upsi Pictures, Images and Photos

Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”. Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan falsafah pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.

Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan falasafah pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN PRAMERDEKA

Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada beberapa peringkat yang menjadi pemangkin kepada hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. Terdapat dua peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era penjajahan.

Era Masyarakat Tradisional

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Hala tuju pendidikan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah. Falsafah pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan.

Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajarkan berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.

Era Penjajahan

Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India. Penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang. Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Hala tuju pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris bertujuan menyekat peluang orang Melayu untuk mengembangkan bakat mereka, memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila negara mencapai kemerdekaan.

Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenanjung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Hala tuju pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya.

Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawasan ladang ladang kepunyaan mereka. Hala tuju sistem pendidikan Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar pemerintahan Inggeris yang memberi bantuan dan kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada tahun 1930 terdapat empat jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan agama Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah Inggeris. Sekolah yang pertama ialah di Penang Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Hala tuju pendidikan Inggeris pada masa ini adalah untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi implikasi besar dalam hala tuju pendidikan masyarakat Melayu kerana menyedarkan orang Melayu dari golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan pendidikan Inggeris.

Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem pendidikan pada masa pemerintahan Inggeris telah menimbulkan situasi rumit dalam sistem pendidikan sekarang dari segi keseragaman dan pencapaian hasrat integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)

Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di negara kita.

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.
Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.

Ordinan Pelajaran 1952

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Mengehadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.
Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada kepada hala tuju dan falsafah pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.


Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

HALA TUJU DAN FALSAFAH PENDIDIKAN SELEPAS MERDEKA

Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan dan perubahan bagi merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Terdapat pelbagai peringkat pada pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.

Era 1957-1970

Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu dasar telah dibentuk bagi memantapkan hala tuju dan falsafah pendidikan yang sedia ada. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 telah dibentuk yang mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959. Hal ini merupakan sejarah Malaya pada waktu itu kerana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya.

Kesedaran yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan Rahman Talib dirangka yang mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Rentetan itu, Akta Pelajaran 1961 dibentuk dan dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara ini.

Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua pelajar dilaksanakan bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya berhak mendapat pendidikan. Selain itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap pelajar berhak mendapat pendidikan selama 9 tahun iaitu dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan dari 1966 hingga 1970 berobjektif untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak kepada penyatuan semua kaum melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi memudahkan interaksi antara kaum. Selain itu, falsafah pendidikan yang bersifat sama rata tanpa menyisihkan kaum, darjat dan agama memangkinkan lagi perkembangan pendidikan di negara Malaysia. Era ini menunjukkan anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan negara.

Era 1971-1990

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum di negara ini. DEB dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-1990. Di samping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam meningkatkan kualiti Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk golongan pelajar miskin yang tidak mampu untuk membeli buku teks dan Rancangan Makanan Tambahan(RMT) bertujuan untuk memberi makanan yang seimbang kepada pelajar terutamanya yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Usaha ini menunjukkan kerajaan begitu komited dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan.

Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan di peringkat percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda ini diteruskan dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila pelajar dalam KBSR telah melangkah masuk ke tingkatan 1 dan menggunakan empat matapelajaran sebagai rintis iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memberi sumbangan kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara" (Falsafah Pendidikan Negara, 1987)
Apabila FPN diperkenalkan, hala tuju pendidikan nampak jelas dan nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani. Penambahbaikkan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, falsafah pendidikan yang digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat majmuk yang bersifat sejagat.
Era 1991-2000
Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju kehadapan melalui RMK6 1991-1995 dan RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan negara terus terancang. Dalam pada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Pelan Integriti Nasional.
Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan rakyat untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta pembangunan ekonomi yang berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap berkhidmat untuk peningkatan hasil dan mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan Integriti Nasional dengan matlamat untuk memantapkan nilai-nilai etika dan integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut dalam diri setiap anggota masyarakat.
Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehingga tingkatan 5. Sementara itu, pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dengan menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR. Usaha ini dilihat mampu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam menetukan hala tuju pendidikan di masa hadapan.
Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang pesat dalam falsafah dan hala tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi melancarkan lagi pembangunan pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:
1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian prasekolah.
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996- Bermatlamatkan menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan penubuhan sebuah majlis yang menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi.
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996- Menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan) 1996- memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan swasta.
7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000- Membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti.
8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta
Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan negara telah mengadaptasikan satu hala tuju pendidikan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Era 2001-2010
Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia harus bersaing dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Penambahbaikan telah dijalankan bagi meneliti semula projek dan program yang dirancang. Hal ini bertepatan dengan hala tuju dan falsafah pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.
Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan penambahbaikan dan pemantapan hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan dalam perundangan, dasar dan program utama berikut:
1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1 pada 1 Januari 2003.
2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukan seorang kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002)
3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.
4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan pendidikan wajib (Bajet 2002 dan 2003). Pada tahun 2004 bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT) diperkenalkan untuk memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan pencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya di bawah Pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003)
7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003)
8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Posted by Mustakim Bin Suhaili

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates