sehinggakan masing-masing boleh memberi dan menerima sebarang unsur budaya yang tidak bercanggah dengan nilai moral yang dipegang oleh masyarakat umum.

Untuk menjadi sebuah negara yang mantap, setiap anggotanya iaitu ahli masyarakat mesti memahami peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Dalam memahami tanggungjawab dalam setiap ahli masyarakat, faktor-faktor yang boleh menghalang perpaduan mesti dihapuskan sama sekali supaya setiap ahli masyarakat dapat memahami peranan masing-masing. Tugas untuk memahami peranan setiap ahli masyarakat mesti dilaksanakan oleh semua pihak. Apabila masyarakat sudah memahami keperluan dan kehendak setiap ahlinya, maka dapatlah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap. Kejayaan kerja berpasukan bukan hanya bergantung kepada hasil kerja yang berkualiti semata-mata, tetapi juga mesti diliputi dengan keupayaan untuk bekerjasama sebagai sebuah kumpulan yang baik tanpa sebarang unsur prasangka antara satu sama lain. Hal inilah yang ingin dicapai oleh esprit de corps yang mahukan semangat kerja berpasukan itu dihayati dengan sepenuhnya.

Dalam membicarakan tentang semangat kerja berpasukan, elemen lain yang turut dibincangkan ialah menghargai idea orang lain. Keupayaan menghargai idea orang lain melambangkan kematangan seseorang dalam berfikir. Dalam konteks penduduk Malaysia yang berbilang kaum, setiap kaum terutama Melayu, Cina dan India sentiasa mengutarakan pelbagai idea dan cadangan untuk kebaikan setiap kaum masing-masing. Setiap idea yang dikemukakan mesti dinilai oleh kaum-kaum yang lain. Hal ini disebabkan oleh kehidupan bermasyarakat memerlukan setiap ahlinya memberi cadangan untuk menguatkan persefahaman antara satu sama lain. Apabila sesuatu cadangan yang baik itu diterima oleh pihak yang lain, ini akan menimbulkan perasaan dihargai dan seterusnya menjadikan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia semakin erat. Contohnya, dalam Laporan Fenn-Wu yang dibuat pada tahun 1952, Dr. W.O. Fenn dan Dr. Wu Teh Yau mahukan kebudayaan orang Cina turut dimasukkan dalam kebudayaan negara yang bakal dibentuk apabila Tanah Melayu pada ketika mencapai kemerdekaan. Setelah negara mencapai kemerdekaan, cadangan yang dikemukakan ini masih lagi dipraktikkan, seperti pengenalan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina. Hal ini kerana sikap terbuka rakyat Malaysia yang menganggap cadangan ini boleh dilaksanakan dan tidak pula boleh mengganggu ketenteraman masyarakat umum. Situasi ini menggambarkan bahawa esprit de corps sememangnya wujud dan diamalkan di Malaysia.

perpaduan Pictures, Images and Photos

Sesungguhnya dalam era kacau bilau politik pada hari ini sewajarnya semangat esprit de corps harus disemaidalam aspek demokrasi.Demokrasi memainkan peranan penting dalam memupuk semangat esprit de corps untuk menyemai perpaduan dalam masyarakat. Pendenifisian demokrasi mempunyai maksud yang luas dan mencakupi segala aspek seperti politik, ekonomi dan sosial yang merupakan agen kepada semangat bekerjasama, setia kawan dan akhirnya merealisasikan perpaduan dalam masyarakat. Demokrasi ditakrifkan sebagai pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil yang dipilih dalam pilihanraya (Kamus Dewan, 2002). Sejarah telah membuktikan bahawa bermula daripada pemikiran Socrates di zaman Greek-Yunani hinggalah hari ini, idealisme demokrasi berkembang selari dengan perkembangan konsep seperti negara bangsa, keadilan sosial, kontrak sosial, general will, industrialisasi, modenisasi, kapitalisme, penyertaan rakyat dan hak rakyat awam (Zaini Othman, 2006). Persoalannya, bagaimanakah semangat esprit de corps diterjemahkan dalam sistem demokrasi mampu membentuk perpaduan yang mampan dan terjamin?

Melalui sistem politik yang telus berlandaskan demokrasi mampu untuk menanamkan semangat kerjasama dan setia kawan yang akan menjadi tunjang kepada perpaduan di sebuah negara. Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat berhak untuk memilih pemimpin dan parti yang akan memerintah negara. Malahan untuk memastikan hak demokrasi terpelihara, maka, terlaksana satu sistem dalam prosedur dan proses yang dikenal sebagai pilihan raya. Dalam konteks ini demokrasi dilihat sebagai satu wahana pencetus kepada anjakan semangat kerjasama, kekitaan dan setia kawan. Semangat ini dapat dilihat melalui parti dan calon yang bertanding dan apabila menang akan membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan agenda perpaduan demi kesejahteraan rakyat sejagat. Oleh itu, parti yang bertanding seharusnya mempunyai identifikasi parti yang akan mewujudkan semangat setia kawan. Identifikasi parti merujuk kepada ikatan dan kesetiaan kepada sesuatu parti (Ghazali Mayudin, 2006). Lantaran itu, tanpa semangat setia kawan dalam parti politik akan menyebabkan perpaduan menjadi terencat dan lumpuh. Hal ini dapat dibuktikan dengan cacamarba politik yang melanda Perak dan Malaysia khasnya telah menunjukkan hilangnya semangat esprit de corps menyebabkan berlaku kecelaruan yang menggoyahkan perpaduan yang wujud di negara ini. Perkara ini terjadi berikutan sikap wakil rakyat yang lompat parti yang akhirnya membawa malapetaka politik. Sesungguhnya, niat Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menubuhkan Kerajaan Pusat 16 September 2008 dan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan Kerajaan Baru Perak masing-masing melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat atau mengkhianat. Adakah kedua-duanya tidak bermaruah dan mampu menggoyahkan semangat esprit de corps yang akan menghalang perpaduan? Tepuk dada, tanya selera.

Demokrasi juga merupakan wahana pencetus esprit de corps dalam penyatuan semangat kerjasama antarabangsa yang akan membentuk perpaduan untuk manusia keseluruhannya. Semangat kerjasama antarabangsa dapat dilihat dalam hampir keseluruhan negara di dunia ini yang menentang peperangan yang mengakibatkan kelaparan, penderitaan fizikal, kekacauan ekonomi dan rasa putus asa pada masyarakat yang dilanda peperangan. Keprihatinan melihat pergolakkan ini telah mendorong penubuhan organisasi-organisasi seperti United nations Relief and Rehabilitation Agency (UNNRA) dan The International Refugee Organization (IRO) yang memberikan bantuan kepada masyarakat dunia yang memerlukan (Richard M. Ketchum ed., 2004). Di samping itu, sistem demokrasi dapat dilihat dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan membentuk semangat setia kawan dan kerjasama serta mewujudkan sebuah ikatan perpaduan yang kukuh dan kental. Semangat setia kawan, kekitaan dan kerjasama antara negara yang menganggotai PBB berdasarkan sistem demokrasi telah meluluskan piagam yang bertekad menjalin kerjasama antarabangsa dalam memecahkan persoalan-persoalan antarabangsa mengenai ekonomi, budaya, karakter kemanusiaan, dan dalam mempromosikan serta mendorong penghargaan terhadap hak asasi manusia dan memberi kemerdekaan untuk semua tanpa mengira ras, jantina, bahasa dan agama (http://ms.wikipedia.org/wiki/Pertubuhan_Bangsa-Bangsa_Bersatu). Oleh itu, jelaslah esprit de corps mampu menjadi tunjang perpaduan melalui sistem demokrasi.

Semangat esprit de corps mampu membentuk perpaduan melalui sistem demokrasi yang selamat. Hal ini kerana demokrasi dilihat mempunyai perkaitan yang khusus disebabkan tuntutan demokrasi yang melampau dianggap menjejaskan keselamatan. Walau bagaimanapun, demokrasi dan keselamatan diperlukan dalam mana-mana sistem politik dengan syarat soal keselamatan dilandaskan kepada usaha menjamin kesejahteraan hidup dengan semangat esprit de corps yang akan mengakari perpaduan dalam negara. Oleh itu, demokrasi dan semangat setia kawan serta kerjasama harus bergerak seiringan agar kepimpinan sedar akan kepentingan mengurus tadbir negara dan sensitif kepada kehendak dan aspirasi rakyat. Kehancuran dalam demokrasi akan menjahanamkan semangat esprit de corps yang mengakibatkan kegagalan pembentukan perpaduan. Hal ini dapat dibuktikan dengan kegagalan semangat setia kawan, kekitaan dan kerjasama dalam kalangan rakyat Bolivia mengundang kekecewaan demokrasi yang diidam-idamkan. Sejarah telah membuktikan akibat kegagalan ini telah menunjukkan kerapuhan dalam era pemerintahan Banzer yang akhirnya sistem demokrasi gagal dijalankan. Kegagalan ini rentetan daripada pembahagian kementerian kepada dua parti politik yang bersaing iaitu Falangistas dan Paz Estens (Laurence Whitehead, 1993). Kesannya, kedua-duanya saling berebut peluang untuk meningkatkan pengaruhnya dan mengabaikan semangat setia kawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam pemerintahan dan sekaligus memberi impak kepada semangat esprit de corps.

Semangat kekitaan dapat dilihat melalui cara demokrasi yang berlandaskan lunas undang-undang iaitu di bidang kehidupan politik rakyat. Pelaksanaan demokrasi sebegini merupakan perkara penting dalam menentukan perpaduan yang diidamkan berdasarkan semangat esprit de corps. Penghayatan ini dapat disemai melalui pengamalan Rukun Negara yang telus berdasarkan demokrasi yang subur akan melahirkan masyarakat yang mengamalkan semangat kekitaan. Hubung kait konteks demokrasi dalam melahirkan semangat perpaduan dapat dilihat melalui sikap penguasaan, tauladan kebijaksanaan serta perilaku di berbagai aspek seperti hubungan kemasyarakatan, kebangsaan dan kenegaraan (S. Pamudji, 1985). Pendekataan holistik seperti ini dapat dilihat dalam langkah reformasi pentadbiran awam yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku manusia atau para pentadbir awam melalui pengarahan semula Group Force ke arah perubahan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan produktiviti (Junaidi Abu Bakar, 2006). Pembuktian ini telah memadai bagi menunjukkan bahawa semangat kekitaan melalui sistem demokrasi mampu untuk merembeskan semangat pepaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pendemokrasian semangat kekitaan atau setia kawan dalam mana-mana jua bidang seperti kepimpinan, pentadbiran awam, keselamatan dan sebagainya dapat membentuk perpaduan. Sistem demokrasi memperkenalkan sistem yang adil dalam memilih pemimpin dan harus ditaati oleh setiap pemilih untuk melahirkan suasana yang kondusif yang memangkinkan perpaduan berdasarkan semangat esprit de corps.

Perpaduan Pictures, Images and Photos

Sememangnya demokrasi dalam konteks plural iaitu kepelbagaian bangsa dan agama dalam menanamkan semangat esprit de corps merupakan tunjang kepada perpaduan. Walau bagaimanapun, kadang kala demokrasi dikritik kerana tujuannya yang masih samar, janji-janjinya yang begitu abstrak. Kritikan seperti ini menunjukkan kurangnya pengetahuan tentang demokrasi yang sebenar-benarnya. Namun, pertanyaan seperti ini akan membantu untuk lebih memahami perkaitan demokrasi dalam membentuk semangat kekitaan dan setia kawan yang akhirnya melalui semangat ini terbentuknya perpaduan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila kita menyemak tentangan-tentangan yang dihadapi setiap negara dalam mewujudkan demokrasi dan budayanya, pasti akan dijumpai wajah demokrasi yang beragam di setiap negara yang ada di dunianya. Segala cabaran demokrasi di harungi demi untuk mewujudkan semangat kekitaan dan setia kawan dalam kepelbagaian etnik dan bangsa di seluruh pelosok dunia. Oleh itu, jelaslah bahawa demokrasi mempunyai hubungan yang dalam menyemai semangat esprit de corps yang menjadi tunjang kepada perpaduan.Kesimpulannya semangat esprit de corps harus disemai dan dibajai khusunya dalam keadaan negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum di Malaysia.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

1 comments:

Mohd Zainurin Bin lbrahim said...

Esprit de corps one of part of Islam where it called Jamaah and everyone of Muslim is one family.This concept already practice by all God prophets to guide human for great life

August 20, 2018 at 10:50 AM  
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates